Peraduan Celcom haram? Kerajaan terap hukum kufur macamana?

Jakim arah Celcom henti sementara peraduan

PUTRAJAYA: Panel Kajian Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta Celcom (Malaysia) Bhd menghentikan sementara peraduan ‘100 Hari 100 Kereta’ sehingga keputusan muktamad sama ada ia menyalahi hukum syarak atau tidak, dibuat pada 17 Jun ini.

Pengerusinya, yang juga Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad, berkata pemberhentian itu wajar, sementara panel berkenaan meneliti terma dan syarat peraduan yang dikemukakan Celcom.

Mesyuarat selama hampir empat jam yang dihadiri 13 ahli panel itu petang semalam gagal mencapai kata sepakat berhubung beberapa terma dan syarat peraduan berkenaan kerana masih memerlukan penelitian lanjut.

“Panel berpuas hati kerana Celcom memberi kerjasama baik dalam menjelaskan berhubung terma dan syarat serta proses peraduan itu. Namun, tempoh yang singkat menyebabkan ahli panel tidak dapat meneliti dengan mendalam terma dan syarat yang dikemukakan.

“Justeru, panel memutuskan keputusan mengenainya perlu ditangguh dan Jakim selaku urus setia akan berbincang dengan Celcom sebelum kedua-dua pihak berjumpa Selasa depan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat panel itu.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Anan C Mohd; Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Seri Shazalli Ramly; Penasihat Kanan Bahagian Undang-Undang Celcom, Jalaluddin Mokhtar dan Naib Presiden Kanan Pemasaran Celcom, Zalman Aefendy Zainal Abidin.

Peraduan anjuran Celcom yang berlangsung sejak 2 Jun lalu itu menawarkan 100 unit Toyota Camry 2.0E 1AZ-FE setiap hari selama 100 hari berturut-turut kepada pelanggan pasca bayar dan pra bayarnya.

Bagi memenangi hadiah itu, pelanggan Celcom hanya perlu menaip kata kunci CARS dan hantar melalui SMS ke nombor 22222. Pelanggan yang dapat menjawab soalan dengan tepat diberi mata dan berpeluang dipilih sebagai pemenang.

Peserta dengan mata tertinggi juga berpeluang memenangi sebuah Toyota Camry pada hujung minggu dan setiap jawapan yang dihantar akan dikenakan bayaran RM5.

Shazalli ketika ditemui berkata, pihaknya akan akur dengan keputusan panel berkenaan pada 17 Jun ini.

Sumber: Berita Harian 11/06/08

Ulasan:

Inilah kehebatan pelaksanaan syariah di Malaysia. Kalau fasal peraduan SMS, cerai SMS, suara azan atau ayat al-Quran sebagai nada dering telefon bimbit dan seumpamanya, Jakim sanggup mengerahkan semua orang besar mereka dan bermesyuarat berjam-jam untuk memutuskan kehalalan atau keharaman perkara tersebut. Tak cukup sehari, seminggu, dan kalau tak cukup seminggu, maka sebulan mesyuarat akan di adakan bagi memutuskan perkara tersebut. Baguslah sikap prihatin yang ditunjukkan oleh Jakim ini.

Alangkah bagusnya jika Jakim bermesyuarat dan mengeluarkan fatwa bahawa sistem perbankan yang ada di negara ini adalah haram kerana semuanya melibatkan riba. Alangkah baiknya jika Jakim bermesyuarat dan mengeluarkan fatwa bahawa haram bagi kerajaan sekarang menerapkan hukum kufur yang jelas-jelas bertentangan dengan Quran dan Sunah. Alangkah bagusnya jika Jakim bermesyuarat dan mengeluarkan fatwa bahawa haram bagi kerajaan menaikkan harga minyak kerana minyak adalah milik umat yang sepatutnya diberi secara percuma. Alangkah mulianya jika Jakim melakukan semua ini.

Apakah Jakim akan melakukan semua ini? Apakah Jakim berani mengeluarkan fatwa mengharamkan banyak tindakan kerajaan yang jelas-jelas bertentangan dengan Islam? Mungkin jika Jakim berani melakukan semua perkara ini, ini adalah satu lagi tanda yang Kiamat sudah dekat…atau sebenarnya Jakim takkan berani melakukannya hingga Kiamat sekalipun! Beginilah keadaannya jika seseorang itu bekerja untuk dunia, bukan untuk akhirat, periuk nasi mestilah dijaga. Beginilah keadaannya jika seseorang itu bekerja untuk mendapat redha manusia, bukan redha Allah.