Mengenang tragedi pembunuhan di Halabja

Gambar BG 210316Tanggal 16 Mac lalu merupakan ulang tahun ke-28 sejak tercetusnya tragedi hitam pembunuhan beramai-ramai melalui serangan gas kimia yang dilakukan oleh rejim Saddam Hussein ke atas penduduk di Halabja, tatkala perang antara Iraq dan Iran sedang menghampiri penghujungnya. Dianggarkan antara 3200-5000 orang terkorban, manakala hampir 10,000 penduduk cedera di bandar Halabja yang terletak di utara Iraq.

Halabja merupakan sebuah bandar di wilayah autonomi Kurdistan Selatan yang menjadi sasaran kekejaman tentera Iraq sejak tercetusnya Perang Iran-Iraq. Pada tahun 1988, Iraq melancarkan Kempen Ketenteraan Al-Anfal yang mensasarkan penduduk berbangsa Kurd dengan tujuan untuk menamatkan pemberontakan Kurdish di wilayah utara Iraq. Komander tentera Iraq yang bertanggungjawab memimpin operasi tersebut adalah Ali Hassan al-Majid, atau lebih dikenali sebagai Ali Kimia (Chemical Ali). Ali mendapat jolokan tersebut berikutan peranan besar yang dimainkan olehnya dalam tragedi serangan kimia di Halabja.

Secara keseluruhannya, dianggarkan sejumlah antara 150,000 hingga 350,000 orang awam Kurd terkorban sepanjang operasi tersebut, sekali gus meletakkannya ke dalam kategori jenayah pembantaian beramai-ramai (genocide).

Setelah rejim Saddam digulingkan oleh AS pada 2003, Ali Kimia merupakan antara orang kanan Saddam yang turut berdepan dengan perbicaraan atas kesalahan melakukan jenayah terhadap manusia (crime against humanity). Ali telah dijatuhkan hukuman mati atas empat kesalahan berasingan, namun dia tidak sedikit pun menunjukkan sebarang kekesalan atas kezaliman yang dilakukan. Semoga Allah membalas apa yang dilakukannya dengan pembalasan yang setimpal!

28 tahun berlalu sejak tragedi Halabja dan 13 tahun setelah rejim Saddam ditumbangkan, keadaan yang menimpa umat Islam di Iraq masih tidak banyak berubah. Selain terpaksa berhadapan dengan tentera AS yang sehingga kini masih belum berundur, umat Islam Iraq berdepan juga dengan ancaman peperangan oleh kerajaan baru Iraq yang kini berada di bawah pemerintahan Haider al-Abadi.

Dalam masa yang sama, kehadiran militan bersenjata Islamic State (IS) memburukkan lagi keadaan. Sementara itu, di bawah Abadi (dan Nouri al-Maliki sebelumnya), Iraq tidak pernah sunyi dari pelbagai krisis. Pengunduran berperingkat tentera AS menjadikan penularan pengaruh Iran semakin kuat yang turut memainkan sentimen kemazhaban demi meraih sokongan daripada penduduk Syiah di Iraq.

Sentimen kemazhaban dan perseteruan antara Sunni-Syiah sebenarnya hanyalah alasan yang digunakan oleh pihak-pihak berkepentingan di Iraq demi mencapai agenda politik masing-masing. Dalam erti kata lain, Sunni atau Syiah hanyalah dijadikan sebagai identiti politik semata-mata demi meluaskan pengaruh masing-masing. Ya, benar konflik Sunni-Syiah memang berlaku, namun ia sebenarnya diburukkan oleh AS yang sentiasa menyimbah api, khususnya setelah perang Teluk yang pertama, dalam usaha AS melaga-lagakan sesama umat Islam dan mengukuhkan cengkamannya di rantau tersebut.

Sesungguhnya kemelut yang melanda umat Islam di Iraq dan di seluruh dunia amnya, tidak boleh lepas daripada percaturan AS. AS boleh bertindak sewenang-wenang ke atas umat Islam kerana umat Islam sudah kehilangan perisai yang melindunginya selama ini yakni Negara Khilafah yang berdiri di atas jalan kenabian. Wujudnya negara ‘Khilafah palsu’ di sekitar Iraq dan Syria bukannya menjadi penyelamat kepada umat Islam Iraq, sebaliknya menambahkan lagi fitnah dan keburukan yang menimpa penduduk di bumi yang penuh bersejarah itu.

Sesungguhnya tidak ada jalan lain untuk mengalahkan Amerika dan sekutu-sekutunya serta mengembalikan semula penyatuan umat Islam kecuali dengan berusaha mengembalikan Negara Khilafah Rasyidah ala minhaj nubuwwah!