Rejim Bashar Berusaha Menyekat Kebangkitan Rakyat dengan Senjata Kimia

Rejim pengganas Syria cuba untuk menghancurkan penduduk al-Syam menggunakan senjata kimia setelah gagal mematahkan semangat mereka dengan cara pembunuhan yang konvensional
 

Mata kita, tangisan kita, dan hati kita ini telah dikejutkan dengan peristiwa pembunuhan beramai-ramai yang dilaksanakan oleh “barisan pertahanan” rejim penjenayah parti Ba’ath Basyar terhadap saudara kita di bumi Ash-Syam. Senjata kimia pembawa maut akhirnya digunakan lantaran terdesaknya mereka setelah usaha untuk mematahkan semangat dan keimanan mereka dengan senjata pembunuh konvensional selama ini menemui jalan gagal!

Jenayah ini adalah di antara tambahan kepada jenayah yang telah sedia ada terhadap saudara kita di bumi Ash-Syam yang diberkati. Rejim ini jugalah yang selama hampir 40 tahun, telah berterusan melindungi dan mempertahankan sempadan negara Yahudi.

Barisan pertahanan rejim ini, sekali lagi telah membuktikan kepada kita bahawa ia telah ditubuhkan semata-mata untuk menyembelih rakyatnya sendiri sambil melindungi negara Yahudi. Inilah yang telah mereka lakukan semenjak 40 tahun yang lalu.

Semenjak dari zaman bapa dan pakciknya, rejim penjenayah Bashar inilah yang telah melaksanakan puluhan operasi pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyatnya sendiri. Merekalah yang menghalang tenteranya melepaskan tembakan ke arah negara Yahudi semenjak perang tahun 1973 sambil membendung gerakan penentangan dari dalam negaranya.

Manakala negara-negara demokrasi besar yang diketuai oleh Amerika dan dibantu oleh regim diktator di negara-negara kaum Muslimin lainnya, jenayah yang mereka lakukan itu tidak jauh bezanya jika dibandingkan dengan kekejaman Basyar dan pengikutnya. Merekalah yang telah memberikan masa lanjutan kepada Bashar untuk membunuh rakyatnya. Mereka jualah yang telah bersekongkol dengan Amerika merancang pembentukan kumpulan pakatan pembangkang “hotel mewah” dengan maksud untuk menggantikan Bashar dengan diktator yang lain dari rejim yang sama, dengan jaminan ketaatan terhadap Amerika dan negara barat yang lain.

Pembunuhan beramai-ramai ini dilakukan untuk menekan penduduk Ash-Syam agar tunduk kepada campur tangan Amerika dan memaksa mereka agar menerima calon-calon tajaannya  yang sekular. Ia juga bertujuan memaksa mereka untuk menolak perjuangan revolusi yang ikhlas yang bakal mencabut akar keseluruhan rejim ini dan menegakkan sistem Islam yang satu iaitu Khilafah ‘ala Minhaj an-Nubuwwah.

Kami di Hizb ut Tahrir, pada saat memerhatikan malapetaka yang telah menimpa penduduk bumi Ash-Syam, Mesir, Palestin, dan seluruh umat Islam yang lainnya, memohon kepada Allah agar memberikan umat Islam kemudahan selepas melalui masa kesusahan dan pelepasan dari penderitaan ini. Dan kami memohon kepada Allah agar para syuhada umat Islam ini dilimpahi Rahmat-Nya, dan kami memohon agar keluarga mereka yang ditinggalkan dikurniakan dengan kesabaran, ketabahan dan mendapatkan ganjaran hanya semata-mata dari Allah.

Kami juga berdoa agar keazaman dan kesungguhan kita—dengan izin Allah—akan  semakin meningkat bersama-sama dengan keyakinan dan tekad yang teguh dan tidak berbelah bagi sehinggalah Khilafah itu tertegak di bumi Ash-Syam atau di tempat lainnya di seluruh dunia umat Islam. Agar ia dapat membela nasib penghuni bumi Ash-Syam, membebaskan Al-Aqsa, dan menyelamat umat ini serta umat manusia umumnya dari para kapitalis demokrasi sekular yang kejam. Kami memohon agar Allah menygerakan hari kemenangan ini.
 

وَيَقُولُونَ مَتَى هُوَ قُلْ عَسَى أَن يَكُونَ قَرِيبًا
‘…mereka bertanya (dengan mengejek) bila berlakunya?” katakanlah: “Dipercayai akan berlaku tidak lama lagi!” (TMQ al-Israa 17:51)

Pejabat Media Hizb ut-Tahrir Wilayah Palestin
Sabtu, 17 Syawal 1434 h
24/08/2013
N0: 158/013