Siapa penyebab kehancuran tamadun?
Rasuah hancurkan tamadun
KUALA LUMPUR 30 Mei – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan umat Islam supaya menghindari rasuah serta perbuatan keji lain kerana ia boleh menghancurkan sesebuah tamadun.
Perdana Menteri berkata, sebaliknya mereka harus menunjukkan contoh yang baik antaranya sentiasa bersikap dinamik iaitu dengan menjadikan ilmu pengetahuan sebagai sandaran utama.
”Islam merupakan agama suci dan menjadi panduan serta petunjuk kepada semua penganutnya. Islam juga mengajar umatnya tentang kebenaran.
”Namun begitu sebagai umat Islam kita bertanggungjawab memelihara agama ini dengan mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan keji seperti rasuah dan dalam masa sama sentiasa mengamalkan sikap dinamik,” katanya.
Beliau berucap pada majlis pelancaran buku yang ditulis oleh bekas Menteri Luar Iran, Dr. Ali Akbar Velayati yang bertajuk Ensiklopedia Islam dan Iran di Muzium Kesenian Islam di sini hari ini.
Selain Ali Akbar majlis itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah dan Pengerusi Yayasan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.
Dalam ucapannya, Abdullah juga menyentuh mengenai pentingnya semua ketua negara Islam tidak mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh pemerintah terdahulu.
”Tamadun Islam telah melalui beberapa siri sejarah dan ia banyak memberi pengajaran. Umat Islam perlu menjadikan setiap pengajaran ini sebagai panduan.
”Bagi ketua dunia Islam, kita seharusnya menilai sejarah ini dan kemudian memahaminya. Tujuannya untuk memastikan kita (pemerintah Islam) tidak mengulangi kesalahan yang serupa,” katanya lagi.
Dalam pada itu beliau menghargai usaha Ali Akbar menulis sebuah buku ilmiah kerana ia mampu memberi sumbangan ke arah meningkatkan jumlah buku berteraskan Islam.
“Dalam buku ini Ali Akbar menyentuh pelbagai perkara iaitu daripada pembinaan tamadun Islam hinggalah tajuk yang berkisar mengenai kemajuan sains dalam Islam.
“Buku ini amat sesuai untuk dijadikan bahan rujukan di institusi-institusi pengajian tinggi. Saya amat hargai usaha beliau kerana berjaya menambahkan koleksi bahan rujukan Islam,” katanya.
Ujar Abdullah, buku tersebut bukan sahaja mampu memberi manfaat kepada pengkaji Islam tetapi ia juga berfaedah kepada cendekiawan dalam bidang lain.
Sumber: Utusan Malaysia 31/05/08
Ulasan:
Mungkin ada benarnya dengan kata-kata Pak Lah di atas – ‘rasuah boleh menghancurkan sesebuah tamadun’. Ya tamadun Melayu di Malaysia nampaknya memang semakin hancur dengan gejala rasuah yang ternyata semakin meningkat di era pemerintahan anak Badawi ini. Jika nak dikaitkan dengan tamadun Islam pun ada kebenarannya juga di mana terbukti rasuah telah menjadi penyebab hancurnya tamadun Islam Hadhari yang dibina oleh Pak Lah. Kejatuhan tamadun Melayu dan tamadun Islam Hadhari disaksikan oleh seluruh dunia apabila kalahnya sebuah parti Melayu terbesar yang membawa konsep Islam Hadhari di dalam pilihan raya umum Malaysia ke-12 baru-baru ini!
Laporan rasuah oleh Transparency International pada 2005 melaporkan bahawa Malaysia telah jatuh 16 tangga dalam tempoh 10 tahun ini dari tempat ke-23 pada tahun 1995 ke tempat 39 pada tahun 2004. Kajian pada tahun 2006 pula telah mencatatkan Malaysia dengan index CPI 5.0, jatuh ke tangga 44, dari sejumlah 163 buah negara. [http://www.finfacts.com/corruption.htm]. Laporan ini membuktikan bahawa gejala rasuah adalah semakin memburuk di negara ini, sebuah kenyataan yang wujud dalam pemerintahan Abdullah, yang pada awal memegang tampuk pemerintahan mewar-warkan kepada dunia bahawa dia akan memerangi rasuah habis-habisan.
Sebagaimana masalah sosial dan masalah ekonomi yang lain, rasuah bukanlah satu masalah yang berdiri sendiri. Ia merupakan satu penyakit yang timbul dari sebuah sistem yang telah rosak. Sistem yang keji yang diamalkan di Malaysia (sistem kufur Kapitalis) hakikatnya memanglah akan melahirkan pelbagai bentuk kekejian di dalamnya. Dalam sistem kufur sekular yang diamalkan sekarang, masyarakat tidak lagi dididik dengan Islam, tidak diterapkan keamanan Islam, tidak dihukum dengan Islam dan segala-galanya adalah tidak Islam. Bagaimana mungkin sistem yang datang dari manusia, bukannya datang dari Allah boleh menyelesaikan masalah? Jika di kalangan pemimpin tertinggi sendiri berapa ramai yang terlibat dengan rasuah, maka apatah lagi pemimpin di peringkat bawahan. Jika beginilah perangainya orang yang memimpin sebuah negara, bagaimana mungkin sesebuah negara tidak akan hancur?