Meragui Keamanan 1Malaysia dan GMM

Sempena sambutan Hari Krismas baru-baru ini, Datuk Seri Najib Razak berharap masyarakat Kristian berkongsi harapan dan pandangan bersamanya untuk memastikan negara terus kekal aman dan harmoni. Najib berkata, sejak menjadi Perdana Menteri, beliau menekankan beberapa perkara termasuk konsep perpaduan menerusi semangat 1Malaysia serta Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM). Kita sangat bersyukur kerana Malaysia sentiasa aman dan harmoni meskipun rakyatnya pelbagai kaum dan kepercayaan agama. Katanya lagi, konsep ini bukan hanya mengenai dialog tetapi saya mahu ia menjadi kenyataan. Sebab itulah, saya melawat Pope Benedict XVI tahun lalu, sekali gus mewujudkan hubungan diplomatik secara rasmi dengan Vatican City, katanya.
 
Najib begitu yakin dengan gagasan Konsep 1 Malaysia dan GMM. Mungkin ia nampak hebat, dengan konsep 1 Malaysia dilihat untuk melayan isu-isu dalam negara dan GMM pula menjadi mekanisme Najib untuk ke pentas antarabangsa. Namun, apakah dengan mengunjungi Pope Benedict XVI itu suatu tindakan yang wajar atau satu tindakan seseorang yang sedang terdesak untuk mencari populariti di pentas antarabangsa?. Jika untuk meraih populariti, ia mungkin tercapai. Persoalan seterusnya adalah, adakah konsep 1 Malaysia itu boleh menjamin keamanan dalam negara sedangkan pada ketika ini masyarakat bergelut dengan seribu satu macam permasalahan keselamatan; kes-kes melibatkan rogol, rempit, rompak, ragut dan banyak lagi yang masih belum ada kesudahannya. Persoalan-persoalan ini sebenarnya tidak perlu dijawab, ia hanya sekadar satu bentuk ungkapan untuk difikirkan.
 
GMMApa yang jelas adalah, tidak kiralah 1Malaysia atau GMM, kesemuanya itu tidak berlandaskan kepada mana-mana dalil kecuali hanya disokong oleh hujah-hujah akal seperti maslahat, mengelak risiko dan lain-lain hujah akal yang dianggap kuat dari segi berhujah. Tetapi kekuatan berhujah bukan ukuran untuk mengukur kebenaran. Sebagai indvidu yang beragama Islam dan mengaku beriman kepada Allah SWT dan RasulNya, seseorang mukmin itu mestilah mengukur sesuatu perbuatan, tindakan, dasar, polisi dsb mengikut dalil yang terdapat di dalam nas-nas syara’. Inilah yang akan membezakan setiap penyelesaian daripada Islam dan penyelesaian daripada barat (Demokrasi-sekularisme).
 
Berbanding Sistem Demokrasi yang berlandaskan idea sekularisme, Syariat Islam adalah suatu sistem dengan aturan yang akan menyekat segala jalan-jalan yang menuju kepada kehancuran. Apabila jalan-jalan/perilaku yang boleh membawa kepada kehancuran itu disekat, maka di situlah keamanan akan muncul. Contohnya, Sistem Ekonomi Islam yang akan menjamin hak dan keperluan asas setiap individu rakyat, Sistem Pergaulan Islam yang mengatur dan menetapkan perilaku setiap individu dan Sistem Penghukuman Islam yang apabila dilaksanakan akan memberikan pengajaran kepada setiap pelaku jenayah agar tidak melakukan atau mengulangi perbuatannya. Namun, jika syariat Islam masih tidak dilaksanakan, maka selagi itulah keamanan yang sebenar tidak akan dapat dicapai. Adakah kita hendak terus yakin dengan Sistem Sekular-Demokrasi yang sememangnya digubal untuk gagal? Suatu persoalan yang bukan untuk dijawab tetapi suatu bentuk ungkapan sinis agar memberi sedikit pencerahan.
 
Rujukan : Berita Harian  25/12/2012