Selamatkan Yemen, bukan hanya pelajar Malaysia
Seramai 67 pelajar Malaysia dilaporkan selamat dan berjaya di bawa keluar dari Yemen yang sedang bergolak dahsyat ketika ini. Kerajaan telah berusaha keras untuk memastikan mereka selamat sampai ke tanah air. Dalam pada itu, berita melaporkan yang lebih kurang 16,000 ‘warga asing’ masih terkandas di Yemen dan belum dapat keluar. Antaranya dari Sudan, Syria, Iraq, Indonesia, Ethiopia dan lain-lain.
Tentu ramai yang berasa lega, apatah lagi keluarga dan saudara-mara pelajar terbabit, dengan usaha yang dilakukan kerajaan dan kegembiraan ini sememangnya wajar sekali. Apa yang tidak menggembirakan kita ialah jika mereka atau ada di antara umat Islam yang bergembira dengan berita ini, dibaluti perasaan assabiyyah dan wathaniyyah yakni bergembira atas dasar orang Melayu yang berasal dari Malaysia kembali dengan selamat ke tanah air. Kerajaan Malaysia seharusnya menyelamatkan Yemen dari peperangan saudara, bukan hanya menyelamatkan pelajar Malaysia semata-mata! Setakat ini, kerajaan Malaysia langsung tidak memainkan peranan untuk menghentikan perang di Yemen!
Sebagai Muslim, apa yang kita mahu sesungguhnya adalah keselamatan atas setiap saudara kita yang sedang berperang atau menjadi mangsa perang di sana. Tidak kiralah sama ada ia warga Yemen sendiri, warga Mesir, Arab Saudi, Indonesia, Thailand dan lain-lain, asalkan mereka adalah Muslim, kita tidak mahu mereka bergaduh apatah lagi berperang sesama sendiri. Kita mahukan agar perang sesama Muslim di sana dihentikan serta-merta dan kaum Muslimin berbalik untuk berperang dengan musuh mereka, Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa Barat, yang menjadi dalang dan batu api di sebalik peperangan ini.
Kita juga mahukan penguasa Muslim yang khianat yang melancarkan perang atas restu Amerika ini, memalingkan senjata dan jet-jet pejuang mereka ke arah Amerika dan entiti Yahudi yang menjajah Palestin. Kita mahukan kaum Muslimin sedar bahawa sesungguhnya penguasa ini telah mengkhianati umat dan menjadi hamba kepada Barat. Kita mahukan kaum Muslimin sedar bahawa selain pengaruh Barat, assabiyyah dan wathaniyyah-lah antara penyebab kepada perpecahan dan pergaduhan sesama Muslim. Inilah apa yang sedang terjadi di Yemen sekarang.
Rasulullah SAW bersabda,
“Bukan daripada kami orang-orang yang menyeru kepada assabiyyah, berperang atas dasar assabiyyah dan mati kerana (mempertahankan) assabiyyah” [HR Abu Daud].
Bukankah Yemen, Arab Saudi, seluruh negara Teluk, Syam dan lain-lain dulunya merupakan negara yang satu? Bukankah kesemuanya dulu berada di bawah naungan Khilafah dengan seorang Khalifah yang memimpin mereka? Bukankah mereka dahulu berperang di bawah bendera tauhid yang satu menentang musuh? Kini mereka berperang sesama sendiri di bawah bendera masing-masing dengan pengaruh dan restu dari musuh!
Sungguh tidak ada jalan lain lagi bagi memecahkan sempadan assabiyyah dan wathaniyyah ciptaan kuffar Barat ke atas kaum Muslimin dan mempersatukan semula umat wang mulia ini, kecuali dengan kaum Muslimin kembali bersatu di bawah Khilafah. Hanya dengan Khilafah, kita dan Muslim mana pun tidak akan berasa asing berada di Yemen, kerana Yemen dan lain-lain negeri kaum Muslimin merupakan tanah milik kita bersama. Hanya dengan Khilafah, Amerika dan para penguasa yang menjadi ejen mereka akan dapat dihapuskan dan kaum Muslimin akan kembali memerintah dunia.