Sejarah Kemunculan Dan Intipati Demokrasi Serta Pertentangannya Dengan Islam (Siri 3)

Sambungan Siri 2..

  1. Konsep kedaulatan

Mengenai idea yang mendasari demokrasi, sesungguhnya terdapat dua idea pokok:

  • Kedaulatan di tangan rakyat (as-siyadah li asy-sya’bi);
  • Rakyat sebagai sumber kekuasaan.

Demokrasi menetapkan bahawa rakyatlah yang memiliki dan melaksanakan kehendaknya, bukan para raja dan kaisar. Rakyatlah yang menjalankan kehendaknya sendiri.

Berdasarkan prinsip bahawa rakyat adalah pemilik kedaulatan, pemilik dan pelaksana kehendak, maka rakyat berhak membuat hukum (undang-undang) yang merupakan manifestasi daripada kehendak rakyat dan manifestasi kehendak umum daripada majoriti rakyat. Rakyat membuat hukum melalui para wakilnya yang mereka pilih untuk membuat hukum yang dinamakan sebagai wakil rakyat.

Rakyat berhak menetapkan perlembagaan, peraturan dan undang-undang apa pun. Rakyat berhak pula membatalkan perlembagaan, peraturan dan hukum apa pun, menurut pertimbangan mereka berdasarkan kemaslahatan yang ada. Dengan demikian rakyat berhak mengubah sistem pemerintahan dari kerajaan menjadi republik atau sebaliknya, sebagaimana rakyat juga berhak mengubah sistem republik berpresiden menjadi republik berparlimen atau sebaliknya. Hal ini pernah terjadi, misalnya di Perancis, Itali, Sepanyol dan Yunani di mana rakyatnya telah mengubah sistem pemerintahan yang ada daripada kerajaan menjadi republik dan daripada republik menjadi kerajaan.

Demikian pula rakyat berhak mengubah sistem ekonomi daripada kapitalisme menjadi sosialisme atau sebaliknya. Rakyat juga melalui para wakilnya dianggap berhak menetapkan hukum mengenai bolehnya murtad daripada satu agama kepada agama yang lain, atau kepada keyakinan yang bersifat non-agama (animisme/paganisme), sebagaimana rakyat dianggap berhak menetapkan hukum bolehnya zina, homoseksual, serta mencari nafkah dengan jalan zina dan homoseksual itu.

Berdasarkan prinsip bahawa rakyat sebagai sumber kekuasaan, maka rakyat dapat memilih penguasa yang diinginkannya untuk menerapkan peraturan yang dibuat rakyat dan untuk memutuskan perkara berdasarkan hukum itu. Rakyat juga berhak memberhentikan penguasa dan menggantikannya dengan penguasa lain. Jadi, rakyatlah yang memiliki kekuasaan, sedang penguasa mengambil kekuasaannya daripada rakyat.

Sedangkan Islam menyatakan bahawa kedaulatan adalah di tangan syarak (as-siyadah li asy-syara’), bukan di tangan rakyat. Sebab, Allah SWT sahajalah yang layak bertindak sebagai Musyarri’ (Pembuat hukum). Rakyat secara keseluruhan tidak berhak membuat hukum, walau pun hanya satu hukum.

Kalau sekiranya seluruh umat Islam berkumpul lalu menyepakati bolehnya riba untuk meningkatkan keadaan perekonomian, atau menyepakati bolehnya pemusatan tempat perzinaan dengan dalih agar zina tidak menyebar luas di tengah masyarakat, atau menyepakati penghapusan kepemilikan individu, atau menyepakati penghapusan puasa Ramadhan agar dapat meningkatkan produktiviti kerja, atau menyepakati pemakaian idea kebebasan individu yang memberikan kebebasan kepada seorang Muslim untuk meyakini akidah apa saja yang diinginkannya, dan yang memberikan hak kepadanya untuk mengembangkan hartanya dengan segala cara meskipun haram, yang memberikan kebebasan berperilaku kepadanya untuk menikmati hidup sesuka hatinya seperti meminum arak dan berzina; maka seluruh kesepakatan ini tidak ada nilainya sama sekali. Bahkan dalam pandangan Islam seluruh kesepakatan itu tidak senilai walaupun dengan sebelah sayap nyamuk.

Jika ada sekelompok kaum Muslimin yang menyepakati hal-hal (yang haram) tersebut, maka mereka mesti ditentang sampai mereka melepaskan diri daripada keharaman tersebut.

Ini kerana, dalam seluruh aktiviti kehidupan kaum Muslimin mestilah senantiasa wajib terikat dengan perintah dan larangan Allah SWT. Mereka tidak boleh melakukan suatu perbuatan yang bertentangan dengan hukum-hukum Islam, sebagaimana mereka tidak boleh membuat satu hukum pun, kerana hanya Allah SWT sahajalah yang layak bertindak sebagai Pembuat hukum (Musyarri’). Allah SWT berfirman :

فَلاَ وَ رَبِّكَ لاَ يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu (Muhammad) sebagai hakim (pemutus) terhadap perkara yang mereka perselisihkan” [An-Nisa’ (4):65].

إِنِ الحُكْمُ إلاّ للهِ

“Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah” [Al-An’am (6):57]

أَلَمْ تَرَ إِلَى الذِيْنَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ آمَنُوْا بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَ مَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ يُرِيْدُونَ أَنْ يَتَحَاكَمُوا إلَى الطَاغُوتِ وَ قَدْ أُمِرُوا أَنْ يَكْفُرُوا بِهِ وَ يُرِيدُ الشَيْطَانُ أَنْ يُضِلَّهُم ضَلاَلاً بَعِيْدًا

“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu (Al-Quran) dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada thaghut, padahal mereka telah diperintah mengingkari thaghut itu” [An-Nisa’ (4):60].

            Berhakim kepada thaghut (selain Allah) ertinya berhakim kepada hukum yang tidak diturunkan Allah. Dengan kata lain, berhakim kepada hukum-hukum kufur yang dibuat oleh manusia. Allah SWT berfirman:

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَ مَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ

“Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin” [Al-Ma’idah (5):50].

Hukum Jahiliyyah adalah hukum yang tidak dibawa oleh Muhammad SAW dari Tuhannya, iaitu hukum kufur yang dibuat oleh manusia. Allah SWT berfirman:

فَلْيَحْذَرِ الذِيْنَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَنْ تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيْمٌ

“Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintahnya (Rasul) takut akan ditimpa cubaan atau ditimpa azab yang pedih” [An-Nur (24):63].

Yang dimaksud dengan “menyalahi perintah Rasul” – sesuatu yang harus diwaspadai itu – adalah mengikuti hukum yang dibuat oleh manusia dan meninggalkan hukum yang dibawa Rasul SAW. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

“Siapa sahaja yang melakukan perbuatan yang tidak ada perintah kami atasnya, maka perbuatan itu tertolak” [HR Muslim].

Yang dimaksud dengan kata أَمْرُنَا (“perintah kami”) dalam hadis di atas adalah Islam.

Masih ada puluhan ayat dan hadis lain dengan pengertian yang qath’i  (tegas/pasti), yang menegaskan bahawa kedaulatan adalah di tangan syarak, yakni bahawa Allah SWT sahajalah yang merupakan Musyarri’, bahawa manusia tidak boleh membuat hukum, serta bahawa mereka wajib untuk melaksanakan seluruh aktivitinya dalam kehidupan ini sesuai dengan perintah dan larangan Allah SWT.

Islam telah menetapkan bahawa pelaksanaan perintah dan larangan Allah SWT itu ada di tangan kaum Muslimin, sementara pelaksanaan perintah dan larangan Allah tersebut memerlukan suatu kekuasaan untuk melaksanakannya.

Oleh itu, Islam menetapkan bahawa kekuasaan itu ada di tangan umat Islam. Maksudnya, umat memiliki hak memilih penguasa, agar penguasa itu dapat menegakkan pelaksanaan perintah dan larangan Allah SWT ke atas rakyat.

Prinsip ini diambil dari hadis-hadis mengenai bai’at, yang menetapkan adanya hak mengangkat Khalifah (ketua negara) di tangan kaum Muslimin dengan jalan bai’at untuk mengamalkan Kitabullah dan Sunah Rasul-Nya. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ وَ لَيْسَ فِي عُنُقِهِ بَيْعَةٌ مَاتَ مِيْتَةً جَاهِلِيَّةً

“Siapa sahaja yang mati sedangkan di lehernya tidak terdapat bai’at (kepada Khalifah), maka matinya seperti mati Jahiliyah (dalam keadaan dosa)” [HR Muslim].

Diriwayatkan dari Abdullah bin Amr RA, bahawa dia berkata, “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

وَ مَنْ بَايعَ إِمَامًا فَأَعْطَاهُ صَفْقَةَ يَدِهِ وَ ثَمْرَةَ قَلْبِهِ فَلْيُطِعْهُ إنِ اسْتَطَاعَ،  فَإِنْ جَاءَ آخَرُ يُنَازِعْهُ فَاضْرِبُوا عُنُقَ الآخَرِ

“Dan siapa sahaja yang membai’at seorang Imam (Khalifah) dan memberikan kepadanya genggaman tangan dan buah hatinya (bertekad janji), maka hendaklah dia mentaatinya sekuat kemampuannya. Dan jika ada orang lain yang hendak merebut kekuasaannya, maka penggalllah batang lehernya” [HR Muslim].

Dari Ubadah bin As-Samit RA, dia mengatakan:

بَايَعْنَا رَسُولَ اللهِ  عَلَى السَّمْعِ وَ الطَاعَةِ فِي المَكرَهِ و المَنْشطِ

“Kami telah membai’at Nabi SAW untuk mendengar dan mentaatinya baik dalam hal yang dibenci mahupun yang disukai”

Di samping itu masih banyak hadis lain yang menerangkan bahawa umatlah yang mengangkat penguasa dengan jalan bai’at untuk mengamalkan Kitabullah dan Sunah Rasul-Nya.

Meskipun syarak telah menetapkan bahawa kekuasaan itu ada di tangan umat – yang diwakilkan kepada seorang Khalifah untuk memerintah umat melalui prosesi bai’at – akan tetapi syarak tidak memberikan hak kepada umat untuk memberhentikan penguasa, seperti yang ada dalam sistem demokrasi.

Ketentuan ini didasarkan pada hadis-hadis yang mewajibkan taat kepada Khalifah meskipun dia berbuat zalim, selama dia tidak memerintahkan maksiat. Dari Ibnu Abbas ra, dia berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْ أَمِيْرِهِ شَيْئًا يَكْرَهُهُ فَلْيَصْبِرْ فَإِنَّهُ مَنْ فَارَقَ الجَمَاعَةَ شِبْرًا فَمَاتَ فَمِيْتَةً جَاهِلِيَّةً

“Siapa sahaja yang melihat daripada pemimpinnya sesuatu yang dia benci, maka hendaklah dia bersabar. Kerana sesungguhnya siapa sahaja yang memisahkan diri dari jamaah walau sejengkal lalu mati, maka dia mati Jahiliyyah.”

Dari ‘Auf bin Malik ra, dia berkata, “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

…وًشِرَارُ أئِمَّتِكُمْ الذِيْنَ تُبْغِضُوْنَهُمْ وَ يُبْغِضُونَكُمْ وَ تَلْعَنُوْنَكُمْ  وَ يَلْعَنُونَكُمْ، قَال : قُلْنَا يَا رَسُولَ اللهِ: أَفَلاَ نُنَابِذَهُمْ عِنْدَ ذَلِكَ ؟ قَال : لاَ ، مَا أقَامُوا فِيكُمْ الصَلاَةَ ، ألاَ مَنْ وَليَ عَلَيْهِ وَالٍ فَرآهُ يَأتِي شَيْئًا مِنْ مَعْصِيَةِ اللهِ فَليَكْرَههُ مَا يَأتِي مِنْ مَعْصِيَةِ اللهِ وَ لاَ يَنْزِعَنَّ يَدًا مِنْ طَاعَةٍ

“Sejahat-jahat pemimpin kalian adalah pemimpin yang kalian benci sedang mereka pun membenci kalian, kalian melaknat mereka sedang mereka pun melaknat kalian’. Auf bin Malik lalu berkata, ‘Kami lalu bertanya, wahai Rasulullah, apakah tidak kita perangi sahaja mereka pada saat itu?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Tidak, selama mereka masih mendirikan solat di tengah-tengah kalian, kecuali bila seseorang – yang menjadi rakyat seorang penguasa – menyaksikan penguasa itu mengerjakan perbuatan maksiat. Maka hendaklah dia membenci kemaksiatan yang dilakukan penguasa tersebut, tetapi sekali-kali dia tidak boleh melepaskan ketaatan kepadanya.”

Yang dimaksud dengan “mendirikan solat” dalam hadis di atas ialah “melaksanakan hukum-hukum Islam”. Ini kerana ungkapan tersebut merupakan ungkapan majazi (kiasan), yakni menyebut sebahagian tetapi yang dimaksud adalah keseluruhannya.

Demikian pula umat tidak boleh memberontak terhadap penguasa kecuali jika dia menampakkan (menerapkan) kekufuran yang terang-terangan, sebagaimana hadis Ubadah bin As-Samit mengenai bai’at. Dalam hadis itu terdapat keterangan:

…فَبَايَعْنَاهُ، فَقَالَ فِيْمَا أَخَذَ عَلَيْنَا أَنْ بَايَعْنَا عَلَى السَمْع وَ الطَاعَةِ فِي مَنْشَطِنَا وَ مَكْرَهِنَا وَ عُسْرِنَا وَ يُسْرِنَا وَ أَثَرَةٍ عَلَيْنَا ، وَ أَنْ لاَ نُنَازِعَ الأَمْرَ أَهْلَهُ إلاّ أَنْ تَرَاوْ كُفْرًا بَوَاحًا عِنْدَكُمْ مِنَ اللهِ فِيْهِ بُرهَانٌ

“Maka kami membai’at beliau (Rasulullah). Rasulullah menjelaskan apa yang harus kami lakukan, yakni bahawa kami membai’at beliau untuk mendengar dan mentaatinya, dalam apa yang kami sukai dan apa yang kami benci, dalam apa yang sukar dan yang mudah bagi kami, serta untuk tidak lebih mengutamakan diri (daripada orang lain). Dan kami juga tidak akan merebut kekuasaan dari yang berhak, kecuali (Rasulullah mengatakan), ‘Jika kalian menyaksikan kekufuran yang nyata, yang kalian mempunyai bukti yang kuat tentangnya dari sisi Allah.”

Pihak yang mempunyai autoriti untuk memberhentikan Khalifah adalah Mahkamah Mazalim. Ini kerana, terjadinya suatu hal yang dapat menjadi alasan diberhentikannya Khalifah, merupakan suatu jenis kezaliman yang mesti dilenyapkan. Hal seperti ini juga dianggap sebagai hal yang memerlukan penetapan (itsbat) yang mesti dilakukan di hadapan hakim.

Memandangkan Mahkamah Mazalim merupakan lembaga yang mempunyai autoriti untuk memutuskan pelenyapan kezaliman dalam Daulah Islamiyah, sementara hakimnya memang mempunyai autoriti untuk menetapkan terjadinya kezaliman dan memutuskannya, maka Mahkamah Mazalimlah yang berhak memutuskan apakah hal kezaliman di atas telah terjadi atau tidak. Mahkamah Mazalim pula yang berhak memutuskan pemberhentian Khalifah.

Bersambung..