SN482 – Hijrah : Keluar Dari Dar Al-Kufr Menuju Dar Al-Islam (Bahagian 2)

PDF

SN Keluaran 20 Oktober 2016

Sambungan…

[SN 482] Pengertian bahawa kepatuhan hendaklah kepada hukum Allah SWT semata-mata dan keamanan negara mesti berada di tangan orang Islam, yang menjadi syarat kepada sesebuah negara untuk dikatakan Dar al-Islam (Negara Islam), juga amat jelas berdasarkan surat yang ditulis oleh Rasulullah SAW antara kaum Muhajirin dan Ansar dengan golongan Yahudi di Madinah yang menjadi perjanjian yang mengikat mereka. Hal ini berlaku pada tahun pertama hijrah, sebagaimana dinukil oleh Ibn Ishaq dan dikenali sebagai Sahifah di mana dalam Sahifah tersebut tertulis:

“Bismillaahirrahmanirrahim. Ini adalah perjanjian daripada Muhammad Nabi SAW antara kaum Mukmin yang Muslim dari kalangan Quraisy dan Yatsrib serta orang-orang yang mengikuti mereka, bergabung dan berjuang bersama-sama mereka. Sesungguhnya mereka adalah umat yang satu, yang berbeza dengan seluruh umat manusia lainnya…Orang-orang Mukmin adalah pelindung di antara satu sama lain, tidak sama seperti selainnya…Orang-orang Yahudi hendaklah menanggung nafkah sendiri, begitu juga orang-orang Muslim. Setiap orang hendaklah membantu satu sama lain daripada sesiapa sahaja yang melanggar Sahifah ini…Jika berlaku perselisihan atau pertikaian yang boleh menimbulkan persengketaan, maka ia hendaklah dikembalikan kepada Allah dan RasulNya.”

Berdasarkan hal ini, sesebuah negara itu tidak dikatakan Negara Islam kecuali ia memenuhi syarat bahawa keamanannya berada di tangan orang-orang Islam dan hukum (undang-undang) yang dilaksanakan di negara itu ialah hukum Islam. Jika salah satu daripada syarat ini tidak wujud, contohnya keamanan telah jatuh ke tangan orang-orang kafir atau hukum taghut diterapkan di tengah-tengah masyarakat, negara tersebut akan menjadi Dar al-Syirk atau Dar al-Kufr (Negara Kufur). Tidak semestinya hilang kedua-dua syarat barulah negara tersebut dikatakan Negara Kufur, tetapi cukup hanya dengan hilangnya satu syarat sahaja.

Perlu diperhatikan di sini bahawa jika sesebuah negara itu dikatakan Negara Kufur, bukanlah bermakna yang kesemua penduduknya menjadi kafir. Sama sebagaimana jika sesebuah negara itu dikatakan Negara Islam, bukanlah bermakna kesemua penduduknya menjadi Muslim. Ia merujuk kepada makna terma “Dar” (negara) yang merupakan makna syarie untuk merujuk kepada “status” sesebuah negara, bukan status (agama) penduduknya. Dalam hal ini, syaraklah yang telah menetapkan maknanya, sama sebagaimana terma “solat” dan “saum” (puasa) dan lain-lain terma yang ditentukan berdasarkan syarak.

Atas dasar ini, sebagai contoh, terma “Dar al-Islam” tetap terpakai terhadap suatu wilayah yang majoriti penduduknya Kristian sekiranya wilayah tersebut adalah sebahagian daripada Daulah Islam. Ini kerana, hukum-hakam yang diterapkan di dalamnya adalah hukum-hakam Islam dan keamanannya berada di tangan orang Islam, dengan syarat selagi mana situasi itu tidak berubah. Begitu juga sebaliknya, sebagai contoh, terma “Dar al-Kufr” adalah terpakai terhadap mana-mana wilayah yang majoriti penduduknya adalah Muslim sekiranya ia bukan sebahagian daripada Daulah Islam. Ini kerana hukum-hakam yang diterapkan di dalamnya bukan hukum-hakam Islam dan/atau keamanannya bukan berada di bawah orang-orang Islam.

Jadi, makna “Dar” di sini adalah makna yang mengandungi al-haqiqah al-syar’iyyah (hakikat syarak), tanpa mengira kewujudan Muslim sebagai majoriti atau minoriti, kerana apa yang diambil kira dari segi syarak ialah penerapan hukum dan keamanan yang wujud ke atas penduduknya. Dengan kata lain, pengertian “Dar” di sini diambil berdasarkan nas-nas syarak, yang menjelaskan makna haqiqah syar’iyyahnya, sama sebagaimana pengertian “solat” yang diambil dari nas-nas syarak, yang menjelaskan makna haqiqah syar’iyyahnya. Begitulah seterusnya pengertian yang syarie untuk sesuatu perkara, yang mesti diambil berdasarkan nas-nas syarak, bukan berdasarkan makna lughah (bahasa) lafaz tersebut semata-mata.

Definisi Dar al-Islam Dan Dar al-Kufr Menurut Para Ulama

Sesungguhnya definisi dan penetapan suatu negara sebagai Dar al-Islam atau Dar al-Kufr bukan hanya dibincangkan oleh Hizbut Tahrir, malah telah lama dibincangkan oleh para ulama, baik sebelum mahupun selepas kejatuhan Khilafah. Hanya saja, setelah jatuhnya Khilafah dan berdirinya negara bangsa yang diharamkan oleh Islam, para penguasa diktator yang rata-ratanya boneka Barat, telah menjadikan seruan dan perjuangan untuk mengembalikan semula Negara Khilafah, sebagai satu kesalahan besar dan berapa ramai daripada para pejuang yang berusaha menegakkannya ditangkap, dipenjarakan dan dibunuh. Para penguasa ini menggunakan ulama mereka yang telah dibayar, untuk membenarkan kewujudan negara bangsa, malah membenarkan pemerintahan sekular yang mereka terapkan ke atas umat Islam. Dari sinilah wujudnya ramai para “ulama dunia” yang bersekongkol dengan kezaliman pemerintah, yang membenar dan mewajarkan setiap tindakan pemerintah dan turut menjadi penghalang kepada usaha-usaha untuk mengembalikan semula Khilafah.

Sejak jatuhnya Khilafah pada tahun 1924, pemerintahan sekular yang membelenggu dunia Islam telah melahirkan ramai Muslim yang terkena penyakit wahn (cinta dunia dan takut mati) yang tidak lagi mempedulikan perbincangan dan kewajipan mendirikan semula Khilafah. Bukan sekadar itu, mereka malah tidak mahu membincangkannya, tidak mahu mengkaji, ada yang melarikan maknanya dan lebih buruk, ada yang menjadi penentang kepada usaha-usaha mengembalikan semula Khilafah. Ramai Muslim akhirnya menjadi pejuang assabiyyah dan wathaniyyah, dengan mempertahankan bangsa dan batas sempadan negara masing-masing. Benarlah bahawa rosaknya umat itu disebabkan oleh rosaknya umara’ (pemerintah) dan ulama. Dalam masa yang sama wujud pula golongan-golongan liberal yang dididik dan ditaja oleh Barat, yang mendewa-dewakan akal dan sering menafsirkan Islam mengikut acuan yang dikehendaki oleh Barat.

Dengan faktor-faktor di atas, tafsiran mengenai Dar al-Islam menjadi semakin kabur dan semakin hilang makna syarienya. Ramai yang telah selesa dengan negara bangsa yang sedia ada, malah ada yang menganggapnya sebagai Negara Islam, lalu meninggalkan kewajipan untuk mendirikan Dar al-Islam yang sebenar. Sebahagian yang lain takut untuk memperjuangkannya, ada pula yang menganggap para pejuangnya sebagai ekstremis, teroris dan sesat. Justeru, amat penting untuk kita kembali melihat apakah definisi Negara Islam yang telah ditetapkan oleh para ulama yang ikhlas sejak dulu hingga kini, kerana ulama yang ikhlas ini seharusnya menjadi tempat umat Islam berpaut. Memahami perbezaan antara Dar al-Islam dan Dar al-Kufr juga penting, khususnya dalam menilai kewujudan banyak negara dan para penguasa yang ada pada hari ini, yang ramai mengakui bahawa negara mereka adalah Negara Islam!

Diriwayatkan bahawa Imam al-Kasani (w. 587 H) berkata, “Tidak ada perbezaan antara para ulama mazhab Hanafi bahawa Dar al-Kufr bertukar menjadi Dar al-Islam apabila hukum-hakam Islam mendominasi (di negara tersebut). Sahabat-sahabat kami hanya berselisih bagaimana Dar al-Islam bertukar menjadi Dar al-Kufr. Imam kami (Abu Hanifah) berkata, ‘Dar al-Islam bertukar menjadi Dar al-Kufr dalam tiga keadaan – apabila undang-undang dan peraturan menjadi kufur; apabila negara mempunyai sempadan dengan Negara Kufur tanpa adanya perjanjian; atau apabila hilangnya keamanan/keselamatan ke atas kaum Muslimin dan Dzimmi’” [Bada’ al-Sanai’, Jil. 7 hal. 131].

Diriwayatkan bahawa Imam al-Sarkhasi (w. 483) berkata, “Dar (negara) bertukar menjadi Dar al-Muslimin apabila hukum-hakam Islam menjadi dominan dan zahir” [Sarkhasi, Syarh al-Sirah al-Kabir, Jil. 5 hal. 2197].

Qadhi Abu Ya’la (w. 458 AH) berkata, “Mana-mana negara yang undang-undangnya adalah kufur, bukannya (undang-undang) Islam, merupakan Dar al-Kufr” [Al-Mu’tamad fi al-Usuluddin, hal. 276].

Ibnu Qayyim (w. 751 H) berkata, “Jumhur (majoriti) ulama berkata, ‘Dar al-Islam adalah tempat di mana kaum Muslimin pergi dan bertempat tinggal dan hukum-hakam Islam dominan di situ. Jika orang (kaum Muslimin) tinggal di satu tempat dan Islam menjadi dominan, itu merupakan Dar al-Islam. Namun, jika (hukum-hakam) Islam tidak dominan, tempat itu tidak dianggap Dar al-Islam walaupun jaraknya dekat dengan Negara Islam. Thaif adalah dekat jaraknya dengan Madinah (di saat Makkah telah menjadi Dar al-Islam), tetapi ia bukan merupakan sebahagian dari Dar al-Islam sehinggalah ia difutuhat (dibuka)” [Ibn Qayyim, Kitab Ahkam ahl al-Dzimmah, Jil. 1, hal. 366].

Diriwayatkan bahawa Ibn Muflih (w. 884 H) berkata, “Hanya ada dua (negara), Dar al-Islam dan Dar-Kufr. Mana-mana Dar yang undang-undang Islam mendominasi, adalah Dar al-Islam, manakala mana-mana Dar yang undang-undang kufur mendominasi, adalah Dar al-Kufr. Hanya ada dua kategori ini sahaja” [Al-Adab al-Syari’ah, Jil. 1, hal. 190].

Imam Mardawi (w. 885 H) berkata, “Dar al-Harb adalah Dar al-Kufr yang mana undang-undang kufur mendominasi (di situ)” [Al-Insaf, Jil. 4 hal. 122].

Muhammad bin Ali al-Shaukani (w. 1255 H) berkata, “Apabila kami berbicara tentang Dar oleh suara siapa yang mendominasi, apa yang kami maksudkan ialah jika perintah dan larangan berada di tangan kaum Muslimin, di mana tiada seorang pun orang-orang kafir dapat mendominasi dengan kekufurannya, kecuali apa yang Islam benarkan sahaja, maka Dar itu dikira sebagai Dar al-Islam” [Al-Sayl Jarar, Jil. 1 hal. 576].

Dalam karyanya, ‘Fi Zhilal al-Quran’ Syed Qutb (w. 1966 M) berkata, “Dalam kacamata Islam, seluruh dunia dibahagi kepada dua. Pertama ialah Dar al-Islam dan kedua ialah Dar al-Harb. Dar al-Islam merupakan negara di mana hanya syariah Islam semata-mata yang diterapkan, tidak kira sama ada penduduknya semua Muslim atau Muslim dengan sedikit Dzimmi atau semuanya Dzimmi, dengan kekuasaan berada di tangan Muslim. Dar al-Harb ialah negara di mana undang-undang kufur yang mendominasi walaupun semua penduduknya Muslim” [Syed Qutb, Fi Zhilal al-Quran, Jil. 2 hal. 874].

Syeikh Taqiyuddin al-Nabhani (w. 1977 M), pendiri Hizbut Tahrir, menyimpulkan, “Apa yang benar dalam menilai sesebuah negara sebagai Dar al-Islam atau Dar al-Kufr, dua perkara mesti dilihat. Pertama, hukum-hakamnya ialah Islam dan kedua, keamanannya berada di tangan orang-orang Islam yakni kekuasaannya. Jika sesebuah negara itu memenuhi kedua-dua ciri ini, maka ia adalah Dar al-Islam, atau (jika ia sebelumnya adalah Dar al-Kufr) ia bertukar menjadi Dar al-Islam. Namun, jika ia kehilangan salah satu ciri, ia bukan lagi Dar al-Islam. Dengan kata lain, jika Dar al-Islam itu tidak lagi menerapkan hukum Islam, maka ia akan menjadi Dar al-Kufr. Sama sahaja sekiranya ia menerapkan hukum-hakam Islam, tetapi keamanannya bukan di tangan orang-orang Islam, maka ia menjadi Dar al-Kufr. Atas dasar ini, kesemua negeri kaum Muslimin pada hari ini adalah Dar al-Kufr kerana tiadanya penerapan hukum-hakam (undang-undang) Islam” [Al-Syakhsiyyah al-Islamiyyah, Jil 2, hal. 249].

Inilah definisi dan kesimpulan yang dibuat oleh jumhur ulama dalam membincangkan kedudukan Dar al-Islam dan Dar al-Kufr. Apa yang penting dalam menentukan sesebuah negara itu Dar al-Islam atau Dar al-Kufr, bukannya negara itu sendiri atau penduduknya, tetapi hukum-hakam (undang-undang) dan keamanannya. Jika undang-undangnya ialah Islam dan keamanannya berada di tangan kaum Muslimin, maka ia adalah Dar al-Islam. Jika undang-undangnya adalah kufur dan keamanannya bukan di tangan orang-orang Islam, maka ia adalah Dar al-Kufr.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Perbincangan mengenai Dar al-Islam dan Dar al-Kufr bukanlah boleh dijadikan perbincangan ilmiah semata-mata, bukan pula perbincangan untuk memuaskan keintelektualan masing-masing dan bukan juga perbincangan untuk menunjukkan kehebatan ilmu dan mahu menang dalam berhujah. Perbincangan mengenai Dar al-Islam dan Dar al-Kufr juga tidak seharusnya dijadikan oleh pihak-pihak tertentu untuk menuduh pihak lain sebagai ekstrem, teroris, sesat dan sebagainya. Dar al-Islam dan Dar al-Kufr wajib dibincangkan dalam menentukan status sesebuah negara kerana terdapat hukum-hakam Islam yang begitu banyak terkait dengannya seperti hukum berkenaan Dzimmi, jizyah, perjanjian antarabangsa, hijrah, jihad dan lain-lain.

Apa yang lebih utama ialah, apabila telah terbukti bahawa negara yang kita diami ini merupakan Dar al-Kufr dan tiada satu negara pun di dunia yang boleh dianggap sebagai Dar al-Islam, maka berdasarkan nas yang jelas daripada al-Quran, al-Hadis dan Ijma’ Sahabat, setiap Muslim wajib berusaha bersungguh-sungguh untuk mendirikan semula Dar al-Islam. Manakala usaha untuk mendirikannya memang tidak mampu untuk dipikul oleh individu, maka wajib bagi individu Muslim untuk bergabung dengan gerakan Islam yang berjuang untuk mendirikannya, dan thariqah (jalan) yang wajib diambil untuk mendirikan kembali Dar al-Islam (Khilafah) hendaklah mengikut thariqah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW semasa mendirikan Dar al-Islam di Madinah, bukannya mengikuti jalan demokrasi yang disediakan oleh kuffar penjajah. Hanya dengan ini, barulah maksud hijrah yang sebenar yakni keluar dari Dar al-Kufr menuju Dar al-Islam dapat direalisasikan dengan beroleh keredhaan daripada Allah SWT. Wallahu a’lam.