Pilihan Raya Kecil Cameron Highland: Tiada perubahan signifikan apalagi untuk Islam

Berita:

Pada 26 Januari 2019 menyaksikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highland sekaligus mempertahankan kerusi yang disandangnya sebelum ini. Pilihan raya kali ini menyaksikan parti PAS tidak bertanding dan menyatakan hasrat bergabung bersama parti BN untuk menentang Pakatan Harapan (PH). Ini sedikit sebanyak memberikan kelebihan kepada BN dalam PRK kali ini memenanginya dengan majoriti sebanyak 3,238 berbanding 597 undi majoriti pada Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.

Komentar:

Keputusan PRK di Cameron Highland hakikatnya tidak mengubah apa-apa keputusan. Malah PH tidak mampu untuk meraih undi sepertimana yang mereka lakukan di tempat-tempat lain. Walaupun ada pihak mengatakan bahawa keputusan ini sebagai suatu petanda bahawa rakyat sudah mula membenci dengan mainan dan tipu helah kerajaan PH namun itu bukanlah satu ukuran yang besar dalam situasi PRK ini. Hal ini demikian kerana, kerusi di Cameron Highland sebelum ini pun dimenangi oleh BN. Apa yang membezakannya ialah, kali ini PAS dan BN bergabung dan menunjukkan seolah ia satu gabungan yang kuat.

Dalam pada itu, adanya dakwaan faktor kemenangan BN disebabkan oleh sentimen agama dan perkauman (khususnya melayu) yang dimainkan semasa kempen PRK ini. Faktor ini mungkin boleh diambil kira, namun sepertimana yang telah dijelaskan sebelum ini, kerusi di PRK ini sememangnya telah disandang oleh BN, cuma yang membezakannya ialah majoriti kemenangan yang lebih besar.

Dalam menilai situasi yang berlaku ini, umat Islam perlu menilainya dalam konteks yang lebih besar. Sememangnya umat Islam di Malaysia sudah melihat pelbagai perkara yang tidak kena dengan kerajaan PH yang sedang memerintah hari ini. Banyak manifesto sepertimana yang dijanjikan semasa PRU gagal dan tidak ditunaikan. Hal ini telah membuatkan ramai yang mempersoalkan kredibiliti pemerintahan kerajaan PH. Umat Islam juga dapat melihat ketika ini betapa agresifnya usaha golongan sekular dan liberal untuk mempertikaikan hukum dan perkara yang berkaitan dengan Islam. Situasi ini terjadi selepas PH mengambil alih tampuk kerajaan.

Oleh itu, konteks yang jelas untuk dilihat disini ialah perubahan rejim atau muka lama kepada yang baru tidak menyelesaikan masalah yang berlaku, bahkan situasinya lebih buruk daripada yang sebelum ini. Adanya sentimen ketidakpercayaan terhadap kerajaan PH kerana mereka tidak membela apatah lagi menerapkan Islam merupakan sesuatu yang wajar. Hal ini demikian kerana sudah tentu sebagai umat Islam tidak boleh membiarkan maksiat dan kemungkaran berlaku akibat daripada kelalaian pemerintah.

Namun begitu, adakah disebabkan hal ini maka umat Islam perlu memilih untuk kembali semula kepada rejim yang lama? Sedangkan rejim yang sebelum ini berkuasa selama 60 tahun lebih juga sebenarnya tidak melaksanakan Islam dalam pemerintahan mereka.

Oleh yang demikian, perkara ini telah pun diingatkan berulang kali oleh Hizbut Tahrir, bahawa perubahan hakiki yang diinginkan oleh umat Islam ialah perubahan sistem, bukan rejim semata-mata. Apa yang terjadi dalam politik di Malaysia ini ialah bukti nyata. Jadi, jika umat Islam ingin melihat adanya perubahan yang benar dalam kehidupan mereka, maka mereka perlu berusaha untuk menggantikan bukan sahaja rejim sedia ada, bahkan sistem pemerintahan yang digunapakai ketika ini dengan sistem yang berasaskan wahyu, iaitu sistem Khilafah. Hanya dengan sistem Khilafah, penerapan Islam secara kaffah dapat dilaksanakan dan seterusnya membawa keberkatan kepada seluruh alam.

Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir
oleh Mohammad Jasman