Risalah “Anwar Turun, Siapa Naik?” beri solusi
Buletin HTM – Di tengah-tengah kesesakan orang ramai yang sedang berhimpun di beberapa lokasi di ibu negara bagi mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim meletak jawatan pada Sabtu lalu, sekumpulan aktivis Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) turut turun padang untuk menyampaikan satu mesej dan solusi yang jelas kepada umat Islam berhubung kemelut yang sedang melanda negara.
Tatkala banyak pihak sedang melaungkan “Turun Anwar” tetapi tidak tahu untuk menggantikannya dengan siapa, para syabab HTM bergerak menyebarkan risalah bertajuk “Anwar Turun, Siapa Naik” yang membawa mesej bahawa pertukaran individu (pemimpin) semata-mata tidak akan menyelesaikan permasalahan rakyat, selagi sistem pemerintahan demokrasi yang rosak dan bertentangan dengan Islam terus dikekalkan.
Antara kandungan risalah tersebut ialah kritikan terhadap kebatilan dan kerosakan sistem demokrasi seperti kemunculannya dari akal manusia, akidah sekularisme yang melahirkannya, sistem yang meletakkan kedaulatan di tangan manusia, dan mengandungi konsep kebebasan, yang segala-galanya bertentangan dengan Islam. Risalah itu turut meletakkan perbandingan antara sistem demokrasi dan sistem Islam sebagai solusi.
Risalah itu menyimpulkan:
“Tukar individu semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah jika sistem demokrasi yang batil dan rosak masih dikekalkan. Solusinya ialah dengan turunkan sistem, bukan sekadar pemimpin. Pemimpin dalam Islam ialah Khalifah dan sistemnya ialah Khilafah.”
Rata-rata yang hadir menerima risalah dengan baik. Namun, terdapat beberapa provokasi yang dilakukan ke atas aktivis HTM semasa edaran di beberapa lokasi. Bagaimana pun ia dihadapi oleh aktivis HTM dengan tenang. Provokasi seperti mengoyak risalah, menghalau dan cubaan untuk memukul aktivis HTM tersebut tidak seharusnya berlaku oleh mereka yang bergelar Muslim, yang sejak awal mahu perhimpunan berjalan secara aman.
Melalui edaran risalah ini, HTM berharap umat Islam akan memahami bahawa segenap malapetaka yang menimpa mereka sesungguhnya bukan hanya berpunca daripada pemimpin yang buruk, tetapi juga sistem yang buruk. Atas dasar itu, HTM menyeru umat Islam kepada satu-satunya solusi yang benar yang wajib diambil oleh setiap Muslim iaitu dengan menukar pemimpin dan sistem sekali gus – Khalifah selaku pemimpin, dan Khilafah selaku sistemnya.