SN278 – SEKILAS MENGENAI HUDUD SEBAGAI UQUBAT DALAM ISLAM
Tindakan-tindakan yang dikenakan uqubat adalah tindakan-tindakan (i) meninggalkan kewajiban (fardhu) (ii) mengerjakan perbuatan-perbuatan haram (iii) tidak mematuhi perintah atau melanggar larangan yang telah ditetapkan oleh Negara. Selain tiga hal ini, tindakan atau perbuatan apapun tidak akan dikenakan uqubat. Maksudnya, uqubat tidak akan dikenakan ke atas orang yang meninggalkan sesuatu yang sunat atau orang yang melakukan sesuatu yang makruh, apatah lagi perbuatan yang mubah (harus) sememangnya tidak akan dikenakan uqubat. Allah SWT hanya akan menyeksa orang-orang yang bermaksiat (meninggalkan kewajipan atau melakukan keharaman) sahaja. FirmanNya,
“Dan barangsiapa yang memaksiati Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya baginya neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya” [TMQ al-Jin (72):23].
Juga firmanNya, “Dan barangsiapa yang memaksiati Allah dan Rasul-Nya dan melanggar ketentuan-ketentuanNya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam api neraka sedang ia kekal di dalamnya, dan baginya seksa yang menghinakan” [TMQ an-Nisa’ (4):14].
Ringkasnya, perbuatan-perbuatan yang dikenakan uqubat hanya terbatas pada dua sahaja yakni meninggalkan yang fardhu atau mengerjakan yang haram.
Uqubat terdiri dari empat jenis iaitu hudud, jinayat, ta’zir dan mukhalafat. Hudud adalah hukuman atas kemaksiatan yang telah ditetapkan had/kadarnya oleh syara’ dan terdapat hak Allah di dalamnya manakala jinayat adalah hukuman yang dijatuhkan ke atas tindakan pembunuhan atau kecederaan terhadap badan yang mewajibkan qisas atau diyat dan terdapat hak manusia di dalamnya. Ta’zir pula adalah hukuman yang ditetapkan atas tindakan kemaksiatan yang di dalamnya tidak ada had (kadar) dan kifarat. Manakala mukhalafat adalah hukuman yang dijatuhkan kerana mengerjakan perkara yang dilarang oleh pemerintah (Negara) atau meninggalkan perkara yang diperintahkan oleh negara. ‘Pemerintah’ yang dimaksudkan adalah pemerintah yang memerintah berdasarkan Islam. Perlu difahami di sini bahawa hudud hanyalah merupakan salah satu (bukan satu-satunya) uqubat di dalam Islam. Kesemua jenis uqubat di dalam Islam, baik hudud, jinayat, ta’zir dan mukhalafat adalah wajib untuk dilaksanakan kesemuanya, bukannya hudud sahaja.
Hudud
Hudud adalah kalimah jama’ (plural) dari had. Dari segi bahasa, asal kata ‘had’ adalah sesuatu yang memisahkan dua perkara dan mencegah percampuran di antara keduanya. Contohnya had rumah (pagar) adalah sesuatu yang memisahkan rumah. Hukuman zina dan yang lainnya dinamakan dengan had kerana batas hukumannya telah ditetapkan oleh syara’ yang mana ia tidak boleh dkurangi atau dilebihi sedikitpun. Kadang-kadang istilah hudud bermaksud kemaksiatan itu sendiri sebagaimana firman Allah SWT,
“Itulah hudud (larangan) Allah, maka janganlah kamu mendekatinya” [TMQ al-Baqarah (2):187].
Kadang-kadang hudud dimaksudkan bagi syariat Allah dan laranganNya seperti firmanNya,
“Itulah hudud (hukum-hukum) Allah dan barangsiapa yang melanggar hukum-hukum Allah maka sesungguhnya dia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri” [TMQ at-Thalaq (65):1].
Hudud menurut istilah (syar’i) bermaksud “hukuman yang telah ditetapkan kadarnya oleh syara’ bagi suatu tindakan kemaksiatan untuk mencegah perlanggaran pada kemaksiatan yang sama” [Abdul Rahman Al-Maliki, Nidzamul Uqubat Fil Islam]. Kata had atau hudud dengan makna uqubat terhadap kemaksiatan, tidak disebut kecuali untuk jenis kemaksiatan yang di dalamnya terdapat hak Allah SWT. Dalam kesalahan hudud tidak ada pemaafan, tidak boleh menuntut pemaafan dan tidak boleh memberi pemaafan, baik oleh hakim, pihak yang mendakwa atau pihak yang didakwa, sebab hudud adalah hak Allah di mana tidak ada seorang manusia pun yang memiliki hak untuk menggugurkannya dalam keadaan apa sekalipun. Tindakan maksiat yang hukumannya termasuk ke dalam hudud ada tujuh iaitu zina, liwat, qadzaf, minum arak, mencuri, murtad, hirabah dan bughat (hirabah dan bughat diletakkan dalam satu kategori). Bagi setiap kesalahan, telah terdapat peringatan dan ketetapan dari Al-Quran dan As-Sunnah terhadap larangan dan hukumannya:-
Zina – Allah dan RasulNya telah mengingatkan manusia,
“Dan janganlah kamu mendekati zina sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk” [TMQ al-Isra’ (17):32].
Bagi penzina yang ghairu muhsan (belum berkahwin), hukuman untuk mereka adalah sebat 100 kali sebagaimana firmanNya,
“Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali dera…” [TMQ an-Nur (24):2].
Manakala bagi penzina yang muhsan (telah berkahwin), mereka akan dihukum rejam hingga mati berdasarkan hadis Rasulullah SAW,
“Bahawa seorang lelaki mengaku di hadapan Rasulullah yang dia telah berzina. Kemudian baginda memerintahkan supaya lelaki tersebut disebat sebagai had kepadanya, tetapi kemudian didapati bahawa lelaki tersebut adalah muhsan, maka baginda pun merejamnya” [HR Abu Daud].
Liwat – Al-Quran menggolongkan liwat sebagai perbuatan keji. Allah SWT berfirman,
“Dan (Kami juga telah mengutus) Lut (kepada kaumnya). (Ingatlah) tatkala dia berkata kepada kaumnya, ‘Mengapakah kamu mengerjakan perbuatan faahisyah (keji) itu, yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun (di dunia ini) sebelummu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsu syahwatmu (kepada mereka) bukan kepada wanita, malah kamu ini adalah kaum yang melampaui batas” [TMQ Al A’raf (7):80-81].
Dari segi uqubat terhadap manusia yang mengikuti perbuatan keji kaum Lut ini, Rasulullah SAW bersabda,
“Barangsiapa yang kalian dapati sedang melakukan perbuatan kaum Nabi Lut, maka bunuhlah kedua pelakunya” [HR Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah & Tarmizi].
Qadzaf – Qadzaf adalah tuduhan zina terhadap orang yang tidak melakukannya. Allah SWT berfirman,
“Sesungguhnya orang-orang yang menuduh (zina) wanita-wanita yang baik-baik, yang tidak terlintas pun untuk melakukan perbuatan keji itu, lagi beriman, mereka dilaknat di dunia dan akhirat dan bagi mereka azab yang besar” [TMQ An Nur (24):23].
Adapun uqubat ke atas si penuduh adalah dihukum 80 kali sebatan berdasarkan firman Allah,
“Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali dera” [TMQ an-Nur (24):4].
Khamar (minum arak) – Peringatan tentang larangan meminum arak juga disebut dengan jelas di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Allah SWT berfirman,
“Wahai orang-orang yang beriman, bahawa sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keuntungan” [TMQ al-Ma’idah (5):90].
Mengenai hukumannya, peminum khamar wajib disebat sama ada 40 atau 80 kali sebatan. Dari Anas bin Malik ra “Bahawa Rasulullah SAW memukul (para peminum khamar) sebanyak 40 kali dengan pelepah kurma dan sandal” [HR Bukhari].
Dari Hudhain bin Munzir dari Ali bin Abi Thalib “Nabi SAW menyebat 40 kali, Abu Bakar 40 kali, Umar 80 kali dan semuanya adalah sunnah”.
Mencuri – Haramnya mencuri besertauqubatnya telah dinyatakan dengan jelas di dalam Al-Quran dan Al-Hadis. Allah SWT berfirman,
“Wahai Nabi, apabila datang kepadamu perempuan-perempuan yang beriman untuk mengadakan baiah (janji setia), bahawa mereka tidak akan mempersekutu sesuatu apapun dengan Allah, tidak akan mencuri…” [TMQ al-Mumtahanah (60):12].
Uqubat bagi pencuri sudah dimaklumi oleh setiap Muslim yakni potong tangan (jika cukup nisab) berdasarkan firman Allah,
“Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan dari Allah dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” [Al-Ma’idah (5):38].
Manakala kadar nisab untuk dibolehkan had potong tangan dinyatakan di dalam hadis dari Aishah di mana Nabi SAW bersabda, “Tangan dipotong kerana mencuri (sekurang-kurangnya) ¼ dinar atau lebih” [HR Bukhari].
Murtad – Firman Allah,
“Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya lalu dia mati dalam kekafiran maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya” [TMQ al-Baqarah (2):217].
Di dalam hadis disebutkan bahawa ketika Rasulullah SAW mengutus Muadz ke Yaman beliau bersabda kepadanya,
“Siapa sahaja lelaki yang murtad dari Islam maka serulah sampai ia kembali (memeluk Islam). Tetapi jika ia menolak, penggallah lehernya. Begitu pula jika ada perempuan yang murtad dari Islam, serulah ia sampai kembali (memeluk Islam). Namun jika ia menolak, penggallah lehernya”.
Hukuman ke atas orang murtad dan tidak mahu kembali kepada Islam setelah diseru, adalah bunuh berdasarkan sabda Nabi SAW,
“Barangsiapa menukar agamanya (murtad), maka bunuhlah dia” [HR Bukhari].
Hirabah – Hirabah atau dikenali juga sebagai qutha’u thuruq adalah golongan yang melakukan perlanunan atau aksi terrorisme. Larangan dan hukuman terhadap kesalahan ini tercantum di dalam Al-Quran dan juga hadis. Firman Allah SWT,
“Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya dan membuat kerosakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya)” [TMQ Al-Mai’dah (5):33].
Berdasarkan hadis, uqubat ke atas mereka berbeza mengikut tindakan yang mereka lakukan. Jika mereka membunuh dan merompak, maka uqubatnya adalah mereka akan dibunuh dan disalib. Jika mereka membunuh tetapi tidak merompak, maka uqubatnya adalah dibunuh sahaja dan tidak disalib. Jika mereka merompak sahaja tetapi tidak membunuh, maka uqubatnya adalah dipotong tangan dan kaki mereka secara bersilang. Jika mereka hanya melakukan aksi terrorisme (menakut-nakutkan) tetapi tidak membunuh atau merompak, maka uqubatnya adalah dibuang negeri.
Bughat – Bughat adalah golongan yang memberontak terhadap Negara (Khilafah) dan menampakkan penentangannya melalui senjata dan mengumumkan perang terhadap Khilafah (telah dikupas lanjut di dalam SN268). Allah SWT berfirman,
“Dan jika ada dua golongan dari orang-orang Mukmin berperang, maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari kedua golongan itu berbuat aniaya terhadap golongan yang lain, maka perangilah golongan yang berbuat aniaya itu sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah. Jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah) maka damaikanlah antara keduanya dengan adil dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil” [TMQ al-Hujurat (49):9].
Hukuman ke atas pelaku bughat adalah diperangi dengan peperangan yang bersifat mendidik. Dalam ayat di atas, Allah menyebut pelaku bughat sebagai orang-orang yang beriman. Ini bermakna bahawa melakukan bughat (semata-mata) tidak akan mengeluarkan mereka dari keimanan. Ayat ini juga menunjukkan dengan jelas akan wajibnya memerangi mereka dan menghentikan serangan terhadap mereka jika mereka kembali kepada perintah Allah sebagai sebuah sifat peperangan yang mendidik.
Demikianlah secara ringkas dalil-dalil Al-Quran dan As-Sunnah mengenai hudud dan uqubatnya yang terdiri daripada hukuman-hukuman tertentu yang telah ditetapkan had/kadarnya oleh Allah SWT. Selain dari perbincangan di atas, beberapa perkara lain yang perlu diketahui mengenai pelaksanaan hudud ialah hudud tidak boleh dijatuhkan kecuali ke atas orang yang sudah baligh dan berakal. Hudud wajib dikenakan ke atas Muslim dan juga non-Muslim yang menjadi warganegara Daulah Islam. Dari sisi pelaksanaan sebat, rotan atau alat sebat yang digunakan hendaklah yang ‘sederhana’, tidak baru dan tidak lama. Orang yang dikenakan hudud tidak ditelentangkan atau ditelanjangi ketika hukuman dijalankan. Hal ini berdasarkan perkataan Ibnu Mas’ud,
“Dalam agama kami tidak ada penelentangan, pengikatan dan juga tidak ada penelanjangan”.
Tidak diperkeras pukulan iaitu tidak memperkeras sebatan sebab yang dimaksudkan di sini adalah mencegah untuk mencederainya. Pemukul juga tidak boleh mengangkat tangannya hingga terlihat ketiak. Hendaknya berusaha untuk hanya memukul badan dan wajib mengelak/menjaga kepala, wajah, kemaluan serta anggota badan yang boleh mematikan (bila dipukul) seperti jantung atau testis. Pemukulan terhadap organ tersebut kadang-kadang boleh mengakibatkan kematian atau melenyapkan fungsi organ tersebut. Kaum wanita diperlakukan sebagaimana lelaki akan tetapi dipukul dengan posisi duduk. Ali ra berkata,
“Perempuan dipukul dengan (posisi) duduk (sedangkan) lelaki dengan berdiri” [Abdul Rahman al-Maliki, Nidzamul Uqubat Fil Islam].
Khatimah
Ya ikhwanal kiram! Ketahuilah bahawa hudud merupakan salah satu dan bukan satu-satunya uqubat di dalam Islam. Amat salah dan keliru sekiranya umat Islam itu hanya memperjuangkan hudud semata-mata tanpa berjuang untuk menegakkan uqubat lainnya seperti jinayat, takzir dan mukhalafat. Juga, adalah salah dan berdosa sekiranya umat Islam meninggalkan perjuangan Islam yang lain seperti kewajipan menerapkan sistem ekonomi Islam (Nidzamul Iqtisadi Fil Islam), sitem pergaulan Islam (Nizamul Ijtima’ie Fil Islam), polisi pendidikan Islam (Siyasah at-Ta’limiyyah Fil Islam), dasar luar negeri Islam (Siyasah al-Kharijiyah Fil Islam) dan sistem pemerintahan Islam (Nidzamul Hukmi Fil Islam) yakni sistem Khilafah. Sesungguhnya Islam itu merupakan sebuah ideologi (cara hidup) yang sempurna yang mengandungi semua sistem untuk mengatur kehidupan manusia. Pemerintah sekular pada hari ini sudah jelas lagi nyata tidak mahu kembali kepada Islam dengan memberikan pelbagai dalih dan alasan untuk tidak menerapkan sistem Islam. Manakala banyak gerakan Islam pula terperangkap dengan sistem demokrasi dan terkeliru di dalam perjuangan sehingga memperjuangkan aspek-aspek tertentu dari Islam dengan meninggalkan sebahagian besar aspek yang lain. Allah SWT mengingatkan kita,
“Apakah kamu beriman dengan sebahagian dari Al-Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang melakukan demikian itu di antara kamu, kecuali kehinaan dalam kehidupan dunia dan pada hari Kiamat mereka akan dikembalikan kepada azab yang amat berat” [TMQ al-Baqarah (2):85].
Nau’zubillah min zalik..