Pemerdagangan manusia semakin subur dan memburuk di bawah sistem Kapitalisme
Sindiket pemerdagangan manusia membabitkan eksploitasi terhadap wanita dan kanak-kanak mampu meraih keuntungan kira-kira RM162 bilion setahun di peringkat global, suatu yang mendorong penjenayah untuk terus mensasarkan golongan tersebut. Merangkumi jumlah itu, 70 peratus adalah wanita dan 30 peratus kanak-kanak.
Ahli Majlis Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran Kementerian Dalam Negeri, Datuk Faridah Karim berkata, lebih dua juta wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa pemerdagangan manusia setiap tahun dengan satu pertiga daripadanya dari Asia Tenggara.
Aktiviti pemerdagangan manusia juga lebih menguntungkan berbanding penyeludupan dadah dan senjata api kerana mangsa boleh diniagakan berulang kali sehingga mereka tidak bermaya, bunuh diri atau mati.
Katanya lagi, kebanyakan wanita yang menjadi mangsa ditempatkan di pusat pelacuran, hotel, rumah urut, rumah persendirian, tapak binaan, ladang dan bot nelayan. “Kanak-kanak pula, mereka diperdagangkan seawal usia bayi pada harga antara RM18,000 hingga RM20,000 seorang, sementara ibu bapa bayi itu dibayar RM3,000 sebagai pampasan,” katanya kepada pemberita pada Syarahan Tun Fatimah Hashim bertajuk Pemerdagangan Manusia: Kesan Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor akhir bulan Mei lalu.
Siapa pun tidak boleh menafikan fakta bahawa wujudnya pemerdangan manusia secara global ialah kerana wujudnya sempadan negara bangsa. Ketidakstabilan politik dan ekonomi di peringkat dunia menatijahkan kesengsaraan kepada ramai manusia yang cuba lari atau keluar daripada kemelut yang melanda. Silap langkah, mereka akhirnya terperangkap dengan sindiket pemerdagangan manusia yang sentiasa mengintai untuk menerkam mereka.
Ideologi Kapitalisme yang menguasai dunia dengan penerapan sistem demokrasi ciptaan manusia menyebabkan segala bentuk kejahatan dan kemungkaran tidak pernah kunjung padam, termasuklah aktiviti pemerdagangan manusia. Malah aktiviti jahat ini terus subur di seluruh dunia atas dorongan manfaat yang besar yang diperolehi oleh sindiket yang berkenaan. Ribuan menjadi mangsa terutama wanita dan kanak-kanak angkara sindiket merentasi sempadan yang meraih keuntungan hasil kerosakan sistem dan kesengsaraan orang lain ini.
Masalah ini ternyata tiada nokhtahnya walaupun dengan pelaksanaan undang-undang dan pelbagai usaha yang telah dilakukan. Kenapakah demikian? Jawapannya mudah sahaja, apabila hukum Allah diketepikan daripada kehidupan dan negara, maka wujudlah kemungkaran dan kerosakan di segenap penjuru. Sistem buatan manusia yang sudah rosak dari akar-akarnya ini bukan sahaja terbukti tidak menyelesaikan masalah, malah terbukti menimbulkan lebih banyak masalah dari semasa ke semasa. Malangnya manusia tetap tidak kembali kepada hukum Allah.
Hanya dengan adanya seorang pemimpin yang bertakwa, yang menerapkan hukum Allah, yang memerintah sebuah negara (Khilafah) dan menjaga warganya dari sebarang kemudaratan, yang akan mampu menyelesaikan masalah secara tuntas. Pemimpin hari ini bukan sahaja tidak serius menyelesaikan masalah kerana mereka hanya sibuk mengumpul harta dan kuasa, malah dengan sistem kufur yang mereka terapkan, mereka tidak akan dapat menyelesaikan masalah sampai bila-bila.
Umat Islam perlu sedar hakikat ini dan berjuang untuk menggantikan sistem kufur dan pemimpin yang korup kepada sistem Islam (Khilafah) dan pemimpin yang bertakwa (Khalifah), yang Insya Allah hanya dengan cara inilah yang akan dapat menyelamatkan umat ini di dunia dan akhirat..