Penswastaan Air Memudaratkan Rakyat

syabasKrisis air di Lembah Klang terutamanya di kawasan Ampang dan Cheras dijangka akan berterusan sehingga ke perayaan Tahun Baru Cina pada bulan Februari ini. Pelbagai sebab dan punca diberitakan di media massa berkenaan masalah bekalan air yang menimpa Selangor dan juga beberapa kawasan di Kuala Lumpur. Dalam kemelut yang melanda ini, kerajaan negeri Selangor menyalahkan Syabas kerana gagal melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dengan baik terhadap kelima-lima pam yang dikatakan telah rosak. Bahkan situasi ini digunakan oleh kerajaan negeri untuk menempelak Syabas sebagai salah satu kroni kepada UMNO.

Kerajaan pusat tidak berdiam diri dalam perkara ini. Seperti yang diduga, mereka menyalahkan kerajaan negeri Selangor kerana gagal mentadbir dengan baik. Mereka sentiasa mengaitkan masalah ini dengan kegagalan untuk merealisasikan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2). Mengikut undang-undang kufur yang sedia ada, segala perjanjian konsesi air, tanggungjawab untuk menjaga kebersihan sungai dan kawasan tadahan air; kuasa untuk memberikan kelulusan kepada operator rawatan atau bekalan air untuk membina rumah pam baharu, membaiki dan menaik taraf loji dan rumah-rumah pam yang rosak dan uzur, serta segala yang berkaitan dengannya adalah terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Di sebalik tuding menuding antara kedua-dua pihak berkenaan isu yang merugikan rakyat ini, kita dapat melihat bahawa kedua-dua pihak para penguasa tidak menyediakan penyelesaian yang benar bagi menyelesaikan isu ini. Sehingga kini, masih ramai penduduk yang tidak mendapat bekalan air daripada lori-lori air seperti yang dijanjikan oleh Syabas. Bahkan kalau ada sekalipun, bekalan air tersebut hanya datang beberapa kali dan bergantung kepada aduan daripada orang ramai.

Sesungguhnya masalah air yang terjadi ini haruslah dikembalikan kepada punca berlakunya masalah ini:

Pertama,
penswastaan terhadap agensi-agensi kerajaan tertentu (seperti Syabas dan lain-lain) adalah satu keharaman di sisi Islam di samping merugikan rakyat. Ini adalah kerana projek penswastaan agensi atau badan kerajaan yang digagaskan oleh Mahathir Mohamed ini telah terbukti kegagalannya dan telah melahirkan syarikat-syarikat yang memonopoli aset tertentu yang seharusnya dimiliki oleh rakyat. Sumber utama air sesuatu negeri adalah termasuk dalam kategori kepemilikan umum (milik umat) yang tidak boleh diniagakan, apatah lagi untuk dimonopoli atau untuk dijadikan hakmilik individu mahupun syarikat tertentu. Negara wajib untuk mengelola pengurusan air ini supaya ia dapat diagihkan kepada umat secara adil. Berdasarkan hadis daripada Ibnu Abbas r.a, bahawa Nabi SAW bersabda:

“Kaum Muslimin itu bersyarikat (berkongsi) dalam tiga perkara, iaitu air, padang ragut dan api” [HR Abu Daud].

Anas r.a pula meriwayatkan hadis yang sama dengan tambahan “wa tsamanuhu haram” (“dan mengambil harga daripadanya adalah haram”).

Ibnu Majah juga meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi SAW bersabda:

“Tiga perkara yang tidak akan pernah dilarang (daripada manusia untuk memanfaatkannya) adalah air, padang ragut dan api” [HR Ibnu Majah].

air
Kedua,
punca lain masalah air ini berlaku adalah kerana penerapan sistem federalisasi (persekutuan) tinggalan penjajah yang diamalkan oleh kerajaan Malaysia. Konsep pembahagian kuasa antara pusat dan negeri ini ternyata sangat lemah dari aspek teori dan praktikalnya dalam menguruskan seluruh kemaslahatan rakyat. Malah ia sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam. Maka tidak hairanlah jika kerajaan pusat dan negeri saling mencari-cari dan menuding kesalahan satu sama lain, pada waktu yang sama rakyat terus menjadi mangsa dan tersepit di antara kedua-duanya. Seluruh urusan rakyat adalah tanggungjawab para penguasa dan kelak mereka akan dipersoal dan diminta untuk dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT pada hari akhirat. Sabda Rasulullah SAW:

“Ingatlah, setiap kamu adalah penggembala (pemelihara/penjaga) dan akan diminta pertanggungjawaban atas gembalaannya. Setiap pemimpin adalah pemelihara (rakyatnya) dan akan diminta pertanggungjawaban atas pemeliharaannya…” [HR Tirmidzi, Juz 3, Hadits 1757].

Sesungguhnya penyelesaian kepada masalah ini haruslah dikembalikan kepada beberapa perkara:

Pertama, masalah air yang berlaku ini perlulah diselesaikan dengan kadar yang segera oleh kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat. Ia melibatkan kemaslahatan umat yang boleh mendatangkan kemudaratan kerana air adalah sumber utama kehidupan.

Kedua, pihak Syabas perlulah membekalkan air dengan segenap kemampuan dan semaksimum yang mungkin untuk membekalkan air ke seluruh kawasan yang terlibat masalah air dengan kadar mencukupi. Jika ia gagal, kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat harus mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab tersebut.

Ketiga, penyelesaian yang paling utama dalam krisis air ini adalah kerana tidak diterapkan sistem Islam secara kaffah. Sistem federal yang diamalkan oleh Malaysia telah menjadikan setiap negeri di Malaysia berada dalam keadaan ‘double standard’ antara satu sama lain. Misalnya kualiti air di Kuala Lumpur tidak sama dengan kualiti dan prasarana yang ada di Kelantan. Justeru, melalui penerapan Sistem Khilafah Islamiyyah, seluruh wilayah dan negeri umat Islam akan berada di dalam satu kesatuan pemerintahan dan ini akan menjamin kesejahteraan dan keadilan sejagat melalui penerapan seluruh hukum-hakam Islam secara benar.

“Dan sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertaqwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, akan tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), maka Kami timpakan kepada mereka seksaan disebabkan apa yang telah mereka  kerjakan.” [TMQ al-A’raf (7): 96]