Memahami Penciptaan Lelaki Dan Wanita Dari Perspektif Syarak

Oleh: Maryam Ismail

            Mengapakah wanita sering dijadikan sebagai alat pemuas nafsu dan pelaris jualan? Perhatikan sahaja, rata-rata paparan iklan dewasa ini menampilkan model wanita yang berpakaian menjolok mata. Fenomena ini sebenarnya tiada bezanya dengan wanita dalam masyarakat jahiliah, iaitu zaman sebelum kedatangan Islam. Jika ditelusuri dalam banyak ketamadunan manusia, hampir kesemuanya tidak melayan wanita selayaknya. Orang Yahudi misalnya, menganggap wanita sebagai makhluk terkutuk kerana dikatakan telah menggoda Nabi Adam. Manakala bagi orang Arab jahiliyyah, wanita dianggap sebagai makhluk yang hina sehingga banyak hak wanita diabaikan seperti harta warisan, pendidikan dan sebagainya. Bagi bangsa Parsi pula, wanita ibarat barang dagangan dan lebih parah lagi bangsa Rom menganggap wanita tidak mempunyai jiwa sehingga diibaratkan sebagai haiwan yang hanya berkhidmat untuk suami dan Tuhan semata-mata. Justeru, tujuan penciptaan wanita itu perlu difahami agar manusia seluruhnya dan umat Islam khasnya tidak terus  melihat wanita mengikut perspektif-perspektif tidak Islami seperti yang berlaku sebelum kedatangan Islam.

            Allah SWT telah menciptakan manusia yang terdiri daripada lelaki dan wanita berserta dengan fitrah khasnya yang membezakan antara manusia dengan haiwan. Dari aspek kemanusiaan, kedua-dua jantina ini tidak mempunyai perbezaan. Baik lelaki mahupun wanita, mereka memiliki kebolehan hidup (thaqah hayawiyyah) iaitu keperluan organik (hajat ‘udhawiyyah) seperti rasa lapar, dahaga, buang hajat, serta mempunyai pelbagai naluri (ghara’iz) iaitu naluri mempertahankan diri atau dikenali sebagai survival instinct (gharizah al-baqa’), naluri melestarikan keturunan (gharizah al-nau’) dan naluri beragama (gharizah al-tadayyun) yang sama. Allah juga telah menjadikan kedua-duanya memiliki daya fikir yang sama (akal) tanpa membezakan akal bagi lelaki mahupun akal bagi wanita. Oleh itu, pandangan Islam terhadap lelaki dan wanita adalah pandangan yang sama iaitu kedua-duanya merupakan manusia yang diciptakan oleh Allah dengan naluri, kebolehan serta pelbagai potensi.

            Masalah mula muncul apabila pemenuhan  naluri dan potensi manusia  tadi disalurkan dengan cara yang salah. Misalnya, dalam pemenuhan naluri melestarikan keturunan (gharizah al-nau’), seandainya  hanya sekadar memenuhi nikmat aktiviti hubungan seksual, maka kegiatan seks songsang (LGBT) atau aktiviti sumbang mahram ataupun seks luar tabi’i (bersama haiwan) akan menjadi semakin berleluasa kerana turut dianggap membawa kenikmatan kepada pelakunya. Hakikatnya, semua aktiviti itu adalah sesuatu di luar fitrah manusia, bercanggah dengan syariah Islam bahkan memudaratkan diri serta masyarakat. Dengan kata lain amalan tersebut tidak membawa kepada tujuan diciptakan gharizah al-nau’ kerana naluri ini diciptakan khas untuk hubungan yang terjalin antara lawan jenis manusia iaitu lelaki dan wanita.

            Juga menjadi kekeliruan dan kesalahan besar apabila hubungan antara lelaki dan wanita ini hanya difokuskan ke arah kenikmatan hubungan seksual semata-mata tanpa mengira soal halal dan haram. Tujuan penciptaan naluri ini yang benar adalah untuk melahirkan keturunan bagi melestarikan kehidupan yang diikat dengan ikatan yang sah iaitu pernikahan. Hubungan yang sihat antara suami dan isteri akan  diselimuti dengan tolong-menolong, hormat-menghormati, berkasih sayang, bahkan mampu melangkaui erti persahabatan sejati antara dua jantina. Inilah hakikat dan tujuan penciptaan lelaki dan wanita yang perlu difahami oleh setiap manusia seperti firman Allah SWT:

Dialah yang menciptakan kamu dari diri yang satu dan darinya Dia menciptakan isterinya agar dia merasa senang kepadanya. Maka setelah digaulinya, isterinya itu mengandung kandungan yang ringan dan teruslah dia merasa ringan (beberapa waktu). Kemudian, tatkala dia merasa berat, keduanya (suami isteri) bermohon kepada Allah seraya berkata, “Sesungguhnya jika Engkau memberi kami anak yang sempurna, tentulah kami termasuk orang-orang yang bersyukur.” [TMQ al-A’raf (7): 189]

            Untuk mengakhiri segala kerosakan yang berlaku akibat daripada dominasi fikiran tentang hubungan lelaki wanita yang bersifat seksual semata-mata, pemahaman yang benar dan penerapan hukum Islam yang mengatur hubungan lelaki dan wanita perlu diterapkan sepenuhnya. Sudah tentu ia dilakukan berdasarkan ketakwaan kepada Allah. Dengan demikian, segala kerosakan yang berlaku akibat daripada pengabaian pengurusan naluri gharizah al-nau’  dapat diakhiri. Seterusnya kerjasama dan tolong menolong antara lelaki dan wanita dapat dipertahankan di samping ketenteraman bermasyarakat turut dapat dilestarikan..

Wallahu’alam.