Mengharapkan Pertolongan Allah (Nasrullah)
Ketika umat Islam di Palestin mengharungi bulan Ramadan, serangan daripada ‘Zionis Israel’ tidak pernah berhenti. Serangan daripada entiti haram Yahudi sejak 5 bulan lalu yang telah membunuh 31,300 orang yang mana satu pertiganya ialah kanak-kanak serta 72,000 orang lagi telah cedera. Kegilaan entiti Yahudi ini lebih terserlah lagi apabila mereka menyerang orang-orang yang sedang menunggu ketibaan konvoi bantuan makanan. Gudang simpanan makanan milik UNRWA turut diserang oleh pihak yang tidak berperikemanusiaan ini. Rata-rata umat Islam di Palestin terpaksa menahan kelaparan sejak dua bulan lalu dihalang daripada menerima bantuan makanan oleh musuh mereka.
Lebih memilukan, sejumlah 200 masjid telah musnah, manakala hampir 300 masjid lagi rosak teruk dek serangan entiti haram Yahudi itu. Umat Islam di Palestin terpaksa mendirikan solat dan solat tarawih di padang-padang dan jalan-jalan. Namun bagi mereka, seluruh bumi Palestin adalah milik Allah dan mereka boleh mendirikan solat di mana sahaja.
Begitulah ujian yang menimpa umat Islam di bumi Palestin. Sementara itu, umat Islam di belahan lain dunia turut menerima ujian. 11 juta Muslim Uyghur di wilayah Xinjiang dilarang daripada berpuasa, mendirikan solat berjamaah di masjid, dan mengamalkan ajaran Islam. Penindasan ini dilakukan oleh Rejim Komunis China demi mencapai asimilasi paksa atau ‘Sinicization of Islam’ buat etnik Uyghur ke arah budaya Komunis China.
Tidak lupa juga penderitaan umat Islam di India dan Kashmir. Mereka sentiasa mengalami kezaliman daripada pemerintah Modi yang membawa gagasan Hindutva. Mereka tidak diberi keadilan yang sewajarnya, hak-hak mereka dirampas, dan mereka menjadi warganegara kelas kedua. Gerakan Hindutva mahu menghalang mereka daripada memiliki kewarganegaraan – atau dengan kata lain, musuh Islam itu mahu menghalau umat Islam dari India.
Penderitaan ini turut dirasai seluruh umat Islam
Penderitaan dan keperitan hidup umat Islam akibat tindakan kejam musuh-musuh mereka baik di Palestin, Xinjiang, India mahupun di mana-mana sahaja turut dirasai oleh umat Islam yang lain termasuklah yang berada di sini. Ini kerana umat Islam umpama satu tubuh, yang apabila satu anggota badan merasa sakit, maka seluruh badan merasai kesakitan itu. Sabda Rasulullah (saw):
“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga (tidak boleh tidur) dan panas (turut merasakan sakitnya)” [HR Muslim].
Semua penderitaan ini merupakan ujian bagi Allah (swt) kepada orang-orang bertakwa. Balasannya kepada mereka yang sabar dengan penuh keimanan ini ialah syurga. Tidak ada perkara lain yang lebih berharga bagi orang-orang beriman selain syurga dan keredhaan Tuhan mereka. Namun, untuk meraihnya bukanlah sesuatu yang mudah kecuali perlu mengharungi kezaliman ini dengan kesabaran, ketakwaan, dan sentiasa teguh berada di jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw). Sebagaimana firman Allah (swt),
أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا۟ ٱلْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ ٱلَّذِينَ خَلَوْا۟ مِن قَبْلِكُم ۖ مَّسَّتْهُمُ ٱلْبَأْسَآءُ وَٱلضَّرَّآءُ وَزُلْزِلُوا۟ حَتَّىٰ يَقُولَ ٱلرَّسُولُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ مَتَىٰ نَصْرُ ٱللَّهِ ۗ أَلَآ إِنَّ نَصْرَ ٱللَّهِ قَرِيبٌۭ ٢١٤
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat”
[Al-Baqarah (2): 214].
Pertolongan Allah Yang Dijanjikan
Satu-satunya pertolongan Allah (swt) yang orang-orang mukmin harapkan pada hari ini ialah kembalinya ‘kekuasaan umat Islam yang murni’ di atas muka bumi ini. Bukan kekuasaan yang seperti hari ini yang mana para pemimpin mereka merupakan tali barut para penjajah atau paling tidak, takut dengan kuasa penjajah. Mereka hanya akur mengangguk apa sahaja yang diarahkan oleh Amerika, Eropah, China dan para penjajah yang lain. Mereka enggan menggerakkan tentera mereka untuk membebaskan saudara seakidah mereka yang ditindas oleh rejim Yahudi walaupun mereka mampu berbuat demikian. Mereka juga melaksanakan undang-undang kufur buatan manusia yang mengakibatkan kezaliman, ketidakadilan dan kesengsaraan kepada rakyatnya. Bukan ini kekuasaan yang dijanjikan!
Kekuasaan yang dijanjikan dengan pertolongan Allah (‘nasrullah’) ialah kekuasaan yang murni yang dipimpin oleh para Khalifah yang bertakwa. Para Khalifah ini menerapkan hukum-hukum Allah seluruhnya ke atas manusia melalui sistem yang diwariskan oleh Rasulullah (saw) iaitu Khilafah Islamiyyah. Melalui Khilafah, umat Islam akan dibebaskan daripada kezaliman dan penindasan yang dilakukan oleh para penjajah. Dengan tindakan Khilafah ini semua ketakutan mereka pada hari ini akan digantikan keamanan dan kesejahteraan. Allah (swt) berfirman,
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ كَمَا ٱسْتَخْلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ ٱلَّذِى ٱرْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًۭا ۚ يَعْبُدُونَنِى لَا يُشْرِكُونَ بِى شَيْـًۭٔا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ ٥٥
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh daripada kalangan kamu bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (daripada ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik” [An-Nur (24): 55].
Justeru, dalam bulan Ramadhan al-Mubarak yang penuh keberkatan ini, perlu kita memuhasabah diri, apakah yang kita lakukan untuk saudara-saudara seakidah kita yang sedang menderita itu? Adakah kita hanya mengungkap perasaan sedih dan menghulurkan bantuan yang bersifat sementara, sedangkan bantuan yang kita berikan itu juga dihancurkan oleh entiti haram Yahudi sebelum sempat sampai kepada saudara-saudara kita di Palestin.
Atau kita bingkas melakukan tindakan yang benar-benar berkesan untuk menukar ketakutan saudara kita dengan keamanan. Ia diperoleh hanya dengan berusaha mewujudkan kembali Khilafah Islamiyyah yang dipimpin oleh seorang Khalifah yang bertakwa yang menyatukan seluruh dunia Islam dalam sebuah negara superpower. Dengan izin Allah negara ‘superpower’ Khilafah ini akan mengalahkan musuh-musuh Islam sepertimana yang pernah tercatat dalam lipatan sejarah. Ayuh marilah kita bersama-sama berganding bahu mewujudkan janji Allah (swt) ini!