Mengimani Bisyarah Rasulullah (saw) Dalam Memandu Hala Tuju Umat Islam Abad ke-21
Ibnu Hisyam menukilkan dari Al-Bara’ yang menegaskan,
“Ketika perang Khandaq, kami menemukan sebuah batu besar yang keras di salah satu parit yang tidak boleh dipecahkan dengan cangkul. Lalu kami mengadukan hal itu kepada Rasulullah (saw). Maka baginda pun datang sambil membawa cangkul kemudian mengucapkan, “Bismillah”. Baginda kemudian terus memukul batu itu dengan sekali pukulan. Kemudian mengucapkan, “Allahu Akbar, telah diberikan kepadaku kunci-kunci kerajaan Syam. Demi Allah, saat ini aku benar-benar melihat istana-istananya yang penuh dengan gemerlapan.” Kemudian baginda memukul batu itu untuk kali yang kedua. Maka pecahlah bahagian yang lainnya. Lalu baginda pun bersabda, “Allahu Akbar, telah diberikan kepadaku negeri Parsi. Demi Allah, aku benar-benar melihat istana kerajaannya yang penuh dengan gemerlapan sekarang ini.” Lantas baginda memukul batu itu untuk kali yang ketiga sambil mengucapkan, “Allahu Akbar”. Maka terpecahlah bahagian yang tersisa dari batu itu. Kemudian baginda bersabda, “Allahu Akbar, aku benar-benar diberi kunci-kunci kerajaan Yaman. Demi Allah, aku benar-benar melihat pintu-pintu San’a dari tempatku ini.”
Kata-kata tersebut diungkapkan oleh junjungan mulia Rasulullah (saw) meskipun dalam keadaan terdesak dan tersepit untuk mempertahankan Madinah daripada serangan tentera Ahzab atau tentera gabungan yang diketuai kaum Quraisy Mekah dalam sebuah peperangan yang boleh memberikan kesan besar terhadap negara Islam di Madinah yang baru tertubuh pada waktu itu. Ucapan itu, seandainya didengari oleh orang kafir atau munafik sudah pasti akan ditertawakan atas sangkaan bahawa Muhammad itu gila dan tidak berpijak di alam nyata. Namun begitu, menurut kaum Muslimin ia bukanlah kata-kata kosong yang diucapkan oleh seorang manusia, yang memimpin negara baru Madinah pada waktu itu. Sebaliknya, ia adalah bisyarah (khabar gembira) yang disampaikan oleh seorang Nabi yang tidak akan mengatakan sesuatu menurut hawa nafsunya, tidak akan melakukan sesuatu tanpa perintah Tuhannya, dan tidak akan membiarkan sesuatu yang melanggar perintah Allah (swt) berlaku di hadapannya.
Bisyarah merupakan khabar gembira yang diturunkan Allah (swt) kepada kaum Muslimin, sama ada melalui al-Qur’an ataupun melalui sabda Rasul-Nya. Ia merupakan pemberitaan mengenai kejadian yang akan berlaku pada masa akan datang. Orang-orang yang beriman, terutamanya para sahabat radhiallahu ‘anhum, apabila mereka diberitahu mengenai kejadian yang akan terjadi pada masa akan datang, dengan berbekalkan keimanan yang teguh, terus meyakini peristiwa itu akan berlaku dengan izin Allah (swt). Mereka memahami bahawa peristiwa itu pasti akan berlaku, cuma jangka waktunya sahaja yang tidak jelas. Keyakinan ini membuatkan mereka merasakan seolah-olah kejadian itu hadir di hadapan mereka secara nyata.
Apabila Rasulullah (saw) menyebut mengenai pembukaan Kota Konstantinopel atau Rom, para sahabat yakin bahawa kedua-dua kota itu pasti akan dibuka, hanya sahaja waktunya dan pelakunya belum dipastikan lagi. Mereka tidak bertanya di manakah kota itu, apakah bentuk pertahanannya, siapakah yang mengawalnya – apa yang mereka yakini adalah kedua-duanya akan dibuka suatu masa nanti. Malah, mereka akan mencari jalan untuk melakukannya, bukan mencari helah untuk tidak melakukannya atau hanya menunggi ia berlaku tanpa berbuat apa-apa. Jika ada pujian untuk pelakunya seperti yang dikhabarkan oleh Rasulullah (saw);
لَتُفْتَحَنَّ الْقُسْطَنْطِينِيَّةُ فَلَنِعْمَ الْأَمِيرُ أَمِيرُهَا وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذَلِكَ الْجَيْش
“Sungguh Konstantinopel pasti akan dibuka, maka sebaik-baik pemimpin adalah pemimpinnya dan sebaik-baik pasukan adalah pasukan tersebut (yang membukanya)”
maka, mereka yang beriman akan berusaha sedaya upaya untuk meraih kemuliaan tersebut agar mereka menjadi pelaku yang akan merealisasikannya seperti yang disebut dan dipuji oleh Rasulullah (saw) dalam bisyarah itu. Semenjak pujian itu diungkapkan oleh Rasulullah (saw), telah banyak usaha dilakukan, banyak perajurit yang cedera atau terkorban, dan banyak harta yang telah dibelanjakan ke arah pembebasan Konstantinopel. Sejarah telah mencatatkan usaha-usaha ini, seperti mana berikut:
(1) 49 Hijriah / 669 Masehi
Menurut Ibnu Jarir Ath-Thabari dalam kitab Tarikhnya, Muawiyah bin Abi Sufyan menjadi Muslim pertama yang bertekad dan menggerakkan tentera untuk membebaskan Konstantinopel. Saat itu ia mengamanahkan anaknya -Yazid bin Muawiyah- untuk memimpin 300 ribu tentera dengan 300 kapal perang. Namun Konstantinopel belum berjaya dibebaskan, dan seorang sahabat Rasulullah (saw), Abu Ayyub Al Ansari (ra) telah gugur syahid semasa perjalanan ke sana.
(2) 54-60 Hijriah / 674-680 Masehi
Di era kekhalifahan Muawiyah bin Abi Sufyan juga, serangan telah berlangsung selama 6 tahun lamanya yang dipimpin oleh Abdurrahman bin Khalid bin Walid. Konstantinopel adalah pusat pemerintahan empayar Byzantine. Jika ia jatuh, wilayah-wilayah yang tersisa dari Kekaisaran tidak akan mungkin dapat bersatu, dan ia akan menjadi gerbang besar bagi kaum Muslimin untuk membebaskan Eropah. Namun usaha ini tetap belum berhasil membuka Konstantinopel.
(3) 98 Hijriah / 718 Masehi
Di era kekhalifahan Sulaiman bin Abdul Malik (di bawah Kekhilafahan Umayyah), beliau mengamanahkan kepemimpinan tentera kepada saudaranya, Maslamah bin Abdul Malik untuk membawa 200 ribu tentera dan 5000 kapal. Namun usaha ini masih lagi belum berjaya membuka kota tersebut. Kegagalan ekspedisi ini telah melemahkan kekhilafahan Bani Umayyah. Seperti komentar sejarawan Bernard Lewis, “Kegagalannya membawa kesan besar bagi kekuatan Umayyah. Perbelanjaan untuk ekspedisi ini menyebabkan gejolak fiskal dan kewangan Khilafah”.
(4) 165 H / 781 Masehi
Di era kekhalifahan Muhammad Al-Mahdi (di bawah kekhilafahan Abbasiyyah), beliau mengamanahkan kepemimpinan 95 ribu tentera kepada anaknya, Harun Al-Rasyid. Walaupun tidak berhasil membebaskan Konstantinopel, ekspedisi ini merupakan satu kejayaan dan memiliki impak penting di Byzantine. Ekoran pertempuran tersebut, Permaisuri Irene telah mengemukakan perjanjian damai yang lebih memihak kepada tentera Muslimin berbanding Byzantine. Irene menggunakan tiga tahun gencatan senjata untuk memperkuat posisi dalamannya.
(5) 796 Hijriah / 1393 Masehi
Sultan Bayazid I dari Bani Uthmaniyyah begitu serius untuk membebaskan Konstantinopel. Beliau membangunkan salah satu pasukan terbesar di dunia yang terkenal pada zaman itu bagi mencapai tujuan tersebut, namun belum berjaya mengepung Konstantinopel. Meskipun demikian, Bayazid I berjaya mengalahkan tentera Salib di Nicopolis (Bulgaria sekarang) pada tahun 1396M. Usaha pembebasan Konstantinopel gagal kerana beliau telah dikalahkan dan ditangkap oleh Timurlenk dalam Pertempuran Ankara pada 1402M dan meninggal dunia dalam tahanan pada bulan Mac 1403M.
(6) 824-854 Hijriah / 1421-1451 M
Projek Pembebasan ini adalah inisiatif ayah Muhammad Al-Fateh, Sultan Murad II. Para sejarawan menyebut ekspedisi ini sebagai “Pengepungan skala penuh pertama di Konstantinopel”. Namun Sultan Murad II terpaksa menamatkan pengepungan ekoran pemberontakan adiknya, Küçük Mustafa, di Anatolia yang dibantu oleh puak Germiyan dan Karaman, yang takut akan kebangkitan kekuatan Uthmaniyyah.
(7) 857 Hijriah / 1453 Masehi
Akhirnya setelah penantian panjang, Sultan Muhammad Al-Fateh berjaya merealisasi bisyarah Rasulullah (saw) dan dengannya telah ternobat sebagai panglima terbaik yang memimpin tentera yang terbaik. Beliau mengepung kota Konstantinopel selama 54 hari, dimulai pada hari Jumaat 23 Mac 1453M dari Erdirne menuju Konstantinopel dengan keseluruhan pasukan armada laut, artileri, pasukan berkuda, dan perajuritnya yang berjumlah 250,000 orang. Dengan izin-Nya, Konstantinopel akhirnya berjaya dibebaskan pada 29 Mei 1453M.
Sesungguhnya usaha-usaha ini bukanlah murah, tidak juga mudah, bahkan telah mengorbankan ramai perajurit dan menelan belanja yang besar daripada perbendaharaan negara demi merealisasikan bisyarah Rasulullah (saw) ini. Ini menunjukkan bahawa apabila kaum Muslimin mendengar suatu bisyarah, mereka berusaha sekuat tenaga dan usaha serta mengorbankan harta, darah dan nyawa untuk merealisasikannya. Mereka tidak pula mencari helah untuk tidak melaksanakannya. Malah Abu Ayyub Al-Anshari (ra) yang menyertai ekspedisi pembukaan Konstantinopel pada usia yang lanjut dan telah syahid di sana, sempat berwasiat kepada pasukan kaum Muslimin untuk memakamkannya di tempat yang paling hampir dengan tembok kerana beliau sangat meyakini hadis Rasulullah (saw). Tujuan wasiat tersebut tidak lain adalah kerana beliau mahu ‘mendengar’ derapan kuda-kuda tentera kaum Muslimin yang membuka Kota Konstantinopel meskipun beliau tidak berkesempatan untuk merealisasikannya ketika hayatnya.
Demikian juga halnya dengan bisyarah daripada Rasulullah (saw) mengenai pembukaan Mesir. Para sahabat radhiallahu ‘anhum dan kaum Muslimin yang lain tidak senang duduk sebaliknya terus berusaha agar terlibat dengan penyebaran Islam ke wilayah yang terletak di Afrika utara tersebut. Dalam konteks Mesir ini, Rasulullah (saw) menyampaikan pesanan seperti yang diriwayatkan oleh Saidina Umar al-Khattab (ra) yang meriwayatkan,
“Bila Allah membukakan buat kalian negeri Mesir, jadikan tenteranya paling banyak. Maka tentera itu adalah sebaik-baik tentera di bumi,” Maka berkata Abu Bakar: “Kenapa begitu ya Rasulullah?” Jawab baginda: “Kerana mereka dan isteri-isteri mereka sentiasa siap siaga (ribath) hingga ke hari kiamat”.
Walaupun pertahanan Mesir berserta benteng-bentengnya adalah kuat, namun para sahabat optimis dapat membukanya meskipun berdepan dengan tentera yang kuat, kerana kejayaan tersebut telah dijanjikan melalui lisan mulia Rasulullah (saw).
Begitulah keadaannya para sahabat radhiallahu ‘anhum, segala yang disabdakan oleh Rasulullah (saw) adalah suatu yang pasti bagi mereka. Tidak terlintas dalam benak pemikiran mereka, bahawa apa yang datang dari Rasulullah (saw) memerlukan penelitian semula, penafsiran semula, keraguan mahupun ketidakpastian dalam mengimaninya. Bagi mereka yang beriman, konsep asasnya adalah bahawa semua yang datang dari Allah (swt) dan Rasul-Nya (saw) adalah benar belaka. Hasil yang tidak memuaskan bukanlah berpunca daripada kesalahan wahyu, tetapi pelakunya perlu meneliti semula diri mereka untuk mengenal pasti di mana letaknya kesalahan di sebalik kegagalan tersebut.
Demikian juga dengan bisyarah akan kembalinya semula Khilafah Rasyidah ‘ala minhaj nubuwwah. Sesungguhnya Khilafah masih belum tertegak bukan disebabkan bisyarah itu yang salah, tidak realistik, malah jauh sekali untuk dikatakan mustahil. Namun hakikatnya, pelakunyalah yang tersalah langkah, atau belum bersedia atau belum memenuhi syarat-syarat yang melayakkan mereka untuk menerima pertolongan Allah (swt), sehingga Allah masih belum mengizinkan kembalinya Khilafah untuk kali yang kedua ini.
Bisyarah kembalinya Khilafah untuk kali yang kedua adalah selari dengan firman Allah (swt),
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الأرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahkuKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu apa pun denganKu dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik” [An-Nur (24):55].
Bisyarah kembalinya Khilafah Rasyidah di atas jalan kenabian untuk kali yang kedua dinyatakan dengan jelas di dalam hadis,
تَكُونُ النُّبُوَّةُ فِيكُمْ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ خِلاَفَةٌ عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ مُلْكاً عَاضًّا فَيَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ مُلْكاً جَبْرِيَّةً فَيَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ خِلاَفَةٌ عَلَى مِنْهَاجِ نُبُوَّةٍ. ثُمَّ سَكَتَ
”Akan ada zaman kenabian di tengah-tengah kalian, ia ada selama Allah (swt) menghendakinya ada. Kemudian Allah (swt) mengangkatnya apabila Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada zaman Khilafah di atas jalan kenabian (Khilafah ala minhaj nubuwwah), ia ada selama Allah (swt) menghendakinya ada. Kemudian Allah (swt) mengangkatnya apabila Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada zaman kerajaan yang menggigit (Mulkan ’Adhan), ia ada selama Allah (swt) menghendakinya ada. Kemudian Allah (swt) mengangkatnya apabila Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada zaman kerajaan yang diktator (Mulkan Jabariyyatan), ia ada selama Allah (swt) menghendakinya ada. Kemudian Allah (swt) mengangkatnya apabila Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan kembali zaman Khilafah di atas jalan kenabian (Khilafah ala minhaj nubuwwah). Kemudian baginda (saw) diam” [HR Ahmad dan Baihaqi dari Nu’man bin Basyir dari Hudzaifah].
Bisyarah mengenai pembukaan Rom dan kembalinya Khilafah ini masih belum terlaksana hingga sekarang. Bisyarah ini seharusnya menjadi penguat semangat dan cita-cita kaum Muslimin untuk merealisasikannya. Jika generasi terdahulu telah berjaya merealisasikan bisyarah dengan usaha sungguh-sungguh mereka tanpa henti, maka kita juga seharusnya melakukan perkara yang sama. Kaum Muslimin seharusnya mengerahkan seluruh tenaga, sehingga sanggup menggadaikan harta bahkan nyawa untuk merealisasikan setiap bisyarah. Demikianlah seharusnya kita mengimani berita gembira dari Allah (swt) dan Rasul-Nya (saw).
Wallahu a’lam.
Lajnah Tsaqafiyyah
Hizbut Tahrir Malaysia