Pengkhianatan Gaddafi Berakhir
TRIPOLI 22 Ogos – Selepas lebih enam bulan berlaku pemberontakan di Libya, rejim Muammar Gaddafi akhirnya tumbang setelah kumpulan pemberontak berjaya menawan hampir seluruh bandar Tripoli, tetapi nasib pemimpin Libya itu masih menjadi tanda tanya.
Anak lelaki bongsu Gaddafi, Saif al-Islam ditangkap oleh pemberontak, manakala anak lelaki sulungnya, Mohammed Al-Gaddafi yang diwawancara oleh televisyen Al-Jazeera di kediamannya dilaporkan menyerah diri, tetapi nasib anak-anaknya yang lain masih tidak diketahui.
Gaddafi menyiarkan tiga mesej audio semalam, dengan berikrar tidak akan menyerah kalah dan menyeru penduduk Tripoli supaya ‘membersihkan ibu negara’ daripada pemberontak, tetapi beliau tidak muncul di khalayak sejak beberapa minggu lalu. Satu sumber diplomatik berkata, pemimpin veteran Libya itu mungkin masih berada di kompleks kediamannya, Bab Al-Aziziyah di tengah Tripoli.
“Beliau masih berada di Tripoli dan mungkin berlindung di kediamannya di Bab Al-Aziziyah,” kata sumber yang menemui Gaddafi dalam tempoh dua minggu lalu. Pekarangan Bab Al-Aziziyah kerap dibedil sejak bermulanya campur tangan tentera antarabangsa di Libya pada 19 Mac lalu dan kebanyakan bangunan di kompleks itu sudah ranap. Namun, Gaddafi boleh berlindung di dalam kubu bawah tanah yang banyak terdapat di kompleks itu, kata sumber tersebut. – AFP
Sumber : Utusan Online, 23/08/2011
Tidak ada yang lebih baik daripada Islam
Setelah berbulan-bulan berlaku pertempuran, akhirnya rakyat Libya berjaya menewaskan rejim penguasa mereka , iaitu Muammar Gaddafi. Setelah berpuluh tahun melakukan penipuan, penindasan, kezaliman, pengkhianatan dan pembunuhan terhadap rakyatnya sendiri, kerajaan Gaddafi kini berada di ambang kemusnahan. Tumbangnya kerajaan pimpinan Gaddafi ini merupakan kesan daripada pengkhianatannya kepada umat sejak sekian lama. Kemusnahannya juga adalah akibat daripada keengganan untuk tunduk kepada kehendak barat agar mengembalikan sistem demokrasi dan hak kebebasan rakyat yang kononnya menjadi alasan sehingga menyaksikan Libya telah diserang dengan ganasnya oleh NATO( North Atlantic Treaty Organization). Ini seharusnya menjadi pengajaran kepada semua penguasa di dunia umat Islam bahawa selagi mereka tidak kembali kepada sistem Islam, maka saat kehancuran pasti akan tiba. FirmanNya:
“Khabarkanlah kepada orang-orang munafik bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih, (iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Apakah mereka mencari kemuliaan di sisi orang kafir itu? Maka sesungguhnya semua kemuliaan adalah milik Allah” [TMQ an-Nisa’ (4):138-139].
Seperti kebangkitan umat di Asia Barat, apa yang berlaku di Libya merupakan suatu yang semulajadi. Kebangkitan mereka tercetus daripada kebencian yang mendalam terhadap pelayanan pemerintah mereka yang zalim. Ia bukan sahaja zalim dari segi tidak menunaikan kewajipan yang sepatutnya mereka laksanakan ke atas rakyat, tetapi ia juga lahir daripada kesedaran untuk hidup di dalam negara yang lebih baik. Ini merupakan suatu yang tabii bagi manusia kerana sudah semestinya mereka mendambakan kehidupan dalam lingkungan yang lebih sejahtera serta segala keperluan dan kebajikan mereka diurus dengan baik oleh pemerintah. Lebih penting lagi, kehidupan mereka wajib diurus dengan Islam. FirmanNya lagi:
“Maka jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara maka kembalikan ia kepada Allah (Al-Quran) dan ar-Rasul (As-Sunnah) jika benar kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhir.” [TMQ An-Nisa’ (4): 59]
Jadi, apa yang penting ialah bukan siapa yang menggantikan rejim Gaddafi tetapi apakah sistem dan hukum yang akan dilaksanakan kelak apabila kerajaan baru ditubuhkan. Adakah Libya akan terus berada di bawah telunjuk barat? Sesungguhnya titisan darah mulia para syuhada di Libya sepatutnya mengalir ke dalam bekas yang suci iaitu perjuangan menumbangkan rejim Gaddafi dan menggantikan dengan Negara Islam dan bukan yang lain.