SN445 – Skandal YAPEIM: Bagaimana Islam Menanganinya?
SN Keluaran 20 November 2015
[SN445] Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) mencuri perhatian rakyat untuk seketika setelah pembongkaran oleh pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW), Akmal Nasir berkenaan beberapa dokumen yang didakwa sebagai bukti penyelewengan dalam pengurusan dananya. Walaupun dinafikan oleh pihak Yapeim, namun dakwaan tersebut sedikit sebanyak mengundang kekecewaan khususnya dalam kalangan para penyumbang dana sehingga ada pihak yang menganjurkan kempen pembatalan sumbangan kepada Yapeim menerusi Skim Potongan Gaji. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom, sebagai menteri yang didakwa menyalah urus dana Yapeim tersebut, ternyata kepanasan sehingga mengugut untuk menyaman Akmal yang disifatkannya sebagai berniat jahat. Sebanyak mana sekalipun penjelasan Jamil Khir, persepsi umum terhadap kredibilitinya dan juga Yapeim ternyata telah tergugat, sepertimana kredibiliti terhadap Perdana Menteri dengan skandal derma peribadi sebanyak RM2.6 bilion baru-baru ini. Hilangnya kepercayaan rakyat terhadap kerajaan sudah tidak boleh dielak kerana sudah banyak skandal penyelewengan, rasuah dan pecah amanah yang berlaku secara bersilih ganti.
Rakyat Malaysia, apatah lagi umat Islam, secara umumnya memang terkenal dengan sikap dermawan. Apa sahaja bencana yang menimpa saudara-saudara seagama, khususnya bencana dalam skala yang besar, baik di dalam mahupun luar negara, maka berduyun-duyunlah pemberi sumbangan yang menghulurkan bantuan. Oleh itu tidak hairanlah jika badan-badan amal yang melakukan pungutan derma tumbuh subur di bumi Malaysia ini, baik swasta mahupun kerajaan. Para penderma pula, kebanyakannya memang ikhlas memberi sumbangan dan tidak akan mempertikaikan ke mana wang tersebut dibelanjakan kerana sumbangan dilakukan atas dasar infaq atau sedekah kerana Allah semata-mata dan jika ada penyelewengan sekalipun, maka biarlah pelakunya menanggung dosa. Inilah antara sikap umat Islam di Malaysia yang wajar dipuji, walaupun sekadar memberi sumbangan dalam bentuk wang ringgit dan harta, tetapi belum lagi melibatkan sumbangan masa, tenaga, darah dan nyawa demi membela Islam dan menegakkan agama Allah. Namun, tidak sedikit kes di mana beberapa badan atau pihak-pihak tertentu menyalahgunakan sikap kedermawanan rakyat Malaysia ini, untuk melakukan penyelewengan dan pecah amanah. Apabila duit yang banyak berada di depan mata, syaitan memang akan bertapak di hati dan mata terus menjadi gelap, kecuali mereka yang benar-benar beriman dan ikhlas kepada Allah sahaja yang dapat melawannya.
Akmal Nasir mendedahkan yang rombongan Jamil Khir ke Washington, Minnesota dan Iowa pada 21 hingga 29 Mei tahun lalu menggunakan perbelanjaan wang amanah Yapeim melebihi RM400,000. “Saya hadir sebagai menteri yang dijemput untuk merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan Mid West Games 2014 yang melibatkan penyertaan lebih daripada 1,000 pelajar kita di AS dan Kanada,” kata Jamil Khir menjawab tuduhan tersebut. Menurut Jamil lagi, kejohanan tersebut adalah sebahagian daripada acara tahunan Program Blue Ocean Yapeim ke luar negara setiap tahun bagi membantu para pelajar Malaysia dalam aspek pembiayaan pengajian dan penganjuran pelbagai aktiviti riadah. “Saya sekadar datang untuk perasmian pelbagai program di sana (AS) terutamanya sukan tersebut yang begitu mencapai matlamat dan Yapeim sendiri menghulurkan serta menyampaikan bantuan kepada para pelajar kita di sana”, tegas Jamil [http://www.utusan.com.my/berita/politik/8216-saya-sedia-disiasat-8217-1.158170].
Amalan Infaq Dalam Islam
Infaq (membelanjakan harta) merupakan sebuah amalan yang mulia, sekiranya ia diniatkan semata-mata kerana Allah dan dilakukan untuk tujuan yang bersesuaian dengan Islam. Secara umumnya, infaq merupakan kegiatan penggunaan harta secara konsumtif, iaitu perbelanjaan atau pengeluaran harta untuk memenuhi suatu keperluan dan bukannya secara produktif, iaitu penggunaan harta untuk dikembangkan dan dijadikan pusingan modal lebih lanjut secara ekonomi (tanmiyatul maal). Manakala sedekah (sodaqah) pula merupakan sebahagian daripada amalan infaq yang ada keutamaannya sendiri dalam Islam di samping zakat, hibah, waqaf, tabarru’at dan sebagainya.
Sedekah pula dapat ditakrifkan kepada beberapa kategori dari segi istilahnya. Pertama, sedekah adalah pemberian harta kepada orang-orang fakir, miskin ataupun pihak-pihak lain yang berhak menerima sedekah, tanpa mengharapkan balasan atau imbalan. Ia diberikan oleh seseorang individu untuk mendekatkan dirinya kepada Allah, sama ada ia diberikan dalam keadaan susah mahupun senang. Sedekah sebegini hukumnya adalah sunat. Para fuqaha’ menggunakan istilah sodaqah tathawwu’ atau sodaqah nafilah bagi membezakannya daripada zakat yang hukumnya wajib. Dalam pada itu zakat turut dikenali dengan istilah sodaqah al mafrudhah (Dr. Wahbah az-Zuhaili, 1996). Namun hukum sunat ini boleh menjadi haram, bila diketahui bahawa penerima sedekah akan memanfaatkannya pada yang haram, sesuai kaedah syarak al-wasilah ila al-haram haram” (segala perantaraan kepada yang haram, hukumnya juga haram).
Amalan infaq (yang turut meliputi amalan bersedekah) memang terkenal menjadi sebahagian daripada amalan para sahabat dan generasi Islam terdahulu. Kita dapat saksikan bagaimana para sahabat RA berlumba-lumba dalam menginfaqkan harta benda mereka di jalan Allah SWT. Satu riwayat yang masyhur di mana Umar al-Khattab RA berkata,
“Rasulullah SAW menyuruh kami bersedekah. Ini bertepatan dengan harta yang ada pada aku. Aku berkata, ‘Jika satu hari aku akan menang di atas Abu Bakar, maka hari inilah aku akan menang atas beliau.’ Maka aku datang dengan separuh hartaku, lalu Rasulullah bertanya, ‘Apa yang engkau tinggalkan untuk ahli keluargamu?’ Aku menjawab, ‘Sepertiga.’ Maka datang pula Abu Bakar membawa seluruh harta yang ada padanya. Lalu Rasulullah bertanya, ‘Wahai Abu Bakar, apa yang engkau tinggalkan untuk ahli keluargamu?’ Abu Bakar menjawab, ‘Aku tinggalkan untuk mereka Allah dan RasulNya.’ Umar berkata, ‘Aku memang tidak akan menang di atas Abu Bakar sesuatu pun selama-lamanya.” [HR Tarmizi]
Amalan membelanjakan harta (infaq) ini boleh sahaja diberi langsung kepada individu yang memerlukan dan boleh juga diberi kepada badan-badan tertentu yang mengelolakannya. Malah, boleh diberikan kepada negara untuk dikelolakan dan boleh sahaja bagi negara mewujudkan atau melantik badan-badan tertentu untuk tujuan menguruskannya. Apa yang menjadi isu di sini ialah infaq yang diberi kepada negara atau pihak-pihak tertentu untuk menguruskannya, sebagai pemegang amanah. Dalam Islam, segala pengurusan harta akan dikendalikan oleh Baitul Mal atau badan yang dilantik oleh Baitul Mal untuk menguruskannya. Jadi, tugas Baitul Mal dalam kes ini ialah untuk memastikan harta yang diinfaqkan itu sampai kepada tujuannya. Kerana itu, negara wajib memastikan pegawai yang ditugaskan di Baitul Mal ialah terdiri daripada mereka yang diyakini dan terbukti akan ketakwaannya. Harta amanah sama sekali tidak boleh (haram) digunakan untuk tujuan peribadi atau atas nama “urusan rasmi” kerajaan atau untuk manfaat mana-mana individu tertentu, termasuk penjaganya.
Menangani Penyelewengan Harta Amanah
Dalam dunia yang bertunjangkan sistem kapitalisme hari ini, ramai manusia yang menjadi sengsara atau tinggal dalam kesengsaraan. Dalam sistem kapitalisme-demokrasi ini, kita semua maklum yang berapa ramai manusia yang tidak mendapatkan haknya kerana pemerintah telah merampas hak rakyat dan menggunakannya untuk kepentingan peribadi. Fenomena pemerintah hidup dalam limpahan kekayaan manakala rakyat hidup dalam kubang kemiskinan merupakan fenomena biasa. Melihat kepada keadaan ini, maka tidak hairanlah wujudnya ramai individu dan badan-badan yang simpati dan berniat murni untuk membantu mereka yang memerlukan, lalu mereka menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik dan amanah, walaupun tidak semuanya begitu.
Dalam sejarah Negara Islam (Khilafah), kita telah lihat bagaimana sejahteranya rakyat yang hidup di dalamnya sehingga boleh dikatakan hampir tiada masalah kemiskinan, sehingga tidak memerlukan badan-badan amal yang bekerja untuk memungut derma bagi membantu orang miskin, anak yatim mahupun para pelajar. Kesemua hal itu ditanggung sepenuhnya oleh pemerintah. Namun malangnya, pemerintah sekarang, selain tidak melaksanakan kewajipannya menjaga rakyat, menubuhkan pula badan-badan kebajikan seumpama ini dengan memungut derma atau sumbangan, sama ada dari kakitangan kerajaan sendiri mahupun dari rakyat atas alasan membantu fakir miskin, anak-anak yatim, para pelajar dan lain-lain.
Kewujudan badan-badan seumpama ini oleh pemerintah, setidak-tidaknya telah berjaya mencapai dua objektif. Pertama, ia berjaya menutup segala kesalahan dan kepincangan pemerintah dan kedua, dana tersebut boleh dimanfaatkan untuk tujuan lain apabila mereka memerlukannya. Walhal menjadi kewajipan pemerintah untuk membantu rakyatnya yang memerlukan dan bantuan ini tidak boleh diambil dari duit sumbangan atau derma orang ramai, kecuali dalam keadaan darurat. Pemerintah wajib memastikan tidak ada seorang pun rakyatnya yang tidak cukup makan, tidak ada pekerjaan, tidak ada pendidikan dan seumpamanya dan wang/harta bagi menguruskan kewajipan ini wajib diambil dari sumber pendapatan negara yang telah ditetapkan oleh hukum syarak, bukannya diambil dari wang derma orang ramai dengan cara menubuhkan yayasan untuk memungutnya.
Dalam kes ini, apabila kakitangan kerajaan (apatah lagi menteri), dilihat atau diketahui, apatah lagi kalau adanya bukti, bahawa dia telah melakukan kesalahan, maka pihak yang menuduh atau yang mempunyai bukti tersebut wajib membawa pengaduan ke mahkamah. Pendedahan salah laku pemerintah (atau kakitangan mereka – yang dilakukan oleh mereka secara terbuka) dalam rangka untuk memuhasabah mereka, adalah suatu yang baik. Namun, ia sepatutnya disusuli dengan membawa dakwaan ke muka pengadilan. Dalam Islam, ada sebuah mahkamah khusus iaitu Mahkamah Madzalim yang akan membicarakan apa jua aduan atau sengketa di antara rakyat dengan pemerintah atau kakitangan mereka.
Kesalahan pecah amanah atau penyelewengan terhadap harta amanah, jika terbukti, maka pesalah itu wajib dikenakan ta’zir. Abdurrahman al-Maliki di dalam kitabnya Nidzam al-Uqubat menetapkan yang setiap orang yang diberi amanah berupa harta atau diberi kepercayaan memegang harta, kemudian ia mengkhianati amanah harta tersebut, maka pelakunya akan dikenakan hukuman sebat dan penjara sehingga 5 tahun. Termasuk dalam kategori ini ialah setiap orang yang mengkhianati harta yang diamanahkan kepadanya, seperti halnya ia berkedudukan sebagai pemegang wasiat bagi anak yatim, pengelola wakaf atau sebagai wakil atau sebagai pegawai atau yang lainnya. Selain itu, kakitangan pemerintah yang melakukan kesalahan itu mesti dipecat dari jawatannya.
Cuma masalahnya sekarang ialah mahkamah yang ada kini bukanlah mahkamah Islam dan telah banyak bukti yang ia tidak membawa keadilan. Atas dasar itulah yang mungkin menjadi penyebab kepada rakyat tidak percayakan mahkamah dan tidak mahu membawa kes, apatah lagi apabila melibatkan pemerintah, kerana ternyata sudah banyak kes di mana individu yang cuba melaporkan kesalahan pemerintah, individu itu pula yang terlebih dahulu ditangkap dan disoal-siasat oleh pihak berkuasa.
Khatimah
Seharusnya isu skandal Yapeim dan lain-lain skandal pecah amanah, mampu membuka mata umat Islam akan kelayakan para pemimpin dalam memegang amanah. Itu baru amanah yg kecil, apatah lagi ternyata para pemimpin yang ada tidak menerapkan amanah yang lebih besar yakni menerapkan hukum Allah secara kaffah. Selain itu, umat Islam juga wajar membuka mata bahawa keadilan yang mereka cari tidak akan mereka temui dalam sistem demokrasi yang ada pada hari ini yang terbukti telah melahirkan ramai pemimpin yang tidak amanah. Kita tidak akan mendapat keadilan dalam sistem demokrasi kerana ia merupakan sistem kufur buatan manusia yang rosak lagi merosakkan.
Sesungguhnya keadilan hanya akan wujud apabila kekuasaan dipegang oleh mereka yang amanah, ahlinya dan takutkan Allah. Sabda Rasulullah SAW,
“Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah saat-saat kehancurannya’. Salah seorang bertanya, ‘Bagaimana bentuk menyia-nyiakan amanah itu wahai Rasulullah?’ Baginda bersabda, ‘Apabila urusan itu diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat-saat kehancurannya” [HR Bukhari].
Keadilan yang sebenar hanya akan wujud apabila kita dinaungi oleh hukum Allah. Justeru, di samping mendedahkan dan memuhasabah setiap kesalahan pemerintah, setiap Muslim wajib berusaha menegakkan sistem yang datangnya dari Allah dan menegakkan negara yang diperintahkan oleh Allah untuk didirikan yakni Negara Khilafah Rasyidah ala minhaj nubuwwah dan melantik seorang Khalifah yang amanah lagi bertakwa, agar kita semua terhindar dari dosa dan kehancuran.
Wallahu a’lam.