SN364 – Kejahatan Amerika Di Bawah Obama
SN keluaran 27 Sepotember 2013
Namun perubahan bagaimanakah yang sebenarnya ditawarkan oleh AS di bawah Obama? Dalam ucapannya di Senat Amerika, Hillary Clinton, Menteri Luar Negara AS yang baru mengatakan, “Kita harus menggunakan apa yang disebut sebagai smart power, suatu alat yang lengkap yang dapat dijalankan dengan kekuasaan yang kita miliki. Dengan smart power, diplomasi akan menjadi barisan hadapan politik luar negeri kita.” Hillary, seperti yang dipetik oleh New York Times menggambarkan apakah yang dimaksudkan dengan smart power sebagai “Ini ertinya penggunaan semua alat yang boleh mempengaruhi aspek diplomatik, ekonomi, tentera, undang-undang, politik dan budaya untuk mendapatkan apa yang anda inginkan.” Obama dan pemerintahannya menganggap kepemimpinan Bush dengan hard powernya telah gagal. Oleh itu, smart power menjadi cara baru bagi Obama untuk memperbaiki kerosakan reputasi mereka di mata dunia. Hal ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Obama sendiri bahawa tugasnya adalah untuk memperbaiki imej AS di mata dunia khususnya dunia Islam. Oleh yang demikian, pemerintah AS kini berusaha mengefektifkan polisi luar negerinya dengan taktik baru tersebut.
Namun, jika kita melihat track record presiden-presiden AS sebelum ini, baik yang berasal dari Parti Republik mahupun Demokrat, AS di bawah Obama tidak berubah secara signifikan. Perubahan yang terjadi hanyalah darihal gaya dan cara pendekatan manakala substansinya adalah sama, iaitu polisi AS tetap ditujukan untuk menyebarkan nilai-nilai tradisional AS iaitu ideologi kapitalisme dan idea-ideanya yang korup, untuk merealisasi kepentingan-kepentingan AS selaku penganut dan penyebar ideologi yang rosak itu dan untuk menjaga dominasi AS ke atas dunia. Sebagai negara pengusung kapitalisme, metode AS tetap berupa penjajahan dalam pelbagai bentuknya. Dengan demikian polisi-polisi AS tetap sahaja bertujuan untuk menekan dan mengawal negara-negara lain serta mengeksploitasi sumber alamnya demi kepentingan dan kemakmuran AS, khususnya para pemilik modal (kapitalis) dalam kalangan mereka.
Kita menyaksikan dengan jelas bahawa kini sudah masuk dua penggal Obama dilantik menjadi presiden AS sejak tanggal 20 Januari 2009, namun langsung tidak ada perubahan signifikan dalam polisi luar negeri pemerintahannya khususnya terhadap dunia Islam, di sebalik janji-janji yang ditebarnya semasa kempen, sama ada sebelum atau sesudah memegang jawatan presiden. Obama menyatakan bahawa AS akan mengembangkan hubungan dengan dunia Islam dalam bentuk hubungan yang sangat baik, saling memahami dan atas dasar kepentingan bersama. Dia juga mengatakan bahawa AS akan menghormati negara-negara Islam sekali gus berjanji akan segera menyelesaikan masalah Iraq kerana Amerika adalah teman semua negara (ucapan kenegaraan pertama Obama, 20 Januari 2009).
Kejahatan Amerika Di Bawah Obama Terhadap Dunia Islam
Janji-janji Obama terhadap dunia Islam sememangnya sungguh manis. Hakikatnya, dalam polisi politik luar negerinya terhadap dunia Islam, AS tetap sahaja menggunakan kerangka “perang melawan pengganas”. Segala bentuk penentangan oleh kelompok Muslimin ke atas penjajahan AS akan dicop dengan tindakan terrorisme. Setiap negara yang memiliki potensi melawan hegemoni AS, akan dimasukkan ke dalam senarai negara penyokong terrorisme. War on terrorism menjadi cara yang terbukti menguntungkan AS untuk menawarkan ideologi kapitalisnya di dunia Islam tanpa banyak halangan. Mana-mana kelompok Islam yang dilihat boleh mengancam AS, maka, cukup dengan para penguasa yang tunduk kepadanya yang akan bertindak terlebih dahulu terhadap kelompok Islam tersebut (sebelum AS bertindak) untuk “menanganinya”, atas alasan “memerangi pengganas”. Oleh itu, sejak era Bush hinggalah ke era Obama, war on terrorism ini menjadi senjata yang sentiasa evergreen dan ampuh untuk menentang kelompok Islam yang tidak disukai oleh AS. Kerana itu, kita melihat kem tahanan Guantanamo masih lagi beroperasi hingga kini walaupun Obama sudah berjanji untuk menutupnya dalam waktu 12 bulan sejak menjadi presiden. Apa lagi alasan untuk tidak menutupnya jika bukan alasan war on terrorism?!
Dalam kes Palestin-Israel, sikap pemerintahan Obama tidak berbeza sedikit pun dengan pemerintahan presiden-presiden AS sebelumnya. Pembantaian ke atas Gaza oleh Israel yang terjadi dari tanggal 28 Disember 2008 hingga 18 Januari 2009, yang berakhir dua hari sebelum pelantikannya, tragedi kemanusiaan itu sama sekali tidak disentuh oleh Obama dalam ucapan kemenangannya. Di saat Israel mengganas di Gaza ketika itu, sokongan Obama ke atas Zionis justeru sangat ketara atas dalih mempertahankan diri. Padahal tragedi itu hakikatnya merupakan pembantaian yang nyata oleh Zionis ke atas umat Islam. Seramai 1,400 terkorban termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua manakala 5,000 orang cedera, termasuk 1,000 orang yang cacat seumur hidup, di samping kehancuran Gaza yang dahsyat akibat pelbagai jenis senjata mutakhir yang digunakan Zionis. Di manakah janji manis Obama yang kononnya ingin mengeratkan hubungan dengan umat Islam dalam kes ini?!
Obama juga menyatakan dengan jelas dan tegas dalam ucapannya di Konferens AIPAC pada 4 Jun 2008, “Biar saya jelaskan, keamanan Israel adalah suci. Hal ini tidak boleh dirundingkan. Rakyat Palestin memerlukan sebuah negara yang berdampingan dan berpadu [dengan Israel] yang memberi tempat bagi mereka untuk hidup makmur…perjanjian apa pun dengan rakyat Palestin mestilah melindungi identiti Israel sebagai negara Yahudi, dengan perbatasan yang aman, diakui dan boleh dipertahankan. Jerusalem akan menjadi ibu kota Israel dan [kota] ini akan tetap tidak terbahagi.” Obama kembali menegaskan komitmennya terhadap Israel setibanya di lapangan terbang Tel Aviv dalam kunjungannya ke Israel pada bulan Julai 2008, “Perkara yang paling penting bagi saya adalah hubungan bersejarah dan istimewa antara Amerika Syarikat dan Israel, suatu hubungan yang tidak akan putus”. Amerika juga terus melanjutkan pemberian bantuan sebesar USD 3 bilion setahun kepada Israel yang merupakan seperlima bantuan luar negeri AS. Dengan semua ini dan banyak lagi komitmen tegas dan tidak berbelah Obama terhadap Israel, Amerika di bawah Obama sudah pasti akan terus menjaga eksistensi Israel. Inilah “penyelesaian” masalah Palestin-Israel di sisi Obama. Apakah tindakan Obama ini merupakan satu kebaikan ke atas umat Islam?
Senarai kejahatan AS terhadap umat Islam tidak berhenti di situ. Dalam kes Iraq, Barack Obama berjanji untuk menarik kembali seluruh pasukan AS secara bertahap dalam tempoh 16 bulan sejak menduduki kerusi presiden. Namun apa yang berlaku ternyata sebaliknya. Obama menentang cadangan penarikan secara total dan mendukung usaha penyusunan semula kekuatan ketenteraan AS di Iraq. Usaha menentang adanya penentuan tanggal tertentu sebagai tempoh akhir penarikan pasukan AS, membuktikan yang Obama masih mahukan keberadaan tentera untuk mendukung pelaksanaan polisinya di rantau tersebut. Obama juga menekankan bahawa sebahagian besar kekuatan ketenteraan AS harus tetap siaga di tempat strategik seperti di Kuwait, kalau tidak di Iraq itu sendiri. Ini bermakna, Obama hanya mahu menarik pasukan AS dari Iraq setelah dia memastikan cengkamannya terhadap Iraq melalui ejen-ejennya dari kalangan penguasa, tentera dan polis tempatan benar-benar kuat. Tujuan penarikan itu juga bukanlah kerana belas kasihan dan keprihatinannya terhadap kaum Muslimin Iraq, tetapi kerana pasukan tentera AS di Iraq tidak lagi efektif dan kondusif untuk mencapai tujuannya. Di samping itu, beban kewangan dari pencerobohannya ke atas Iraq sangat parah sehingga menimbulkan defisit yang sangat besar dan telah merapuhkan perekonomian AS.
Menurut statistik pertama yang dikeluarkan oleh pemerintah Iraq, lebih dari 85,000 warga Iraq terkorban antara 2004 hingga 2008. Statistik itu didasarkan pada surat kematian yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan yang telah memasukkan jumlah 15,000 mayat yang tak dikenali. Sekitar 148,000 orang cedera dalam tempoh yang sama. Namun statistik tersebut tidak memasukkan jumlah korban yang terjadi pada beberapa bulan pertama perang yang dipimpin AS tahun 2003, kerana di waktu itu tidak ada pemerintahan yang berfungsi di Iraq untuk melakukan catatan. Sementara itu, taksiran korban yang terbaru menurut Iraq Body Count, sebuah badan bebas yang menghitung jumlah kematian sejak perang dimulai, menyebut bahawa jumlah korban hingga kini sudah mencecah lebih 125,000 jiwa.
Sikap Obama dan pemerintahannya terhadap negeri kaum Muslimin, Afghanistan, juga tidak kalah jahatnya. Presiden AS itu secara jelas dan berulang kali menegaskan bahawa dia akan meningkatkan penglibatan AS di Afghanistan, menambah jumlah pasukan, memperluas kawasan operasi ketenteraan dan melancarkan serangan lintas sempadan secara sistematik. Sejak dulu, pemerintah AS telah meletakkan keutamaan dalam menjaga rejim ejennya di Kabul sehingga Afghanistan tetap berada dalam kawalan AS sepenuhnya. Tujuannya adalah mempertahankan aset-aset strategis di Asia Tengah seperti sumber kuasa dan infrastruktur pembangunan jalur paip minyak. Hakikatnya, pencerobohan AS ke atas Afghanistan hingga sekarang masih tetap dilanjutkan, bahkan semakin intensif. Di sebalik janji Obama untuk berbaik dan menjadi kawan kepada dunia Islam, pada awal Disember 2009, Obama justeru memutuskan penghantaran tentera tambahan sebanyak 30 ribu ke Afghanistan. Sepuluh tahun setelah pemerintahan Taliban, AS masih mengetuai imperialisme dengan sekitar 150,000 tentera bersekutu ada di bumi Afghanistan yang telah membunuh ribuan umat Islam, termasuk kanak-kanak, wanita dan orang-orang tua.
Tidak cukup dengan Afghanistan, Amerika meluaskan kempen imperialisme dan pembunuhannya ke Pakistan atas alasan memerangi Taliban dan kelompok-kelompok yang mendukungnya di wilayah Pakistan. Obama telah mengumumkan bahawa pemerintahannya akan memperluas ‘perang melawan pengganas’ secara sistematik, menggencarkan serangan darat dan udara secara besar-besaran di Pakistan serta mensasarkan setiap desa dan kota yang diduga melindungi pengganas. Amerika sebenarnya cukup takut sekiranya Pakistan jatuh ke tangan pemerintahan kelompok Islam yang ikhlas, kerana kekuatan perang yang ada di Pakistan sememangnya boleh mengancam Amerika. Justeru, Pakistan dipilih menjadi medan perang AS dalam misi penjajahannya. Melalui penguasa Pakistan yang menjadi hambanya, banyak wilayah di Pakistan yang digempur oleh AS. Bukan setakat itu, AS malah berjaya menggerakkan tentera Pakistan untuk menggempur dan membunuh saudara-saudara Muslim mereka sendiri. Ribuan umat Islam terkorban dek kejahatan AS ini.
Tidak puas dengan itu semua, AS juga turut melancarkan serangan menggunakan pesawat tanpa awak (drone attack) di wilayah Pakistan dan Afghanistan. Penggunaan serangan pesawat tanpa awak Predator dalam perang terselubung CIA di Pakistan telah mengorbankan ratusan penduduk setiap kali ia dilancarkan. Dalam masa yang sama, serangan drone itu telah mewujudkan rasa takut di kalangan masyarakat setempat di Afghanistan dan Pakistan. Obama telah melakukan tiga ratus serangan drone dalam enam bulan pertama pemerintahannya, lebih banyak dibandingkan dengan yang dilakukan George Bush dalam masa tiga tahun. Bahkan kini, serangan seumpama itu turut digunakan di Yemen, Somalia dan Syria. Akibat dari serangan-serangan itu, ribuan nyawa telah melayang. Sebahagian besar dari mereka adalah penduduk yang tak berdosa. Lebih dari 150 ribu orang kehilangan tempat tinggal dan menjadi pelarian di mana mereka terpaksa hidup beralaskan tanah dan beratapkan langit dan mengharungi cuaca yang sangat dingin dalam keadaan seperti itu. Lalu, di manakah letaknya kebaikan Obama ke atas umat Islam?
Sementara itu di belahan dunia Islam lainnya, AS menggunakan kekuatan diplomasi, politik dan tekanan untuk menancapkan hegemoninya ke atas umat Islam. AS dalam hal ini bekerjasama dengan ejen-ejennya dari kalangan penguasa, politikus, ahli ekonomi, pertubuhan-pertubuhan, intelektual, tentera dan sebagainya yang ada di negeri umat Islam itu sendiri. Hal ini dapat dilihat di Somalia, Nigeria, Sudan, Turki, negara-negara Timur Tengah, Bangladesh, Indonesia dan termasuk Malaysia. Semua itu dilakukan AS tidak lain dalam rangka untuk mengeksploitasi dan mengambil keuntungan semaksimum mungkin dari negara-negara yang lebih lemah yang tunduk kepadanya. Secara tsaqafah, AS menggunakan media massa untuk mencucuk jarumnya, memasarkan cara hidupnya yang penuh kebebasan dan mengeksport idea-idea kufurnya kepada dunia Islam. Secara ekonomi, pemerintah AS berupaya mengeruk habis kekayaan negeri-negeri kaum Muslimin untuk dimasukkan ke kantungnya.
Dengan secebis kejahatan AS di bawah pemerintahan Obama yang dipaparkan di sini, kita sungguh kesal dengan pengkhianatan pemimpin umat Islam yang berbaik dan menyanjung tinggi musuh Allah ini! Hanya mereka yang gelap hatinya, dipenuhi nifak kalbunya dan dipengaruhi syaitan akalnya, yang tidak nampak kejahatan-kejahatan AS dan Obama ini. Dengan semua kejahatan-kejahatan Obama ini, haruskah kita menerima kehadiran musuh Allah, musuh RasulNya dan musuh kaum Muslimin ini ke Malaysia pada 11-12 Oktober 2013 nanti?