SN096 – BERSATULAH WAHAI UMAT MUHAMMAD!!!
SN Keluaran 2006
[SN096] Setelah Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam diangkat menjadi Rasul, maka baginda telah bertungkus lumus dan bermati-matian mendakwahkan agama Allah kepada semua manusia. Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam yang hanya keseorangan pada waktu itu telah menentang keseluruhan aqidah, agama, kepercayaan, adat-istiadat, dan segala jenis ikatan yang ada di dalam masyarakat Jahiliyyah di kota Makkah. Dengan satu kalimah tauhid, La ilaha illallah Muhammad Rasulullah yang dengannya Muhammad diutus, maka sesiapa sahaja yang memeluk agama Allah disatukan dengan satu ikatan yang kukuh. Ikatan ini tidak lain adalah ikatan aqidah. Ikatan aqidah yang dibawa oleh Muhammad ini tidak lagi mengenal dan mengiktiraf ikatan-ikatan lain yang mengikat manusia pada ketika itu seperti ikatan Qaumiyyah, Assabiyyah, Wathaniyyah dan sebagainya. Setelah manusia mengikat diri mereka dengan ikatan yang baru ini, maka mereka bersatu tanpa mengira kaum, bangsa, pangkat dan darjat. Maka terburailah segala ikatan-ikatan Jahiliyyah yang ada pada manusia, kecuali mereka yang masih kekal di dalam kekufuran.
Setelah memeluk agama Allah yang baru ini, maka orang-orang yang bersama dengan Muhammad ini telah menukar agenda perjuangan mereka. Tiada lagi perjuangan keluarga, kaum, bangsa dan tanahair; agenda perjuangan mereka hanyalah untuk Islam semata. Mereka hidup hanya untuk Islam. Ikatan mereka adalah ikatan Islam walaupun ada yang berkulit merah dan ada yang hitam. Mereka berpegang teguh dan bersatu di bawah kalimah yang sama. Mereka mendengar dan taat akan sabda Nabi mereka bahawa ”Bukanlah dariku orang-orang yang berkata-kata atas assabiyyah, berperang atas assabiyyah dan mati kerana assabiyyah”. Oleh itu, mereka hanya berkata-kata dengan Islam, berperang kerana Islam dan mati kerana Islam. Mereka memahami bahawa Muhammad diutus untuk menghapuskan segala ikatan bangsa dan tanahair dan menggantinya dengan ikatan Islam semata. Oleh itu, mereka telah menjadikan Islam sebagai agama hidup dan mati mereka. Inilah agenda perjuangan mereka.
Setelah Islam menjadi satu-satunya ikatan yang mengikat dan menyatupadukan mereka, hal ini telah menjadi keresahan dan kegelisahan kafir Quraish. Kafir Quraish mula memusuhi Muhammad dan pengikutnya, hanya semata-mata kerana Muhammad menyatukan mereka dengan ikatan yang baru ini, yang tidak membezakan di antara kaya dan miskin, tuan dan hamba, yang berpangkat atau tidak. Semuanya diikat dengan kalimah yang sama. Jika dahulu kaum Jahiliyyah ini bergaduh dan sanggup berperang hanya kerana ikatan kesukuan, setelah kedatangan Muhammad, mereka sekarang bergaduh dan ingin memerangi kelompok yang telah diikat dengan ikatan yang baru ini (ikatan Islam). Begitulah kebencian orang-orang kafir terhadap ikatan yang baru muncul ini. Kebencian ini menyebabkan mereka tidak henti-henti memerangi Muhammad. Kebencian ini wujud hanya kerana Muhammad menyeru agar manusia mengucapkan bahawa ’Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasul Allah’. Kebencian inilah yang diwarisi oleh kaum kuffar sekarang. Mereka tidak sanggup dan tidak akan membiarkan umat Muhammad kembali bersatu di atas ikatan ini. Mereka akan memerangi mana-mana kelompok yang berusaha untuk menyatukan semula umat Muhammad di atas asas ini.
Wahai kaum Muslimin! Agenda perjuangan kalian adalah ISLAM! Inilah agenda perjuangan Rasulullah. Tidakkah kalian sedar bahawa Rasulullah itu adalah orang Arab, tetapi baginda tidak pernah menjadikan bangsa Arab sebagai agenda perjuangan? Tidakkah kalian sedar bahawa para sahabat yang mulia juga adalah orang Arab, tetapi mereka tidak pernah memperjuangkan bangsa mereka? Kenapakah kalian masih menjadikan bangsa sebagai agenda perjuangan? Kenapakah kalian masih ingin menjadikan bangsa sebagai ikatan yang mengikat kalian? Kenapakah hanya Melayu yang perlu dibantu, yang perlu diberi perhatian, yang perlu diberi keutamaan, yang perlu diperbincangkan? Kenapa pula bangsa Melayu yang tinggal di selatan Thai tidak pula dibantu atau diperhatikan? Apakah nasib bangsa selain Melayu tidak perlu diperhatikan, walhal mereka adalah saudara seIslam kalian? Inilah racun assabiyyah dan wathaniyyah yang telah menjadi kanser di dalam tubuh kalian. Sedarlah wahai saudaraku, kalian telah kembali ke zaman Jahiliyyah!
Wahai kaum Muslimin! Kaum kuffar berjaya memecahbelahkan kita apabila mereka menghidupkan semula api nasionalisme dan patriotisme di dalam tubuh kita. Ikatan-ikatan inilah yang telah menyebabkan kita terpecah kepada lebih dari 50 buah negara. Ikatan-ikatan inilah yang menyebabkan umat Islam dan para penguasa mereka tidak bersatu, malah sebaliknya mereka bangga dan bermati-matian mempertahankan sempadan negara mereka yang palsu itu. Ikatan-ikatan kufur inilah yang telah menyebabkan hilangnya rasa persaudaraan dan tanggungjawab di dalam diri umat Islam dan para penguasa kaum Muslimin terhadap saudara mereka yang lain. Kerana ikatan Jahiliyyah inilah mereka hanya menjadi penonton kepada pembunuhan dan penganiayaan yang berlaku ke atas saudara-saudara seagama mereka.
Mereka tidak lagi peduli terhadap pembunuhan dan pembantaian ke atas umat Islam di Palestin, Iraq, Kashmir, Chehnya dan lain-lain. Mereka hanya perlu bersyukur dengan kemanan yang dinikmati oleh negara mereka dan berpeluk tubuh menyaksikan darah ibu-ibu, kakak-kakak dan anak-anak mereka membasahi bumi Iraq, Lebanon dan Palestin. Mereka sedikit pun tidak melihat kitab Allah dan Hadis Rasulullah bahawa Allah dan RasulNya MEWAJIBKAN mereka menghantar pasukan tentera yang mereka miliki demi membela dan menjaga darah kaum Muslimin, di mana sahaja darah-darah tersebut ditumpahkan di bumi Allah ini. Para penguasa ini hanya menginginkan keselamatan di dunia semata-mata, tanpa memperhitungkan azab Allah yang pedih yang bakal menunggunya di akhirat hasil pengkhianatan yang mereka lakukan!
Atas dasar ini, Sautun Nahdhah kali ini sekali lagi ingin menyeru dan mengemukakan kepada kalian akan seruan dari Hizbut Tahrir Pusat [Nasyrah asal adalah di dalam Bahasa Arab dan ini merupakan terjemahan yang telah disunting ke dalam Bahasa Melayu]. Seruan ini ditujukan kepada seluruh kaum Muslimin, terutamanya para penguasa mereka dan pasukan tentera umat Islam agar mereka mendengar dan melihat rintihan serta tangisan saudara-saudara mereka yang mengharapkan bantuan dari mereka. Sesungguhnya seruan ini adalah sebagai peringatan kepada mereka yang memegang kekuasaan bahawa Allah mengamanahkan mereka kekuasaan bukan untuk disalahgunakan untuk kepentingan peribadi, untuk kepentingan bangsa, tanahair, apatah lagi untuk tunduk menyembah musuh Allah, tetapi kekuasaan yang Allah anugerahkan kepada mereka hanyalah untuk mereka tunduk kepada Allah dan menegakkan agama Allah di muka bumi ini, sebelum Allah menjemput mereka bertemuNya pada hari yang tiada seorang pun yang berkuasa kecuali Dia. Maka pada hari itu, hilanglah segala kekuasaan dan kekuatan yang mereka miliki dan Allah akan bertanya mereka, ’Siapakah yang berkuasa pada hari ini?’
WAHAI TENTERA KAUM MUSLIMIN! TIADAKAH DI KALANGAN KALIAN SEORANG PEMBELA PUN TERHADAP ISLAM DAN KAUM MUSLIMIN, KEMULIAAN SERTA KEHORMATAN MEREKA?
Yahudi la’natullah telah menggerakkan Tentera Udara mereka untuk melepaskan beberapa tembakan ke arah wanita Muslimah di Bait Hanun, sehingga ada di antara mereka yang terbunuh dan tercedera. Mereka juga telah menyerang dan memusnahkan beberapa masjid; merosakkan tanam-tanaman dan membunuh kanak-kanak serta orang-orang tua di rumah-rumah mereka……sementara para penguasa kaum Muslimin pula hanya sibuk mengukur setakat manakah kemusnahan yang berlaku dan menghitung berapa ramaikah yang terkorban. Para penguasa ini hanya duduk menonton dengan penuh selesa akan kebiadaban dan kekejaman Yahudi tersebut yang membunuh wanita Muslimah dengan peluru-peluru mereka. Apa yang berlaku ini tidak sedikit pun menarik perhatian dan menyentuh perasaan para penguasa kaum Muslimin. Malah, apa yang keluar dari mulut-mulut mereka hanya berupa kecaman ke atas wanita Muslimah yang memprotes pembunuhan tersebut, tetapi para penguasa kaum Muslimin ini tidak sedikit pun menyalahkan Yahudi yang telah melakukan pembunuhan kejam tersebut.
Wahai Kaum Muslimin! Wahai Tentera Kaum Muslimin!
Masih belum tibakah masanya kalian melepaskan diri dari belenggu para penguasa yang telah menukarkan kemuliaan kalian menjadikan kalian kaum yang hina dan tiada maruah? Walhal apa yang sepatutnya mereka (para penguasa) lakukan ialah menggerakkan kalian menuju medan pertempuran melawan kebiadaban dan kekejaman Yahudi tersebut? Bagaimana mungkin tentera-tentera Mesir, Jordan, Syria dan Lebanon yang mempunyai kem-kem di sempadan Palestin hanya diam terpaku menyaksikan dengan mata kepala mereka sendiri para wanita Muslimah dikejar (untuk dibunuh) oleh kaum Yahudi? Mesir tanpa segan silu telah meminta izin dari Yahudi untuk menghantar pasukan petugas sempadannya ke wilayahnya sendiri, Rafah. Pasukan ini dihantar untuk menghalang penduduk Rafah (sebelah Mesir) dari membantu saudara mereka sendiri yang menetap di wilayah Rafah (sebelah Palestin). Padahal para tentera inilah yang sepatutnya menjaga dan melindungi kedua-dua penduduk dari serangan ganas dan kejam Yahudi!
Wahai Kaum Muslimin! Wahai Tentera Kaum Muslimin!
Apakah tidak ada di antara kalian orang-orang yang sangat mengharap dan merindukan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala serta syurgaNya? Apakah tidak ada di antara kalian orang-orang yang ingin mencari kehormatan di dunia dan kemuliaan di akhirat? Apakah tidak ada di antara kalian orang-orang yang benar-benar ingin menjual dirinya untuk memperoleh keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan bangkit berusaha mengubah kemungkaran dan kezaliman para penguasa itu, sekaligus menolong Allah dan RasulNya sehingga amalnya tercatat di lembaran-lembaran yang putih lagi bersih di sisi Allah? Apakah tidak ada di kalangan kalian seorang Mu’tasim yang akan menolong dan melindungi para wanita Muslimah ini dan menuntut bela di atas kebiadaban, kekejaman dan kezaliman musuh-musuh Allah ini?
Wahai Kaum Muslimin! Wahai Tentera Kaum Muslimin!
Sesungguhnya musuh-musuh kalian tidaklah kuat. ’Kekuatan’ yang ada pada mereka hanyalah disebabkan pengkhianatan para penguasa kalian sendiri yang bukan sekadar berdiam diri terhadap musuh, malah menyokong dan membantu musuh-musuh kalian untuk menghapuskan kalian. Mereka menjadikan kalian umat yang lemah dan takut kepada musuh-musuh kalian. Yahudi sebenarnya tidak pernah mencapai satu pun kemenangan dalam peperangan yang dihadapinya. Kejayaan mereka hanya muncul di dalam beberapa siri peperangan terancang (hasil pengkhianatan dari pemimpin kaum Muslimin sendiri). Kitabullah menjadi saksi akan hakikat ini,
وَإِنْ يُقَاتِلُوكُمْ يُوَلُّوكُمُ الأَدْبَارَ ثُمَّ لاَ يُنْصَرُونَ
Hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, sebagaimana dikeluarkan oleh Muslim, juga menjadi saksi,
«لَتُقَاتِلُنَّ الْيَهُودَ وَلَتَقْتُلُنَّهُمْ»
[HR Muslim].
Dalam riwayat lain disebutkan:
«تُقَاتِلُكُمُ الْيَهُودُ فَتُسَلَّطُونَ عَلَيْهِمْ»
Beberapa fakta peperangan turut menjadi saksi kepada hakikat ini:
Di dalam peperangan pada tahun 1948, sejumlah tentera yang benar-benar beriman kepada Allah menolak dari menyerah diri mahupun berundur dari benteng Al-Quds dan mereka tetap bertahan di sana dan akhirnya mereka menang.
Di dalam Perang al-Karamah tahun 1968, sekumpulan dari tentera kaum Muslimin telah mengengkari arahan penguasa mereka lalu terjun ke kancah peperangan untuk menolong peperangan di Al-Karamah. Mereka mencapai kemenangan dan pasukan musuh cabut lari dengan meninggalkan beberapa buah kereta kebal. Rupanya pemandu kereta kebal ini (tentera musuh) diikat di tempat duduk mereka agar mereka tidak melarikan diri!!
Hal yang sama juga terjadi pada permulaan perang tahun 1973, di mana sekumpulan pejuang dari tentera Mesir menggempur kubu-kubu pertahanan Yahudi di sempadan Bar Lev. Tentera Syria pula berjaya menyusup masuk ke sempadan 48 (Border 48) di Golan, meskipun tentera Yahudi ketika itu dilengkapi dengan persenjataan berat. Seandainya tiada pengkhianatan dari Sadat semasa Perang Dafurs, dan kejahatan Hafidz al-Asad terhadap tenteranya di Golan yang membenarkan Amerika terlibat dengan ’perang melalui meja perundingan’, bukannya di medan perang….. kalaulah bukan kerana ’perundingan pintu belakang’ ini, tentulah hasil perang tersebut akan berbeza sama sekali.
Yang terbaru, serangan Israel pada bulan Julai 2006 di mana sekelompok tentera yang masih memiliki keimanan ternyata mampu menentang keganasan Israel walaupun perbezaan dari segi persediaan dan peralatan ketenteraan amat ketara di antara keduanya.
Sesungguhnya Yahudi akan sentiasa diliputi kehinaan dan kengerian jika mereka menyedari bahawa sebenarnya cukup hanya dengan satu negara sahaja, tidak perlu bantuan negara-negara lain disekelilingnya, negara ini sudah mampu untuk melawan dan mengalahkan mereka. Andai saja negara Yahudi itu membayangkannya, pasti mereka tidak akan berani menyerang kaum Muslimin, bahkan pendudukan mereka di bumi Palestin pun akan turut goyah dan kucar-kacir. Mereka pasti akan mengalami nasib yang sama dengan orang-orang Yahudi sebelumnya. Rumah-rumah mereka telah dirobohkan oleh tangan-tangan mereka sendiri dan juga tangan orang-orang Mukmin; dan golongan yang bernasib baik dan terselamat dari kalangan mereka nescaya akan terusir dan lari dari Palestin.
Sesungguhnya wahai kaum Muslimin, kekuatan musuh-musuh kalian itu adalah disebabkan oleh pengkhianatan para penguasa kalian sendiri. Ini bukan hanya terjadi di Palestin, malah di setiap negeri kaum Muslimin yang diduduki oleh orang-orang kafir. Mereka sebenarnya tidak akan berhasil menguasai suatu negeri pun kecuali dengan sebab pengkhianatan para penguasa kaum Muslimin dan agen-agennya serta sikap berdiam-diri kaum Muslimin dari memberikan bantuan dan pertolongan kepada saudara seagama mereka. Kashmir contohnya, diduduki oleh orang-orang Hindu di mana Pakistan gagal untuk membebaskannya. Sebaliknya, Pakistan berusaha untuk menghancurkan gerakan Mujahidin di Kashmir sehancur-hancurnya. Manakala Chechnya pula berada di bawah penguasaan Rusia, sementara negara-negara Asia Tengah dan Azerbaijan hanya mengambil sikap berdiam-diri saja, tidak mahu membantu dan membebaskannya dari penguasaan Rusia yang begitu brutal. Adapun Afghanistan pula, tidak akan boleh ditawan oleh Amerika, melainkan dengan sebab pengkhianatan dan konspirasi keji dari penguasa Pakistan. Justeru itu, mungkinkah Amerika dapat menakluki Iraq seandainya Syria, Iran dan Turki bergerak untuk membantu Iraq? Atau seandainya sejumlah negara Teluk yang kecil-kecil itu tidak menjadikan wilayah-wilayah mereka sebagai pangkalan tentera Amerika dan Britain sebagai tempat pelancar serangan mereka ke atas umat Islam?
Wahai Kaum Muslimin! Wahai Tentera Kaum Muslimin!
Tentera kaum Muslimin adalah anak-anak kalian; semangat dan kekuatan mereka adalah lahir dari kalian. Mengapa kalian tidak berdiri bersama-sama mereka untuk mengubah para penguasa kalian yang berlutut tanpa maruah di hadapan musuh? Mengapakah kalian tidak bertindak membebaskan tanah-tanah kalian dan mengembalikan maruah kalian serta menjaga kemuliaan kalian? Sesungguhnya keinginan kalian dan kasihnya kalian kepada kehidupan dunia ini, hanyalah akan menjatuhkan kalian ke lembah kehinaan, kesengsaraan dan kepasrahan. Sesungguhnya itu adalah kehidupan yang benar-benar sia-sia jika kalian menyedarinya.
Sesungguhnya Hizbut Tahrir menyeru kalian!
Wahai seluruh kaum Muslimin, kami menyeru kalian dengan segala kekuatan yang kami miliki. Hizbut Tahrir menyeru kepada para tentera kaum Muslimin agar menyahut jeritan pertolongan para wanita Muslimah, menyahut tangisan anak-anak dan keluhan orang-orang tua yang tidak berdaya. Sesungguhnya Hizbut Tahrir menyeru kalian agar segera bergerak menuju medan perjuangan untuk menuntut bela terhadap mereka yang bertanggungjawab, di samping menyingkirkan para penguasa kaum Muslimin yang mengongkong kalian dan juga agen-agennya yang menghalangi jalan kalian. Inilah yang akan menyelamatkan kalian dari kemurkaan Allah dan azabNya, pada hari di mana harta kekayaan dan anak-anak tidak lagi bermanfaat kecuali mereka yang datang dengan hati yang tulus dan suci.
Sesungguhnya Hizbut Tahrir meminta pertolongan kepada kalian agar kalian berdiri bersama-samanya untuk mengembalikan Khilafah ar-rasyidah ’ala minhaj nubuwwah….. agar kalian menjadi golongan yang terpimpin di atas kebenaran, sebagaimana pimpinan Khulafa’ Rasyidin, al-Mu’tasim, Salahuddin al-Ayubi. Di saat inilah, tidak akan ada seorang kafir pun yang menyentuh seorang wanita dan akan terselamat dari perlakuan buruknya (apatah lagi menembak wanita Muslimah). Hanya dengan inilah kalian akan kembali menjadi umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia.
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا اسْتَجِيبُوا لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ
13 Syawal 1427H / 4 November 2006M
HIZBUT TAHRIR