SN425 – Naik Gaji: Ahli Parlimen Gembira, Rakyat Sengsara
SN keluaran 24 April 2015
[SN425] Di saat rakyat terhimpit dengan GST dan kenaikan harga barang dan perkhidmatan akibat pelaksanaan GST yang haram itu, pada 10 April lepas, ahli Parlimen telah meluluskan kenaikan gaji mereka sendiri sebanyak 40%, menjadikan gaji anggota Dewan Rakyat bertambah kepada RM16,000 daripada RM11,000 sebelumnya. Gaji anggota Dewan Negara naik dari RM7,000 kepada RM11,000 manakala gaji Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat meningkat kepada RM22,000 daripada RM16,000. Gaji Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyatpula naik sehingga RM31,000 daripada RM20,000. Pelbagai justifikasi diberikan terhadap kenaikan ini, antaranya, peningkatan beban tugas dan keperluan kewangan wakil rakyat, pertolongan untuk rakyat yang dikatakan menganggap wakil rakyat sebagai tempat memohon bantuan kewangan,kenaikan kos sara hidup yang mencabar, bayar gaji pemandu/pembantu serta untuk menampung kos perjalanan dan bil telefon bimbit wakil rakyat.Selain itu, ada saja alasan lawak yang diberikan oleh ahli politik seperti yang dikemukakan oleh Presiden Majlis Senator Malaysia yang menyifatkan kenaikan gaji ahli Dewan Negara sebagai wajar kerana gaji mereka merupakan yang terendah di dunia!
Fungsi Parlimen Dan Ahli Parlimen
Laman sesawang Parlimen Malaysia menjelaskan bahawa fungsi Parlimen adalah sebagai badan perundangan bagi kerajaan persekutuan dan ia membuat undang-undang yang boleh dikuatkuasakan di seluruh negara.Parlimen meluluskan undang-undang persekutuan, membuat pindaan kepada undang-undang yang ada, memeriksa dasarkerajaan, meluluskan perbelanjaan kerajaan dan meluluskan hasil cukai yang baru.Parlimen juga menjadi forum untuk membincangkan perkara berkaitan kepentingan orang ramai. Sesuai dengan fungsi Parlimen di atas, maka begitulah juga fungsi ahli Parlimen yakni yang paling utama ialah menggubal undang-undang, selain menjadi wakil kepada rakyat untuk membahasperkara-perkara yang berkaitan kepentingan rakyat.
Fungsi ahli Parlimen dalam membuat undang-undang memang dapat disaksikan dengan jelas, namun fungsinya sebagai “wakil rakyat” sesungguhnya tidak lebih dari satu pendustaan.Bukanlah susah untuk memahami pendustaan ini, kerana ia terlalu nyata sehingga orang buta sekalipun boleh melihatnya dengan jelas. Namun sebelum pergi kepada rinciannya, marilah kita lihat terlebih dahulu proses penyesatan pemikiran yang terus-menerus dilakukan terhadap masyarakat yang sedang“terbius” dengan sistem demokrasi ini. Dalam memilih sistem untuk memerintah negara, masyarakat seringdisodorkan kepada dua pilihan sahaja, demokrasi atau autokrasi (kuku besi). Ketika masyarakat telah fobia terhadap pemerintahankuku besi, fikiran mereka hanya terfokus kepada sistem demokrasi. Ini kerana demokrasi dimomokkan sebagai pemerintahan rakyat dengan pelbagai keindahan dan kesejahteraanyang dibawanya untuk rakyat dan negara.
Dari segi sejarah, demokrasi adalah satu bentuk pemerintahan bagi mewujudkan kedaulatan rakyatatas negara untuk dijalankan oleh pemerintah negara tersebut. Ia terhasil selepas zaman kebangkitan di Eropah yang selama ratusan tahun dicengkam oleh golongan bangsawan dan gereja. Demokrasi lahir dari ideologi Kapitalisme di mana akidahnya adalah sekularisme yakni pemisahan agama dari kehidupan. Orang-orang Eropah tidak mahu lagi diperintah oleh gereja (agama) dan bangsawan yang bersifat kuku besi dan mereka bangkit atas nama rakyat. Suara rakyat dikatakan suara keramat yang bermaksud kebaikan dan kebenaran itu ada pada suara (majoriti) rakyat. Slogan inimenarik perhatian dan sokongan rakyat yang rata-ratanya sudah tidak tahan hidup tertindas dan akhirnya mereka menang melawan golongan gereja. Kerana itulah, inti demokrasi adalah kedaulatan rakyatyang bermaksud rakyatlah yang memiliki kekuasaan tertinggi dalam pemerintahan dan berhak menentukan peraturan mereka sendiri.
Oleh sebab mereka telah menolak agama untuk dijadikan peraturan (undang-undang) hidup, maka mereka (rakyat) mestilah membuat peraturan sendiri dan oleh kerana mustahil untuk semua rakyat membuat undang-undang, maka dibuatlah pilihan raya bagi rakyat melantik “wakil” ke arah tersebut. Pilihan raya kemudian menjadi proses untuk rakyat memilih wakil mereka. Untuk apa? Untuk membuat undang-undang! Lalu dibuatlahatur main(cara-cara) bagaimana rakyat memilih wakil mereka untuk duduk di Parlimen yang diberi kuasa legislatif untuk membuat peraturan yang mengikat rakyat, dengan anggapan, para wakil rakyat yang terpilih akan mewakili suara dan kehendak rakyat dan bertindak demi kepentingan rakyat!
Di sinilah silap mata demokrasi bermula. Rakyat nampak dan beranggapan bahawa kedaulatan ada di tangan mereka dan rakyat terpukau dengan pertunjukan yang hebat ini. Dari satu sudut, memang benar kedaulatan berada di tangan rakyat, tetapi faktanya, yang memegang kedaulatan itu adalah para anggota Parlimen (yang telah dipilih oleh rakyat). Kedaulatan rakyat sebenarnya telah dialihkan kepada kedaulatan ahli Parlimen. Ini adalah kerana merekalah yang berkuasa menetapkan undang-undang dan apa jua hukum, bukannya rakyat. Rakyat cuma terus dipukau agar sentiasa beranggapan bahawa ahli Parlimen melakukan apa jua perkara atas kehendak rakyat dan demi kepentingan rakyat.
Sistem kufur yang berasal dari Barat ini lalu dijaja oleh mereka ke seluruh dunia Islam, khususnya di abad terakhir kejatuhan Islam dan digencarkan lagi selepas runtuhnya DaulahKhilafah pada 1924. Barat berjaya menggelapkan mata umat Islam sehingga berapa ramai dari kalangan umat Islam yang sudah tidak lagi nampak sistem Islam yang sebenar (Khilafah) dah hanya nampak demokrasi sebagai sistem terbaik, malah ada yang menganggap demokrasi itu datangnya dari Islam! Begitulah berjayanya penyesatan pemikiran yang dilakukan oleh Barat ke atas umat yang mulia ini.
Ahli Parlimen: Wakil Rakyat Atau Wakil Parti?
Proses untuk menjadi calon wakil rakyat bukanlah mudah sebagaimana teorinya. Ini kerana, sistem demokrasi yang kufur ini “sangat mahal” harganya. Untuk bertanding dalam suatu pilihan raya, seseorang calon perlu meletakkan bayaran pertaruhan yang tinggi. Di Malaysia, jumlah wang pertaruhan yang wajib diletakkan ialah RM10,000 (untuk calon Parlimen) dengan tambahan RM5,000 untuk deposit bahan kempen. Manakala untuk calon DUN, jumlah taruhannya ialah sebanyak RM5,000 dengan tambahan RM3,000 untuk deposit bahan kempen. Sekiranya seseorang calon itu gagal mendapat 1/8 undi, maka wang depositnya akan hangus. Ini belum masuk lagi perbelanjaan kempen yang boleh menelan belanja hingga ratusan ribu ringgit bagi setiap calon, malah ratusan juta ringgit akan terbang dalam setiap kali pilihan raya umum yang melibatkan ratusan calon sekali gus.
Oleh yang demikian, hanya mereka yang mempunyai modal (kekayaan) sahaja yang mampu bertanding dalam satu-satu pilihan raya. Kerana itulah, tidak ramai individu yang bertanding atas tiketnya sebagai individu (bebas), tetapi yang paling ramai ialah yang bertanding atas tiket parti. Untuk tujuan ini pun, hanya partiyang kaya sahaja yang boleh bertanding manakala parti yang miskin hanya layak jadi pemerhati sahaja, itu pun jika masih mampu bernafas sebelum menuju ke perkuburan masing-masing.
Realitinya, calon yang bertanding dalam suatu pilihan raya sebenarnya ialah “calon parti” dan bukannya “calon rakyat”. Lebih jauh, calon parti ini pula hanya boleh jadi calon jika diperkenan oleh ketua parti sahaja dan jangan harap seseorang itu akan dapat jadi calon jika ketua parti tidak merestuinya, walau majoriti ahli parti suka dengannya sekalipun. Dengan kata lain, calon pilihan raya ini hanyalah ditentukan oleh “seorang” manusia sahaja, iaitu ketua parti! Inilah antara ilusi demokrasi atau pilihan raya yang kononnya calon tersebut adalah “wakil” rakyat. Dia hakikatnya adalah calon parti dan lebih spesifik, calon ketua parti! Apakah rakyat terlibat dalam proses melantik calon ini? Tidak sama sekali!!!
Setelah direstui dan dilantik oleh ketua parti, maka barulah seseorang calon itu diumumkan dan akan mendaftar diri sebagai calon yang akan bertanding di kawasan yang berkenaan. Sama ada anggota parti yang lain suka atau tidak, sama ada rakyat suka atau tidak, malah sama ada rakyat kenal atau tidak, semua ini tidak penting dan tidak berpengaruh sedikit pun. Calon tersebut kemudian akan bertanding di kawasan yang ditetapkan dan akan bertanding atas nama “wakil rakyat” walhal hakikatnya dia adalah “wakil parti” semata-mata!!!
Lalu di manakah kedudukan atau peranan rakyat terhadap calon yang dikatakan sebagai “wakil rakyat” ini? Tugas rakyat sekarang ialah pergi “memangkah” calon ini pada hari yang telah ditentukan yang dinamakan sebagai hari mengundi. Itu sahaja. Apabila wakil parti ini menang, maka ia akan diangkat dan dijulang serta dikenali sebagai “wakil rakyat”atas alasan dia telah dipangkah (diundi) oleh rakyat! Tidak berakhir di situ, “wakil rakyat” yang baru dilantik ini akan pergi ke Parlimen/DUN bagi menjalankan fungsinya yang sekali gus merupakan fungsi Parlimen/DUN iaitu menggubal undang-undang.
Lalu apakah mereka akan membawa suara rakyat yang telah mengundi mereka? Semua orang tahu bahawa jawapannya tidaksama sekali. Apa yang mereka bawa ialah suara parti. Apa yang mereka perjuangkan ialah kepentingan parti. Apa yang mereka patuhi ialah kehendak parti. Lebih spesifik, ia adalah suara, kepentingan dan kehendak ketua parti! Buktinya? Tak perlu dibuktikan, semua orang sudah tahu. Siapa pun dari kalangan wakil ini yang tidak bertindak mengikut kehendak ketua parti, maka habislah periuk nasinya dalam parti dan dalam politik. Jadi, di manakah suara rakyat, kepentingan rakyat, kehendak rakyat yang dilaungkan? Semua itu hanyalah satu ilusi…!
Lebih buruk, berapa ramai dari kalangan “wakil rakyat” ini yang tidak menghadiri sidang Parlimen/DUN. Ada yang hanya mengarahkan Setiausaha mereka untuk hadir dan menjawab segala soalan. Manakala sebahagian ahli Parlimen yang hadir pula hanya sekadar menjadi pemerhati dan sebahagian lagi menjadikan kerusi Parlimen yang mahal itu sebagai tempat istirehat dan tempat tidur semata-mata. Bagi yang terlibat dengan pembahasan pula, segala hal karut-marut, caci-mencaci, menghina dan memperlekehkan satu sama lain, menghamburkan kata-kata kesat, bergurau senda dan banyak lagi kerenah lainnya menjadi santapan mereka setiap kaliberlangsungnya sidang Parlimen. Inilah hakikat ahli Parlimen Malaysia yang dikatakan sebagai “wakil rakyat”. Entah rakyat mana yang diwakilinya kita pun tidak tahu!
Manakala anggota parti Islam yang terlibat sebagai ahli Parlimen pula, selalu berhujah bahawa kewujudan mereka di Parlimen adalah perlu bagi membawa wadah Islam, menasihati pemerintah yang sekular dan menjadi penegur kepada kezaliman pemerintah. Realitinya, jauh panggang dari api. Berapa ramai di antara mereka yang tidak melakukan apa yang mereka cakapkan, malah berapa ramai di antara mereka yang tidak hadir atau tidak terlibat dalam pembahasan. Ambil sahaja contoh baru-baru ini, tatkala undang-undang haram Akta Pencegahan Keganasan (POTA) di bahaskan, berapa ramai dari anggota parti Islam yang tidak hadir? Apa pun alasan mereka, ini semua tidak penting kerana kita sudah tahu bahawa tidak ada apa yang dapat kita harapkan dari mereka untuk merubah sistem kufur ini kerana mereka sendiri turut bergelumang di dalamnya!
Jika dulu, orang-orang Eropah marah dan bangkit kerana sudah tidak tahan dengan gereja dan bangsawan yang menentukan peraturan hidup mereka yang mereka sifatkan sebagai zalim. Sebenarnya hal ini tidak ada bezanya dengan demokrasi hari ini. Kalau dulu hak menentukan hukum berada di tangan gereja, kini hak untuk menentukan hukum berada di tangan ahli Parlimen! Dengan kata lain, perubahan yang berlaku sebenarnya hanyalah “perpindahan” hak untuk membuat hukum daripada tangan gerejawan kepada tangan ahli Parlimen. Jika dulu gereja melaksanakan undang-undang atas nama agama, kini (di bawah demokrasi)pemerintah melaksanakan undang-undang atas nama majoriti.
Di bawah demokrasi, jika pemerintah mahu merampas duit rakyat, maka dibuat undang-undang cukai seperti GST dan lain-lain. Jika pemerintah mahu membendung pertumbuhan gerakan Islam, maka dibuat Akta Pertubuhan. Jika pemerintah mahu menyekat sebarang penerbitan keIslaman, maka dibuat Akta Penerbitan dan Mesin Cetak. Jika pemerintah mahu menangkap orang yang berdemonstrasi kerana tidak berpuas hati dengan mereka, maka pemerintah membuat Akta Perhimpunan Aman dan begitulah seterusnya. Pendek kata, segala kehendak dan nafsu pemerintah dapat direalisasikan dengan mudah asalkan majoriti ahli Parlimen meluluskannya. Hukum Allah SWT juga tidak terlepas, kerana terpaksa tunduk kepada kehendak majoriti.Dengan kata lain, hukum Allah seperti hudud, qisas dan lain-lain tidak akan dapat dilaksanakan kecuali majoriti ahli Parlimen meluluskannya. Ringkasnya, di bawah demokrasi, segala hukum-hakam berada di tangan ahli Parlimen, yang telah mengambil hak Allah dalam membuat hukum!
Khatimah
Sesungguhnya persoalan kenaikan gaji ahli Parlimen hanyalah secebis dari kepincangan yang berlaku dalam sistem demokrasi yang kononnya menjaga kepentingan rakyat ini. Di saat rakyat terhimpit dengan pelbagai undang-undang dan cukai serta kenaikan kos sara hidup yang terhasil dari undang-undang zalim yang dibuat oleh ahli Parlimen, gaji mereka dinaikkan dengan banyaknya. Dari manakah duit untuk membayar gaji ahli Parlimen yang begitu tinggi ini jika bukan dari rakyat? Wajarkah gaji setinggi ini dibayar untuk mereka ke Parlimen membuat undang-undang yang menzalimi rakyat, untuk melelapkan mata dan menunaikan kehendak parti mereka? Di manakah kepentingan dan aspirasi rakyat yang mereka laungkan selama ini? Semua ini ternyata ilusi…Justeru, tidak cukupkah semua hakikat ini menyedarkan kalian wahai kaum Muslimin, untuk meninggalkan sistem demokrasi yang penuh kekotoran dan kekufuran ini dan menggantikannya dengan sistem Islam di bawah naungan Khilafah?