SN346 – PILIHAN RAYA: BEZA ANTARA ISLAM DAN DEMOKRASI

SN keluaran 12 April 2013


 
PILIHAN RAYA: BEZA ANTARA ISLAM DAN DEMOKRASI

[SN346] Keghairahan sesetengah pihak menanti hari pengundian Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akhirnya bakal terpenuhi apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan 5 Mei sebagai tarikh mengundi. Walaupun Parlimen baru dibubarkan pada 3 April lalu, namun kehangatan kempen PRU-13 oleh parti-parti yang akan bertanding telah dapat dirasakan jauh sebelum itu. Kini, di samping kempen, perang bendera dan banner secara besar-besaran telah mula berlaku. Jutaan ringgit dihabiskan oleh parti-parti yang bertanding dalam persiapan menuju PRU yang kesemuanya ini tidak perlu dibazirkan sekiranya tidak ada demokrasi. Harga demokrasi sememangnya “mahal”, namun para penganutnya sudah tidak nampak itu semua kerana debu-debu kotor demokrasi telah menutupi hati-hati mereka. Pesta lima tahun sekali ajaran penjajah ini sungguh tidak sayugia untuk dilepaskan begitu sahajahatta oleh gerakan-gerakan Islam sekalipun. Inilah antara kejayaan demokrasi di dalam menyihir umat Islam! Bukan sekadar itu, sebahagian umat Islam yang telah tersihir oleh demokrasi ini tidak mengkaji dan tidak lagi mengetahui hakikat pilihan raya dalam Islam sehingga menganggap bahawa pilihan raya di dalam sistem demokrasi adalah satu-satunya cara yang terbaik untuk memilih pemimpin. Lebih buruk, secara sedar atau tidak, mereka beranggapan bahawa pilihan raya itu sendiri adalah “milik” demokrasi yang sekali gus menjadikan demokrasi itu sungguh indah pada pandangan mereka.

Demokrasi = Hipokrasi

Di antara kesesatan yang berjaya dilakukan Barat ke atas umat Islam adalah idea demokrasi. Barat mengajar umat Islam bahawa demokrasi adalah jalan untuk melantik pemimpin sesuai dengan kehendak rakyat yang dipilih melalui suara ramai. “Suara ramai” ini diterjemahkan dalam bentuk pilihan raya. Suara ramai (suara rakyat) dikatakan suara keramat kerana ia mencerminkan kehendak rakyat. Melalui kaedah ini, Barat mengajar bahawa demokrasi adalah sebuah pemerintahan yang dibangun atas kehendak rakyat di mana kedaulatan adalah terletak di tangan rakyat (as-siyadah li asy-sya’bi). Oleh itu pilihan raya diadakan bagi merealisasikan kehendak rakyat. Barat seterusnya menyimpulkan bahawa demokrasi adalah sebuah pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat (from the people, by the people, for the people). Slogan inilah yang telah berjaya meracuni pemikiran umat Islam sehingga umat Islam terperangkap dengan sistem pemerintahan kufur ini.

Jika umat Islam berfikir lebih sedikit, nescaya mereka akan nampak bahawa pilihan raya di Malaysia ini bukanlah untuk melantik pemimpin tetapi sebenarnya adalah untuk melantik wakil. Kerana itulah namanya pun “wakil rakyat”. Pemimpin Malaysia (Perdana Menteri dan jemaah menteri), bukan dilantik oleh rakyat tetapi dilantik oleh parti yang memenangi pilihan raya dan menguasai Parlimen.Justeru, siapa yang percaya bahawa pilihan raya adalah bertujuan untuk melantik pemimpin sebenarnya telah berjaya ditipu hidup-hidup oleh demokrasi. Jika dilihat dari awal pun sebenarnya pembohongan demokrasi ini sudah cukup terserlah di mana calon yang dilantik di dalam pilihan raya pada hakikatnya bukanlah calon yang dipilih oleh “rakyat” tetapi dipilih oleh “parti”. Rakyat cuma “dipaksa” memangkah calon yang telah dilantik oleh parti tadi walaupun hakikatnya calon ini bukanlah pilihan mereka, malah mungkin langsung tidak dikenali oleh mereka pun.

Jika dilihat dengan lebih mendalam, seseorang itu tidak akan dapat menjadi calon jika tidak direstui oleh ketua parti. Dengan kata lain, orang yang melantik calon sebenarnya hanyalah (seorang) presiden parti sahaja. Kesimpulannya, apa yang dipanggil sebagai “wakil rakyat” itu sebenarnya bukanlah orang yang dilantik oleh rakyat tetapi dilantik oleh parti, melalui ketua parti (seorang) sahaja. Di sini sahaja sudah cukup membuktikan betapa bohongnya prinsip “suara ramai” dalam sistem demokrasi kerana untuk menjadi calon sahaja, pemilihannya hanya dibuat oleh “seorang” manusia sahaja (ketua parti) dan bukannya majoriti anggota parti pun. Maka tidak hairanlah wakil rakyat yang terpilih(di dalam pilihan raya) sebenarnya bukanlah “wakil rakyat” tetapi lebih merupakan “wakil parti” kerana hakikatnya calon tersebut adalah mewakili parti masing-masing. Kerana itulah, apabila mereka memenangi pilihan raya, mereka akan berkhidmat untuk parti dan bukannya untuk rakyat. Mereka akan mendahulukan kepentingan parti dan tidak mempedulikan kepentingan rakyat. Mereka akan memerintah dan berbahas di parlimen dengan menurut kehendak dan arahan parti, bukannya kehendak dan arahan rakyat. Dan berapa ramai dari kalangan mereka yang hanya mementingkan diri sendiri, hidup kaya raya, tenggelam dalam kemewahan, manakala rakyat yang “memilih” mereka tadi terus hidup susah, menderita dan tidak dipedulikan.Inikah dikatakan “wakil rakyat”?

Hakikatnya, dalam sistem demokrasi, boleh dikatakan tidak ada “wakil rakyat” yang sebenar, kecuali mereka yang bertanding atas tiket bebas atas kehendak rakyat danbukannya yang “dibiayai” oleh mana-mana individu atau parti politik secara senyap atas tujuan-tujuan tertentu. Umum mengetahui bahawa tidak semua orang dapat bertanding mewakili rakyat walaupun mereka menginginkannya, kerana “harga” demokrasi yang cukup mahal. Mereka perlu membayar ribuan ringgit untuk mendaftar diri sebagai calon, belum lagi untuk berkempen memastikan kemenangan. Justeru, dalam sistem demokrasi yang mahal lagi kufur ini, tiada tempat untuk orang-orang miskin menjadi wakil atau pemimpin, walaupun mereka memiliki ciri-ciri kepimpinan yang hebat. Inilah hakikat sistem demokrasi yang kononnya dikatakan berdasarkan suara ramai!

Persoalan Akad Wakalah

Dalam SautunNahdhah siri ke- 64 (Pandangan HizbutTahrir Tentang Pilihan Raya), kami telah menjelaskan bahawa sesungguhnya pilihan raya itu wujud dalam Islam. Namun, ia sama sekali berbeza dengan pilihan raya yang ada dalam sistem demokrasi. Dalam Islam, pilihan raya adalah uslub (sarana/teknik) untuk memilih orang yang akan mewakili umat. Konsep “wakil” iniada hukumnya tersendiri dalam Islam yang dalam perbincanganfiqhterkenal dengan istilah wakalah (perwakilan). Pilihan raya merupakan salah satu manifestasi dari konsep wakalah. Persoalannya, apakah tujuan atau bentukwakalah yang terdapat dalam pilihan raya dan apakah perbezaan antara wakalah pilihan raya demokrasi dan Islam?

Sebagaimana telah dijelaskan, pilihan rayabertindak sebagai sarana untuk memilih wakil-wakil rakyat. Wakil rakyat adalah orang yang akan menyuarakan aspirasi/kehendak rakyat. Dalam konteks demokrasi, pilihan raya ini disebut dengan pilihan raya legislatif, iaitu memilih orang-orang yang akan mewakili umat untuk membuat undang-undang dan peraturan tertentu, “sesuai” (walaupun hakikatnya tidak pernah sesuai) dengan kehendak rakyat.Dalam perspektif Islam, hukum asal pilihan raya adalah mubah (harus) selama memenuhi rukun-rukun dan syarat-syaratnya. Dari segi rukun, hendaklah ada dua pihak yang berakad yakni pihak yang memberi perwakilan (muwakkil) dan pihak yang menerima perwakilan (wakil)); adanya ijab dan qabul; adanya perkara yang diwakilkan atau amal yang akan dilakukan oleh wakil atas perintah muwakkil; serta adanya bentuk akad perwakilannya (sighahtaukil). Selanjutnya, faktor yang akan menentukan sama ada akad wakalah ini bertepatan dengan Islam atau tidak, bergantung pada kegiatan/amal yang akan dilakukan oleh wakil. Apabila wakil melakukan kegiatan yang bertentangan dengan akad wakalah atau bertentangan dengan akidah dan syariat Islam, maka wakalah ini tidak lagi sah di sisi syarak.

Satu perkara penting yang mesti ada sebelum wujudnya akad wakalah adalah “hak” muwakkil ke atas perkara yang ingin diakadkannya. Jika muwakkil itu tidak mempunyai hak ke atas “perkara” tersebut, maka dia tidak boleh, malah mustahil baginya untuk mewujudkan akad wakalah. Contohnya seorang ayah boleh mewakilkan (kewaliannya) kepada orang lain untuk mengahwinkan anaknya, kerana hak kewalian ada padanya. Tetapi si ibu atau lelaki lain yang tidak ada kena mengena dengan si anak, sama sekali tidak boleh mewakilkan (kewalian tersebut) kerana hak kewalian itu tidak ada padanya. Begitu juga dengan seorang yang tidak ada hak ke atas kereta, tidak boleh mewakilkan kepada orang lain untuk menjual kereta tersebut. Jika dilakukannya juga, maka akad wakalahtersebut bukan sahaja terbatal atau tidak sah, malah tidak pernah dikatakan wujud sejak awal.

Berbalik kepada akad wakalah dalam pilihan raya di dalam sistem demokrasi, ia tergantung kepada “perkara” yang diwakilkan/diakadkan. Jika perkara yang ingin diwakilkan itu adalah untuk membuat undang-undang (yang merupakan fungsi utama wakil rakyat), makawakalahitu bukan sahaja batal, malah haram yang boleh membawa kepada implikasi kesyirikan kerana sesungguhnya manusia tidak ada hak untuk membuat undang-undang. Hal ini boleh jatuh kepada usaha untuk bersekutu dengan Allah dalam membuat undang-undang. Mana mungkin manusia boleh “mewakilkan” sesuatu yang mereka tidak ada hak ke atasnya, apatah lagi dalam keadaan iniuntuk mengambil hak Allah SWT di dalam membuat hukum. Firman Allah, “Sesungguhnya menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah” [TMQ al-An’am(6):57] Namun sekiranya akad wakalah yang dilakukan adalah untuk wakil rakyat tersebut melakukan muhasabah kepada pemerintah di dalam Parlimen/DUN, merobohkan sistem kufur (demokrasi dan lain-lain) dan membangun sistem Islam (Khilafah) tanpa terlibat di dalam proses pembuatan undang-undang dan hal-hal lain yang tidak syarie, maka hal ini dibolehkan. Persoalannya, wujudkah orang seumpama ini yang membolehkan kita memilihnya sebagai wakil di dalam pilihan raya dalam sistem demokrasi?

Beza Pilihan Raya Demokrasi Dan Islam

Demokrasi merupakan sebuah sistem pemerintahan kufur yang berasal dari Barat. Pertentangannya dengan Islam cukup banyak dan ketara sekali. Begitulah juga dengan pilihan raya dalam sistem demokrasi yang cukup banyak dan ketara perbezaannya dengan pilihan raya dalam sistem Islam (Khilafah). Di antaranya:-

(1) Asas -Pilihan raya dalam demokrasi diasaskan pada falsafah dasar demokrasi itu sendiri, iaitu pemisahan agama dari kehidupan (fasludeenanilhayah – secularism) sedangkan pilihan raya dalam Islam didasarkan pada akidah Islam yang tidak pernah mengenal pemisahan agama dari kehidupan.

(2) Prinsip – Pilihan raya dalam sistem demokrasi didasarkan pada prinsip kedaulatan di tangan rakyat (as-siyadah li asy-sya’bi) sehingga rakyat, di samping mempunyai hak memilih penguasa, juga berhak membuat hukum. Sebaliknya pilihan raya dalam Islam didasarkan pada prinsip kedaulatan di tangan syarak (as-siyadahli asy-syar’ie), bukan di tangan rakyat. Jadi, meskipun rakyat berhak memilih pemimpinnya, namun kehendak rakyat wajib tunduk pada syarak (hukum al-Quran dan as-Sunnah). Rakyat (melalui wakilnya) tidak boleh membuat hukum sebagaimana yang berlaku dalam demokrasi.

(3) Pilihan raya sebagai jalan – Dalam sistem demokrasi, pilihan rayamenjadithariqah (metode) yang tetap untuk meraih kekuasaan dan mewujudkan kedaulatan rakyat. Sedangkan dalam sistem Islam, pilihan rayahanya merupakan salah satu uslub (cara/sarana)untuk memilih penguasa yang akan dibaiat untuk menjalankan hukum Allah dan memilih wakil rakyat ke Majlis Umat @ Majlis Syurauntuk menyampaikan muhasabah dan memberi input kepada penguasa. Dalam demokrasi, pilihan raya menjadithariqah yang “wajib” untuk meraih pemerintahan manakala pilihan raya dalam Islam hukumnya adalah sunat/mandub dalam rangka memilih wakil untuk melakukan muhasabah dan memberi masukan kepada pemerintah.

(4) Tujuan – Dalam sistem demokrasi, tujuan pilihan raya adalah untuk memilih wakil-wakil rakyat yang akan duduk di lembaga legislatif (dewan rakyat) yang akan membuat hukum berdasarkan keinginan rakyat sebagai bentuk manifestasi kedaulatan rakyat. Sedangkan dalam sistem Islam, pilihan rayaadalah bertujuan untuk memilih “wakil rakyat” ke Majlis Umat (bukan badan legislatif) dan pilihan raya juga boleh menjadi uslub untuk memilih wakil rakyat yang seterusnya akan memilih Khalifah untuk melaksanakan hukum Allah dalam pemerintahan.

(5) Keterlibatan rakyat dalam pilihan raya – Demokrasi menetapkan syarat umur tertentu (yang bercanggah dengan Islam) untuk membolehkan rakyat mengundi dan mereka berhak memilih wakil rakyat tidak kira Muslim mahupun kafir, sehinggakan berapa ramai dari golongan kafir memenangi pilihan raya dan seterusnya dilantik menjadi sebahagian dari pemerintah, suatu hal yang jelas haram menurut Islam. Sedangkan dalam sistem Islam, seluruh rakyat yang mencapai umur baligh (15 tahun) berhak mengundi, manakala non-Muslim hanya berhak mengundi wakil mereka (yang non-Muslim sahaja) ke Majlis Umat dan terhad kepada hal memuhasabah penguasa dalam perkara yang menyangkut kezaliman penguasa ke atas mereka. Orang-orang kafir tidak dibenarkan memberi apa-apa pendapat tentang hal-ehwal Islam.

(6) Orang yang berhak dipilih, fungsi dan tugasnya – Syarat atau kriteria orang yang berhak dipilih dalam demokrasi ditentukan oleh undang-undang buatan manusia seperti mencapai umur tertentu, tidak bankrap, tidak pernah dipenjarakan, pemegang kad pengenalan biru dan seumpamanya. Pilihan raya dalam sistem demokrasi merupakan manifestasi dari kedaulatan rakyat, maka, wakil-wakil yang dilantik bertugas membuat hukumatau undang-undang mengikut (kononnya) kehendak rakyat. Dengan kata lain,orang yang dilantik akan bertindak sebagai ahli lembaga legislatif. Sedangkan dalam Islam, syarat kelayakan wakil rakyat ditentukan oleh hukum syarak yang digali dari nas. Majlis Umat bukanlah lembaga legislatif, melainkan hanya lembaga perwakilan, yang akan menyalurkan muhasabah dan masukan dari umat kepada penguasa.Majlis Umat (Majlis Syura) tidak berhak (haram) membuat undang-undang kerana ia adalah hak Allah SWT.

(7) Ketua negara yang akan dipilih – Setelah memenangi pilihan raya dalam demokrasi, parti yang menang majoriti akan melantik ketua kerajaan yang dikenali sebagai Perdana Menteri atau Presiden, yang akan menerapkan hukum buatan manusia. Demokrasi membenarkan seseorang menjadi ketua negara walaupun dia terkenal fasik atau zalim, seorang perempuan mahupun non-Muslim. Sedangkan pilihan raya dalam sistem Islam adalah untuk memilih ketua negara yang bergelar Khalifah, yang akan menerapkan hukum Allah. Islam juga telah menetapkan syarat Khalifah iaitu hendaklah seorang Muslim, lelaki, baligh, berakal, adil, merdeka dan mampu. Hal ini ditambah dengan syarat-syarat keutamaan seperti seorang yang ahli dalam peperangan, mujtahid, berasal dari kalangan Quraisy, pemberani dan sebagainya. Syarak menetapkan bahawa ketua negara tidak boleh seorang perempuan, apatah lagi orang kafir. Non-Muslim tidak dibolehkan (haram) untuk memegang apa sahaja jawatan pemerintahan dan mereka juga tidak diberikan hak mengundi (untuk melantik) Khalifah. 

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Demikianlah perbezaan antara pilihan raya dalam negara demokrasi dengan pilihan raya dalam Negara Islam (Khilafah). Jika diperhalusi dan dilihat dengan hati yang ikhlas tanpa dicampuri pemikiran Machiavelli, maka setiap insan yang beriman dapat melihat dengan jelas akan pertentangan di antara pilihan raya demokrasi dan pilihan raya Islam. Begitulah juga dengan sistem demokrasi dan sistem Islam serta negara demokrasi dengan Negara Islam, kesemuanya adalah berbeza dan tidak adahubungan antara satu sama lain sama sekali. Justeru, dalam kehangatan suasana pilihan raya demokrasi ini, nilailah dan buatlah pilihan yang bijak berlandaskan hukum syarak apakah yang akan kita lakukan selepas ini. Apa yang pasti ialah, apa jua pilihan kita, ada Yang Melihatnya dan ada Yang akan Menghisabnya. Wallahua’lam.