Pertumbuhan Ekonomi Kapitalis Yang Tidak Bermakna

KUALA LUMPUR 20 Mac – Ekonomi Malaysia dijangka berkembang kukuh sekitar 5.0 hingga 6.0 peratus tahun ini, dikatakan mengalami pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus pada 2012. Ini dinyatakan oleh Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz semasa Taklimat Media Laporan Tahunan 2012 dan Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2012.
 
Beliau juga mengatakan bahawa kedudukan kewangan Bank Negara dikatakan kukuh dengan aset keseluruhan berjumlah RM476.3 bilion, manakala keuntungan bersih direkodkan sebanyak RM5.6 bilion bagi tahun kewangan 31 Disember 2012. Bank pusat itu juga turut membuat pembayaran dividen sebanyak RM1.5 bilion kepada kerajaan tahun lalu.

Apakah sebenarnya makna di sebalik angka-angka ini kepada kita? Pergerakan ekonomi kapitalis telah disaksikan oleh dunia dengan kitaran naik turunnya yang menjadi darah daging sistem yang berumur 200 tahun lebih ini. Tugas penganalisis ekonomi kapitalis adalah untuk meramalkan bilakah akan berlakunya ‘kemakmuran’ atau pengambangan (boom) dan bilakah belon akan meletup (burst) atau merudum. Jika berlaku kenaikan, berapa banyakkah keuntungan yang boleh dijana oleh pelabur. Manakala jika ia menurun, berapakah kerugian bakal ditanggung dan kemudian media akan melaporkan betapa dahsyatnya malapetaka ini sepertimana dahsyatnya melaporkan berita berkenaan gempa bumi atau ribut taufan.

Kapitalis tidak dapat berbangga dengan sumbangan peningkatan ekonomi yang pesat dalam 100 tahunnya yang terakhir ini kerana secara realitinya, sebahagian besar kekeyaan dunia ini dibolot dan dimiliki oleh sebahagian kecil manusia kaya. Kajian yang dilakukan oleh World Institute for Development Economics Research mendapati bahawa 1 peratus orang kaya memiliki 40 peratus kekayaan dunia. Tiga orang terkaya dunia memiliki kekayaan yang menyamai 48 negara termiskin di dunia. Apakah yang dapat dibanggakan jika 2.5 billion penduduk dunia hidup di bawah paras kemiskinan dengan pendapatan di bawah 2 USD sehari?
 
Di Malaysia, berdasarkan tinjauan yang telah dilakukan, 44.2 peratus penduduk isi rumah mendapat kurang daripada RM2,500 sebulan dan hanya mewakili 14 peratus daripada kekayaan ekonomi negara. Menurut Laporan Indikator Pembangunan Dunia yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, 20 peratus rakyat Malaysia menguasai 51.5 peratus kekayaan negara, manakala 80 peratus lagi berkongsi 48.5 peratus kekayaan negara. Dalam 20% ini, terdapat 40 individu terkaya yang memiliki harta sejumlah RM192 billion.

Secara teorinya, ekonomi kapitalis akan berfungsi dan menjalankan operasi sepenuhnya melalui pasaran bebas. Tetapi untuk mengekang krisis ekonomi, adalah mustahil jika ia dapat dilakukan tanpa sebarang campurtangan kerajaan. Di sini, ekonomi kapitalis ini telah melakukan kesalahan dan percanggahan dari segi teorinya. Penerapan sistem kapitalis yang tulen akan memberi kemudaratan yang sangat dahsyat kepada masyarakat, tetapi kemakmuran kepada para pemilik modal. Untuk mengekang rusuhan atau kebangkitan rakyat yang tertindas, maka kerajaan terpaksa bertindak melakukan tampalan kepada kudis kekal supaya dapat melambatkan proses pembusukan sebelum anggota badan tersebut dipotong jika berlakunya krisis.

Islam telah didatangkan oleh Allah SWT melalui sistem Khilafah yang dilengkapi dengan sistem ekonomi yang tersendiri yang tidak akan mencipta masalah jurang ekonomi kaya dan miskin yang terlalu dahsyat sepertimana hari ini. Islam juga mewajibkan supaya kitaran kekayaan berlaku kepada seluruh anggota masyarakat dan mencegah daripada berlakunya kitaran kekayaan yang hanya berlegar-legar terhadap segolongan manusia sahaja, sepertimana yang ditegaskan oleh Allah dalam firmanNya:
 

كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاء مِنكُمْ
“…Supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu…” [TMQ Al-Hasyr (59): 7]

Sumber : www.utusan.com.my, 21/03/13