SN442 – Amerika Dan Rusia – Bermusuhan Tetapi Memerangi Musuh Yang Sama!
SN Keluaran 23 Oktober 2015
AMERIKA DAN RUSIA – BERMUSUHAN TETAPI MEMERANGI MUSUH YANG SAMA!
[SN442] Sebagaimana yang telah diketahui, Amerika dan sekarang ini Rusia sedang melakukan serangan udara di Syria dengan alasan perang terhadap pengganas. Ironinya, rejim Bashar al-Assad yang telah membunuh ratusan ribu dan membuat jutaan rakyat Syria hidup sebagai pelarian tidak pula disentuh malah tidak dijentik oleh pihak kuffar ini, sebaliknya dilindungi dan dibela selagi mana diperlukan. Walau apa sekali pun makar yang AS rencanakan dan lakukan termasuk membawa Rusia ke kancah peperangan, ia tidak dapat diterima bulat-bulat oleh kebanyakan umat Islam dan pasti terbongkar. Umat sudah sedar bahawa AS sudah tentu ingin memastikan kebangkitan umat di Syria memihak kepadanya sepertimana yang berlaku di Mesir, Libya dan lain-lain untuk menjaga kepentingan imperialisme dan hegemoni mereka ke atas umat Islam.
Wahai kaum Muslimin, al-Syam adalah bumi yang diberkati oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda, “Pusat negara kaum Mukmin adalah di Syam” [HR al-Thabari]. Malangnya hari ini bumi ini sedang bermandikan darah umat Islam oleh bom dan peluru berpandu dari musuh Islam, Amerika dan sekutunya, Rusia. Walaupun dari mata kasar kedua-duanya seperti berperang memerangi pihak yang berlainan, tetapi hakikatnya mereka ini seperti dua sisi syiling ciptaan AS sendiri. Sautun Nahdhah kali ini memaparkan terjemahan nasyrah daripada Hizbut Tahrir Pusat berhubung perkembangan terkini yang berlaku di al-Syam.
Serangan Kejam Amerika Dan Rusia Ke Atas Syria Pada Hakikatnya Adalah Dua Sisi Syiling Buatan Amerika Yang Sama!
Tentera Bashar al-Assad dengan bantuan pesawat tentera Rusia telah melakukan serangan pada hari Sabtu 10/10/2015 yang lalu, dalam satu pertempuran sengit dengan para pejuang bersenjata di wilayah barat laut Syria. “Ia dianggap sebagai serangan secara besar-besaran yang pertama kali melibatkan gabungan pasukan darat dan udara semenjak Moscow melancarkan kempen ketenteraannya terhadap Syria yang bermula pada 30 September 2015. Pertempuran itu tertumpu di wilayah Hama dan Idlib di utara negara itu di mana beberapa kumpulan pejuang yang menentang Bashar bergiat aktif di samping kekuatan Jabhat al-Nusrah (yang sedia ada di sana)” [Akhbar al-Watan, 10/10/2015].
“Dalam hal ini, tentera kerajaan Syria telah mendapat bantuan udara dari Rusia ketika memulakan kempen serangan ke atas kubu kuat pasukan pejuang di kawasan strategik, Sahl al-Ghab berhampiran Hama” [BBC Arabic, 08/10/15]. Sebelum itu, kapal perang Rusia di Laut Caspian “telah melancarkan 26 buah peluru berpandu ke wilayah Syria” [BBC Arabic, 07/10/2015]. Terdahulu dari itu tentera Rusia telah memulakan serangan udara ke atas wilayah Syria pada 30/09/2015 setelah Parlimen negara itu memberikan mandat penuh untuk melancarkannya. “Presiden Rusia telah mengesahkan bahawa penghantaran pasukan tentera udara Rusia ke Syria adalah hasil daripada permintaan rasmi kerajaan Syria yang dihantar melalui satu mesej dari Presiden Bashar al-Assad kepada Presiden Putin, seperti mana yang dilaporkan oleh agensi berita Syria-Arab” [BBC Arabic, 30/09/2015].
Serangan yang dilakukan oleh Rusia ke atas Syria itu telah dimulakan dengan serangan yang dilakukan oleh Amerika atas nama pakatan yang dibentuk oleh Amerika pada 23/09/2015. “Sumber rasmi kerajaan Amerika menyatakan bahawa pesawat tempur, artileri dan peluru berpandu telah digunakan dalam serangan yang berterusan tersebut. Para aktivis (di Syria) menyatakan bahawa lima serangan telah dilancarkan ke atas lapangan terbang tentera Tabaqah, tiga serangan ke atas bandar Tal Abyad dan tiga serangan lagi ke atas kawasan al-Liwaa 93 dan kawasan di sekelilingnya di wilayah Ain Isa. Presiden AS, Barack Obama, telah mengarahkan pasukan tentera udaranya untuk melakukan serangan udara ke atas Syria dan hal itu dinyatakan oleh wakil agensi BBC di Washington, Paul Blake. Manakala televisyen Syria pula telah mengeluarkan kenyataan dari kerajaannya yang mengatakan bahawa Washington telah memberitahu lebih awal yang mereka akan menyerang kawasan Raqqah” [Sudan Today, 23/09/2015].
Kedua-dua serangan kejam oleh AS dan Rusia ini dilakukan atas alasan untuk memerangi keganasan, sedangkan kedua-duanya mungkin telah lupa atau sengaja melupakan hakikat bahawa, sekiranya terdapat elemen keganasan pun di sana, maka sebenarnya ia ada di dalam jenayah yang dilakukan oleh penguasa zalim ini melalui serangan peluru berpandu, serangan bom api sebagai tambahan kepada bom berangkai (yang dilancarkan) dan seksaan yang membawa kepada kematian di penjara bawah tanah para perisiknya. Hakikatnya, apa yang berlaku bukanlah seperti yang mereka cuba lakonkan kerana mereka pasti tidak akan menceroboh masuk ke wilayah Syria melalui udara, darat dan malah dari laut hanya semata-mata untuk memerangi keganasan, sedangkan mereka sendiri merupakan pencipta keganasan tersebut; melainkan serangan kejam ini hanyalah dilakukan untuk melindungi pemerintah zalim di Damsyik (Bashar al-Assad) dan untuk memastikan dia terus hidup sebagai agen yang ada buat masa ini, sehinggalah Amerika berjaya menghasilkan agen yang baru.
Selain itu ia merupakan satu bentuk tekanan yang dikenakan di peringkat awal ke atas rundingan politik di antara rejim Bashar dan kumpulan pembangkang, setelah sebelum ini mereka dipersiapkan sebagai alternatif baru kepada rejim Bashar supaya kelak ia boleh mengambil tempatnya sebagai penjaga kepentingan Amerika. Semua ini jelas dalam kenyataan yang telah mereka sendiri keluarkan. “Menteri Luar Rusia mengesahkan bahawa semua langkah yang diambil Moscow ke atas Syria dilakukan untuk menyumbang kepada penyelesaian politik di negara itu” [Russia Today, 08/10/2015]. Amerika telah bersedia untuk perkara tersebut, bilamana ia mula mengumumkan apa yang selama ini ia sembunyikan darihal tidak melepaskan Bashar dengan segera tetapi akan melakukannya hanya selepas rundingan. Hal ini adalah untuk memastikan peralihan kuasa dari seorang agen kepada agennya yang lain dapat dilakukan secara berturut-turut untuk menjamin kelangsungan pengaruhnya.
John Kerry menyatakan, “Sepanjang setahun setengah yang lalu, kami sering menyatakan bahawa Bashar al-Assad mesti turun dari kekuasaannya, namun bilakah tempoh masanya dan bagaimanakah ia akan berlaku, keputusan ini mesti dibuat berdasarkan kepada skop rundingan di Geneva” dan dia menambah, “Ia tidak semestinya berlaku di hari pertama atau di bulan pertama (semenjak kenyataan itu dikeluarkan)…” [al-Arabiyah, 5 Zulhijjah 1436H bersamaan 19/9/2015].
Sebenarnya Amerika amat sedar bahawa ia berada dalam kedudukan yang sangat sulit di al-Syam. Ia menganggap perubahan wajah akan menjadi lebih mudah di Syria seperti mana yang telah ia lakukan di bumi al-Kinanah, Mesir. Ia telah menyusup masuk ke dalam revolusi rakyat di Mesir dan kemudian mendiamkan mereka dengan menaikkan wakil yang mereka labelkan sebagai Islam moderat. Apabila mereka gagal, Amerika menyingkir mereka dengan mudah sebagaimana mudahnya mereka dinaikkan. Amerika berhasil mengembalikan penjaga kepentingannya yang lama dengan cara yang lebih keji dan lebih lancang di atas kebatilan, sehingga penjaganya yang baru itu begitu berani mempermainkan seruan agama atas nama modernisasi!
Begitulah sangkaan Amerika…dan ia meleset sama sekali apabila Koalisi Nasional Syria yang cuba dibentuknya gagal. Koalisi itu adalah sebagai alternatif untuk menggantikan rejim Bashar, tetapi ia tidak mampu mendapatkan dukungan dari rakyat Syria sendiri. Malah Koalisi itu tersingkir di luar Syria, di mana mereka sentiasa menyanyikan puji-pujian ke atas Amerika agar mereka dapat dinaikkan sebagai pemerintah Syria yang baru. Namun bagaimana mungkin perkara itu boleh terjadi, ketika mana umat Islam di Syria sentiasa melaungkan slogan “Revolusi ini kerana Allah! Revolusi ini hanya untuk Allah!”, sedangkan mereka pula sibuk meneriakkan solusi yang memisahkan agama ini dari kehidupan (sekularisme)!
“Ketahuilah, alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu” [TMQ al-Nahl (16):59].
Kemudian Amerika terpaksa menilai dan menimbang semula perancangannya kerana bimbangkan koalisi yang dibentuk itu akan tumbang sebelum sempat ia “dipisahkan dari susu ibunya”! Dengan itu, Amerika memberi dukungan kepada rejim Bashar melalui askar upahan dari Iran dan penyokongnya di Lebanon dan mereka melaksanakan dukungan ini untuk beberapa ketika. Ia berlangsung sehinggalah kelompok ini menemui kegagalan dan tidak tersisa lagi kecuali sekitar sepuluh peratus wilayah kekuasaan Bashar atau sebahagian daripadanya di bumi Syria. Kemudian Amerika beralih pula kepada strategi “gencatan senjata” yang bertahan sehingga enam bulan bagi memberi kesempatan kepada rejim Bashar untuk bernafas semula meskipun bahaya yang mengancam rejim ini berterusan tanpa henti. Hal ini telah menjadikan kedudukan politik Amerika satu bencana.
Amerika terpaksa menampakkan dirinya seolah-olah berada di pihak penentang dan hal ini menyebabkan ia sulit untuk memerangi penentang secara terbuka. Sementara penentang Bashar pula berterusan menimpakan bahaya ke atas rejimnya, sedangkan penggantinya yang sedang dalam asuhan Amerika masih lagi belum mencapai tahap matang. Di sinilah bermulanya peranan keji Rusia dalam permainan ini. Peranannya adalah untuk mendukung rejim dan memerangi para penentangnya secara terbuka. Alasan untuk memerangi penentang dan keganasan dijadikan sebagai justifikasi. Inilah perkara sebenar yang membuatkan rejim ini mengundang Rusia (membantunya) melalui telunjuk Amerika dan inilah yang berlaku sekarang. Russia telah bersetuju memainkan peranan jahatnya demi Amerika! Sedangkan dia amat tahu bahawa keluarga al-Assad dari bapa sehinggalah ke anaknya merupakan ejen Amerika yang setia dan Amerika pasti akan memonopoli pengaruh kekuasaan di Syria untuk dirinya sendiri sekiranya ia berjaya memperbodohkan umat ini. Pada waktu itu kepentingan Rusia tidak lagi diperkirakan dan malah dengan hanya satu coretan pena sahaja Rusia akan disingkirkan dari Syria sekiranya Amerika mahu melakukannya.
Setelah bantuan yang mereka berikan berjaya mengukuhkan kedudukan Bashar, Amerika akan menghalau mereka keluar, sama seperti apa yang telah dilakukan oleh Sadat di Mesir dahulu! Putin menganggap dengan pertolongan yang ia berikan kepada Amerika di Syria, masalah yang dihadapinya di sempadan Ukraine akan dapat diselesaikan. Sedangkan isu (Ukraine) itu dan isu (Syria) ini adalah dua isu yang berbeza! Malah penglibatan Rusia dalam kancah peperangan terhadap kaum Muslimin, akan menjerumuskannya lagi jauh ke dalam bencana demi bencana yang akan dihadapinya bersama-sama dengan masalah Ukraine. Ia diparahkan lagi dengan api kemarahan yang pasti akan muncul dari kaum Muslimin terhadap mereka kelak. Sesungguhnya hari esok itu semakin hampir bagi orang-orang yang menantikannya.
Bersambung di minggu hadapan…