Pelaksanaan sistem mata wang emas dan perak perlukan Khilafah
TOKYO 30 Mei – Malaysia mencadangkan mata wang baharu berasaskan emas memandangkan ia lebih stabil berbanding dagangan dalam mata wang semasa yang besifat manipulatif, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau berkata logam berharga itu boleh digunakan untuk menilai aktiviti import dan eksport dalam kalangan negara di Asia Timur.
Sumber : utusan.com.my
Komentar:
Usaha untuk mengembalikan sistem mata wang agar disandarkan pada emas atau perak bererti suatu usaha untuk membunuh penguasaan Amerika Syarikat (AS) terhadap ekonomi dunia. Sejak sistem Bretton Wood dibatalkan pada tahun 1971 atas usaha AS sendiri, mata wang yang digunakan hanya berdasarkan sekeping kertas kosong yang diwarnakan mengikut corak negara masing-masing yang nilainya ditentukan berdasarkan keyakinan. Keyakinan yang diasaskan kepada faktor-faktor yang terdedah kepada unsur manupulasi dan spekulasi. Pihak yang paling mendapat manfaat daripada situasi ini ialah AS sendiri. AS dengan mudah mencetak dolar melebihi daripada yang sepatutnya kemudian memaksakan negara-negara lain menggunakannya. AS membeli sumber alam dari negara-negara lain dengan dolar yang hakikatnya hanyalah kertas kosong, namun dipaksakan agar kertas kosong tersebut diiktiraf dengan nilai-nilai tertentu.
Maka, adakah AS akan membiarkan sebarang usaha yang akan mengganggu kesenangan yang dinikmatinya selama ini? Sudah tentu tidak. Sebagai negara superpower, AS tentu sahaja akan melakukan apa sahaja untuk menghalang sebarang usaha yang akan menganggu dominasinya terhadap dunia pada hari ini termasuklah dalam bidang ekonomi. Oleh itu, umat Islam harus menyedari bahawa tanpa kuasa politik (negara) sistem mata wang ini tidak akan dapat dilaksanakan secara sempurna. Hal ini demikian kerana pelaksanaan sistem mata wang berasaskan emas dan perak perlu dikuatkuasakan dan dilindungi oleh kekuatan sebuah negara. Sebuah negara yang bersedia untuk berhadapan dengan tekanan dan ancaman daripada kuasa besar seperti AS. Persoalannya adakah negara di dunia ketika ini khususnya dalam kalangan negeri-negeri umat Islam termasuk Malaysia mampu dan bersedia berhadapan dengan tekanan dan ancaman AS? Ternyata tidak ada, kerana semua negeri-negeri umat Islam yang ada pada hari ini hakikatnya sangat bergantung kepada belas kasihan dan tunduk pada telunjuk AS.
Maka, hakikatnya hanya Daulah Khilafah yang diasaskan berdasarkan thariqah (jalan) dakwah Rasulullah SAW yang akan dapat berhadapan dan menyaingi kuasa AS. Oleh itu, jika umat Islam ingin melaksanakan sistem mata wang emas dan perak secara sempurna dan digunakan secara meluas di seluruh dunia agar kemakmuran ekonomi dapat dinikmati oleh semua manusia, maka umat Islam perlulah berusaha untuk menegakkan semula Daulah Khilafah mengikut thariqah dakwah Rasulullah SAW.
Mus’ab
Pimpinan Pusat Hizbut Tahrir Malaysia