Rejim Assad Boneka Israel

Laporan daripada Foreign Affairs menyebut bahawa rejim Israel tidak mahu Bashar al-Assad dijatuhkan oleh kumpulan pemberontak yang sedang berperang menentang kerajaan tersebut [1]. Malah, salah seorang pegawai tertinggi agen perisikan Mossad Israel menyatakan bahawa Assad merupakan orang yang terbaik untuk Israel sebagai pemerintah di Syria kerana di sepanjang pemerintahannya, rejim Assad tidak pernah menyerang atau membahayakan kewujudan Israel di rantau Timur Tengah selama lebih daripada 40 tahun [2]. Terdapat beberapa perkara yang boleh disimpulkan daripada kedua-dua laporan di atas:

1) Pertarungan yang berlaku antara pemberontak menentang rejim Assad bukanlah perperangan antara puak Sunni (pemberontak) menentang puak Syiah (rejim Assad) sepertimana yang digembar-gemburkan. Sebaliknya ia adalah peperangan yang menentang agen Barat dan juga agen Israel iaitu rejim Bashar al-Assad sebagai satu pihak yang ingin mengekalkan status quo di Syria agar Syria terus diperintah oleh kerajaan yang dapat melindungi kepentingan Israel. Semasa bukit Golan jatuh dikuasai oleh Israel dalam Perang Teluk pada tahun 1960an, rejim Syria tidak pernah menyerang Israel bagi mendapatkan semula bukit Golan tersebut. Malah, rejim ini lebih sanggup untuk menyerang dan membunuh rakyatnya sendiri dengan menggunakan segala macam persenjataan termasuklah senjata kimia, peluru Scud, kereta kebal dan pesawat pengebom. Bashar al-Assad juga banyak dibantu oleh negara musuh Islam seperti Rusia untuk mengekalkan kekuasaanya di Syria. Di satu pihak yang lain pula, ia terdiri daripada para pemberontak yang kebanyakannya mahu mendirikan semula Daulah Islamiyyah di bumi Syria. Maka peperangan yang berlaku di Syria ini adalah pertarungan antara Islam melawan kufur, dan bukannya pertarungan antara blok Sunni melawan blok Syiah. Ia sama sepertimana Perang Iraq-Iran yang berlangsung selama 8 tahun daripada tahun 1980 sehingga 1988, ia juga bukan peperangan antara Sunni menentang Syiah kerana di Iraq itu sendiri sebahagian besar penduduknya adalah Syiah. Perang tersebut adalah merupakan peperangan antara pemimpin boneka Barat iaitu rejim Saddam Hussein menentang sebuah negara (Iran) yang telah menjatuhkan pemimpin boneka Barat iaitu Shah Mohammad Reza Pahlavi (Shah Iran). Sekiranya terdapat golongan yang pro-Sunni yang mengatakan bahawa Saddam Hussein adalah pemimpin yang baik kerana berjuang menentang Syiah Iran dalam Perang Iraq-Iran, ia adalah pandangan yang tidak benar. Saddam Hussein itu sendiri adalah agen dan boneka Barat yang telah memenjarakan, menyeksa dan membunuh ramai orang termasuk golongan ulama daripada golongan Sunni yang ingin mendirikan semula Daulah Islamiyyah.

2) Sokongan yang diberikan oleh Amerika Syarikat (AS), negara anggota NATO dan Turki terhadap para pemberontak adalah bertujuan supaya pemberontak dapat mendirikan negara demokrasi bagi menggantikan rejim Bashar Assad setelah rejim tersebut tumbang kelak. Sebelum ini mereka telah cuba untuk mewujudkan beberapa bentuk pakatan seperti Syrian National Council dan Council of Syrian Revolutionaries yang dikatakan kononnya mewakili suara dan kemahuan penduduk Syria, tetapi ia ditolak sepenuhnya oleh para pemberontak Syria dan rakyat Syria secara umumnya. Oleh sebab itu, Barat tidak melakukan campur tangan ketenteraan secara terang-terangan di Syria dalam membantu para pemberontak sebagaimana di Libya kerana Barat khuatir, jika sekiranya para pemberontak ini menang dengan mudah kelak, mereka akan mendirikan semula Daulah Islamiyyah. Keadaan ini sama sekali berbeza dengan di Libya di mana NATO melakukan campur tangan dan melancarkan operasi serangan bom terhadap kedudukan Gaddafi dan para pengikutnya bagi memudahkan para pemberontak menumbangkan rejim Gaddafi dengan segera kerana Barat mengetahui bahawa agenda utama para pemberontak adalah untuk menumbangkan rejim Gaddafi dan membentuk sebuah kerajaan demokratik, dan bukannya untuk mendirikan semula Daulah Islamiyyah.

3) Campurtangan Hizbullah dalam peperangan di Syria adalah disebabkan oleh jasa rejim Assad sebelum ini yang telah banyak membantu gerakan Hizbullah Lebanon dari segi persenjataan dalam menentang Israel. Hizbullah pernah berperang dan mengalahkan Israel dalam perang selama 33 hari pada tahun 2006. Hizbullah adalah musuh utama kepada Israel di samping Hamas di Palestin. Bagaimanakah reaksi Hizbullah sekiranya mereka mengetahui bahawa Bashar al-Assad sebenarnya adalah antara sekutu kuat Israel manakala para pemberontak yang ingin menumbangkan rejim Assad pula adalah golongan yang ingin memusnahkan Israel? Di sini tidak mencukupi bagi umat Islam untuk hanya sekadar mengangkat senjata dan berperang tanpa mengetahui terlebih dahulu latar belakang puak pemberontak dan rejim Bashar al-Assad. Jika sekiranya Hizbullah mempunyai cita-cita untuk memusnahkan Israel daripada peta dunia, mengapa mereka tidak membiarkan sahaja rejim Assad ini tumbang lalu didirikan Daulah Islamiyyah di Syria supaya Hizbullah kemudiannya boleh bergabung dengan gerakan-gerakan mujahideen Syria yang lain agar mereka dapat sama-sama bergerak untuk memerangi Israel? Inilah akibatnya apabila sebahagian besar umat Islam pada hari ini mengalami kedangkalan dalam pemikiran politik mereka sehinggakan mereka senang untuk ditipu dan dipergunakan oleh rejim Assad bagi menyelamatkan rejim korup tersebut di samping menjaga keberadaan Israel. Begitulah pentingnya bagi umat Islam untuk mempunyai sebuah Daulah Islamiyyah di mana jihad berperang menentang penjajahan musuh ke atas tanah umat Islam dapat dilakukan melalui ketenteraan secara lebih bersistematik yang dilengkapi dengan perisikan dan kajian yang mendalam tentang politik luar negara serta tentang gerakan-gerakan manakah yang boleh disokong dan yang manakah yang tidak boleh ditolong apabila timbulnya sesesuatu konflik, dan bukannya bertindak melulu tanpa sebarang usul periksa.

Rujukan: foreignaffairs.com

[youtube:http://www.youtube.com/watch?v=puoG0p-pmT4]