MUKTAMAR KHILAFAH 2015: BERSATU MENUJU PERUBAHAN HAKIKI DENGAN SYARIAH & KHILAFAH

Sinopsis – Muktamar Khilafah 2015

Sejak runtuhnya Khilafah pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924M), umat Islam telah menyaksikan dan mengalami perpecahan serta penderitaan yang amat dahsyat dan berpanjangan yang tidak pernah disaksikan sebelumnya oleh sejarah. Hal ini lantaran hilangnya pelindung dan penjaga umat Islam selama ini dan syari’at Allah sudah tidak lagi diterapkan dalam negara dan digantikan dengan penerapan hukum kufur di bawah sistem ciptaan manusia. Islam sudah tidak lagi menjadi ‘way of life’ dan diganti dengan sekularisme (pemisahan agama dari kehidupan) di bawah sistem demokrasi dan lain-lain sistem ciptaan manusia.

Selama itu juga, telah banyak usaha untuk membangkitkan, mempersatukan dan mengembalikan umat ini ke zaman kegemilangannya, namun terus menemui kegagalan, walhal mutakhir ini umat sudah menunjukkan tanda-tanda yang amat positif ke arah tersebut. Kenapakah hal ini berlaku? Secara ringkasnya ia dapat dikembalikan kepada dua sebab utama yakni kerana umat Islam gagal memahami apakah perubahan hakiki yang mereka perlukan ke arah itu dan adanya usaha yang bersungguh-sungguh dan berterusan dari kuffar Barat berserta ejen dan tali barut mereka untuk menghalang usaha ini.

Umat Islam harus sedar bahawa mereka mempunyai potensi yang cukup besar untuk bangkit, bersatu dan mencapai kemenangan dengan kembali menjadi ‘super power’ dunia dalam masa yang terdekat ini. Ini kerana keupayaan, kedudukan geopolitik dan kekayaan sumber alam yang luar biasa yang dimilikinya dan yang paling penting, kerana kesamaan dan kekuatan akidah yang dimiliki oleh umat Islam. Apa yang perlu diketahui dan dilakukan oleh umat yang mulia ini hanyalah thariqah (jalan) yang benar dalam menuju perubahan diiringi dengan kesatuan langkah, kesungguhan dan keikhlasan dalam melakukannya.

Kita telah melihat bagaimana umat Islam di sebahagian negeri di Timur Tengah telah bangkit ketika berlakunya revolusi ‘Arab Spring’. Setelah mencapai “kemenangan” mengalahkan penguasa yang diktator, ramai yang menangis kegembiraan, namun dalam masa yang sama umat Islam terkapai-kapai mencari perubahan yang diimpikan yang tidak kunjung tiba. Lebih malang, revolusi yang diberkati itu telah berjaya “dirampas” oleh Barat, lalu Barat membengkokkannya ke jalan yang mereka kehendaki. Kegembiraan yang didakapi umat akhirnya terlepas begitu sahaja dalam masa yang cukup singkat. Satu-satunya harapan revolusi yang masih tinggal sekarang ialah Syam di mana para kesatria di jalan kebenaran yang sedang menjual diri mereka kepada Allah SWT, masih tetap kental dan teguh meredah samudera perjuangan walaupun sebahagiannya telah menyempurnakan jual beli mereka dengan Allah SWT di bumi yang diberkati itu.

Di belahan lain dunia, termasuk Nusantara, kebusukan sistem demokrasi ciptaan Barat telah menerjah ke hidung hampir setiap orang. Walaupun masih ada sebahagian umat Islam yang cuba menutupi bau busuk tersebut manakala sebahagian yang lain pula cuba menyimbah segunung haruman ke atasnya, namun kebusukannya sudah melaut dan mustahil untuk ditutupi lagi. Telah lama Islam dan umatnya terhimpit dan terhina di bawah demokrasi manakala kekufuran serta penganutnya merajalela. Kini hampir semua orang tahu bahawa demokrasi telah gagal dari segenap aspek. Perubahan yang mereka cari tidak pernah ditemui di bawah demokrasi. Silih bergantinya pemimpin dengan mengekalkan sistem yang sama, telah menyedarkan umat ini yang perubahan hakiki tidak pernah dan tidak akan pernah tercapai di bawah sistem yang rosak ini.

Sesungguhnya perubahan hakiki hanya dapat diraih dengan mencampakkan demokrasi dan menggantikannya dengan syari’ah. Penyatuan umat Islam hanya akan dapat direalisasikan dengan mencampakkan negara-bangsa dan menggantikannya dengan Khilafah. Inilah jalan menuju kemenangan. Barat amat sedar akan hal ini dan kaum kuffar ini tidak pernah berhenti berusaha menghalangnya. Namun, usaha Barat dalam menyesatkan umat Islam dengan demokrasi dan pelbagai senjata lainnya bagi menghalang tegaknya kembali syari’ah dan Khilafah di muka bumi, ternyata semakin hari semakin gagal dan akan terus gagal dengan izin Allah.

Sesungguhnya perjuangan menegakkan semula Khilafah ini sudah sangat hampir mencapai kemenangan. Bukti-bukti ke arah tersebut amat jelas dan tidak dapat dinafikan oleh siapa pun yang mempunyai penglihatan. Apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah terus meningkatkan usaha dan doa kepada Allah SWT dalam menuju titik noktah ini. Kita mesti bersatu, malah wajib bersatu dalam menegakkan syari’ah dan Khilafah. Kita adalah umat yang satu dan haram untuk kita berpecah belah. Hanya dengan penyatuan maka barulah terbentuk kekuatan dan dengan kekuatan, kita bergerak seiringan untuk melakukan perubahan dalam rangka menegakkan syari’ah dan Khilafah.

Sebagai kesinambungan usaha ke arah ini, Hizbut Tahrir Malaysia dengan ini, berbesar hati menjemput anda ke Muktamar Khilafah 2015 dengan tema “Bersatu Menuju Perubahan Hakiki Dengan Syari’ah Dan Khilafah”.

Hadirlah ke Muktamar Khilafah ini bagi menzahirkan sokongan anda, malah sebagai tanda solidariti, usaha dan kecintaan anda kepada penyatuan dan penegakan syari’ah dan Khilafah. Insya Allah, semoga usaha kecil ini akan menjadikan kita sebahagian daripada mereka yang dimuliakan oleh Allah SWT sebagai orang yang mendirikan Khilafah ‘ala minhaj nubuwwah yang telah dijanjikan melalui lisan kekasihNya, Muhammad SAW, “Kemudian akan kembali Khilafah di atas jalan kenabian…” [HR Ahmad].

Jemputan Ke 

 MUKTAMAR KHILAFAH 2015
 BERSATU MENUJU PERUBAHAN HAKIKI DENGAN SYARIAH & KHILAFAH
 
Masa: Sabtu 3 Oktober 2015

Masa: 9 AM – 1PM

Tempat: HOTEL NOUVELLE, KUALA LUMPUR, 8TH KM, KUALA LUMPUR-SEREMBAN HIGHWAY, SUNGAI BESI, SERI KEMBANGAN, MALAYSIA

  Telefon: 03-89201614
 
 PAS MASUK BERHARGA: RM30!
 

NB mKZtJBPLCoe-TXJHkwHsBuAdbs 1UsgvpI9W4ywU