Pertandingan Ratu Cantik Palestin Cetuskan Kontroversi
Ma’an – Pengumuman sebuah syarikat milik Palestin mengenai Pertandingan Ratu Cantik Palestin yang bakal diadakan buat julung kalinya di negara itu telah mencetuskan kontroversi di kalangan segolongan masyarakat yang memandangnya sebagai bertentangan dengan ajaran Islam.
Pengarah salah sebuah syarikat fesyen, Trip Fashion Company, Salwa Yousef menjelaskan bahawa pertandingan itu akan melibatkan golongan remaja wanita dari daerah Tebing Barat dan penduduk Palestin yang tinggal di Israel. Beliau turut menyatakan, agak mustahil untuk golongan wanita di Gaza menyertai pertandingan itu disebabkan krisis politik dalaman Palestin dan sekatan pihak Israel keatas Semenanjung itu.
Salwa turut menjelaskan bahawa syarikat itu telah memilih 85 orang remaja wanita berumur antara 18 ke 22 tahun, dari 200 orang yang memohon untuk menyertai pertandingan itu. Pemilihan Ratu Cantik Palestin akan diadakan pada 26 Disember ini. Pemenang gelaran itu bakal menerima 10,000 shekels Israel (RM 8,900) dan peluang melancong selama sepuluh hari ke Turki.
Menurut beliau lagi, setiap peserta akan memperagakan empat jenis pakaian dan syarikatnya telah mengecualikan secara khusus pertandingan pakaian renang bagi menghormati sebahagian besar masyarakat Palestin.
Projek ini mendapat sokongan dari Pihak Berkuasa Palestin dan para pegawai dari Kementerian Kebudayaan dan Maklumat akan turut membantu menjadi juri pertandingan itu, tambah Salwa. Para peserta akan dihakimi berdasarkan tahap pendidikan, perwatakan dan kecantikan mereka.
Ahli-ahli politik Islam telah berkumpul untuk mengutuk pertandingan ratu cantik itu. Seorang ahli Badan Berkanun Palestin dari Nablus, Sheikh Hamed Al-Beitawi telah mengeluarkan satu kenyataan yang menegaskan bahawa pertandingan itu adalah satu bentuk pencemaran ke atas tradisi dan kebudayaan masyarakat Palestin.
Gerakan Islam bersuara lantang, Hizbut Tahrir Palestin mengatakan bahawa pertandingan seperti itu telah menjadikan golongan wanita seakan-akan barang dagangan yang boleh dijual-beli sesuka hati. Di dalam kenyataan mereka, gerakan ini turut menegaskan bahawa acara itu adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan satu penghinaan ke atas martabat dan maruah golongan wanita.
Kementerian Pendidikan Kerajaan Hamas di Gaza juga mengeluarkan kenyataan yang mengatakan acara pertandingan sebegitu adalah sesuatu yang bertentangan dengan tradisi.
Sumber: Khilafah.com 14/12/2009