Perenang Selat Inggeris Tertipu

Kuala Lumpur: Tujuh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk perenang solo, Estino Taniyu berjaya menawan Selat Inggeris, malam tadi. Estino, 24, anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Semporna, Sabah yang memulakan renangan jam 1.41 pagi waktu tempatan (8.41 pagi waktu Malaysia) dari Dover, United Kingdom ke Pantai Sandy, Calais di Perancis mengambil masa 13 jam 41 minit dan 45 saat.

Peserta dari Tentera Darat Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan TLDM menyertai Program Ekspedisi Renangan Perpaduan Selat Inggeris 1Malaysia anjuran Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7BM) itu dinaungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles, berkata Estino, adalah rakyat Malaysia kedua berjaya takluk Selat Inggeris dengan berenang secara terbuka, selepas Lennard Lee berjaya mencatatkan nama pada 2004. Datuk Malek Mydin menakluki Selat Inggeris pada Ogos 2003. “Enam perenang yang berjaya menamatkan renangan pula adalah kumpulan pertama rakyat Malaysia menawan Selat Inggeris [1].
 
Kejayaan mereka berenang merentasi Selat Inggeris itu menggambarkan bahawa orang-orang melayu mampu melakukan apa sahaja jika mereka mahu. Tetapi sayang, kekuatan dan kesungguhan mereka itu telah dipergunakan untuk suatu tujuan yang sia-sia. Memanglah  mereka akan kembali dan disambut dengan meriah sambil dilabel sebagai hero kerana mengharumkan nama negara tetapi apakah ini boleh dianggap sebagai suatu pencapaian sedangkan pada masa yang sama Malaysia masih bergelut dengan pelbagai masalah sosial, ekonomi dan politik manakala umat Islam di kebanyakan tempat di dunia masih sengsara akibat kezaliman, penjajahan, pencerobohan dan peperangan? Apakah kejayaan sebenarnya daripada perspektif Islam?

Berenang adalah suatu aktiviti yang sangat dianjurkan oleh Islam. Daulah Islamiyyah, khususnya Daulah Uthmaniyyah memiliki tentera laut yang terkuat di perairan Mediterranean pada suatu ketika dahulu selama beberapa ratus tahun dan turut ditakuti oleh tentera musuh, maka tidak hairanlah mereka juga memiliki perenang-perenang yang cekap lagi berdisiplin dalam armada mereka.
 
Tetapi, berenang merentasi Selat Inggeris tidak boleh disamakan dengan peristiwa dimana tentera Thariq bin Ziyad yang merentasi Selat Gibraltar dari Afrika Utara dan singgah di semenanjung Iberian (Sepanyol dan Portugal) tepat 1300 tahun dahulu yakni pada tahun 711 Masehi dan seterusnya membuka wilayah Sepanyol. Jika ada pihak yang menyangka dengan berenang dan menyeberangi Selat Inggeris itu dianggap telah “menawan” dan “menakluk” selat tersebut dan akan membawa kepada ketundukan British kepada kepada orang-orang Islam di Malaysia sebagaimana Thariq bin Ziyad melakukannya terhadap semenanjung Iberian, maka itu adalah angan-angan kosong semata-mata.
 
Panglima Thariq bin Ziyad yang pada usianya belasan tahun telah merentasi Selat Gibraltar sambil membakar kesemua kapal-kapal mereka setelah tiba di semenanjung Iberian, sebab mereka tidak ingin kembali ke Afrika Utara, dan tentera Islam pimpinan Thariq bin Ziyad pada masa itu hanya mahukan kemenangan di dalam peperangan atau mati syahid. Kemenangan tentera Thariq bin Ziyad mengalahkan musuh merupakan detik permulaan penguasaan Islam di Portugal dan Sepanyol (Andalusia) di bawah Kekhilafahan Umayyah, yang telah menyaksikan Andalusia menjadi lampu penyuluh kepada seluruh benua Eropah yang masih berada pada zaman kegelapan pada ketika itu. Selama beberapa ratus tahun Andalusia merupakan wilayah yang terkaya di Eropah, menjadi pusat peradaban, pusat perdagangan dan gedung ilmu pengetahuan dengan universiti-universiti terkemuka menjadi tumpuan ahli ilmuan dari pelbagai negara. Setelah tamatnya kekuasaan Islam di Andalusia pada tahun 1492, bagaimanakah keadaan Sepanyol dan Portugal pada hari ini? Kedua-dua negara tersebut masih bergelut dengan krisis hutang Eurozon dan mengalami masalah pengangguran. Kedua-dua negara telah jatuh miskin. Sehinggakan sebuah wilayah di barat-laut Sepanyol iaitu Catalunia dengan ibu negaranya Barcelona, telah mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran untuk keluar daripada kekuasaan Sepanyol untuk merdeka disebabkan oleh masalah ekonomi yang melanda Sepanyol [3].
 
InsyaAllah Islam akan kembali ke wilayah Andalusia suatu hari nanti.
 
Wa Allahu A’lam.
 
Rujukan (diakses pada 22 Sep 2012):
1.    bharian.com
2.    ethiomedia.com
3.    aljazeera.com