SN356 – Apa Yang Membuatkan Amerika Berpaling Menentang Mursi?

PDF

SN keluaran 26 Julai 2013

APA YANG MEMBUATKAN AMERIKA BERPALING MENENTANG MURSI?
[SN356] sambungan dari minggu lepas…6 – penyokong Mursi turun ke jalan-jalan untuk menyatakan protes dan sekiranya protes ini berterusan dan semakin meningkat dari segi momentum dan saiznya serta mendapat sokongan dari masyarakat umum, ini sudah cukup untuk memalukan Majlis Tentera dan memalukan Amerika yang memerlukan Amerika menanggapi Ikhwanul Muslimin. Ini kerana, ‘fakta-fakta kemenangan’ ada di tangan Ikhwanul Muslimin kerana Mursi adalah presiden yang dipilih oleh rakyat, diiktiraf oleh Mahkamah Perlembagaan, pihak tentera, institusi antarabangsa, AS sendiri dan semua negara lainnya. Tambahan lagi, mengikut norma negara-negara, Mursi tidak melakukan apa-apa tindakan yang melayakkan dia untuk digulingkan. Dia mendapat kuasa melalui pilihan raya yang dikatakan adil, tetapi telah digulingkan dengan kuasa tentera. Semua ini memberikan kuasa dan kesahihan kepada tindakan Ikhwanul Muslimin di samping menarik orang ramai bersama mereka.

Dilihat dari sudut ini, mereka yang menyokong rampasan kuasa dan penggulingan presiden, berada dalam situasi kritikal. Ini kerana, mereka sendiri sebenarnya menolak pemerintahan tentera dan campur tangan tentera dalam pemerintahan, sebaliknya mereka turut mahukan proses pilihan raya, namun dalam masa yang sama mereka menyokong rampasan oleh tentera! Berdasarkan hal ini, Ikhwanul Muslimin mungkin berupaya untuk menjadikan rampasan kuasa ini tidak bertahan lama dan mengembalikan semula presiden ke kerusi  pemerintahan atau sekurang-kurangnya berupaya memiliki bahagian yang besar dan berpengaruh di dalam institusi pemerintahan baru, khususnya jika mereka berjaya membangkitkan emosi rakyat Mesir. Bagaimanapun, jika para penyokong presiden yang telah digulingkan ini menerima rundingan dan konsesi, mereka akan kalah dan akan menyesal kerana usaha politik mereka menjadi sia-sia akibat kurangnya kesedaran di kalangan mereka bahawa hal ini akan berlaku!

7 – Kami simpulkan analisis ini dengan fakta yang hakiki iaitu siapa sahaja yang menyenangkan manusia dengan kemurkaan Allah, maka Allah akan menyerahkannya kepada manusia dan urusannya akan menjadi kacau-bilau dan hubungannya dengan manusia akan menjadi semakin buruk. Sesungguhnya hal ini amat nyata dan boleh diindera secara pasti. Mursi dan Ikhwanul Muslimin telah berusaha menyenangkan Amerika dan setuju dengan rencana Amerika dan menyetujui perjanjian Camp David yang telah mengkhianati Palestin, melemahkan Sinai dan membenarkan entiti Yahudi merampas Palestin serta mengakui entiti Yahudi itu sendiri. Mursi telah meninggalkan banyak slogan-slogannya, mengisytiharkan persetujuannya terhadap sistem republik dan pemerintahan sekular dan kerajaan sivil demokrasi. Dia bersumpah atas hal-hal tersebut ketika dinobatkan sebagai presiden, dengan meninggalkan Islam dan pemerintahan Islam di belakang. Dia lakukan semua itu untuk menyenangkan Amerika agar dia tetap berada di kerusi yang condong. Maka dia berakhir dengan kerugian dunia dan akhirat, kecuali dia bertaubat dan memperbaiki urusannya. Benarlah sabda Rasulullah SAW, “Siapa sahaja yang menyenangkan manusia dengan kemurkaan Allah, maka Allah akan menyerahkannya kepada manusia (tidak membantunya) dan siapa sahaja yang membuat marah manusia dengan keredhaan Allah, maka Allah akan mencukupkannya dari (bantuan) manusia” [HR at-Tirmidzi].

Kami sudahi jawapan ini dengan mengingatkan bahawa kami telah pun menyampaikan nasihat kepada Dr Mursi sebanyak dua kali dalam dua nasyrah kami. Pertama; pada 25 Jun 2012 dan kedua pada 13 Ogos 2012. Dalam nasyrah pertama kami katakan:

“…Dan kami sampaikan nasihat yang tulus kerana Allah kepada presiden baru Mesir: Bertakwalah anda kepada Allah dan berhentilah dari menyeru negara sivil demokrasi dengan pemikiran, metode dan semangatnya yang sekular, kerana sesungguhnya kembali kepada kebenaran itu banyak keutamaannya. Hal itu adalah agar anda tidak mendapat kerugian secara keseluruhan di dunia ini setelah mendapat kerugian yang banyak apabila pihak tentera ‘mematahkan sebelah daripada sayap anda’ dan menghalang anda dari memiliki kekuasaan sepenuhnya. Dan agar anda tidak mendapat kerugian di akhirat kerana keredhaan anda kepada Amerika melalui seruan anda kepada negara sivil demokrasi dan agar anda tidak mendapat kemurkaan Tuhan Amerika dan Tuhan Barat kerana kegagalan anda untuk menegakkan Khilafah dan melaksanakan syariat Allah. Anda tidak syak lagi telahpun membaca hadis Rasulullah SAW, “Siapa sahaja yang menyenangkan manusia dengan kemurkaan Allah, maka Allah akan menyerahkannya kepada manusia (tidak membantunya) dan siapa sahaja yang membuat marah manusia dengan keredhaan Allah, maka Allah akan mencukupkannya dari (bantuan) manusia” [Hadis dikeluarkan oleh Tarmizi dan Abu Na’im di dalam Al-Haliyah dari Aisyah].

Sesungguhnya nasihat yang ikhlas ini adalah semata-mata kerana Allah SWT. Kami tidak memerlukan dari anda sebarang balasan atau ucapan terima kasih, kecuali (kami mahukan) agar anda sedar dan tidak membiarkan kaum kuffar dan ejen mereka serta musuh Islam tertawa penuh kepuasan setelah mengetahui bahawa rancangan mereka untuk mewujudkan negara sivil demokrasi telah diserukan oleh kaum Muslimin dan Ikhwanul Muslimin. Sesungguhnya kepunyaan Allahlah segalanya dan kepada Allahlah kembali segala-galanya”.

Dan dalam nasyrah yang kedua kami katakan:

“Kami tutup penjelasan ini dengan mengulangi nasihat kami kepada presiden Mesir, Muhammad Mursi, walaupun dia tidak mengambil nasihat pertama kami…Kami tidak akan berputus asa memberikan nasihat kepada setiap Muslim, khususnya jika ia memegang kuasa pemerintahan. Kami dengan ini susuli nasihat pertama kami dengan nasihat berikutnya dengan berkata: ‘Sesungguhnya meski pun tangan-tangan Amerika terhulur kepada perantara politik yang lama dan baru, namun memutuskannya adalah sangat mungkin dan mudah. Menjelaskan kesalahan menerima huluran tangan Amerika, walaupun sekali, adalah lebih baik daripada terus melakukan kesalahan (dengan menerima huluran tangan Amerika) berkali-kali. Sungguh, tangan-tangan Amerika tidak bermanfaat untuk didekati dan diberi kasih sayang, akan tetapi tangan-tangan tersebut lebih layak untuk dipotong-potong dan diputuskan. Jika tidak, ia akan
berakhir dengan penyesalan dan ketika itu sudah tidak ada gunanya lagi! Dan Kinanah Allah, di bumiNya memiliki kekuatan dan kehebatan. Sejarah telah membuktikannya. Sesiapa yang benarbenar bersama Allah, maka ia pasti menang. Hal ini telah pun diperingatkan oleh Zat yang Maha Bijaksana di dalam kitabNya dan presiden Mesir telah mengulang-ulangi perkara ini dalam ucapan terbarunya.

“Dan Allah berkuasa terhadap urusanNya tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya” [TMQ Yusuf (12):21]

Benar, Maha Benar Allah, “Dan siapakah orang yang lebih benar perkataan(nya) daripada Allah?” [TMQ an-Nisa’ (4):87].

Ingatlah, bukankah kami telah menyampaikan. Ya Allah saksikanlah…Ingatlah, bukankah kami telah menyampaikan. Ya Allah saksikanlah…Ingatlah, bukankah kami telah menyampaikan. Ya Allah saksikanlah…

Hizbut Tahrir
3 Ramadhan 1434 / 12 Julai 2013

SEKILAS POLITIK KETENTERAAN DI MESIR

Rampasan kuasa terhadap pemerintahan Ikhwanul Muslimin di Mesir sekali lagi mengungkapkan peranan pihak tentera yang cukup berpengaruh di negara itu. Presiden Muhammad Mursi dan Ikhwanul Muslimin tidak berdaya ketika Jeneral Abdul Fatah al-Sisi mengumumkan penggulingan pemerintahan yang sebelum ini dipilih secara demokratik. Lebih dari 300 pejabat Ikhwanul Muslimin dikepung sepanjang malam dan menjadikan mereka tahanan. Laporan menyebut bahawa tentera telah mengatur dan meletakkan pihak pembangkang, sekularis dan Kristian Koptik serta Al-Azhar bagi mempersiapkan pemerintahan pasca Ikhwanul Muslimin. Dengan rampasan kuasa terbaru ini, tentera sekali lagi membuktikan bahawa mereka adalah pemilik kekuatan yang nyata di negara itu, meskipun presiden Mursi menang dalam pilihan raya demokrasi setahun yang lalu. Pengaruh tentera dapat dilihat dari banyak faktor yang ada dalam negara.

Sejarah telah mencatat bahawa tentera Mesir mula berperanan dalam mengambil alih kekuasaan di negara itu pada bulan Julai 1952 melalui sebuah rampasan kuasa yang didukung oleh AS untuk menggulingkan Raja Farooq, yang merupakan boneka British. Projek CIA ini telah digambarkan oleh Miles Copeland, salah seorang agen CIA, pada tahun 1970 dalam bukunya ‘The Game of Nations’ dan kemudian dalam memoirnya pada tahun 1989, ‘The Game of Player’. Gerakan Free Officers Movement yang terdiri daripada sekelompok pegawai tentera yang rata-ratanya masih muda, membentuk sistem politik baru yang menjadikan tentera sebagai institusi paling tersusun dan paling penting di negara tersebut.

Pada tahun 1956, Gamal Abdul Nasser mengambil alih sebagai presiden Mesir. Nasser menasionalisasikan Terusan Suez, yang mencetuskan perang dengan British, Perancis dan Israel dan dalam proses selanjutnya menjadikan Nasser sebagai pahlawan nasional dan meningkatkan reputasinya di dunia Arab dengan lebih meluas. Kekalahan terhadap Israel dalam perang enam hari tahun 1967 menyebabkan kepimpinan tentera memutuskan untuk menjauhkan diri dari pemerintahan harian dengan menyerahkan urusan ini ke tangan kepemimpinan sivil, namun tentera tetap menjaga agar polisi luar negeri, pertahanan dan bajet nasional tetap berada di bawah kawalannya. Hingga ke saat ini, promosi untuk kenaikan pangkat tentera hanya dilakukan setelah pemeriksaan yang ketat terhadap kecenderungan politik dan kecenderungan seseorang kepada Islam.

Mengikut Wikipedia, ketika ini tentera Mesir adalah tentera yang terbesar di Afrika dan Timur Tengah dan merupakan tentera ke-10 terbesar di dunia. Dua buah syarikat, The National Services Projects Organisation dan The Egyptian Organisation for Industrial Development mendominasi perekonomian Mesir melalui pelbagai usaha sama dengan firma tentera, baik dalam perusahaan pembuatan domestik mahupun antarabangsa. Tentera terlibat dalam sektor industri dan perkhidmatan, termasuk senjata, peralatan elektronik, produk pengguna, pembangunan infrastruktur, pertanian, penerbangan, pelancongan dan keamanan. Demikian pula sebahagian besar gabenor daerah di Mesir adalah terdiri daripada para pesara tentera. Banyak institusi sivil yang besar dan perusahaan di dalam sektor umum dijalankan oleh para mantan jeneral. Tiga pihak berkuasa pembangunan negara (pertanian, perbandaran dan pelancongan) dipegang oleh para mantan tentera. Ringkasnya, tentera terlibat dalam perekonomian nasional dengan pengaruh yang cukup besar. Menurut beberapa sumber, sebanyak 40% perekonomian Mesir dikendalikan oleh tentera dan ini menjadikan mereka mempunyai alasan yang kuat untuk mempertahankan kedudukan tersebut.

Tentera Mesir telah memainkan peranan yang amat penting dalam melindungi kepentingan AS di wilayah tersebut. Sejak rampasan kuasa tentera pada tahun 1952, AS telah menjinakkan tentera Mesir dengan bantuan lebih dari $30 billion. Bantuan AS ini sesungguhnya merupakan suapan untuk menjaga kestabilan rantau tersebut, malah para pemimpin tentera Mesir sangat gembira untuk menjaga kepentingan AS tersebut. Pemimpin pertahanan negara Mesir saat ini, Abdul Fatah al-Sisi, adalah alumni US Army War College di Pennsylvania, manakala Ketua Angkatan Udara Mesir, Reda Mahmoud Hafez Mohamed, telah banyak melakukan lawatan ke Amerika Syarikat sebagai pegawai perhubungan. Lebih dari 500 pegawai tinggi tentera Mesir mendapat latihan dan kelulusan di sekolah tentera Amerika setiap tahun. Bahkan ada rumah khusus di Barat Laut Washington, yang menjadi tempat penginapan para pegawai tentera Mesir apabila berkunjung ke ibukota Amerika itu.

Perjanjian damai dengan Israel, yang ditandatangani pada tahun 1979 di bawah tajaan AS, merupakan dasar keseimbangan kekuasaan di rantau tersebut. Perjanjian ini mengakhiri perang dengan Israel dan meletakkan Sinai sebagai zon penyangga bebastentera (demilitarized buffer zone) antara kedua-dua negara, yang secara efektif menghilangkan ancaman perang antara negara dengan negara, yang hakikatnya memperkuatkan lagi kedudukan Israel.

Peranan tentera di Mesir telah memastikan tidak ada institusi saingan lainnya yang boleh berkembang. Akibatnya, sebahagian  besar institusi negara menjadi korup atau menjalankan kronisme. Dengan ekonomi yang dipegang oleh segelintir orang, kerjaya di bidang tentera merupakan satu-satunya cara yang boleh memenuhi keperluan hidup dalam keadaan ekonomi yang buruk. Tatkala para anggota tentera direkrut dari desa dan kota di seluruh Mesir, hanya ada sembilan sahaja kedudukan senior yang berautoriti. Akibatnya, untuk mencapai jawatan senior dalam tentera Mesir, ia bergantung pada siapakah yang anda kenali. Hal ini membuatkan pimpinan tentera Mesir mempertahankan kesetiaannya dari segi pangkat, kerana hanya pegawai yang mendapat latihan di AS sahaja yang boleh tersaring untuk mencapai kedudukan tersebut.

Pemecatan yang dilakukan mantan presiden Mursi terhadap dua jeneral tentera di awal pelantikannya sebagai presiden, dipandang sebagai langkah berani yang mengukuhkan kedudukannya sebagai pemimpin tertinggi angkatan bersenjata. Tetapi faktanya adalah, Mursi sebenarnya tidak pernah dapat mengambil alih kendali tentera. Jeneral yang dilantik Mursi, Jeneral Abdul Fattah al-Sisi, adalah pemimpin tentera yang sememangnya menunggu giliran untuk naik dan akhirnya, menjadi orang yang menggulingkan Mursi. Jadi, Ikhwanul Muslimin sebenarnya tidak pernah memiliki kekuatan yang hakiki, kerana mereka tidak pernah mengubah realiti politik di Mesir ini. Dengan monopoli tentera Mesir atas kekuasaan dan ekonomi, satu-satunya cara untuk menghasilkan perubahan yang hakiki adalah dengan memperbaiki struktur tentera secara menyeluruh dengan menghapuskan sistem yang wujud saat ini dan mengembalikan tentera kepada fungsi fitrahnya. Namun hal ini tidak akan berlaku selama mana tentera Mesir masih tunduk kepada Amerika dan bukannya tunduk kepada Allah sepenuhnya.