Pemisahan Sarawak Daripada Malaysia: Apa Yang Perlu Disedari?

Oleh : Yusuf Muhammad

Gambar Artikel 060816Pada 22 Julai yang lalu, telah diadakan sambutan “Hari Sarawak” yang julung-julung kali diadakan. Kerajaan Negeri juga telah mengisytiharkan 22 Julai setiap tahun bermula pada tahun 2016 sebagai cuti umum di negeri Sarawak untuk memperingati hari di mana Sarawak telah dibebaskan daripada pemerintahan kolonial British pada tanggal 22 Julai 1963 dan pentadbiran negeri diuruskan sendiri oleh anak Sarawak. Pada tarikh itu, Ketua Setiausaha Kerajaan telah menyerahkan kuasa eksekutif kepada kabinet baharu yang ditubuhkan pada 22 Julai oleh Tan Sri Stephen Kalong Ningkan. Antara ahli kabinet Sarawak ketika itu termasuklah Yang di-Pertua Negeri Sarawak sekarang, Tun Abdul Taib Mahmud.

Di sebalik sambutan “Hari Sarawak” mahupun ada sesetengahnya meraikan ia sebagai “Hari Kemerdekaan Sarawak”, terdapat isu yang lebih utama yang perlu diberi perhatian iaitu isu pemisahan serta tuntutan autonomi  ke atas Sarawak oleh penduduk tempatan. Suara untuk diadakan referendum (pungutan suara) untuk melakukan pemisahan daripada Malaysia semakin jelas kedengaran dari semasa ke semasa. Gerakan seperti Sarawak for Sarawakians (S4S) semakin lantang menyuarakan tuntutan mereka agar pemerintah mengadakan Referendum Rakyat untuk rakyat Sarawak menentukan nasib mereka sendiri (self-detemination), tanpa sebarang campur tangan daripada Kerajaan Persekutuan.

Gerakan yang banyak digerakkan oleh kaum Iban dan Cina ini semakin aktif beraktiviti saban tahun serta sering melakukan propaganda melalui media massa terutamanya melalui media sosial, melakukan pungutan suara, selain sering mengadakan perhimpunan serta konvoi berkenderaan dengan mengibarkan bendera rasmi Kerajaan Sarawak yang pertama iaitu dengan menggunakan bendera yang diguna pakai oleh pemerintahan terakhir Rajah Charles Vyner Brooke. Mereka mengangkat serta mengibarkan bendera ini dengan alasan ia lebih “suci” berbanding bendera Sarawak sekarang yang melambangkan “penjajahan minda” oleh kerajaan Malaysia. Malah, terdapat juga Muslim di Sarawak yang memberi sokongan dan menyertai gerakan ini atas sentimen kenegerian serta rasa tidak puas hati terhadap layanan buruk kerajaan Pusat ke atas mereka.

Isu Autonomi Sarawak Menjadi Senjata Ampuh Parti Politik di Sarawak

Sebelum Pilihanraya Negeri Sarawak yang ke-11 (PRN-11), Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem menyenaraikan 13 perkara yang dipersetujui oleh kerajaan persekutuan dalam penurunan kuasa pentadbiran kepada kerajaan negeri dalam pertemuan beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya. Melalui 13 perkara tersebut, Sarawak dijangka akan memperoleh lebih kuasa autonomi dalam pentadbiran dan mengurangkan campur tangan kerajaan Persekutuan ke atas pentadbiran Sarawak. Adenan berkata syarat penurunan kuasa pentadbiran ini telah dipersetujui dalam fasa pertama rundingan penurunan kuasa antara kerajaan Sarawak dan kerajaan persekutuan, manakala rundingan fasa kedua akan menyentuh tentang hak negeri ini (pencerobohan persekutuan terhadap kuasa negeri), dan fasa ketiga mengenai permohonan royalti minyak dan gas.

Hasil daripada rundingan ini, serta retorik sentimen kenegerian yang berulang kali dimainkan oleh Ketua Menteri Sarawak, telah membuahkah hasil semasa PRN-11 yang memihak kepada parti pemerintah, iaitu Barisan Nasional (BN). BN telah berjaya membolot 72 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan serta mampu merampas kerusi-kerusi bandar yang sebelum ini disandang oleh pembangkang. Selain daripada janji-janji melaksanakan program-program pembangunan di Sarawak, senjata “rundingan penurunan kuasa pentadbiran” ini telah menjadi senjata ampuh bagi BN Sarawak untuk mengekalkan kekuasaan. Di pihak pembangkang pula, mereka tidak akan berani melawan arus dalam isu ini kerana sekiranya mereka berbuat demikian, ia merupakan tindakan “bunuh diri”. Oleh itu, kedua-dua pihak akan memainkan sentimen yang sama, cuma bezanya mereka akan mendabik dada yang mereka lebih jaguh dalam memperjuangkan “hak-hak rakyat Sarawak”.

Kenapa Timbul Isu Pemisahan Sarawak?

Setelah 53 tahun pembentukan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, terdapat pembangunan yang tidak seimbang  antara negeri-negeri di Malaysia. Ketidakseimbangan amat ketara jika pembangunan yang dikecapi negeri-negeri di Semenanjung dibandingkan dengan Sabah dan Sarawak. Antara hujah yang dimainkan oleh golongan “penuntut hak” yang merasa terabai dan tidak mendapat nikmat setanding dengan penduduk di Semenanjung ialah mengenai isu kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, elektrik serta kemudahan kesihatan dan pendidikan. Mereka menyelar ketidakseimbangan pembangunan ini sebagai sikap double standard pemerintah Persekutuan terhadap rakyat negeri Sarawak.

Tidak dinafikan bahawa ada benarnya hujah yang dikemukakan. Sebagai contoh, perbezaan pembangunan infrastruktur amat ketara antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak sejak sekian lama. Lihat sahaja berapa banyak rumah penduduk di kawasan luar bandar di Sarawak yang masih tidak mendapat bekalan air bersih yang cukup serta kemudahan elektrik yang konsisten. Menurut data daripada Laporan Tahunan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) 2014, peratusan liputan bekalan air di kawasan luar bandar Sarawak adalah sebanyak 76.2%, berbanding di Semenanjung yang hampir semua kawasan luar bandar di setiap negeri mendapat liputan bekalan menghampiri 100%.

Tidak sekadar itu, pembahagian royalti minyak kepada Sarawak yang hanya sebanyak 5% walhal Sarawak menyumbang banyak telaga minyak kepada negara, juga menjadi hujah evergreen yang digunakan oleh golongan yang pro kepada pemisahan Sarawak daripada Malaysia. Isu ini sering ditimbulkan tatkala bercakap mengenai dana yang diperlukan untuk pembangunan kemudahan awam di Sarawak. Mereka sering membandingkan sekiranya hasil daripada minyak dan gas di Sarawak adalah 100% diperoleh oleh kerajaan negeri, pastinya ia akan memberi pulangan yang jauh lebih banyak kepada rakyat melalui program-program pembangunan oleh kerajaan.

Seperkara yang penduduk Sarawak mungkin tidak sedar ialah, dalam pada mereka menuntut royalti minyak, pada masa yang sama, hasil hutan Sarawak merupakan 100% dalam kawalan dan kelolaan kerajaan Negeri. Namun apa yang berlaku ialah, segala kekayaan hutan yang banyak, khususnya kayu balak, hanya dibolot oleh beberapa individu dalam kerajaan serta kroni-kroni mereka dan hanya sedikit disalurkan kepada pembangunan.

Apa pun, inilah antara hujah utama gerakan yang memperjuangkan pemisahan Sarawak daripada Malaysia. Selain itu, dengan pemisahan ini mereka mengharapkan kehidupan ekonomi, politik dan sosial di Sarawak akan jauh lebih baik dan bebas daripada penguasaan kerajaan Persekutuan. Pendek kata, tuntutan yang dikemukakan adalah dalam rangka menjadikan Sarawak sebagai sebuah “negara baru”.

Hukum Memisahkan Kesatuan Negeri Umat Islam

Sarawak merupakan sebahagian daripada tanah umat Islam. Pemisahan tubuh negeri umat Islam bukanlah satu perkara kecil dan ia bukanlah suatu perkara yang boleh dibuat begitu sahaja, baik melalui referendum, tekanan, perjanjian, kekerasan mahupun tindakan bersenjata. Umat Islam merupakan umattan wahidah (umat yang satu) dan negeri umat Islam ialah negeri yang satu. Tindakan memisahkan negeri umat Islam kepada serpihan-serpihan kecil merupakan suatu keharaman. Kezaliman atau ketidakadilan serta buruknya layanan pemerintah ke atas penduduk suatu negeri bukanlah alasan yang sah di sisi Islam untuk penduduk negeri tersebut memisahkan tubuh umat Islam daripada kesatuan.

Di dalam sebuah Negara Islam (Khilafah), layanan yang diberikan oleh Khalifah kepada setiap kawasan naungannya adalah sama, tanpa ada sebarang diskriminasi. Begitu juga dengan pengurusan pemilikan umum (al-milkiyah al-ammah) seperti minyak dan gas serta hasil hutan di mana kesemua hasil/keuntungan dari pemilikan umum ini akan dikembalikan kepada setiap warganegara dan bukannya dikaut oleh pemerintah atau diserahkan kepada mana-mana individu/syarikat, kerana ia adalah hak umum. Banyak hadis yang menjelaskan hal ini, antaranya,

أَنَّهُ وَفْدَ إِلَى النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- فَاسْتَقْطَعَهُ الْمِلْحَ فَقَطَعَهُ لَه فَلَمَّا أَنْ وَلَّى قَالَ رَجُلٌ مِنَ الْمَجْلِسِ : أَتَدْرِى مَا قَطَعْتَ لَهُ إِنَّمَا قَطَعْتَ لَهُ الْمَاءَ الْعِدَّ قَالَ فَانْتَزِعَ مِنْهُ

 Ia (Abyadh bin Hamal) datang kepada Rasulullah SAW meminta untuk mengelola (galian) garam. Rasul lalu memberikannya. Setelah ia pergi ada seorang lelaki yang bertanya kepada Rasul, “Wahai Rasulullah, tahukah apa yang telah engkau berikan kepadanya? Sesungguhnya engkau telah memberikannya sesuatu yang bagaikan air mengalir.” Lalu ia berkata: Kemudian Rasulullah saw. pun menarik kembali galian itu darinya” [HR Tirmizi].

Daripada hadis ini, bahan galian atau mineral yang banyak atau tidak terbatas / tidak putus sifatnya seperti petroleum, gas, emas, bijih timah dan seumpamanya tidak boleh dimilik oleh individu dan wajib dikelola oleh negara untuk kepentingan umat. Asy-Syari’ (pembuat hukum) telah mewakilkan tugas pengaturan pemilikan umum ini kepada negara, sehingga memungkinkan semua manusia untuk memanfaatkannya dan mencegah individu-individu tertentu dari memonopoli dan menguasainya. Semua itu adalah bertujuan untuk melindungi hak-hak rakyat, menjaga stabiliti kaum muslimin, serta untuk menjamin ketenangan setiap individu rakyat. Apabila pemerintah tidak mengaturnya dengan hukum syarak dan menjadikan pemilikan umum ini sebagai milik peribadi atau diberi kepada kroni-kroni mereka, maka ia bukan sahaja merupakan keharaman yang nyata, malah ia akan menyengsarakan masyarakat secara umumnya.

Umat Islam umumnya dan mereka yang tinggal di Sarawak khususnya, harus sedar akan hakikat ini dan mengambil penyelesaian yang benar. Kejahatan dan pengkhianatan pemimpin tidak sekali-kali “menghalalkan” umat Islam untuk memisahkan tubuh yang satu ini. Perpecahan wajib dielakkan dan ia mesti dielak dari awal dari awal lagi dan jangan hanya bertindak atau menyesal setelah nasi sudah menjadi bubur. Buruknya layanan ke atas penduduk sesuatu kawasan adalah kerana buruknya pemimpin dan sistem yang diterapkan dan pemisahan tubuh umat Islam bukannya jalan penyelesaian kepada masalah ini. Apa yang perlu ditukar ialah pemimpin dan sistem yang rosak tadi dan bukannya dengan mencerai-beraikan negeri umat Islam. Penduduk Sarawak hendaklah memainkan peranan yang betul dan bukannya bertindak atas kepentingan peribadi mahupun terpengaruh dengan sentimen kenegerian atau dengan gerakan yang mempunyai agenda peribadi sehingga melanggar perintah Allah dan RasulNya dalam hal kesatuan umat Islam.

Meskipun mungkin sahaja ada kesan baik yang akan diperoleh penduduk Sarawak jika berlakunya pemisahan daripada Malaysia, baik dalam aspek ekonomi, politik, sosial dan sebagainya, namun persoalan yang paling utama yang mesti diperhatikan ialah apakah hukum pemisahan negeri-negeri umat Islam, adakah ia dibenarkan oleh syarak? Pemisahan Sarawak daripada Malaysia bermakna akan wujudnya satu lagi negara baru dan munculnya seorang ketua negara baru bagi kaum Muslimin, sedangkan kewujudan lebih dari seorang ketua negara bagi umat Islam adalah haram berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

“Jika dibaiat dua orang Khalifah (sebagai Ketua Negara), maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya” [HR Muslim].

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda:

“Siapa sahaja yang datang kepada kalian, sedangkan urusan kalian terhimpun pada seorang lelaki (seorang ketua negara), lalu dia (orang yang datang itu) hendak memecah belah kesatuan kalian dan mencerai-beraikan jamaah kalian, maka bunuhlah dia” [HR Muslim].

Rasulullah SAW juga bersabda,

“Barangsiapa melihat sesuatu yang ia benci dari Amir (ketua)nya, maka hendaklah ia bersabar kerana sesungguhnya siapa sahaja yang memisahkan diri dari Jamaah (kaum Muslimin yang dipimpin oleh seorang Amir) walau sejengkal, maka tidaklah ia mati melainkan mati (dalam keadaan) jahiliah” [HR Bukhari].

Selain daripada nas di atas, ada banyak lagi nas lainnya yang dengan jelas dan tegas menunjukkan kewajipan umat untuk bersatu di bawah satu negara (Khilafah) dan di bawah seorang pemimpin (Khalifah) dan haram ke atas umat Islam memiliki lebih daripada satu negara dan lebih daripada seorang ketua negara. Perintah “bunuh” dalam hadis di atas menunjukkan betapa tegasnya larangan memisahkan negeri-negeri kaum Muslimin dan melantik lebih dari seorang ketua negara untuk umat yang mulia ini. Justeru, apa yang sepatutnya dilakukan oleh kaum Muslimin ialah mempersatukan seluruh negeri umat Islam di bawah satu payung pemerintahan iaitu Khilafah dan membaiah seorang Khalifah untuk menerapkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya, bukannya memecah-belahkan lagi negeri-negeri umat Islam yang sudah sedia terpecah belah ini.

Hapuskan Pengaruh Asing Dalam Tubuh Umat Islam

Sudah sekian lama kiblat politik Malaysia adalah kepada British, sebagai negara yang paling lama menjajah negara ini. Namun beberapa tahun kebelakangan ini, sebagaimana yang telah terjadi di banyak negeri kaum Muslimin, Amerika Syarikat kelihatan berjaya merubah arah kiblat Malaysia kepadanya dan hal ini sudah pasti tidak disenangi oleh British. Dalam konteks ini, langsung tidak mustahil bagi British, dalam usaha mengekalkan pengaruhnya, mempergunakan gerakan pemisah seperti yang ada di Sarawak ini untuk memberi tekanan kepada pemimpin Malaysia agar terus menyebelahi kepentingan British.

Sebagai negara penjajah yang berideologi, kuasa besar tersebut sudah pasti tidak akan membiarkan mana-mana negara terkeluar daripada pengaruhnya demi memastikan kepentingan politik dan ideologi mereka akan terus utuh di negara tersebut. Begitu juga dengan apa yang berlaku terhadap Malaysia. Sama ada Amerika mahupun British, pastinya masing-masing tidak akan membiarkan pesaing mereka untuk melebarkan serta menancapkan pengaruh mereka dan akan cuba menghalang sebarang cubaan kuasa besar yang lain dalam mempengaruhi negara yang sedang berada di bawah pengaruh mereka.

Penjajah memang sentiasa mahukan umat Islam, tidak kiralah di Sarawak atau di mana sahaja agar menjadi “ukui” (anjing) mereka. Umat Islam hendaklah sedar dan tidak boleh membiarkan hal ini berlaku. Dengan adanya gerakan pemisah di tubuh umat Islam, hal ini akan memberi laluan kepada penjajah untuk “menangguk di air keruh” dalam rangka menancapkan lagi dominasi mereka di tanah kaum Muslimin. “Sikap baik” berupa sokongan yang mereka tunjukkan kepada perjuangan gerakan pemisah kononnya memperjuangkan “hak” masing-masing, itu hanyalah solekan yang menyembunyikan wajah hodoh mereka.

Penduduk Sarawak tidak sepatutnya membiarkan diri menjadi seperti Pak Kaduk, yang walaupun menang, tapi kampung tergadai. Hal ini bukan sahaja merugikan mereka sendiri, malah merugikan seluruh kaum Muslimin. Malah lebih buruk, mengundang murka Allah SWT.

Wallahu a’lam.

p/s: Sebarang komen serta cadangan mengenai tulisan ini bolehlah berhubung terus dengan penulis melalui email [email protected]