RM2.6 bilion dan kekebalan pemimpin

ag_mohamed_apandi_aliRamai yang melahirkan kekecewaan dan kemarahan setelah Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali membuat pengumuman membebaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dari siasatan kes derma peribadi bernilai RM2.6 bilion dan juga kes SRC International yang membabitkan RM42 juta. Pelbagai bentuk sindiran, sinis, perli, luahan emosi dan lain-lain berlegar di alam maya dan juga alam nyata, sebagai tanda ketidakpuasan rakyat dengan ‘pembebasan’ Najib itu.

Kes yang penuh dengan dolak-dalik itu yang telah menggoncang pemerintahan Najib nampaknya akan berakhir begitu sahaja setelah Apandi memulangkan dan mengarahkan SPRM menutup kesemua kertas siasatan. Rakyat yang prihatin ternyata kecewa kerana ‘penantian’ mereka yang begitu lama untuk menyaksikan Perdana Menteri diheret ke mahkamah buat julung kalinya, hancur berkecai.

Apandi mengesahkan antara lain yang sejumlah RM2.03 bilion (AS$620) daripada derma tersebut telah dikembalikan oleh Najib kepada keluarga diraja Arab Saudi kerana dana tersebut tidak diguna pakai. Setelah meneliti kesemua kertas siasatan, Peguam Negara baru yang menggantikan Tan Sri Abdul Ghani Patail itu berpuas hati bahawa tiada kesalahan jenayah yang dilakukan oleh Najib berhubung wang sumbangan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadinya.

Mengenai jumlah RM42 juta dari SRC International yang masuk ke akaun Najib, Apandi mengesahkan yang Najib tidak mempunyai apa-apa pengetahuan tentang hal itu, jauh sekali memberi kebenaran akan kemasukan wang tersebut ke akaunnya. Inilah kesimpulan Apandi yang menyebabkan Najib tidak melakukan apa-apa kesalahan berhubung hal tersebut. Walaupun sungguh hairan bin ajaib bagaimana seorang pemegang akaun tidak tahu menahu ada orang memasukkan sejumlah RM42 juta ke akaunnya, tetapi itulah hakikat yang mesti ditelan oleh rakyat Malaysia.

Antara sinis yang paling banyak berlegar ialah selepas ini kesemua penjawat awam tidak lagi perlu takut untuk menerima rasuah kerana ia boleh dihujahkan sebagai derma peribadi yang tidak mengandungi apa-apa unsur jenayah. Begitu juga dengan ahli-ahli politik yang semuanya kini boleh menerima apa sahaja derma peribadi kepada mereka kerana ia tidak lagi tergolong dalam kes rasuah. Dengan kata lain, istilah rasuah kini sudah tidak lagi terpakai atau undang-undang rasuah sudah boleh dihapuskan kerana apa yang penting ialah setiap pemberian kini boleh dianggap sebagai derma peribadi, yang bukan lagi merupakan kesalahan jenayah!

Bagi mereka yang celik politik, keputusan Peguam Negara itu bukanlah satu kejutan pun, malah ia sudah boleh diagak dari awal lagi apabila pelantikannya dibuat setelah Peguam Negara lama dipecat serta merta atas isu membabitkan PM yang sedang disiasatnya dan tiba-tiba dia dipecat oleh PM dan pelantikan baru terus dibuat oleh PM.

Sesiapa sahaja yang sihat akal fikirannya akan pasti bersetuju bahawa adalah “mustahil” untuk mengheret orang nombor satu negara ke mahkamah melalui proses undang-undang yang sedia ada. Ini bukanlah kali pertama “cubaan” sedemikian dilakukan. Semasa Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri dulu pun, beberapa kali beliau cuba diheret ke mahkamah tetapi gagal. Pada waktu itu, Anwar Ibrahim, yang sudah menjadi “musuh” Mahathir, antara orang yang paling gigih berusaha untuk mengheret Mahathir ke muka pengadilan, namun ternyata gagal. Apatah lagi dalam kes Najib pada hari ini, di mana pihak yang cuba mengheret Najib ke mahkamah adalah pihak yang dilantik oleh Najib sendiri!

Apa yang penting untuk umat Islam faham dalam sistem demokrasi dan undang-undang ciptaan manusia ini, terdapat manusia yang berada di atas undang-undang! Mereka yang berkuasa membuat undang-undang untuk dilaksanakan ke atas mereka yang lemah, manakala mereka yang kuat, apatah lagi yang paling kuat dan paling berkuasa, ia tidak tertakluk kepada mana-mana undang-undang dan tidak ada undang-undang yang dapat menundukkannya. Inilah realiti sistem demokrasi pada hari ini.

Bagi pencinta demokrasi, entahlah sampai bila kalian akan terus berharap dan bermimpi agar terwujudnya keadilan. Bagi mereka yang telah sedar, cukuplah demokrasi menjadi sistem yang terus membohongi dan menindas golongan yang lemah dan menjaga golongan yang kuat dan berkuasa, maka kembalilah kepada sistem Islam dan tinggalkanlah sistem kufur yang diwarisi dari penjajah ini.

Walaupun setiap orang yang zalim boleh terlepas dari perbicaraan dan hukuman di dunia, namun Insya Allah mereka sudah pasti tidak akan terlepas dari perbicaraan dan hukuman di Akhirat. Dengan kata lain, sekebal mana pun seseorang pemimpin itu di dunia, namun di Akhirat tiada lagi perlindungan untuknya walau senipis kulit bawang sekali pun.