Belenggu Sistem Pemerintahan Barat Ke Atas Umat Islam

Pembentukan sebuah kerajaan di Malaysia dengan cara mengundi pada setiap Pilihan Raya Umum (PRU) merupakan satu cara hidup dalam aspek pemerintahan yang telah diajarkan oleh penjajah British yang telah menjajah Tanah Melayu selama lebih kurang 100 tahun. Ini adalah satu hakikat yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun. British seperti mana juga dengan kuasa-kuasa penjajah barat yang lain datang ke Tanah Melayu dengan misi gold, glory dan gospel bukan sahaja telah berjaya menukar sosio demografi Tanah Melayu menjadi sebuah negara berbilang agama dengan kepesatan perkembangan agama lain khususnya agama kristian, tetapi juga telah berjaya memacak satu cara hidup yang sangat penting iaitu sistem pemerintahan.

Dalam menguruskan pemerintahan, British telah mengajarkan bahawa sistemnya adalah sistem pemerintahan demokrasi. Rakyat mempunyai kuasa melalui undi untuk menentukan kerajaan yang memerintah. Begitu juga dengan perjalanan keseluruhan proses pembentukan sebuah kerajaan, iaitu daripada pengundian calon sampailah kepada proses pelantikan anggota kabinet telah diberikan panduan yang khusus  oleh British sebelum Tanah Melayu diberikan kemerdekaan.

British bukan sahaja telah berjaya mengajarkan bagaimana untuk mendirikan atau melantik sebuah kerajaan melalui proses PRU tetapi British juga berjaya mengajarkan bagaimana untuk menjalankan sesebuah pemerintahan. British telah meletakkan asas yang serba lengkap dalam menjalankan pentadbiran sesebuah kerajaan, dari segi bidang kuasa, proses peradilan sampailah kepada garis panduan dalam pengubalan undang-undang. Cara hidup sedemikian telah dipatri dalam bentuk undang-undang tertinggi iaitu Perlembagaan Malaysia dan telah dilaksanakan dalam kehidupan sejak sekian lama, maka ianya telah menjadi sebahagian budaya dan membentuk cara berfikir umat Islam khususnya dalam melihat aspek politik ataupun pemerintahan.

Oleh kerana aspek pemerintahan yang diajarkan oleh British telah menjadi budaya dan cara berfikir umat Islam di Malaysia, maka ianya secara tidak langsung telah membentuk kerangka khusus dalam kehidupan umat Islam bagi menguruskan perkara-perkara yang berkaitan dengan pemerintahan. Ajaran Islam yang berkaitan dengan pemerintahan sepertimana yang terkandung dalam Al-Quran dan As-Sunnah serta kitab khazanah ulama silam, hanya menjadi subset kepada cara hidup dalam pemerintahan yang diajarkan oleh British. Ajaran Islam yang berkaitan dengan aspek pemerintahan yang diambil daripada kitab suci Al-Quran dan As-Sunnah, hanya dapat digunakan sebagai salah satu pelengkap kepada kerangka pemerintahan yang telah dibentuk oleh British. Dalil-dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah bukan dijadikan sebagai rujukan dalam memutuskan sesuatu perkara, tetapi hanya digunakan sebagai justifikasi untuk menguatkan sesuatu hujah atau tindakan yang telah diputuskan. Kitab-kitab karangan ulama silam pula seringkali dimanfaatkan dengan penafsiran yang mengarah kepada membenarkan sesuatu keputusan atau tindakan agar selari dengan kerangka pemerintahan yang diamalkan. Demikianlah peranan Al-Quran dan As-Sunnah serta kitab-kitab ulama silam dalam pemerintahan demokrasi yang diajarkan oleh British.

Usaha menyesuaikan ajaran Islam dalam kerangka pemerintahan ciptaan British, akhirnya telah menimbulkan banyak kekeliruan terhadap ajaran Islam. Islam bukan sahaja dilihat sebagai ajaran yang sempit dan tidak progresif, malah sering dilihat sebagai senjata yang digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk political mileage. Keadaan ini akhirnya mewujudkan gerakan atau kumpulan yang cuba membuktikan bahawa ajaran Islam adalah ajaran yang luas dan progresif dengan cara menafsirkan ajaran Islam agar selari dengan kerangka pemerintahan ciptaan British yang diamalkan ketika ini.

Selain itu terdapat juga usaha daripada pihak tertentu untuk menanamkan kefahaman bahawa tiada kerangka khusus yang diajarkan oleh Islam dalam aspek pemerintahan. Mereka juga turut mengajarkan bahawa umat Islam boleh sahaja memilih atau menggunakan mana-mana sistem pemerintahan yang difikirkan baik. Apa yang penting adalah tercapainya maqasid syariah. Satu lagi ruang yang telah dimanfaatkan untuk membuat penafsiran yang bebas terhadap ajaran Islam agar selari dengan konsep pemerintahan yang telah diajarkan oleh British.

Perkara ini merupakan sesuatu yang janggal kerana sistem pemerintahan yang diamalkan di negara kita ketika ini merupakan sistem pemerintahan ciptaan Brtitish mempunyai asas dan prinsip pemerintahan yang serba lengkap. Dengan kata lain, ianya merupakan cara hidup yang khusus berdasarkan pandangan hidup tertentu. Meletakkan kuasa majoriti untuk menentukan antara yang baik dan yang buruk serta menentukan apakah bentuk undang-undang yang terbaik bagi menguruskan kehidupan bernegara. Pandangan hidup sedemikian merupakan pandangan hidup yang terbentuk daripada aqidah sekularisme.

Ajaran Islam yang diturunkan oleh Allah SWT kepada seluruh umat manusia melalui junjungan besar Nabi Muhammad SAW tentu sahaja mempunyai pandangan yang khusus dalam aspek pemerintahan. Sistem pemerintahan dalam Islam sudah pasti lahir daripada pangdangan hidup yang berasaskan kepada aqidah Islam. Umum memahami bahawa pemerintahan merupakan satu sistem kehidupan yang mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam kehidupan manusia. Bahkan penerapan sistem kehidupan yang lain seperti sistem ekonomi, pendidikan, perundangan, dasar hubungan luar dan sosial bergantung kepada sistem pemerintahan yang dijalankan. Oleh itu, tentu sahaja sesuatu yang tidak masuk akal jika perkara yang sebegini besar dan penting tidak mempunyai panduan khusus yang diajarkan oleh Islam.

Sebenarnya ada, terang lagi bersuluh. Sistem Khilafah merupakan sistem pemerintahan yang diajarkan oleh Islam. Islam mengajarkan dengan serba lengkap bagaimana sistem pemerintahan ini dijalankan, dari pelantikan seorang Khalifah melalui baiah sampailah kepada proses pemecatan Khalifah oleh Qadi Mazalim. Semuanya telah diajarkan oleh Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah. Apa yang lebih mustahak sistem ini telah dilaksanakan sejak zaman Rasulullah SAW, kemudian diteruskan oleh Khulafah Ar-Rasyidin dan diteruskan lagi oleh Khalifah-Khalifah seterusnya sehinggalah ianya diruntuhkan pada 3 Mac 1924 oleh British melalui talibarutnya Mustafa Kamel Attartuk.

Mus’ab
Pimpinan Pusat HTM