OIC, Liga Arab desak PBB bincang isu sekatan Israel ke atas Gaza

Majlis Keselamatan bersidang – OIC, Liga Arab desak PBB bincang isu sekatan Israel ke atas Gaza

NEW YORK 22 Jan. – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan sidang tergempar hari ini berhubung krisis kemanusiaan berpunca daripada sekatan menyeluruh Israel ke
atas Genting Gaza di Palestin.

Badan 15 anggota itu dijadual bersidang pada 10 pagi ini (11 malam waktu Malaysia) atas permintaan duta-duta negara Arab ke PBB dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Keputusan untuk mengadakan sidang tersebut diambil semasa rundingan tertutup malam tadi ekoran protes antarabangsa yang makin lantang terhadap apa yang disifatkan oleh Kesatuan Eropah (EU) sebagai “hukuman menyeluruh” ke atas 1.5 juta penduduk di Gaza.

Kemarahan masyarakat antarabangsa dan amaran mengenai krisis kemanusiaan mendorong Israel hari ini untuk melonggarkan sekatan ke atas Gaza dengan membenarkan kemasukan bekalan bahan bakar dan ubat-ubatan secara terhad.

Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak membenarkan wilayah itu mendapat semula bekalan bahan bakar mulai hari ini bagi menjalankan satu-satunya loji tenaga elektriknya.

Selain itu bekalan ubat-ubatan akan dipulihkan untuk hospital di Gaza mulai esok.

Sebelum itu agensi PBB bagi pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran pihaknya akan terpaksa menghentikan bantuan makanan kepada ratusan ribu penduduk Gaza dalam masa beberapa hari jika sekatan itu diteruskan.

Pemerhati Palestin ke PBB, Ryad Mansour memberitahu wartawan di sini semalam, beliau mahu Majlis Keselamatan meluluskan satu resolusi atau kenyataan menuntut Israel “menarik balik sekatan kejamnya ke atas penduduk awam Palestin.”

Genting Gaza ditutup sejak Khamis lalu apabila rejim Yahudi menutup semua pintu masuk ke wilayah itu sebagai tindak balas terhadap serangan roket pejuang Palestin ke selatan Israel.

– AFP

Sumber: Utusan Malaysia 23/01/08

Ulasan:

Sebelum mengundurkan tenteranya dari Gaza beberapa tahun lalu, Israel telah membuat rancangan rapi untuk menyebabkan Gaza bergantung kepadanya dari segi ekonomi. Lebih daripada 70% tenaga untuk keperluan penduduk Gaza datangnya dari Israel.  Seolah-olah Israel adalah pengeluar tenaga utama di Asia Barat, walaupun negara-negara Arab di Teluk mempunyai simpanan 70% tenaga petrol di dunia. Walaupun Gaza diperintah oleh Hamas, namun masih bergantung kepada Israel dari segi ekonomi, dan langsung tidak menerima apa-apa bantuan dari negara-negara Arab yang lain.

Alasan Israel mengenakan sekatan kepada Gaza adalah kerana Hamas membedil Israel dengan roket. Tetapi hakikatnya roket-roket bedilan Hamas tidak mengenai sasaran yang tepat bukan seperti senjata Israel yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat yang mempunyai  sasaran tepat dengan menggunakan teknologi laser (laser guided missile). Oleh itu bedilan oleh Hamas tidak mengorbankan ramai orang di Israel, sementara keganasan Israel di Gaza telah mengorbankan berpuluh-puluh penduduk Gaza.

Di samping berjaya menindas dan menzalimi umat Islam, apa yang diharapkan oleh musuh-musuh Allah ini adalah agar kaum Muslimin terus-menerus mengharapkan OIC, Liga Arab atau PBB untuk menyelesaikan masalah mereka di Gaza. Puak kuffar ini cukup khuatir jika umat Islam mengecam para pemimpin rejim masing-masing di Asia Barat. Ini kerana ia boleh menjadi pencetus dan indikasi kepada kebencian umat Islam terhadap pemimpin mereka yang jelas-jelas merupakan agen Barat. Kebencian rakyat kepada pemimpin lama-lama-kelamaan boleh menjatuhkan pemimpin tersebut dan akan menjanjikan kedatangan semula Khilafah Islam yang akan menggantikan rejim-rejim Arab tersebut.

Haruskah kita menyalahkan Israel semata-mata atas apa yang berlaku di Gaza?  Sebenarnya penguasa rejim-rejim Arab mestilah dipersalahkan kerana membiarkan saudara mereka sendiri di Gaza tertekan akibat sekatan ekonomi Israel. Kenapakah rejim-rejim Arab yang mempunyai simpanan minyak yang terbesar di dunia tak mampu menolong saudara mereka sendiri yang kekurangan tenaga di Gaza? Kenapakah masih mengharapkan kepada rejim Zionis Yahudi yang nyata-nyata merupakan musuh kepada umat Islam untuk menolong umat Islam di Gaza? Kenapakah penguasa Arab yang begitu ramai ini tidak bersatu untuk memerangi Israel?

Sesungguhnya sudah masanya rejim-rejim Arab yang merupakan boneka Amerika Syarikat ini digantikan dengan Khilafah Islam. Selagi rejim-rejim ini berkuasa, maka selagi itulah kaum Muslimin akan terus dizalimi.