SN426 – Bagaimana Islam Selesaikan Kefasikan Pemimpin
SN keluaran 1 Mei 2015
[SN426] Setelah tidak boleh tahan dengan teguran dari belakang yang tidak diendahkan, kini Tun Dr Mahathir Mohamed telah mengkritik Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak secara terang-terangan dan terbuka. Selama ini mantan Perdana Menteri itu dilihat masih sinis dan berlapik dalam menghentam Najib, namun sejak lebih kurang sebulan lepas, kritikan secara “tertutup” tersebut telah tamat tempoh dan tidak boleh digunakan lagi. Mahathir kini, walaupun kelihatan uzur atas faktor usia, tetapi dengan lantang dan tidak henti-henti mendesak Najib meletak jawatan demi menyelamatkan UMNO dan Malaysia. Umum mengetahui tentang pengaruh dan kekuatan Mahathir, baik dalam UMNO mahupun di Malaysia yang tidak boleh dipandang remah. Sejarah telah menyaksikan bagaimana perang terbuka yang berlaku antara Mahathir dan Pak Lah sehingga menyaksikan Pak Lah melepaskan jawatannya dalam keadaan yang tertekan. Kini, Najib sedang mengalami nasib yang sama, malah lebih dahsyat apabila Mahathir tanpa berlapik lagi menyatakan yang prestasi Najib jauh lebih buruk dari Pak Lah. Satu demi satu isu yang dilondehkan oleh Mahathir yang mempersoalkan tentang kelayakan dan kewibawaan anak Tun Razak itu dalam menguruskan negara.
Antara isu yang dibangkitkan Mahathir ialah 1MDB, GST, pembaziran dan penyelewengan wang kerajaan, kos perkahwinan anak Najib yang menelan belanja yang melampau serta pelbagai skandal lainnya yang masih menjadi tanda tanya segenap lapisan rakyat. Dengan ketegasan, keintelektualan dan sisa-sisa kekuatan yang dimiliki Mahathir, tidak hairanlah serangan Mahathir ke atas Najib ini mendapat perhatian serius bukan sahaja daripada ahli UMNO, bahkan seluruh negara. Tindakan Mahathir ini telah menempatkannya sebagai “hero” di mata banyak pihak, termasuk pembangkang yang satu ketika dahulu (semasa era kekuasaan Mahathir) pernah menjoloki bekas Perdana Menteri itu sebagai Maha Firaun, Mahazalim dan sebagainya. Dengan perkembangan terbaru ini, segala kezaliman yang telah di lakukan oleh Mahathir selama pemerintahannya lebih 20 tahun seolah-olah telah dilupai oleh masyarakat, termasuk pembangkang, yang kini melihat Mahathir sebagai negarawan yang berani untuk menyelamatkan negara. Walhal, segala kerosakan yang ada pada hari ini, sebenarnya tidak lepas daripada kerosakan yang diwarisi daripada pemerintahan sebelumnya.
Pemimpin Dan Sistem Yang Fasik
Sistem demokrasi-kapitalisme masih tetap mendominasi Malaysia, sejak dari Perdana Menteri pertama hinggalah Perdana Menteri sekarang. Sistem inilah yang dianut dalam pemerintahan, bukannya sistem Islam. Kerana itu, kita melihat di sebalik serangan bertubi-tubi yang dilontarkan Mahathir ke atas Najib, mahupun ke atas Pak Lah dahulu, semua isu yang dibangkitkan tidak pernah dikaitkan dengan Islam sedikit pun. Isu penyelewengan dan pembaziran yang dilontarkan tetap tertumpu kepada facts dan figure (fakta dan angka) serta kredibiliti kepimpinan, malah ada juga yang bersifat peribadi, tanpa dikaitkan dengan hukum-hakam Islam sedikit pun.
Sepatutnya, selain mendedahkan segala kepincangan berdasarkan fakta dan angka, segala kritikan hendaklah dibuat dan dinilai menurut pandangan Islam dan bukannya semata-mata dari segi kewibawaan atau kecekapan menguruskan negara. Sehebat mana sekali pun seseorang pemimpin itu memerintah dan mentadbir negara, tetapi jika hukum Allah diketepikan, maka tidak ada gunanya. Tolok ukur utama yang sepatutnya digunakan adalah halal dan haram dan bukannya dari segi cekap atau tidak, mendatangkan keuntungan atau kerugian dan seumpamanya. Sebagai contoh, sekiranya projek 1MDB yang diusahakan Najibmampu menjana pendapatan berbillion ringgit kepada negara sekali pun, apakah ia dikira “baik” sedangkan segala transaksi yang dilakukan adalah bercanggah dengan Islam?
Segala bentuk kezaliman, kesalahan dan penyelewengan memang wajib ditentang, baik kecil mahupun besar. Banyak pihak, termasuk Mahathir yang tidak nampak “kesalahan” utama Najib yang wajib dipersoalkan, yang juga merupakan kesalahan Mahathir sebenarnya, yakni tidak menerapkan Islam semasa mereka memerintah. Di samping mengkritik simptom, punca kepada kesalahan dan kerosakan wajib diutamakan dalam memberi kritikan. Gerakan Islam khususnya dan umat Islam amnya, perlu melihat kepada vital issue (isu utama) berlakunya segala bentuk kejahatan yakni kerana hukum Allah tidak diamalkan oleh pemimpin dan tidak diterapkan dalam pemerintahan! Baik Najib mahupun Mahathir yang jauh lebih lama memimpin negara ini, tidak ada kebaikan kepada mereka dan kepada umat ini, apabila mereka tidak menerapkan Islam tatkala mereka berkuasa. Inilah kesalahan utama pemimpin yang wajib diangkat! Sebagai pemegang amanah, pemimpin wajib menerapkan apa yang telah diturunkan oleh Allah SWT berupa hukum-hakam yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah.
Walaupun ada yang menyatakan bahawa kritikan yang dilakukan adalah untuk menyelamatkan negara, namun hakikatnya negara ini telah musnah dari segi akarnya kerana tidak menerapkan Islam dalam pengaturan urusannya. Setiap Muslim perlu memahami bahawa negara hanya boleh diselamatkan dengan (penerapan) syariah secara kaffah dan bukannya dengan pertukaran pemimpin semata-mata kerana sistem pemerintahan negara wajib diatur dengan Islam dan bukan hanya berpijak kepada urus tadbir yang baik (good governance) semata-mata. Sistem ekonomi, sistem pergaulan (sosial), dasar pendidikan, dasar luar negeri, sistem uqubat dan semuanya wajib diatur dengan Islam. Kezaliman akan muncul dan pemimpin menanggung dosa yang paling besar, apabila mereka tidak melaksanakan Islam secara keseluruhan dalam pemerintahan.
Bagaimana Islam Menangani Pemimpin Yang Fasik dan Zalim
Dewasa ini, kita melihat berapa ramai dari kalangan pemerintah umat Islam yang menzalimi rakyatnya dan dalam masa yang sama berusaha bermati-matian untuk mempertahankan pemerintahan mereka. Mereka tidak sanggup melepaskan jawatan dan mempertahankannya hingga ke titisan darah terakhir. Lihat sahaja Muammar Gaddafi (Libya) yang cuba mempertahankan jawatannya hingga akhirnya dibunuh ole rakyatnya sendiri setelah 42 tahun menjalankan pemerintahan kuku besi. Hosni Mubarak (Mesir) cuba bertahan sehingga 30 tahun dan hanya meletak jawatan setelah nyawanya terancam. Begitu juga dengan Zainal Abidin bin Ali (Tunisia) yang berkuasa selama 24 tahun, Ali Abdullah Salleh (Yemen) 20 tahun dan yang masih bersabung nyawa menjaga kerusi pemerintahan sekarang ialah Basyar al-Assad setelah memerintah selama 15 tahun. Islam Karimov (Uzbekistan) masih terus mempertahankan jawatan dengan menzalimi dan membunuh rakyatnya selama 24 tahun dan ramai lagi pemimpin yang “biar mati anak, jangan hilang kerusi”.
Hakikat ini berbeza sama sekali dengan Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan yang telah meletak jawatan sebagai pemimpin Parti Demokratik selepas parti pemerintah itu tewas dalam pilihan raya negaranya ketika itu. Peletakan jawatan Kan dilakukan selepas beliau menghadapi 14 bulan yang sukar dalam pemerintahannya terutamanya dalam isu gempa bumi, tsunami dan peristiwa kebocoran loji nuklear yang menyebabkan kepercayaan rakyat terhadapnya turun mendadak. Kebanyakan pemimpin Jepun, walaupun kafir, jauh lebih ‘gentlemen’ dan sanggup meletak jawatan dengan mudah apabila mereka merasakan gagal menyelesaikan masalah atau sudah tidak mampu memberikan kebaikan kepada rakyat dan negara.
Dalam Islam, memang tidak salah untuk seseorang pemimpin (Khalifah) memegang jawatan selama mana pun asalkan dia masih mampu menunaikan amanah, yakni memerintah dengan Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Namun, malangnya berapa ramai dari kalangan pemimpin sekarang yang bukan sahaja tidak menunaikan amanah, malah menzalimi rakyat dalam pelbagai bentuk, tetapi berpantang ajal sebelum meletak jawatan! Kerana itu memang layaklah kalau mereka ini sering dituduh sebagai gila kuasa! Mereka ini langsung tidak takut kepada hari pertemuan dengan Allah walhal Allah SWT telah mengingatkan,
“Sesungguhnya dosa itu atas orang-orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa hak. Mereka itu mendapat azab yang pedih” [TMQ al-Syura (42):42].
Mentaati pemimpin merupakan sebuah kewajipan. Tetapi jika pemimpin itu melanggar perintah dan larangan Allah atau melakukan maksiat atau memerintah kepada maksiat, maka tidak ada lagi ketaatan kepadanya. Sabda Rasulullah SAW,
“Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam kemaksiatan kepada Allah.” [HR Ahmad].
Bukan berakhir di situ, mana-mana pemimpin yang melakukan maksiat, maka ini bermaksud dia telah melakukan kefasiqan dan wajib dihukum. Di dalam Islam, tidak ada seorang pun yang kebal hukum termasuklah Khalifah (ketua negara) itu sendiri. Jika ia didapati melakukan kefasiqan dan kezaliman yang menyimpang dari al-Quran dan al-Sunnah secara terang-terangan (dilihat atau diketahui oleh manusia), maka ia wajib diadili di Mahkamah Mazhalim. Mahkamah Mazhalim adalah mahkamah khusus yang membicarakan kesalahan pemerintah atau apa sahaja persengketaan di antara rakyat dan pemerintah.
Mahkamah Mazhalim memiliki kuasa untuk mengadili sebarang bentuk kefasiqan atau kezaliman yang dilakukan oleh pegawai-pegawai pemerintah mahupun Khalifah yang menyimpang daripada hukum syarak. Mahkamah Mazhalim malah berhak memecat pemimpin yang fasik secara terang-terangan jika mereka terbukti bersalah. Rakyat tidak perlu khuatir atau melakukan demonstrasi apatah lagi memohon bantuan campur tangan luar untuk meluruskan kesalahan pemerintah kerana aduan boleh dibuat terus ke Mahkamah Mazhalim. Malah tanpa aduan pun, jika Qadhi Mahkamah Mazhalim mendapati adanya kefasiqan atau kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah, maka dia berkuasa untuk membicarakan dan seterusnya memecat pemerintah tersebut jika terbukti bersalah.
Ini kerana, Islam telah meletakkan tujuh syarat in’iqad (kelayakan) untuk seseorang menjadi Ketua Negara (Khalifah) iaitu lelaki, Muslim, merdeka, baligh, berakal, adil dan mampu. Jika Ketua Negara kehilangan salah satu dari tujuh syarat in’iqad contohnya “mampu” atau “adil”, maka secara syar‘i ia tidak boleh lagi memegang jawatan Ketua Negara. “Kemampuan” ini akan diukur oleh Mahkamah Mazhalim bila timbul isu atau aduan daripada rakyat tentang hal ini. Manakala “fasik” adalah sifat yang berlawanan dengan “adil” yakni apabila seseorang Ketua Negara itu melakukan kefasiqan secara terang-terangan, maka hilanglah sifat “adil”nya yang membolehkannya dipecat dari jawatan.
Selain memecatnya dari jawatan, pemimpin yang fasiq dan zalim ini juga akan dikenakan ta’zir mengikut jenis, berat dan ringan kesalahan yang mereka lakukan. Malah, dalam keadaan di mana pemimpin ini melakukan kefasiqan dan kezaliman sebelum berdirinya Khilafah, tatkala berdirinya Khilafah nanti, mereka juga tidak akan terlepas dari hukuman.
Selain Mahkamah Mazhalim yang berkuasa memecat pemimpin atau kakitangan mereka, rakyat juga wajib melakukan muhasabah kepada pemimpin apabila mereka melihat kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin secara terang-terangan. Manakala pemimpin pula mesti menjawab atau membuktikan kepada rakyat bahawa ia bersih dari sifat fasik. Inilah yang telah ditunjukkan oleh para Khalifah al-Rasyidin. Diriwayatkan bahawa Umar bin al-Khaththab (sebagai Khalifah) sedang mengenakan kain tambahan tatkala membahagi ghanimah (harta rampasan perang) dari Yemen. Beliau kemudian memberi ucapan di hadapan khalayak sambil mengenakan kain tersebut,
“Wahai manusia dengarlah dan taatlah…” Salman al-Farisi, seorang sahabat yang mulia lalu berdiri dan berkata kepadanya, “Kami tidak akan mendengar dan mentaatimu”. Umar bertanya kehairanan, “Mengapa demikian?” Salman menjawab, “Dari mana engkau mendapat pakaian itu, sedangkan engkau hanya mendapat sehelai pakaian? Umar menjawab, “Jangan engkau tergesa-gesa” seraya memanggil anaknya, “Wahai Abdullah” namun tidak seorang pun menjawab. Lalu Umar memanggil lagi, “Wahai ‘Abdullah bin Umar”. Abdullah lalu menjawab, “Saya, wahai Amirul Mukminin”. Umar berkata, “Bersumpahlah demi Allah, apakah kain yang aku pakai ini kainmu?” Abdullah bin Umar menjawab, “Demi Allah, ya”. Salman lalu berkata, “Sekarang perintahlah kami, maka kami akan dengar dan taat”.
Salman melihat ada “kesalahan” yang dilakukan oleh Umar, beliau lantas mempersoalkannya (bagi mendapat jawapan). Inilah antara kewajipan dan keberanian para sahabat untuk menegur pemimpin yang dilihatnya salah, walau hanya kerana sehelai kain! Manakala Umar, sebagai seorang pemimpin yang amanah yang tahu dirinya tidak melakukan apa-apa kesalahan, terus membuktikan pada ketika itu juga, sebagai menjawab persoalan dari rakyatnya. Berbeza sama sekali dengan pemimpin umat Islam pada hari ini, sudahlah tidak menunaikan amanah, memberikan pelbagai dalih dan pembohongan, malah mempersalahkan rakyat pula kerana menegur atau mempersoalkan kefasiqan mereka yang berlaku secara terang-terangan! Lebih jauh, mereka tidak ada perasaan malu sedikit pun dan terus mendabik dada kononnya merekalah hero dan segala kezaliman yang mereka lakukan itu ialah untuk kebaikan rakyat!!!
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya baik Najib mahupun Mahathir, kedua-duanya telah melakukan kesalahan dengan tidak menerapkan Islam dalam pemerintahan. Mereka lebih selesa mengamalkan demokrasi-kapitalisme warisan penjajah berbanding sistem Islam (Khilafah) warisan Rasulullah. Justeru, selagi sistem yang rosak ini diamalkan, meskipun beratus orang pemimpin silih berganti, masalah umat ini tidak akan selesai. Ini kerana, sistem yang sedia ada sudah rosak dari akarnya yang pastinya akan melahirkan pelbagai cabang dan ranting yang juga rosak. Selagi sistem demokrasi ini tidak diganti dengan sistem Islam di bawah naungan Khilafah, maka selagi itulah umat Islam akan terus dizalimi oleh pemimpin yang menerapkannya. Sungguh, sistem demokrasi ini telah banyak membawa ketidakadilan dan malapetaka, maka amat rugilah mereka yang masih berharap pada pemimpin dalam sistem ini kerana tidak ada apa yang dijanjikan oleh demokrasi kecuali kezaliman dan kerosakan.
Wallahua’lam.