Seruan Hizbut Tahrir Malaysia Berkenaan Isu Hudud Di Masjid Negara
Bacaan seruan kemudiannya disampaikan oleh Ustaz Isa Abdullah yang dengan lantangnya menjelaskan dan mengingatkan para pemimpin sekular yang ada agar tidak terus menunjukkan kejahilan dan keangkuhan mereka dalam isu penerapan hukum Allah SWT yang maha sempurna ini. Beliau juga mengingatkan kaum Muslimin bahawa kewajiban untuk melaksanakan hukum hudud ini adalah suatu kewajiban yang sama sepertimana kewajiban-kewajiban hukum yang lain seperti solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain. Kewajiban ini terletak sepenuhnya di atas bahu para pemimpin negara yang memiliki kekuasaan. Adalah tidak wajar dan tidak selayaknya bagi mana-mana umat Islam untuk mempertikaikan hukuman penerapan hudud ini, ujarnya lagi. Sudah tiba masanya umat Islam supaya bangkit untuk menolak para pemimpin sekular yang ada pada hari ini. Para pemimpin ini tidak mahu Islam diterapkan sebagai sebuah sistem di dalam negara. Mereka dengan penuh rasa sombong telah memberikan pelbagai hujah dan helah yang begitu dangkal dan lemah untuk tidak menerapkan Islam dalam kehidupan. Amat buruk sekali prasangka mereka terhadap Allah SWT, Rabb Yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana yang mencipta diri mereka.
Justeru, Hizbut Tahrir sebagai sebuah parti politik antarabangsa yang bertujuan untuk mengembalikan Islam ke dalam kehidupan umat melalui jalan menegakkan semula Khilafah di atas manhaj kenabian dalam kesempatan kali ini ingin menyeru kepada seluruh umat Islam agar bersama-sama berganding bahu untuk menegakkan kembali sistem Khilafah, iaitu sistem pemerintahan Islam yang akan menerapkan seluruh sistem Islam secara kaffah di dalam konteks individu, masyarakat dan negara. Di sepanjang seruan tersebut dijalankan, para anggota syabab Hizbut Tahrir Malaysia telah turut mempromosikan aktiviti mereka yang terdekat iaitu Konferens Negara Islam yang akan berlangsung pada 30 Oktober 2011 yang akan datang. Promosi itu dilakukan melalui pengedaran risalah iklan di samping risalah mingguan HTM iaitu Sautun Nahdah.
Seruan HTM di Masjid Negara berkenaan isu Hudud