Regionalisme ASEAN atau Khilafah Rasyidah?
Ketika penulisan ini dibuat, negara-negara anggota ASEAN sedang mengadakan Sidang Kemuncak ke-37 ASEAN secara dalam talian yang dihoskan oleh Vietnam. Antara agenda utama sidang tersebut termasuklah perbincangan mengenai pemeteraian perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan inisiatif ASEAN bagi tindak balas COVID-19.
RCEP melibatkan 15 buah negara termasuk kesemua 10 negara anggota ASEAN, dengan China sebagai negara rakan dagang terbesar bagi perkumpulan tersebut. Setelah mengadakan siri perbincangan selama lapan tahun, perjanjian tersebut dijadualkan bakal dimeterai pada Ahad ini. Untuk rekod, pada tahun lalu India menarik diri daripada meneruskan perbincangan ekoran kebimbangan sektor industri dan pertanian negara tersebut terhadap lambakan produk dari China dan Australia.
Dalam pada itu, Amerika Syarikat yang baru sahaja selesai daripada Pilihanraya Presiden pasti tidak akan berdiam diri dalam usahanya untuk menyaingi pengaruh China di rantau ini. AS di bawah teraju Biden dijangka akan berusaha mengukuhkan hubungan dengan ASEAN bagi menyekat perjanjian yang dilihat sebagai didominasi oleh Beijing ini.
Rantau Asia Tenggara dijangka akan kembali menjadi antara tumpuan dalam pentadbiran Biden kelak, berbanding Trump yang cenderung mengutamakan polisi dalam negara AS. Telahan ini dibuat berdasarkan pemerhatian terhadap polisi luar AS sewaktu Biden menjadi Timbalan Presiden AS di bawah pentadbiran Obama dahulu.
Ekoran kedudukan yang strategik, hasil bumi yang melimpah-ruah, serta populasi yang besar (sekali gus menjadi sumber tenaga manusia dan pasaran yang besar), rantau ini sentiasa menjadi tumpuan kuasa-kuasa besar. Negara-negara umat Islam yang terletak di Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, dan Brunei turut tidak terlepas daripada menjadi sasaran kuasa-kuasa besar dalam meluaskan pengaruh mereka.
Kepincangan di sebalik regionalisme ASEAN
Penubuhan ASEAN adalah berlatarbelakangkan Perang Dingin yang melibatkan Blok Timur dan Blok Barat. Kemudian pada 1976, beberapa prinsip kemudiannya menjadi pegangan negara-negara anggota yang menekankan aspek berkecuali daripada campur tangan terhadap urusan dalaman masing-masing, serta menghormati kedaulatan masing-masing negara.
Setelah berakhirnya Perang Dingin, kerjasama ASEAN kemudiannya diperluaskan lagi dalam sektor ekonomi dan sosio-budaya di samping soal keselamatan dan politik. Namun, pendirian berkecuali daripada mencampuri urusan dalaman negara anggota lain menyebabkan wujudnya kes-kes penindasan seperti yang berlaku di Myanmar ke atas Muslim Rohingya, umat Islam di Selatan Thai, dan Muslim Moro di Filipina.
ASEAN juga secara tidak langsung mengukuhkan lagi keberadaan negara bangsa melalui pengiktirafan sempadan-sempadan palsu yang dilakarkan ke atas negara-negara umat Islam. Ironinya, ASEAN masih gagal menyelesaikan pertindihan tuntutan wilayah di Laut China Selatan, sehingga menyaksikan China sewenang-wenangnya membangunkan pulau-pulau bagi mengukuhkan lagi tuntutannya ke atas kawasan yang menjadi rebutan.
Keberadaan negara-negara bangsa juga menjadikan umat Islam lemah sehingga terpaksa akur dengan tekanan dan percaturan yang dicorakkan oleh kuasa-kuasa besar. Selain daripada penjajahan fizikal, kuasa-kuasa besar juga menggunakan badan-badan dunia dan perjanjian-perjanjian antarabangsa bagi mengukuhkan pengaruh mereka.
Dalam aspek ekonomi pula, selain daripada menggunakan Bank Dunia dan IMF, perjanjian perdagangan bebas turut membuka ruang untuk penjajahan dalam perekonomian. Liberalisasi pasaran melalui pemeteraian perjanjian perdagangan bebas boleh membuka ruang kepada penguasaan ekonomi oleh syarikat-syarikat luar yang mempunyai modal yang besar, selain daripada berkemungkinan menyebabkan kepentingan rakyat dikesampingkan.
Meskipun negara-negara anggota ASEAN cuba mengimbangi pengaruh-pengaruh kuasa besar melalui pendekatan regionalisme yang mengukuhkan lagi kerjasama antara negara-negara tersebut, namun hakikatnya ia akan menemui kegagalan. Hal ini disebabkan oleh kepincangan yang ada serta pertembungan kepentingan antara negara-negara anggota. Setelah lebih lima dekad penubuhannya, ASEAN ternyata tidak mempunyai suara yang kuat dalam diplomasi dan tunduk kepada hegemoni kuasa besar.
Khilafah adalah Masa Hadapan Umat Islam
Justeru, sudah tiba masanya untuk kita mengubah status quo ini kerana ia bukan sahaja merugikan umat Islam, bahkan menyebabkan umat ini akan terus diperkotak-katikkan dalam persada geopolitik antarabangsa.
Islam telahpun mempunyai penyelesaian terhadapnya, iaitu dengan penyatuan hakiki seluruh umatnya di bawah sebuah kesatuan, iaitu Negara Khilafah. Dengan penyatuan ini, umat Islam berada di bawah satu kepimpinan yang boleh menggembleng kesemua potensi yang ada termasuklah dari segi sumber manusia, kekayaan hasil bumi dan kedudukan yang strategik ke arah kebaikan umat Islam serta umat manusia amnya.
Umat ini mempunyai potensi yang besar untuk kekal mandiri dalam aspek politik, ketenteraan, ekonomi, dan sosial. Malangnya penguasa mereka masih berpegang kuat dan mempertahankan negara-bangsa masing-masing, menyebabkan umat Islam terus dicengkam dan ditindas di samping terpecah-belah tanpa seorang pemimpin seperti dahulunya.
Justeru, umat Islam perlu sedar bahawa selagi kita terus berada dalam kepompong negara bangsa legasi penjajah ini serta terus dicengkam tata dunia yang dicorakkan oleh kuasa besar kuffar, selagi itulah kita akan terus berada dalam keadaan lemah serta tertindas. Penglibatan dalam ASEAN mahupun pertubuhan-pertubuhan lain seperti OIC dan PBB tidak akan mampu untuk mengubahnya kerana kesemuanya terbina dalam kerangka tata dunia sedia ada.
Sesungguhnya penyatuan di bawah Khilafah Rasyidah ini bukanlah suatu yang mustahil, bahkan merupakan suatu kewajipan yang telah sekian lama dipinggirkan. Apa yang perlu dilakukan oleh umat Islam ialah berusaha bersungguh-sungguh untuk menegakkannya.
Wallahu a’lam.