SN076 – Dialog Antara Peradaban – Umat Islam Terperangkap Dalam Agenda Kufur

PDF

SN Keluaran 2006

[SN076] Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa pemimpin dunia Islam dan Barat memastikan diri, kerajaan dan rakyat masing-masing komited mengadakan dialog bagi menghasilkan tindakan sebenar sebagai cara konkrit untuk menyelesaikan kepincangan dalam hubungan antara mereka. Perdana Menteri berkata, dialog antara Kristian Barat dan dunia Islam mesti dapat menghasilkan bukan sahaja peningkatan kefahaman tetapi juga azam untuk membetulkan apa yang salah. ‘‘Akhirnya, ini bermakna semakan semula di peringkat domestik, sebarang dasar yang menyebabkan ketidaksaksamaan di kalangan penduduk. Dan di peringkat global, sebarang tindakan sebelah pihak yang mencetuskan ketidakadilan terhadap orang lain dan negara lain,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan Cendekiawan Islam Antarabangsa di Jakarta anjuran Nahdatul Ulama Indonesia. Menurut Perdana Menteri lagi, bagi memastikan dialog itu mencapai objektifnya, adalah penting bagi Barat untuk terlebih dahulu mengiktiraf Islam bukan hanya sekadar agama semata-mata [UM 21/06/06].

Mengulas kenyataan Perdana Menteri ini, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, sudah sampai masanya dialog antara Islam dan Barat diadakan ekoran fitnah yang dilemparkan oleh segelintir pemimpin Barat terhadap ajaran Islam. “Diterima atau tidak, itu terpulang pada mereka. Apa yang penting, kita mesti lakukan sesuatu untuk memperjelaskan kepada masyarakat dunia bahawa Islam bukanlah agama yang menggalakkan keganasan seperti yang diwar-warkan oleh segelintir pemimpin Barat,” Beliau menambah, umat Islam sudah tidak boleh bertangguh lagi untuk memperbetulkan persepsi masyarakat bukan Islam terhadap Islam, khususnya bagi masyarakat bukan Islam di Barat. “Dialog ini amat penting kerana boleh dikatakan hampir 90 peratus masyarakat bukan Islam di Barat tidak tahu dan tidak faham mengenai ajaran Islam,” [UM 22/06/2006].

Banyak lagi seruan-seruan seumpama ini dilaungkan oleh pemimpin-pemimpin kaum Muslimin di seluruh dunia, malah boleh dikatakan berkumandang setiap kali Barat menyembelih umat Islam. Di kala darah umat Islam membasahi bumi, di kala itulah para pemimpin dan ulama kaum Muslimin menghulurkan tangan untuk berjabat dan berbincang dengan Barat. Setiap kali Barat berpesta membunuh kaum Muslimin, setiap kali itulah kedengaran dan kelihatan sang pemimpin dan ulama mengajak sang pembunuh duduk semeja. Maka bergembiralah sang kuffar dengan seruan untuk ‘menikmati teh bersama’ ini setelah mereka penat menyembelih mangsanya. Wahai kaum Muslimin yang ikhlas, SN kali ini ingin mengajak kalian merenung sejenak, apakah seruan seperti ini dapat mengubah musuh-musuh Allah ini kepada mengasihi kalian. Apakah cara ini yang diperintahkan oleh Allah kepada kaum Muslimin di dalam menghadapi musuh-musuhNya?

Pertembungan Peradaban Adalah Sesuatu Yang Pasti

Sebagaimana diketahui, era Perang Dingin yang berlangsung sejak 1946 telah berakhir pada awal 1990-an, selepas runtuhnya USSR dan berakhirnya pertembungan Kapitalisme-Sosialisme, yang diikuti dengan terlepasnya wilayah-wilayah negara bekas USSR seperti Azerbaijan, Kyrgyzstan, Turkmenistan, dan Uzbekistan. Francis Fukuyama, seorang pemikir Amerika berketurunan Jepun, menanggapi peristiwa ini dengan menyebutnya sebagai Babak Akhir Sejarah (The End of History). Menurutnya, pertembungan antara Kapitalisme dan Sosialisme sudah berakhir dan dunia akan terarah kepada sistem demokrasi liberal semata-mata dengan Amerika Syarikat (AS) sebagai kaptennya. Era ini diwar-warkan oleh George Bush sebagai The New World Order (Tata Baru Dunia) dengan Amerika sebagai single player dan negara lain sebagai buffer-nya.

Namun seiring dengan terpolarisasinya berbagai negara ke dalam jaringan sistem Kapitalisme global, muncul sebuah analisis futuristik dari Samuel P. Huntington tentang masa depan pola hubungan antarabangsa yang menunjukkan kecenderungan antagonistik dan diwarnai konflik. Secara lebih tegas dia mengatakan, konflik itu semakin meningkat antara Islam dan masyarakat Asia di satu pihak dan Barat di pihak lain. Lebih jauh lagi, Huntington meramalkan, tentangan paling serius bagi hegemoni Amerika pada masa mendatang adalah revivalisme Islam dan peradaban Cina (Konfusianisme).

Perdana Menteri Britain, Tony Blair yang menjadi sekutu kuat Bush secara lantang menyebut ideologi Islam sebagai ‘Ideologi Setan’. Dalam pidatonya pada Persidangan Nasional Parti Buruh Inggeris, Blair menjelaskan ciri ideologi setan, iaitu: (1) Menolak kewujudan Israel (2) Memiliki pemikiran bahwa syariat adalah dasar hukum Islam (3) Kaum Muslimin mesti menjadi satu kesatuan di dalam naungan Khalifah (4) Tidak menerima pakai nilai-nilai liberal dari Barat.

Kita tidak patut lupa akan ucapan musuh-musuh Allah terhadap kita, ketika Presiden Bush menyatakan dengan lantang kepada dunia, either you are with us or with the terrorist. Kita juga jangan lupa yang Presiden AS ini menyebut serangan ke atas Afghanistan dengan istilah ‘crusade’ (Perang Salib). Realiti menunjukkan bahawa setelah serangan ke atas WTC 11 September 2001, secara rasmi Bush telah mengisytiharkan perang Salib ke atas umat Islam, “This crusade, this war on terrorism, is going to take a long time,” ujar Bush seperti disiarkan oleh BBC on line pada 16 September 2001. Pernyataan istilah crusade ini sempat diperbetulkan oleh Setiausaha Pertahanan AS. Akan tetapi, apa ertinya pembetulan yang dibuat oleh seorang setiausaha jika dibandingkan dengan pernyataan rasmi oleh seorang presiden. Apalagi pernyataan ini diulanginya lagi pada 16 Februari 2002 “…Kita tidak punya kawan yang lebih baik daripada Kanada yang berpihak kepada kita pada perang Salib ini.” Dari pernyataan ini jelas Bush menyatakan bahawa perang Salib dalam bentuknya sekarang adalah perang melawan terrorisme (baca : Islam).

Serangan peradaban kapitalis Barat tidak pernah berhenti. Mereka dari dulu hingga sekarang terus menerus menyebarluaskan Ideologi Kapitalis yang sekular. Mereka membuat undang-undang sendiri dan mengajar kaum Muslimin agar melakukan perkara yang sama. Mereka mencipta sempadan geografi antara negeri-negeri kaum Muslimin. Mereka juga mengangkat para penguasa boneka di negeri-negeri umat Islam sebagai agen mereka, bagi menyebarluaskan pengaruh dan idea-idea kufur mereka, melindungi kepentingan mereka, mempertahankan batas geografi yang mereka ciptakan, menyesatkan kaum Muslimin dari jalan Allah, serta menentang setiap orang yang tulus ikhlas berusaha menegakkan Islam. Mereka juga dibantu oleh para penjilat mereka dari kalangan intelektual, yang sentiasa menyeru, membela dan mengagung-agungkan pemikiran-pemikiran sekular mereka.

Serangan pemikiran ini tidak terhenti di sini. Propaganda kepada peradaban Barat seperti liberalisme, demokrasi, pluralisme, negara bangsa (nation state), hak asasi manusia (HAM), hak-hak perempuan (feminisme), ikatan patriotisme, dialog antara agama, dan sebagainya, terus berjalan dengan lancar. Sesungguhnya hal ini merupakan suatu pertarungan pemikiran yang sangat keras antara dua ideologi, Islam dan Kapitalisme. Pertembungan antara Islam-Barat ini begitu jelas hingga tidak ada lagi bukti yang perlu diungkapkan. Fakta menunjukkan bahawa masing-masing ideologi memandang yang lain sebagai musuhnya. Inilah kenyataan yang tidak dapat dinafikan, kecuali oleh mereka yang ’buta’ atau yang menjadi pemuja Barat.

Jangan Terpedaya Wahai Saudaraku

Terlalu banyak bukti yang menunjukkan bahawa betapa Barat cuba memerangkap umat Islam dengan konsep dialog yang dicanangkan (lihat Sautun Nahdhah bertajuk : Pluralisme – Jerat Makan Tuan). ’Keindahan’ konsep ini telah memukau tidak sedikit dari kalangan pemimpin kaum Muslimin. Dari seluruh kata-kata yang diluahkan oleh Barat dan juga para pak turut Barat dari kalangan kaum Muslimin, kita dapat simpulkan bahawa dialog di antara peradaban atau agama ini bertujuan untuk (1) menyeru kesamaan dan kesetaraan antara agama dan peradaban, serta mengakui bahawa tidak ada agama atau peradaban yang lebih baik di atas yang lain (2) menerima keberadaan agama atau peradaban lain sebagaimana adanya, serta mengungkap konsep agama dan peradaban lain tanpa memberikan penilaian salah terhadapnya dengan tujuan agar saling memahami dan mengakui pihak lain tanpa batas atau syarat tertentu. (3) interaksi bagi menciptakan satu peradaban alternatif yang unggul dengan mencari titik temu dan nilai-nilai kemanusiaan yang terkandung di dalam setiap agama atau peradaban.

Wahai kaum Muslimin! Sedarkah kalian bahawa seluruh konsep dan seruan di atas adalah sangat bertentangan dengan Islam. Tidak ada satu dalil pun yang membenarkan apatah lagi memerintahkan seruan seumpama itu. Seluruh konsep itu bukan berasal dari Islam malah merupakan penyimpangan dan penyesatan yang jelas-jelas membahayakan Islam. Konsep persamaan antara agama dan peradaban ini adalah konsep yang lahir dari pemikiran kufur, kerana ini merupakan seruan untuk menyamakan yang benar (haq) dan yang salah (bathil), antara deen yang lurus dan yang menyimpang, antara keimanan dan kekufuran, antara petunjuk (hidayah) dan kesesatan (dhalalah), antara yang menghapuskan (nasikh) dan yang dihapuskan (mansukh), antara berhukum dengan hukum Allah dan hukum thaghut, antara konsep peradaban yang bersumberkan wahyu Allah dan bersumberkan hasil buatan manusia, antara Islam dan kafir.

Sungguh ’ajaib’ sebahagian dari pemimpin dan ulama kaum Muslimin. Di saat mereka mengajak kita untuk kembali kepada Al-Qur’an, pada saat yang sama mereka lupa kepada ayat-ayat Al-Qur’an. Allah Subhanahu wa Ta’ala mengingatkan kita,

”Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: ’Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)’ dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu” [TMQ al-Baqarah:120].

Adakah kita tidak mengimani peringatan Rabb kita ini? Permusuhan mereka dengan kita teramat jelas, dari dulu, kini dan selamanya. Apakah kita juga telah lupa baru-baru ini ketika bercakap pada Kongres Yahudi Sedunia di Baitulmaqdis, Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert berikrar tidak ada imuniti terhadap rakyat Palestin yang menyerang Israel, “Saya ingin katakan di sini kepada sesiapa yang mahu menyerang kami, kami akan mengambil tindakan keras dan lebih menyakitkan daripada tindakan yang diambil pada masa lalu,” katanya. [UM 22/06/06]

Wahai kaum Muslimin! Apakah kalian masih mahu berdialog dengan pengganas kejam yang sedang menghalakan senjatanya ke arah kalian? Ataukah kalian masih sibuk melaungkan seruan untuk berdialog ketika senjatanya itu sedang mengerat leher saudara-saudara kalian? Sedarkah apa yang kalian lakukan ini? Lupakah kalian akan firman Allah di dalam Al-Qur’anul Karim,

”..mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka mampu” [TMQ al-Baqarah:217]

Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu mengikuti sebahagian dari orang-orang yang diberi Al-Kitab, niscaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang kafir sesudah kamu beriman” [TMQ Ali Imran:100]

Sebahagian besar ahli Kitab menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, kerana dengki yang (timbul) dari diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran (Islam)” [TMQ al-Baqarah:109]

”Mereka ingin supaya kamu menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, lalu kamu menjadi sama (dengan mereka). Maka janganlah kamu jadikan di antara mereka penolong-penolong(mu), hingga mereka berhijrah pada jalan Allah. Maka jika mereka berpaling, tawan dan bunuhlah mereka di mana saja kamu menemuinya, dan janganlah kamu ambil seorangpun di antara mereka menjadi pelindung, dan jangan (pula) menjadi penolong” [TMQ an-Nisa’:89]

Itulah di antara peringatan dari Yang Maha Mengetahui kepada kita. Masihkah kita percaya bahawa Barat ingin berdialog dengan kita apabila Kalamullah sendiri menjelaskan sebaliknya? Masihkah kita ingin menyahut seruan kufur ini di kala Al-Qur’an mengajarkan kepada kita bagaimana kita sepatutnya menghadapi dan memerangi musuh-musuh Allah ini?

Hubungan Peradaban Dengan Negara

Peradaban sangat erat hubungannya dengan kewujudan sesebuah negara. Peradaban dapat dianggap sebagai “isi”, sedangkan negara adalah “wadah”-nya. Dalam keadaan tanpa “wadah”, “isi” akan tercicir dan tercerai-berai tanpa ada ertinya. Hubungan erat peradaban dengan kewujudan negara ini dapat dibuktikan dari fakta sejarah perjalanan umat manusia. Tidak ada satu pun peradaban dapat wujud secara sempurna kecuali jika ianya ditegakkan oleh satu atau beberapa negara yang mendukungnya.

Peradaban Barat sulit dibayangkan dapat melakukan hegemoni seperti sekarang ini kalau tidak adanya negara-negara pendukungnya seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah Barat seperti Inggeris, Perancis dan lain-lain. Demikian pula peradaban Islam pada masa lalu, tidak akan dapat tegak sempurna tanpa kewujudan Daulah Islamiyyah yang berdiri selama 13 abad lamanya, sejak hijrahnya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam ke Madinah hingga berakhirnya Khilafah Uthmaniah di Turki.

Hancurnya Khilafah Islamiyyah pada tahun 1924 telah melenyapkan “wadah” bagi peradaban Islam. Dengan hancurnya Khilafah, peradaban Islam telah kehilangan kekuatan dan kemuliaannya. Dapat dikatakan, peradaban Islam hampir musnah dari realiti kehidupan, kerana Khilafah yang mendukungnya telah tiada. Sebagai gantinya, peradaban Barat sekularlah yang kemudian mendominasi kaum Muslimin saat ini. Maka dari itu, kewujudan Nnegara Khilafah adalah sesuatu yang amat mendesak yang tidak boleh ditawar-tawar lagi agar peradaban Islam dapat mendominasi peradaban Barat. Dan yang pastinya Negara Khilafah yang akan terjun ke kancah pertembungan peradaban itu adalah sebuah Negara yang kuat, yang didukung oleh kekuatan ideologi dan juga ketenteraan.

Khatimah

Apakah dialog antara agama yang disyorkan ini boleh menjadi jalan tengah untuk menyelesaikan pertembungan peradaban Barat dan Islam yang kita saksikan ini? Amat jelas bahawa dialog ini hanya merupakan ’penyelesaian’ yang datang dari aqal yang gagal untuk memahami bahawasanya yang hak dan batil itu adalah sesuatu yang secara pastinya akan bertembung. Sedarlah wahai kaum Muslimin, pertembungan peradaban adalah sesuatu yang hakiki. Ianya ada sejak dulu hingga sekarang dan akan tetap ada hingga Hari Akhir. Janganlah kalian terpedaya oleh para penyeru dialog antara agama dan antara peradaban yang tidak mahu menerima kenyataan, membiarkan segala penghinaan dan kekejaman dilakukan oleh kaum kuffar. Siapkanlah diri kalian untuk menghadapi konflik ini kerana peradaban kufur Barat telah, sedang dan akan sentiasa menyerang kalian, baik secara politik, ekonomi, pemikiran mahupun ketenteraan.

Wahai kaum Muslimin yang dimuliakan! Yakinlah bahawa jika kalian berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenar, kaum kafir tidak akan mampu mengalahkan kalian. Jangan sekali-kali kalian berkiblatkan Barat. Kehinaan menimpa kalian apabila kalian mengambil jalan hidup sebagaimana Barat. Aqidah kalian adalah aqidah yang benar, maka berjuanglah untuk memurnikannya dan menyingkirkan segala debu dan kotoran yang telah Barat lemparkan. Waspadalah dengan segala laungan yang menyeru kalian kepada kegelapan. Berhati-hatilah dengan segala seruan yang boleh mendekatkan kalian kepada kekufuran. Carilah petunjuk di dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah. Di sana kalian akan menemui cahaya yang akan menerangi hidup kalian.

Ya Allah! Berilah petunjuk kepada umat Muhammad, kepada apa yang Engkau redhai, dan jadikanlah kami kaum yang akan menzahirkan agamaMu di muka bumi ini. Ya Allah! Kami adalah makhluk yang lemah di hadapanMu, yang sentiasa mengharapkan pertolongan dan perlindunganMu, yang berserah diri kepadaMu dan sentiasa berusaha menegakkkan agamaMu. Ya Allah! Turunkanlah kemenanganMu, kembalikanlah Daulah Khilafah ’ala minhaj nubuwwah sebagaimana yang RasulMu telah khabarkan kepada kami.

Amin ya Rabbal ’alamin.