SN355 – Apa Yang Membuatkan Amerika Berpaling Menentang Mursi?

PDF

SN keluaran 19 Jun 2013

APA YANG MEMBUATKAN AMERIKA BERPALING MENENTANG MURSI?

 

[SN355] Sehingga kini Amerika Syarikat masih enggan menyifatkan apa yang berlaku di Mesir sebagai kudeta (rampasan kuasa). Namun ia menggalakkan pelaksanaan pelan (roadmap) yang diumumkan oleh pemerintah sementara. Pada 11/07/2013 aljazeera.net melaporkan yang jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat berkata, “Pelan yang dibuat oleh pemerintah sementara untuk peringkat seterusnya adalah menggalakkan”. Jen Psaki, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat berkata, pemerintahan Presiden Mohamed Mursi adalah “tidak demokratik”, seperti yang dilaporkan dalam al-yaum as-sabi’ al-Misriyah (Mesir hari ketujuh) pada 12/07/2013.

Aljazeera.net juga melaporkan yang jurucakap White House, Jay Carney memberitahu pemberita pada11/07/2013 bahawa “Kami menilai bagaimana pihak berkuasa bertindak dan bagaimana mereka menangani keadaan semasa”, merujuk kepada pengumuman pada 03/07/2013 yang dibuat oleh Menteri Pertahanan dan komander tentera Mesir Abdel Fattah al-Sisi, tatkala mengguling Mohamed Mursi dan melantik Adli Mansour, ketua Mahkamah Perlembagaan sebagai presiden sementara.Jadi, apakah sebenarnya yang menjadikan Amerika berpaling menentang Mursi, sedangkan ia (Amerika) menyokong Mursi sejak awal lagi? Mengapa Amerika tidak menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai rampasan kuasa dan mengapa Amerika terus “menilai” (keadaan) sehingga ke hari ini!? Dan apakah yang boleh terhasil dari semua ini?

Jawapan kepada semua persoalan di atas dapat dijelaskan dengan poin-poin berikut:

1 -Dalam pusingan pertama pilihan raya presiden yang diadakan pada 23-24 Mei 2012, Mursi tidak dapat memenangi pilihan raya (terang-terangan), di mana undi terpecah antara beberapa calon. Pusingan kedua berlangsung pada 16-17 Jun 2012 dan Mursi diisytiharkan pemenang dengan 51.73% (kira-kira 13 juta undi) terhadap Ahmed Shafiq dengan 48.27% (kira-kira 12 juta undi). Ini bermakna bahawa hampir separuh daripada pengundi tidak mahukan Mursi sebagai presiden mereka, di mana mereka tetap memilih seorang lelaki daripada bekas rejim, walhal terhadap rejim itulah yang mereka memberontak sebelum ini.

Penting untuk disebutkan bahawa pengumuman keputusan pilihan raya presiden itu telah mengalami kelewatan, yang menunjukkan ada sesuatu di sebalik tabir. Kemudian ia selesai dengan mengisytiharkan kemenangan berpihak kepada Mursi ke atas Ahmed Shafiq, selepas Mohamed Mursi memberi jaminan kepada Amerika bahawa dia akan mematuhi perjanjian dan konvensyen yang telah dibuat oleh bekas rejim, terutamanya perjanjian Camp David, satu perjanjian yang sangat penting untuk Amerika, seperti yang dibuktikan oleh kenyataan Amerika sebelum dan selepas pilihan raya. Duta AS mengumumkan kepada akhbar Kuwait, al-Ra’yu al-Kuwaitiyyah, yang diterbitkan pada30/11/2012 bahawa:

“Amerika Syarikat komited kepada perjanjian damai antara Mesir dan Israel dan menganggap ia penting bagi keamanan dan kestabilan dirantau ini dan terutamanya untuk kesejahteraan rakyat Mesir dan Israel. Kami juga menganggap perjanjian ini sebagai asas bagi usaha keamanan dan kestabilan di rantau ini keseluruhannya. Kami sudah tentu gembira bahawa Kerajaan Mesir telah berulang kali menyatakan bahawa ia akan memenuhi semua obligasi antarabangsa Mesir”, sambil menambah “Kami menggalakkan Mesir dan Israel untuk meneruskan perbincangan langsung mereka terhadap keadaan keselamatan di Sinai dan isu-isu kepentingan bersama dan kami mengesahkan bahawa keselamatan di Sinai adalah yang paling penting dan utama.”

Ini menunjukkan bahawa Amerika dan entiti Yahudi berada di sebalik tabir kempen rejim Mesir selama beberapa bulan, terhadap kumpulan bersenjata yang menyeru jihad ke atas musuh Islam itu.

2- Inilah sebabnya mengapa Amerika menyokong Mursi dan berusaha memastikan Mursi berada di atas takhtanya. Pencapaian pertama Mursi untuk kepentingan Amerika dan untuk keselamatan puak Yahudi adalah gencatan senjata yang dilakukannya antara entity Yahudi dan kerajaan Hamas di Gaza. Ia adalah gencatan senjata yang benar-benar berlaku, hingga ke tahap di mana Hamas telah meletakkan para anggotanya dibatas sempadan antara mereka dan entity Yahudi,demi mengelak sebarang penyalahgunaan atau sebarang tembakan terhadap entity Yahudi! Amerika telah memuji apa yang dilakukan Mursi ini, dalam melaksanakan polisinya berhubung isu Gaza.

Amerika juga menyokong Mursi di dalam isu resolusi perlembagaan yang berkaitan dengan imunitinya terhadap badan kehakiman. Pada waktu tersebut, jurucakap Jabatan Negara AS, Victoria Nuland mempertahankan Presiden Mesir dengan berkata, “Presiden Mursi telah berbincang dengan badan kehakiman dan dengan pihak-pihak berkepentingan yang lain di Mesir. Seperti yang saya katakan, saya fikir kita belum dapat tahu lagi apa keputusan yang akan terhasil, tetapi sikap Mursi di sini agak jauh dari sikap yang mengatakan setiap perkara hendaklah dilakukan mengikut caraku atau jangan dilakukan sedikit pun” (Agensi Berita Timur Tengah 27/11/2012). Nuland secara khusus menafikan kata-kata penunjuk perasaan, yang menyifatkan Presiden Mursi sebagai diktator atau Firaun baru Mesir, sebaliknya dia mempertahankan Mursi dan keputusan yang telah di ambil Mursi.

Amerika juga menyokong Mursi berhubung resolusi kepimpinan di Mesir. Ia memecat beberapa komander tentera yang diketuai oleh Menteri Pertahanan dan juga Ketua Tentera, Hussein Tantawi dan Ketua Staf, Sami Annan, di mana Mursi mengeluarkan satu dekri perlembagaan terhadap hal ini dan Mursi tidak menghadapi sebarang tentangan yang ketara.

Amerika juga menyokong Mursi dalam isu Perlembagaan di mana Nuland berkata, “Puan Clinton berbincang semasa lawatannya ke Kaherah dan dalam mesyuaratnya dengan Presiden Mursi mengenai kepentingan dikeluarkan satu perlembagaan yang melindungi semua hak warga Mesir” (Timur Tengah 27/11/2012). Pengaruh politik Amerika dalam pemerintahan Mursi dan penentang Mursi adalah sangat jelas. Oleh itu, Perlembagaan telah diterima pakai dengan lampu hijau daripada Amerika Syarikat, yang hanya merupakan salinan “yang disemak semula” daripada perlembagaan 1971 bekas rejim, selepas menjalankan satu referendum di mana hanya 32.9% mengundi – satu pertiga daripada orang-orang yang layak mengundi, manakala dua pertiga lagi memboikot. Hasil referendum itu adalah 63.8% daripada satu pertiga pengundi tadi, mengundi untuk menerimanya! Jadi kesimpulannya, majoriti rakyat tidak gembira dengan perlembagaan tersebut dan juga tidak gembira dengan presiden mahupun keputusan-keputusannya.

3 –Amerika telah cuba untuk menenangkan keadaan dan meyakinkan rakyat untuk menerima presiden dan keputusan-keputusan presiden dan perlembagaan supaya dapat mewujudkan kestabilan rejim, yang boleh menjaga kelangsungan negeri di tangan Amerika pasca revolusi.Walau bagaimanapun, kestabilan yang diingini oleh Amerika gagal dicapai oleh Mursi dan Ikhwanul Muslimin (atas fakta bahawa mereka adalah parti presiden dan parti terorganisasi yang terbesar selepas pemansuhan Parti Nasional). Amerika mengharapkan yang Mursi dan Ikhwanul Muslimin bekerja untuk menstabilkan keadaan, seperti yang dilakukan oleh Parti Nasional bersama presiden yang telah diguling (Hosni Mobarak) selama 30 tahun. Ini kerana, Amerika mahukan Mesir menjadi pusat kestabilan pengaruhnya, bukannya demi kepentingan Mesir itu sendiri. Amerika mahu kestabilan di Mesir sebagai platform selamat untuk pengaruh dan projeknya, tetapi ternyata keinginannya tidak tercapai.

Apa yang lebih memburukkan keadaan adalah kekeliruan oleh pihak Presiden dalam membuat keputusan dan berikutnya menarik balik keputusan akibat tekanan. Juga, pihak presiden sewenang-wenangnya membuat keputusan tanpa berunding dengan sekutu-sekutunya, tanpa cuba untuk meyakinkan mereka, tanpa proses menguji pandangan orang ramai dan tanpa mewujudkan pandangan umum(public opinion) terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Justeru, kacau bilau dan usaha untuk melakukan revolusi terhadap Presiden berterusan sepanjang tahun ini selama dia memegang jawatan.

Kemudian masalah menjadi semakin kacau dalam ucapannya yang panjang pada 26/06/2013. Dr Mursi kelihatan goyah apabila dia mengaku bahawa dia telah melakukan kesilapan. Mursi tidak menjelaskan apa kesilapan-kesilapan tersebut, tetapi dia merujuk kepada pengisytiharan perlembagaan pada 22/11/2012 yang mencetuskan bantahan rakyat terhadapnya dan menggerakkan rakyat untuk menyingkirnya. Dalam ucapan terakhirnya pada 07/02/2013 Mohamed Mursi menegaskan bahawa dia telah melakukan kesilapan dan beberapa kelemahan terjadi akibat tindakannya, tetapi dia bersedia untuk membetulkan semua itu. Ini menunjukkan bahawa dia telah menerima kompromi, selepas tentera mengancamnya dengan memberi notis 48 jam.

Ini bermakna penyingkiran beliau telah diputuskan oleh tentera dan mereka yang berada di belakang tentera, iaitu Amerika, walaupun pada hakikatnya Mursi disokong oleh Amerika untuk mengambil keputusan sedemikian. Tetapi apabila timbulnya kesan negatif (hasil keputusan ini) maka Amerika meninggalkannya dan membiarkannya jatuh, malah berkonspirasi untuk menjatuhkannya, sebagaimana yang dilakukan Amerika terhadap kesemua ejennya yang tidak mengambil pengajaran!

4 -Begitulah kita telah melihat Amerika meninggalkan Mursi dan menafikan segala keputusannya. Pada07/02/2013 CNN memetik pegawai-pegawai kanan dalam pentadbiran AS sebagai berkata, “Duta Besar AS ke Mesir Anne Patterson dan pegawai-pegawai lain di White House berkata bahawa sebahagian besar tuntutan yang dibawa oleh rakyat Mesir dalam protes mereka adalah selaras dengan pembaharuan yang dituntut oleh Washington dan sekutu-sekutu Washington dalam beberapa minggu yang lalu.” Hal ini disahkan sebagaimana dipetik oleh Reuters dari kenyataan White House pada07/02/2013, “Presiden Obama menggesa Presiden Mursi untuk mengambil langkah-langkah bagi menjelaskan bahawa beliau telah memenuhi tuntutan penunjuk perasaan”.

Obama seterusnya berkata, “Krisis ini hanya boleh diselesaikan melalui proses politik.”Kenyataan ini bermaksud bahawa Amerika ingin meninggalkan Mursi dan mencari satu proses politik yang baru.Tiada satu pun dalam kenyataan Amerika yang menunjukkan bahawa ia menyokong presiden Mesir yang dipilih itu (Mursi),sebaliknya Amerika meminta Mursi bertindak untuk memenuhi tuntutan penunjuk perasaan yang menuntut penggulingannya!

Semasa berlakunya rampasan kuasa, diumumkan bahawa Presiden Obama sedang bermesyuarat dengan penasihat kanannya di White House tentang apa yang sedang terjadi di Mesir dan Obama berkata, “Tentera Mesir mesti bertindak pantas dan penuh tanggungjawab untuk memulangkan kuasa sepenuhnya kepada kerajaan awam (civilian government) secepat mungkin”(Reuters 03/07/2013). Obama tidak mengutuk rampasan kuasa itu, malah dia tidak pun menyifatkannya sebagai rampasan kuasa tentera. Amerika juga tidak menuntut agar Mursi dikembalikan ke jawatannya dan juga tidak menuntut untuk dibatalkan keputusan badan kehakiman yang mengeluarkan perintah setahun penjara ke atas Perdana Menteri dan penyingkirannya dari jawatan!

Amerika lebih menuntut untuk dikembalikan kuasa kepada kerajaan awam, yakni mana-mana kerajaan selain daripada kerajaan sekarang ini (kerajaan Mursi). Ini semua menunjukkan lampu hijau daripada Amerika terhadap rampasan kuasa dan penggulingan Mursi beserta kerajaannya. Malah, pentadbiran AS mengisytiharkan bahawa, “Dia (Mursi) tidak mendengar suara-suara rakyat mahupun memenuhi tuntutan mereka” (Reuters 03/07/2013), senada dengan arahan tentera Mesir yang mengatakan,“Presiden Mohamed Mursi tidak memenuhi permintaan rakyat.”Umum mengetahui bahawa kepimpinan tentera Mesir adalah dikawal olehAmerika, bahkan hampir majority bantuan AS kepada Mesir yang berjumlah 1.5 bilion setahun, mengalir kepada tentera.

5 –Mursi dan Ikhwanul Muslimin tidak sedar perkara ini, sebaliknya tampak bahawa Dr.Mursi telah tertipu dengan sokongan AS selepas dia bersetuju untuk mengikuti dasar-dasar dan mengekalkan kepentingan AS dan perjanjian yang dibuat oleh rejim republik Mesir, terutama perjanjian Camp David. Mursi memecat bekas pemimpin tentera dan menggantikannya dengan yang lain dan membuatkannya setuju dengan Mursi.

Jadi Mursi membayangkan bahawa Amerika tidak akan meninggalkannya yang mana dia yakin bahawa Amerika akan membiarkan puak Islam moderat berkuasa dan Amerika akan terus menyokong mereka, sebagaimana yang terjadi di Turki. Mursi tidak sedar bahawa Amerika boleh meninggalkan ejennya yang mana sekalipun apabila telah selesai dipergunakan atau peranannya sudah habis. Amerika akan meninggalkan ejennya jika dia tidak dapat mencapai kestabilan dalam urus tadbir negara dan Amerika akan melantik ejen yang lain untuk mengekalkan pengaruhnya, sebagaimana yang berlaku dengan ejen terdahulu, Hosni Mubarak, yang paling setia kepadanya – malah menyediakan pula anaknya Gamal untuk menggantikannya sebagai ejen AS berikutnya.

Tetapi apabila gerakan rakyat mengejutkan AS dan AS mendapati dia (Mubarak) terlalu lemah untuk menanganinya dan memulihkan kestabilan Mesir agar sentiasa sesuai bagi kelangsungan kepentingan Amerika, lalu AS menyingkirkan Mubarak dan beralih menunggang gerakan rakyat dan mendatangkan Mursi (ke tampuk pemerintahan). Hal yang sama kini berulang terhadap Mursi. Jadi, apabila AS mendapati Mursi sudah tidak dapat menyediakan kestabilan bagi meneruskan keselamatan kepentingan dan pengaruh AS tanpa sebarang gangguan, maka AS mencampakkan pula Mursi ke tepi.

Ini bukanlah satu perkara baru, tetapi telah nyata sejak sekian lama. Laman web “gerakan sivil Mesir” yang merupakan laman sekular, telah melaporkan lebih dari dua bulan yang lalu, iaitu pada 22/04/2013 di bawah tajuk ‘syarat-syarat Amerika untuk meluluskan campur tangan tentera dalam bentuk yang tidak nampak sebagai satu rampasan kuasa tentera’! Laman web itumenyatakan bahawa “seorang personaliti, yang namanya tidak disebutkan, telah mengunjungi Amerika Syarikat pada beberapa hari lepas dan pulang semula selepas dia mengadakan beberapa pertemuan dan perbincangan yang ekstensif dengan para eksekutif dalam pentadbiran AS, Pentagon dan Keselamatan Negara, di mana kedudukan AS terhadap pemerintahan Ikhwanul Muslimin telah diperbincangkan.”

Laman web tersebut menyebut bahawa John Kerry, yang menghadiri mesyuarat itu, bercakap mengenai peranan penting tentera Mesir dalam mengawal peristiwa-peristiwa apabila orang ramai turun kedataran-dataran dan dalam mencegah perang saudara di antara gerakan-gerakan yang berbeza. Kerry kemudian menambah dengan berkata bahawa dia terkejut dengan rendahnya kemampuan Ikhwanul Muslimin dan kekeliruan cakap-cakap mereka yang tidak memberi faedah apa pun. Kerry mengesahkan yang dia percaya bahawa tentera akan menjalankan peranannya pada masa yang tepat. Personaliti itu menyebut bahawa perbualan yang berlaku adalah mengenai alternatif kepada pemerintahan Ikhwanul Muslimin dan kedudukan tentera semasa proses peralihan akan datang.

Laman webitu memetik bahawa seseorang yang berpengaruh di Pentagon yang merupakan seorang anggota American Brookings Institution yang turut hadir dalam mesyuarat itu sebagai berkata, “Mereka membuat kesimpulan bahawa walaupun Mursi yakin yang dia mesti berundur atau berundur dengan paksaan, para penyokongnya tidak akan menerima hakikat ini dan di sinilah peranan rakyat Mesir sekali lagi bahawa mereka perlu turun dalam jumlah yang besar untuk menyokong tentera dan berdemonstrasi menuntut pengunduran Mursi.” Semua perbualan ini telah dipublikasikan pada 22/4/2013, lebih dari dua bulan sebelum rampasan kuasa.

Amat jelas bahawa Amerika telah merancang rampasan kuasa sejak hari tersebut dan mahu menyelesaikan masalah dengan cara tersebut. Tarikh yang ditentukan adalah pada 03/07/2013 dan AS menolak daripada menyifatkannya sebagai rampasan kuasa. AS bagaimanapun terus memberi kenyataan kabur dan beransur-ansur, bermula dari “menilai” keadaan dan terus akan “menilai”dan bahawa Morsi adalah “tidak demokratik” dan pelan tindakan yang dirangka oleh pemerintah “amat memberangsangkan”, seperti yang dinyatakan dalam persoalan.

Bersambung ke minggu hadapan…