Model Perjuangan Yang Merugikan
JAWATANKUASA Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) semalam bersetuju dengan program ‘Road To London 2012’ yang dibentang oleh Kementerian Belia & Sukan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi JKPS berkata, program khusus itu diharap mampu untuk merealisasikan hasrat Malaysia mencipta sejarah memenangi pingat emas pertama pada Sukan Olimpik. “Kita bersetuju dengan program yang dibentangkan Kementerian Belia dan Sukan ini. Seramai 19 atlet terlibat yang terdiri daripada empat jenis sukan iaitu badminton, memanah, lumba basikal dan terjun. “Walaupun acara terjun baru ditambah tetapi peruntukan program ini kekal seperti yang telah diluluskan iaitu sebanyak RM16 juta,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat JKPS kali pertama untuk tahun ini di Perdana Putra, Putrajaya petang semalam.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin turut memberitahu bahawa JKPS telah bersetuju dengan kajian semula Dasar Sukan Negara (DSN) dan ia akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet yang akan datang. “Secara amnya, kajian semula DSN ini adalah untuk memberi tumpuan kepada pembudayaan sukan dan memantapkan integrasi kaum di negara ini. “DSN baru ini telah menggariskan beberapa objektif seperti menjadikan sukan sebagai budaya masyarakat, menggalakkan aktiviti sukan di pelbagai peringkat, menawarkan bidang kerja, mempertingkat kemudahan sukan, memperkukuh organisasi sukan, membangunkan sukan sebagai industri serta meningkatkan semangat kesukarelaan,” jelas Muhyiddin. JKPS semalam juga memberikan perse- tujuan bagi penubuhan sebuah sekretariat tetap Majlis Sukan Universiti ASEAN (AUSC) di Kuala Lumpur dan juga pengenalan Dasar Pembangunan Sukan di institusi pengajian tinggi (IPT). “Sekretariat tetap pertama ini satu landasan terbaik untuk menjadikan IPT sebagai pemangkin pembangunan sukan negara dan juga antarabangsa. Penubuhannya di Kuala Lumpur menunjukkan ia suatu pengiktirafan daripada negara-negara anggota AUSC yang lain,” katanya.
Sumber: KOSMO 09/09/09
Pemburuan Dan Perjuangan Yang Menipu
Apakah jika kita menang semua pingat emas sukan Olimpik 2012 yang akan datang nanti akan mengubah keadaan umat Islam di Malaysia khususnya dan dunia amnya? Apakah kedudukan umat Islam akan bertambah tinggi kedudukannya di sisi Allah SWT. Inilah kelemahan dan kekeliruan pemikiran yang ada di dalam dunia umat Islam terutamanya para pemimpin sekular mereka. Mereka langsung tidak merasa bersalah dan berdosa menghabiskan sejumlah wang yang banyak [RM16 juta] semata-mata untuk memburu pingat emas sukan Olimpik pada tahun 2012 yang akan datang. Mungkin bagi para politik sekular, nilaian RM 16 juta terlampau kecil bagi mereka namun hakikatnya ia amat besar bagi rakyat biasa. Bagi para politik sekular ini apa yang mereka kejar dan cari adalah sanjungan dan pujian dari manusia semata-mata dan bukannya keredhaan di sisi Allah SWT. Selayaknya, seorang Muslim itu berlumba-lumba untuk mencari keredhaan Allah SWT bukannya pujian manusia sebagaimana firman Allah SWT:
“Nabi Muhammad SAW ialah rasulullah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Dia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar”. [TMQ al-Fat-h (48) ; 29].
Benar, Islam meletakkan kekuatan fizikal manusia sebagai perkara yang harus diberi perhatian. Sabda Rasulullah SAW:
“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun setiap mereka memiliki kebaikan. Bersemangatlah dalam hal yang bermanfaat bagimu, lalu memintalah pertolongan kepada Allah dan jangan lemah. Jika engkau tertimpa musibah janganlah berkata: ‘Seandainya saya berbuat begini maka tentu tidak terjadi begitu’. Namun katakanlah: ‘Allah telah menakdirkan musibah ini. Apa yang Allah kehendaki pasti terjadi’. Karena perkataan ‘Seandainya begini dan begitu…’ dapat menjerumuskan dalam perbuatan syaithan” [HR. Muslim].
Namun begitu, kekuatan fizikal yang dimiliki oleh umat Islam itu bukan bertujuan untuk bermegah-megah atau digunakan untuk tujuan selain dari mencari keredhaan Allah SWT. Kekuatan fizikial itu sepatutnya digunakan untuk menyiapkan kekuatan tentera kaum Muslimin bagi berjihad fisabilillah. Inilah akibatnya apabila dunia umat Islam diurus dan dikuasai oleh para pemimpin sekular. Benarlah sabda Rasulullah SAW bahawa umatnya akan mengikuti jejak langkah orang kafir selangkah demi selangkah, sehasta demi sehasta sehinggakan masuk ke dalam lubang biawak sekalipun. Daripada Abu Said al-Khudri radhiallahuanhu berkata: Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
“Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Ya Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan? Nabi saw menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka?” [HR. Imam Muslim].
Wahai umat Islam! Apakah kamu akan mengikut para pemimpin di kalangan kamu masuk ke dalam lubang biawak? Jika itu yang kamu pilih maka amat malanglah nasib kamu di hari akhirat kelak.