SN416 – Harga Minyak Turun, Kenapa Harga Barang Tak Turun?

PDF

SN keluaran 13 Februari 2015

[SN416] Penurunan harga minyak baru-baru ini telah disambut baik oleh rakyat Malaysia terutamanya pengguna jalan raya setelah sekian lama kerajaan dikecam hebat ekoran kenaikan harga minyak yang telah mengakibatkan chain-effect (kesan berantai) kepada meningkatnya harga barangan lain. Pengarah Strategi PKR yang juga Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli sebelumnya meramalkan yang harga barang akan turun selari dengan kadar penurunan harga minyak tetapi ramalannya ternyata meleset dan hal ini telah mengundang kritikan pedas terhadap teori ekonominya itu.

Dalam pada itu pelbagai lapisan masyarakat tidak berpuas hati terhadap golongan peniaga yang dikatakan degil dan cuba meraih untung maksimum. Rentetan daripada itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Ismail Sabri telah mengeluarkan kenyataan agar memboikot para peniaga Cina yang degil dan kenyataan beliau dikritik banyak pihak, termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kerana berbaur  perkauman.

Bertitik tolak daripada peristiwa tersebut, isu perkauman terus hangat diperkatakan sehingga membawa kepada ungkit mengungkit dan tuding menuding antara kaum, yang telah menjauhkan masyarakat daripada pemahaman sebenar isu dan solusi kepada kenaikan harga barang. Akibatnya, permasalahan yang sepatutnya dikaji dan diselesaikan secara benar dan tuntas ini, lebih menjadi bahan pertikaian emosi berbanding penyelesaian. Seperti isu yang lain, apabila kerajaan gagal menyelesaikan masalah yang terhasil dari tindakan mereka sendiri, maka mereka lebih cenderung untuk menyalahkan pihak lain demi menutup kesalahan mereka.

Bagaimana Islam Mengendalikan Harga Barang

‘Harga’ adalah hasil pertukaran antara wang dengan barang. Secara alami, harga suatu barangan bergantung pada permintaan dan penawaran (demand and supply) semasa. Jika permintaan terhadap sesuatu barangan meningkat sedangkan jumlah penawaran (kewujudan barangan tersebut di pasaran) kurang, maka harga barang akan meningkat. Begitulah sebaliknya jika permintaan terhadap sesuatu barangan menurun berbanding penawaran, maka harganya akan menurun. Adakala penawaran terhadap sesuatu barangan berkurang sedangkan permintaan tinggi kerana stok yang terhad, maka harga pun akan meningkat. Kadang kala barangan berlambak di pasaran sehingga tidak laku, maka harga barangan tersebut akan jatuh. Maka adalah satu lumrah apabila kadang kala harga barang naik dan kadang kala turun. Namun persoalannya sekarang, kenapa harga barang sentiasa naik dan tidak turun-turun?

Masalah kenaikan harga barang bukanlah perkara yang baru muncul di zaman ini, tetapi telah lama berlaku, malah hal ini pun terjadi di zaman Rasulullah SAW dan ia bukanlah satu kepelikan. Cuma persoalannya sekarang ialah, bagaimana Islam mengendalikan kenaikan harga barang ini agar tiada pihak yang tertekan dan kestabilan ekonomi sentiasa wujud dalam masyarakat. Sesungguhnya Islam telah menunjukkan beberapa mekanisme bagi menyelesaikan masalah ini, antaranya:-

Pertama; Jika kenaikan harga barang berlaku kerana wujudnya aktiviti jahat di pihak peniaga, pembekal atau pengeluar baik berbentuk monopoli, kartel, sorok barang dan lain-lain, maka penyelesaiannya adalah negara perlu bertindak agar aktiviti ini dihentikan. Dalam dunia Kapitalis pada hari ini, monopoli boleh berlaku dalam pelbagai bentuk yang menjadikan satu pihak tunggal berkuasa menentukan harga barangan, baik monopoli dalam bentuk lesen import (AP) dan lain-lain lesen yang hanya diberikan kepada pihak tertentu, monopoli dalam bentuk hak cipta atau paten, monopoli dalam bentuk penguasaan ke atas hak milik umum seperti syarikat besar diberikan konsesi untuk memegang apa sahaja yang menjadi hak/milik masyarakat seperti jalan raya, lombong, telagaminyak, sumber air dan lain-lain.

Kartel pula adalah satu keadaan apabila para peniaga yang sepatutnya bersaing, tetapi berpakat sesama mereka untuk menetapkan satu harga pasaran yang tetap yang akhirnya menindas pengguna. Menurut laporan daripada Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) dalam artikel keluaran Berita Harian pada 8 Februari 2015, aktiviti kartel telah dikesan dalam barangan elektrik dan elektronik semasa proses perundingan dengan pihak berkepentingan. Peruncit (termasuk pasar raya besar) tidak dibenarkan untuk menjual produk di bawah harga tetap. Jika mana-mana peruncit mengurangkan harga jualan di bawah harga tetap, peruncit ini tidak akan dibekalkan model produk tersebut sebagai ‘hukuman’. Laporan tersebut turut mempersoalkan persatuan pengusaha bas dan teksi yang masih mengekalkan caj mereka setelah harga minyak turun, sedangkan mereka menaikkan caj ketika harga minyak naik.

Sesungguhnya Islam mengharamkan ihtikar (monopoli). Nabi SAW bersabda,

“Tidak akan melakukan ihtikar kecuali orang yang salah (khati’)” [HR Bukhari].

Al-Atsram meriwayatkan dari Abu Umamah,

“Rasulullah SAW telah melarang ihtikar makanan.”

Pelaku monopoli disebut sebagai Muhtakir dan Rasulullah SAW menyebutnya sebagai orang yang bersalah (khati’) yang bermaksud pelakunya adalah berdosa dan wajib dita’zir. Selain itu, Islam menegaskan bahawa jual beli adalah dilakukan secara suka sama suka, tidak boleh dipaksa oleh mana-mana pihak, barulah transaksinya sah. Ibnu Majah meriwayatkan dari Abu Said bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Sesungguhnya jual beli itu sah kerana suka sama suka”.

Jadi, pemerintah sepatutnya mengambil langkah pencegahan terhadap monopoli dan kartel dan sekiranya ia tetap berlaku, maka tindakan (hukuman) wajib dikenakan ke atas mereka sesuai dengan tuntutan Islam.

Kedua; Jika harga barangan meningkat kerana stok barangan terhad atau tidak mencukupi, maka negara perlu berusaha membantu agar stok tersebut mencukupi di pasaran. Islam tidak pernah mengenal falsafah laissez-faire seperti mana sistem ekonomi Kapitalis yang beranggapan kerajaan perlu meminimumkan campur tangannya di pasar. Bukti sejarah telah menunjukkan bagaimana pemerintah umat Islam menjaga kecukupan bekalan barang keperluan. Khalifah Umar contohnya, ketika wilayah Syam dilanda wabak penyakit, sehingga produksinya menurun, maka barang dari Iraq diambil dan diagihkan ke wilayah tersebut. Rasulullah SAW sebagai ketua negara juga pernah memerintahkan agar perigi di suatu kawasan yang kekurangan sumber air yang asalnya adalah milik individu, dibeli dan dijadikan milik umum. Begitulah bagaimana Islam memandang tugas seorang pemerintah tatkala berhadapan dengan kekurangan bekalan, walaupun pemerintah tidak boleh (haram) menetapkan harga, tetapi pemerintah wajib memastikan barang keperluan rakyatnya sentiasa cukup dan bukannya membiarkan pihak-pihak terbabit sahaja untuk menyelesaikan masalah. Inilah antara tanggungjawab pemimpin dalam menjaga kebajikan rakyatnya. Rasulullah SAW bersabda,

“Pemimpin itu pemelihara dan ia akan ditanya (dihisab) darihal pemeliharaan (rakyat)nya” [HR Bukhari].

Ketiga; Islam melarang pemerintah menetapkan harga siling atau mengawal harga walaupun harga barang naik (dalam masa yang sama, segala aktiviti jahat di peringkat peniaga, pengeluar dan pengedar mesti dihentikan). Ini kerana, boleh jadi harga barang naik kerana peniaga itu sendiri berhadapan dengan kenaikan kos. Islam telah mengajarkan kita bahawa jual beli mestilah dengan kerelaan kedua-dua pihak, iaitu penjual dan pembeli, tanpa ada paksaan atau campur tangan dari pihak ketiga seperti kerajaan yang memaksa penjual menjual suatu barangan tidak melebihi harga tertentu. Suatu ketika tatkala penduduk Madinah mengadu mengenai kenaikan harga barang dan meminta agar Rasulullah SAW (sebagai pemerintah Negara Islam) menetapkan harga, lantas dijawab oleh baginda SAW dengan tegas bahawa hal itu tidak boleh dilakukan oleh baginda. Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah hadis dari Anas,

“Harga (suatu masa) pada zaman Rasulullah telah naik. Lalu mereka melaporkan, ‘Wahai Rasulullah, seandainya harga ini engkau tetapkan (supaya tidak naik). Baginda menjawab, ‘Sesungguhnya Allah Maha Mencipta, Yang Maha Menggenggam, Yang Maha Melapangkan, Yang Maha Memberi Rezeki lagi Maha Menentukan Harga. Aku ingin menghadap ke hadirat Allah, dengan tidak ada seorang pun yang menuntutku kerana kezaliman yang aku lakukan kepadanya dalam masalah harta dan darah.”

Imam Abu Daud meriwayatkan dari Abu Hurairah,

“Ada seorang lelaki datang lalu berkata, ‘Wahai Rasulullah, tetapkanlah harga.’ Baginda menjawab, ‘(Tidak) justeru biarkan sahaja’. Kemudian baginda didatangi lelaki lain lalu mengatakan, ‘Wahai Rasulullah, tetapkanlah harga.’ Baginda menjawab, ‘(Tidak) tetapi Allah yang berhak menurunkan dan menaikkan.”

Penetapan harga boleh menimbulkan kezaliman tanpa disedari, kerana kemungkinan kos yang tinggi terpaksa ditanggung oleh peruncit atau boleh jadi juga kenaikan harga bukan kerana peruncit yang ingin menaikkannya, tetapi harga dinaikkan oleh pembekal kerana masalah tertentu. Jadi tidak adil untuk kita terus menghukum peruncit atau pembekal atau sesiapa sahaja (kecuali jika terbukti berlakunya aktiviti salah seperti yang dinyatakan di atas).

Ada yang berpendapat, bagi menetapkan harga siling tanpa menzalimi peniaga, kerajaan perlu memberikan subsidi. Ini juga adalah satu langkah yang keliru. Bukankah subsidi itu juga sebenarnya diambil dari wang rakyat seperti dari cukai, saman, kekayaan hasil bumi dan lain-lain? Subsidi sebenarnya tidak pernah menurunkan harga barang, melainkan kerajaan menggunakan wang rakyat untuk membayar sebahagian harga barangan yang sebenarnya lebih tinggi supaya kelihatan murah. Kerajaan tidak boleh mengganggu urusan jual beli dengan memaksakan harga kawalan, apatah lagi diambil wang rakyat melalui cara lain dan dibayar kepada peruncit agar rakyat menyangka harga barang masih murah.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan subsidi secara tidak langsung boleh melindungi aktiviti monopoli pihak tertentu. Sebagai contoh, apabila suatu barangan dimonopoli oleh suatu pihak, maka pihak terbabit boleh menaikkan harga tanpa saingan. Namun, bagi mengelakkan rakyat terbeban dengan harga barang yang dimonopoli tadi, kerajaan telah memberikan subsidi supaya rakyat boleh membelinya dengan harga yang murah. Akhirnya, syarikat monopoli sentiasa dapat dilindungi manakala rakyat pula tidak pernah “untung” kerana subsidi yang dibayar tadi sebenarnya diambil dari wang rakyat juga. Pihak yang memonopoli sentiasa untung, kerana ia boleh menjual dengan harga yang tinggi tanpa dimarahi oleh rakyat yang dikaburi dengan subsidi. Walaupun Islam tidak pernah melarang subsidi, tetapi Islam melarang kerajaan merampas hak rakyat (melalui cukai dan lain-lain), Islam melarang kerajaan menetapkan harga kawalan, membiarkan monopoli dan banyak lagi. Pendek kata, kerajaan tidak boleh bertopengkan subsidi untuk menetapkan harga kawalan, hal ini diharamkan dalam Islam.

Keempat; Islam menyelesaikan masalah kenaikan harga barang dengan melarang mana-mana pemiutang mengambil sebarang keuntungan daripada penghutang (riba). Islam menuntut agar pemiutang melanjutkan tempoh pembayaran jika penghutang tidak mampu untuk menjelaskan hutangnya. Kerana itu, dalam Negara Islam, tidak akan ada institusi yang bebas memberikan pinjamanriba secara besar-besaran seperti sekarang kerana mereka tidak akan dapat keuntungan daripada memberi pinjaman.Sepatutnya, apabila pengguna tidak mampu membeli kerana kuasa beli yang rendah dan harga barang yang tinggi, maka para peniaga terpaksa menurunkan harga pasaran. Begitulah kuasa beli akan mempengaruhi harga pasaran tanpa perlu diboikot oleh pengguna. Para peniaga akan memikirkan bagaimana untuk menjual pada harga yang mampu dibeli oleh pengguna.

Namun dengan adanya institusi kewangan yang memberikan pinjaman besar-besaran pada masyarakat, ia telah mencipta ‘kuasa membeli palsu’ pada masyarakat. Apabila pembeli membeli menggunakan kad kredit dan lain-lain produk pinjaman, maka di pihak peniaga, mereka akan melihat kuasa membeli masyarakat adalah tinggi dan tidak perlu menurunkan harga pasaran, sedangkan realitinya kuasa membeli masyarakat masih rendah, tetapi kelihatan tinggi dengan kuasa-kuasa membeli palsu yang dicipta menggunakan hutang-hutang tadi.

Dalam sistem Kapitalis sekarang, lihatlah bagaimana bank berlumba-lumba mencipta hutang untuk masyarakat, termasuklah juga ceti yang berdaftar dan tidak berdaftar yang hidup subur kerana dibenarkan oleh kerajaan. Selagi masyarakat mahu meminjam, maka selagi itulah institusi kewangan akan terus memberikan pinjaman dan selagi itulah peniaga tidak perlu menurunkan harga kerana kuasa beli pengguna masih tinggi (walaupun ‘palsu’). Buktinya antara lain dapat dilihat pada harga rumah yang terus meningkat. Kenapa pemaju perlu menurunkan harga rumah jika pembeli masih mampu membeli (walaupun dengan kuasa beli ‘palsu’)? Kerana itu, jika riba yang haram ini dihapuskan, maka tidak akan ada lagi institusi yang berlumba-lumba memberikan pinjaman, maka ‘kuasa beli palsu’ akan hilang dari masyarakat dan seterusnya akan menekan peniaga untuk menjual barangan pada harga yang mampu dibeli oleh orang ramai.

Kelima; Jika harga barang keperluan naik kerana nilai ringgit yang jatuh atau kerana kadar pertukaran wang yang tinggi, maka Islam telah lama mewajibkan kita untuk menyandarkan nilai mata wang pada emas dan perak yang ternyata stabil, bukan menyandarkannya kepada dollar Amerika. Namun sayangnya kesemua hal ini tidak dilakukan oleh pemerintah!

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Inilah kitaran ganas ekonomi yang akan sentiasa berulang selagi sistem Kapitalis diterapkan. Sistem buatan manusia yang rosak ini tidak akan melahirkan apa-apa kecuali kerosakan demi kerosakan. Walau mereka menghimpun seluruh cendekiawan untuk menyelesaikannya sekalipun, ia tetap tidak akan menyelesaikan masalah, malah semakin merumitkan. Hanya dengan kembali kepada sistem Islam yang datangnya dari wahyu sahajalah yang akan dapat menyelesaikan segala masalah manusia. Malangnya kita masih belum ada sebuah Negara Islam (Khilafah) yang akan menerapkan sistem yang berasal dari wahyu ini.