Pesta Lesbian
Difahamkan, parti pramerdeka untuk pasangan lesbian dan gay dari sekitar ibu kota itu dianjurkan bagi membolehkan golongan terbabit berkumpul dan berpesta sesama mereka.
Sebaik parti bermula, penganjur memaklumkan acara berkenaan bertujuan membolehkan golongan homoseks terdiri daripada lesbian dan gay menzahirkan perasaan diri mereka ‘merdeka’ dan berbangga kerana menjadi pengamal budaya songsang itu. Komuniti lesbian terbabit dipercayai bergerak melalui laman sembang di Internet serta mempunyai laman web sendiri untuk berbincang perihal aktiviti harian. Berdasarkan pemerhatian, parti liar itu bermula lewat petang dan kemeriahannya mula terasa selepas jam 10.30 malam dengan lebih 30 wanita yang bercampur-baur tanpa mengira kaum dan agama, menari di pentas tarian sambil disinari pancaran lampu berwarna-warni dengan DJ memutarkan pelbagai lagu terkini. Walaupun parti berkenaan dianjurkan komuniti lesbian, golongan gay dan biseks juga dialu-alukan menyertainya. Semakin lama muzik dialunkan, semakin ramai golongan lesbian dan beberapa pasangan gay menggayakan tarian seksi dan mengghairahkan. Turut dilihat beberapa pasangan songsang yang duduk di tepi kolam renang bermesra dan bercumbu dengan pasangan masing-masing tanpa menghiraukan orang lain di sekeliling. Bagaikan ‘Mat Salih’, remaja Melayu terbabit tanpa segan silu mengusung botol atau tin bir atau bekas minuman dipercayai berisi campuran minuman ringan dan arak. Pada masa sama, sungguh menjijikkan melihat aksi beberapa wanita Melayu menari ‘berkepit’ dengan pasangan wanita mereka dalam keadaan amat mengghairahkan. Seorang lesbian ditemui di parti berkenaan dikenali sebagai Tina, berusia 20-an, mengakui parti seumpama itu kerap dianjurkan komuniti seks songsang itu untuk meraikan perayaan tertentu termasuk Hari Merdeka dan Tahun Baru. “Parti ini untuk kaum sejenis berhibur, menari, minum arak serta melayan nafsu masing-masing secara terbuka. “Merdeka bagi kami (lesbian) adalah bangga dengan naluri seks yang menyukai rakan sejantina dan tidak menerima lelaki sebagai pasangan hidup,” katanya bangga. Tina berkata, jika menyertai parti seperti itu, golongan yang sering dikeji masyarakat seperti dirinya berasa diri diterima semua sebahagian lagi masyarakat. “Dalam parti itu, kami bebas buat apa saja,” katanya tersenyum.
Sumber : Harian Metro: 13/08/09
Pelaku Maksiat Begitu Berani! Di manakah Sikap Peduli Pemerintah Kita Hari Ini?
Paparan berita di atas sepatutnya mengingatkan pemerintah bahawa inilah masyarakat yang lahir dari sistem kufur demokrasi yang telah diterapkan selama lebih 50 tahun lamanya. Inilah sebahagian dari buah yang rosak hasil dari pokok Kapitalisme yang ditanam dan pertahankan sehingga kini. Apakah kalian wahai pemerintah tidak merasakan berdosa dengan kemaksiatan yang secara terbuka dilakukan dengan tanpa rasa takut dan bersalah oleh rakyat yang berada di bawah kekuasaan kalian saat ini? Di manakah keimanan dan ketakwaan kalian wahai para pemimpin umat Islam! Mengapakah perkara ini boleh berlaku? Mengapakah kalian wahai para penguasa umat Islam membiarkan majlis-majlis dan tempat-tempat maksiat seperti ini di sana-sini? Apakah kalian lebih takut dengan ancaman manusia yang juga merupakan mahkluk Allah SWT yang sama seperti kamu, lebih daripada ancaman azab dan siksaan dari Allah SWT? Individu dan masyarakat secara umumnya saat ini tidak merasa takut untuk melakukan perkara-perkara maksiat secara terang-terangan. Dalam sistem hari ini, kalaupun mereka ditangkap hukuman yang dijatuhkan itu langsung tidak menggerunkan pelaku kesalahan tersebut. Akibatnya kemaksiatan terus menular. Inilah kesan tiadanya kehidupan dan roh Islam dalam hidup individu, masyarakat dan lebih-lebih lagi kehidupan bernegara saat ini. Hakikatnya hari ini sistem sosial Islam dinafikan dan digantikan dengan kehidupan yang mengagung-agungkan kebebasan bertingkah laku yang berasal dari sistem sekular demokrasi yang tertancap dengan kuatnya dalam kehidupan hari ini. Sistem ‘uqubat (hukuman) Islam pula digantikan dengan sistem kehakiman pengadilan kufur.
Sedarlah wahai para penguasa umat Islam! Adalah menjadi kewajiban bagi kalian untuk menerapkan Islam secara kaffah dalam kehidupan ini termasuklah menerapkan sistem sosial dan ‘uqubat Islam. Renungilah sabda Rasulullah SAW ini yang maksudnya “”Dari Abdullah bin Umar ra katanya: Rasulullah saw datang berjumpa kami lalu baginda menyampaikan ucapannya: “ Wahai kaum Muhajirin! Lima perkara, aku memohon perlindungan dengan Allah SWT semoga tidak sempat menimpa kamu; Tidak merebaknya perlakuan terkutuk ( zina ) dalam sesuatu bangsa sehingga mereka melakukannya secara terang-terangan melainkan merebak jualah taun dan wabak penyakit yang belum pernah berlaku kepada manusia terdahulu. Tidaklah mereka mengurangkan sukatan dan timbangan melainkan mereka dihukum dengan kemarau panjang, kesempitan hidup dan kezaliman pemerintah. Tidak mereka menahan harta mereka dari mengeluarkan zakat melainkan mereka ditahan dari mendapat hujan dari langit. Kalau tidak kerana binatang ternak, pasti mereka tidak mendapat hujan. Tidaklah mereka membatalkan perjanjian Allah dan perjanjian RasulNya melainkan Allah menjadikan musuh dari kalangan orang luar menguasai (dan memerintahkan) mereka dan merampas sebahagian hak mereka. Tidaklah pemerintah-pemerintah di kalangan mereka memerintah tanpa berpandukan kitab Allah dan memilih-milih dalam melaksanakan perkara yang telah diperturunkan oleh Allah, melainkan Allah menjadikan kemusnahan mereka berlaku (kerana perbalahan) sesama mereka. “