Pilihan raya dalam demokrasi tidak menambah kecuali kebencian dan permusuhan

Gambar UL 280415Sebagaimana yang kami selalu tekankan dan umum mengetahuinya, caci-mencaci, maki-hamun, fitnah, merendah-rendahkan, menghambur kata-kata kesat hinggalah sampai ke tahap pergaduhan dan kecederaan fizikal merupakan lumrah dalam setiap pilihan raya dalam sistem demokrasi. Malah sejarah mencatat yang pembunuhan turut pernah terjadi tatkala kempen pilihan raya di Malaysia. Hal ini berlaku di seluruh penjuru dunia Islam yang mengamalkan demokrasi dan Malaysia tidak terkecuali.

Terbaru, PRK Rompin menyaksikan dua orang menyerang bilik gerakan PAS sehingga menyebabkan pergaduhan dan kedua mereka ditahan oleh polis dan disahkan positif dadah. Walaupun insiden ini dilihat sebagai kecil sahaja dan merupakan asam garam dalam sesebuah pilihan raya, namun di sisi Islam ini merupakan satu perbuatan dosa dan tidak boleh dianggap remeh. Pergaduhan, apatah lagi jika berlaku sesama Muslim bukanlah hal yang boleh dibiarkan begitu sahaja dalam Islam. Islam malah tidak membenarkan seseorang Muslim untuk tidak bercakap (kerana perselisihan faham dan seumpamanya) dengan saudaranya lebih dari 3 hari. Lebih jauh, Islam malah mengharamkan seseorang Muslim menyakiti hati saudaranya. Itu baru sakitkan hati atau selisih faham, apatah lagi kalau hingga melibatkan pergaduhan, lebih besar dosanya di sisi Islam.

Persoalannya, apakah “punca” kepada pergaduhan sesama Muslim dalam hal ini? Tidak lain tidak bukan adalah kerana pilihan raya! Pilihan raya dalam sistem demokrasi yang menjadikan sesebuah “kerusi” sebagai rebutan yang sangat berharga, menjadi punca kepada manusia hilang pertimbangan. Demi merebut kerusi tersebut yang boleh membawa kepada tercapainya pelbagai kemaslahatan yang diidam-idamkan, maka manusia sanggup melakukan apa sahaja, walau sampai ke tahap pembunuhan.

Walaupun orang boleh berhujah bahawa parti itu dan parti inilah yang membawa kekecohan dan bukannya semua orang begitu, namun hakikatnya itulah kejadian yang sering berulang dalam sistem demokrasi ini. Ya betul kadangkala proses pilihan raya itu berjalan dengan baik, tetapi ini tidak boleh menidakkan banyak lagi unsur-unsur keharaman lain yang wujud dalam sistem buatan manusia yang berasal dari kuffar Barat ini. Caci maki dan pergaduhan dan lain-lain hanyalah “simptom” kepada masalah kerana “ibu” kepada masalah adalah sistem demokrasi itu sendiri!

Demokrasi tidak lebih daripada sebuah sistem yang membinasakan, sistem yang meluluh lantakkan persaudaraan dan kasih sayang sesama Muslim. Kita tahu segala fitnah, maki hamun, pergaduhan dan segala kejahatan yang dilakukan manusia adalah kerana hatinya yang telah berjaya dikuasai oleh syaitan. Di musim pilihan raya, banyak hati manusia yang telah tewas kepada kehendak syaitan ini. Dengan kata lain, kita tahu bahawa syaitan betul-betul meraja lela di musim pilihan raya untuk menimbulkan kebencian dan pergaduhan sesama Muslim, kerana ini adalah masa yang paling sesuai.

Di samping kaum Muslimin pencinta demokrasi berpesta menyambut acara kesukaan mereka ini, syaitan juga turut berpesta di musim pilihan raya untuk menimbulkan segala macam kebencian dan permusuhan sesama kaum Muslimin. Ternyata, demokrasi bukan sahaja membuka ruang kepada manusia untuk memaksiati Allah, ia turut membuka seluas-luas ruang kepada syaitan untuk menjalankan tugas mereka.

Semoga hati-hati yang ikhlas akan sedar hakikat ini dan meninggalkan sistem kufur yang disukai oleh syaitan ini.

Wallahu a’lam.

Sumber:

http://www.harakahdaily.net/index.php/headline/35129-macam-betul-telahan-bn-bertanding-pasti-akan-kecoh