Najib Wajib Terapkan Islam Setelah Menjadi PM

PRU-13 yang baru sahaja berakhir telah sekali lagi memberikan kepada Najib untuk memerintah Malaysia. Kini amanah kepimpinan di Malaysia sekali lagi berada di tangan Najib. Ada pelbagai kisah gembira dan nada sedih yang mewarnai perjalanan PRU-13 yang baru sahaja melabuhkan tirainya. Apa yang pastinya, Najib telah pun mengangkat sumpah untuk terus berkuasa selaku Perdana Menteri Malaysia ke-6 buat kali ke-2.

Jika Najib melaungkan slogan 1 Malaysia, maka pasti ramai rakyat di seluruh negara akan menyahutnya. Ketika Najib meneriakkan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, maka kebanyakan rakyat turut mengaminkannya. Begitulah betapa besar serta kuatnya pengaruh dan kuasa sebagai seorang pemimpin negara. Malangnya, kuasa yang ada pada tangan para pemimpin umat Islam termasuk Najib tidak digunakan oleh mereka untuk menegakkan syariat Islam. Dalam Islam, kepimpinan itu adalah suatu amanah yang mana adalah menjadi kewajiban kepada mana-mana pemerintah umat Islam itu untuk menerapkan Islam dalam konteks bermasyarakat dan bernegara. Pemimpin negara itu wajib menerapkan hukum-hakam Islam. 

Jika Islam masih terus dicampakkan daripada pemerintahan sepertimana sebelum ini, maka ingatlah ancaman Allah kepada mereka yang tidak berhukum dengan hukum yang telah diturunkan oleh Allah SWT,

“Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang kafir/zalim/fasik” [TMQ al-Maaidah (5) : 44, 45, 47].

Wahai Perdana Menteri Malaysia! Sewajarnya sebagai seorang yang beriman kepada Allah dan Rasul, satu-satunya akujanji yang sepatutnya ditepati adalah sistem Islam semata-mata dan  bukan yang selain daripadanya. Bukankah  sebagai seorang Muslim, kita telah melafazkan akujanji kepada Allah pada setiap hari untuk hidup kerana Islam dan beramal untuk Islam semata-mata? Firman Allah SWT,

“Katakanlah: Sesungguhnya solatku, dan ibadatku, dan hidupku, dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan sekalian alam“.
[TMQ al-An’am (6) : 162].

Ingatlah wahai Najib! Islam adalah satu-satunya sistem kehidupan yang diterima oleh Allah SWT dan tidak ada lagi pilihan yang lain. Sistem selain daripada Islam pasti akan menemui kegagalan di dunia mahupun di akhirat.

“Dan barangsiapa yang mencari deen selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak termasuk daripada orang-orang yang rugi”. [TMQ Ali-‘Imran (3) : 85].

Sumber :utusan.com