Perkahwinan; Menghalalkan Yang Haram

Penulis: Syafinaz Safar

Perkahwinan ialah sebuah ikatan yang suci dan diberkati oleh Allah SWT. Keberkatan dan kesucian ini lahir daripada sebuah perjanjian atau akad yang diwajibkan semasa proses pernikahan. Perkahwinan yang melengkapkan keimanan seseorang ini diharapkan dapat memberikan mawaddah, sakinah dan rahmat kepada suami dan isteri sepanjang hidup mereka.

Manusia diciptakan dengan potensi kehidupan (atthaqah al-hayawiyah) yang menjadi keperluan hidup dan perlu dilestarikan dengan sebaiknya. Potensi hidup manusia ini ada dua jenis iaitu gharizah atau naluri semulajadi dan keperluan jasmani. Terdapat tiga gharizah yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk setiap manusia, iaitu gharizah tadayyun (naluri mengesakan sesuatu), gharizah baqa’ (naluri mempertahankan diri) dan gharizah nau’ (naluri berkasih sayang). Dalam Islam, semua gharizah ini perlu dijaga dengan cara yang makruf. Selain itu, keperluan jasmani juga wajib dipenuhi seperti makan, minum, membuang hajat dan lain-lain untuk menjaga kesihatan fizikal dan mental seseorang. Beza antara gharizah dan keperluan jasamani ialah gharizah  wujud apabila terdapat rangsangan daripada luar sedangkan keperluan jasmani perlu dipenuhi akibat dari pengaruh kerja organ tubuh manusia.

Melalui rangsangan dari luar dan pemikiran yang ada, maka gharizah akan terwujud dan menuntut kepada pemenuhan atau perlu direalisasikan. Begitu juga dengan gharizah nau’. Oleh itu, perkahwinan merupakan satu-satunya jalan yang diredhai oleh Allah SWT bagi merealisasikan gharizah nau’ antara lelaki dan wanita. Walau bagaimanapun, perkahwinan bukanlah satu-satunya bukti kewujudan gharizah nau’ kerana ia juga boleh dizahirkan melalui hubungan kekeluargaan dan persaudaraan.

Perkahwinan adalah hubungan asas dalam setiap hubungan kekeluargaan. Ia merupakan pertemuan antara unsur kelelakian (az-zukurah/maskulin) dengan unsur kewanitaan (al-unuthah/feminin). Penting untuk mengatur pertemuan atau interaksi antara dua jenis kelamin ini dengan cara yang khusus, supaya keturunan yang terhasil daripada hubungan tersebut adalah sah  dan bukan daripada jalan yang diharamkan seperti penzinaan. Hanya dengan perkahwinan yang sah, sebuah keluarga dapat terbentuk dan spesies manusia dapat berkembang dan seterusnya menjadi kebanggaan Nabi Muhammad SAW kerana ramainya umat Baginda nanti. Sabda Baginda SAW,

تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمُ الْأُمَمَ

Ertinya: “Kahwinilah kamu akan wanita yang penyayang, subur kerana aku merasa bangga dengan memiliki umat yang banyak.” [HR Abu Daud no.1050]

Islam sangat menganjurkan perkahwinan, kerana ia adalah satu-satunya cara untuk melestarikan atau menzahirkan gharizah nau’ dengan mendapat keredhaan Allah SWT. Rasulullah SAW sangat menggalakkan umatnya untuk berkahwin. Sabdanya:

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

Ertinya: “Wahai para pemuda, barang siapa yang memiliki kemampuan, maka menikahlah. Kerana itu lebih akan menundukkan pandangan dan lebih menjaga kemaluan. Barang siapa yang belum mampu, maka berpuasalah kerana puasa itu bagai ubat pengekang baginya.” [HR. Bukhari no. 5065 dan Muslim no. 1400]

Selain itu, Baginda SAW turut menyatakan bahawa Allah SWT pasti akan menolong mereka yang mahu menikah untuk menjaga kehormatan diri. Baginda SAW bersabda:

ثَلَاثٌ كُلُّهُمْ حَقٌّ عَلَى اللهِ عَوْنُهُ: الْمُجَاهِدُ فِي سَبِيلِ اللهِ، وَالنَّاكِحُ الْمُسْتَعْفِفُ، وَالْمُكَاتَبُ يُرِيدُ الْأَدَاءَ

Ertinya:”Ada tiga kelompok manusia yang pasti ditolong oleh Allah: (1) mujahid di jalan Allah; (2) pemuda yang menikah untuk menjaga kehormatan diri; dan (3) budak yang berusaha memerdekakan diri (agar lebih leluasa beribadah).” [HR. Ahmad no. 7416].

Oleh yang demikian, bagi memenuhi keperluan gharizah nau’  antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram hanyalah dengan melalui perkahwinan yang diredhai oleh Allah SWT. Allah telah menghalalkan alat kelamin kedua jantina tersebut melalui jalan pernikahan. Melalui perkahwinan, umat manusia akan berkembang dan naluri ini boleh dizahirkan lagi kepada hubungan yang lebih banyak seperti hubungan ibu bapa dengan anaknya dan hubungan persaudaraan.

Wallahua’lam.