SN485 – Hubungan Luar Wajib Dibangun Atas Dasar Islam, Bukan Manfaat

PDF

SN Keluaran 18 November 2016

Lawatan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak ke China selama 6 hari yang bermula pada 31 Oktober lepas telah memeterai 14 Memorandum Persefahaman (MoU) dalam kerjasama ekonomi yang bernilai RM143.64 bilion. Najib menyifatkan lawatan ketiganya ke China itu sebagai kejayaan besar dalam usaha membangun ekonomi negara dan juga mengukuhkan hubungan dua hala dengan negara Tembok Besar itu. Antara perjanjian besar yang dipersetujui ialah pembinaan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), laluan landasan berkembar kereta api yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur seperti Mentakab, Kuantan, Kuala Terengganu dan Tumpat yang berjumlah RM55 bilion. Walaupun dikritik hebat oleh pembangkang yang menyifatkan Najib telah menjual negara kepada China, namun orang nombor satu Malaysia itu menegaskan bahawa usahanya adalah demi kepentingan rakyat dan negara.

Selain bidang perdagangan yang menjadi agenda utama lawatan Najib, perjanjian persefahaman yang ditandatangani dengan China termasuklah dalam bidang pendidikan, pertanian dan juga pertahanan. Kerajaan Malaysia mencapai keputusan bersejarah untuk membeli empat buah Kapal Misi Litoral (LMS) daripada China, dua daripadanya akan dibina di China dan dua lagi di Malaysia. Selama ini, kapal perang Malaysia dibeli daripada Amerika, Eropah dan juga Rusia. Dengan nilai perdagangan sebesar ini, Malaysia nampaknya kekal menjadi rakan dagang ASEAN terbesar China selama tujuh tahun berturut-turut sejak 2008. Tahun 2014 mencatat paras yang tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak AS$106 bilion dengan jumlah pelaburan langsung asing (foreign direct investment – FDI) yang dilulus dari China dalam sektor pembuatan di Malaysia berjumlah RM4.8 bilion. Najib mengesahkan yang pada separuh pertama tahun 2016, FDI yang diluluskan mencecah 83.3 peratus daripada jumlah FDI yang diluluskan sepanjang tahun lepas. FDI dengan China ini akan memberikan banyak manfaat ekonomi terutamanya dalam membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia, itulah antara justifikasi yang diberikan oleh Najib dalam hubungannya dengan China.

FDI Atas Dasar Kapitalisme

Pelaburan langsung asing atau FDI ini merupakan elemen utama dalam perdagangan era globalisasi hari ini. FDI didefinisikan oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) sebagai pelaburan langsung yang merentasi sempadan daripada seseorang (atau sekumpulan orang) dalam sesebuah negara ke dalam ekonomi negara lain dengan tujuan  untuk membina kepentingannya yang berkekalan dalam sesebuah syarikat. Malaysia dikategorikan sebagai sebuah negara membangun dan menerima pelaburan langsung asing yang sangat banyak terutamanya daripada Singapura, Jepun, AS, UK dan terbaru China. Kekurangan modal domestik menyebabkan Malaysia sangat bergantung kepada pembiayaan daripada FDI untuk meningkatkan aktiviti ekonominya. FDI dianggap sebagai penawar kepada masalah kemunduran ekonomi. Negara membangun seperti Malaysia dijustifikasi memerlukan FDI kerana ia dapat menambah peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan negara melalui jumlah pengeluaran serta hasil percukaian dan memberi peluang kepada negara melakukan pemindahan teknologi serta kepakaran daripada negara-negara maju.

Namun, di sebalik semua “kebaikan” itu, oleh kerana persaingan untuk mendapatkan modal asing adalah sangat sengit di antara negara membangun pada hari ini, maka Malaysia perlu menyediakan polisi ekonomi yang lebih memberikan keuntungan kepada syarikat multinasional yang merupakan pemegang utama modal dunia, dalam rangka menarik masuk pelaburan dari luar. Atas dasar itu, Malaysia telah menggagas polisi liberalisasi pelaburan asing yang memihak kepada negara maju dan para kapitalis raksasa yang akhirnya menjadikan mereka menguasai ekonomi negara dengan mudah. Dengan pengenalan dasar ekuiti liberal, kerajaan sudah tidak memiliki kawalan terhadap syarikat asing kerana mereka memiliki ekuiti sepenuhnya ke atas pelaburan dalam negara.

Di pihak pelabur asing pula, terutamanya syarikat kapitalis gergasi, mereka sangat memerlukan pelaburan terutamanya di negara membangun agar dapat mengeksploitasi sumber bahan semula jadi dan tenaga kerja yang lebih murah, menembusi pasaran baru dan mendapatkan keuntungan berlipat ganda dengan memanfaatkan kelonggaran undang-undang industri dalam negara tersebut. Hal ini kerana, negara maju mempunyai undang-undang berkaitan kawalan pencemaran alam sekitar dan undang-undang yang menjaga kebajikan pekerja yang lebih ketat berbanding negara membangun.

Malaysia sebagai sebuah negara kapitalis hanya memandang segala sesuatu dari aspek manfaat. Hal ini lebih mempermudah negara asing untuk menanam modal di sini sekali gus dapat mengaut segala kekayaan negara atas nama pembangunan. Inilah dasar sebuah pemerintahan kapitalis iaitu manfaat. Malaysia tidak pernah memandang atau menjalin hubungan dengan negara kafir berdasarkan hukum syarak, tetapi berdasarkan manfaat semata-mata. Di mana ada manfaat di situ ada urusan. Itulah konsepnya. Malaysia tidak pernah memandang China, Amerika, Rusia dan lain-lain dari aspek hukum Islam. Malaysia tidak pernah peduli semua itu, kerana apa yang ingin diraih daripada hubungan antarabangsa dengan negara kuffar tersebut hanyalah manfaat. Asalkan ada manfaat, maka matlamat menghalalkan cara, walaupun maruah diri dan negara tergadai sekalipun.

Realiti China Dan Mesej Yang Perlu Disampaikan

China sejak sekian lama merupakan sebuah negara kafir harbi yang memerangi umat Islam. Umat Islam di China yang berjumlah sekitar 21 juta menjadikan mereka sebagai kelompok  minoriti yang sering ditindas di negara berjumlah 1.3 bilion penduduk itu. China yang dari segi sejarahnya merupakan sebuah negara komunis memang terkenal menindas umat Islam, khususnya di wilayah Xinjiang. Xinjiang merupakan wilayah paling besar didiami kaum Muslimin dengan majoriti etnik Uighur berjumlah lebih kurang 8 juta di Barat Laut negara itu. Tatkala kaum minoriti Cina di Malaysia dilayan dengan cukup baik dan sama rata dari segi undang-undang, namun kaum minoriti Muslim di China dilayan dengan cukup buruk dan didiskriminasi atas dasar agama. Inilah realiti China yang kononnya mengamalkan dasar berbaik-baik dengan Malaysia!

Tekanan China ke atas umat Islam sudah berjalan lama, cumanya pihak media sering dihalang dan wartawan luar diawasi dengan cukup ketat daripada membuat liputan. Kebencian kerajaan China kepada Islam dan umatnya amat ketara hingga kaum Muslimin di Xinjiang dilarang berpuasa Ramadhan. Malah ibu bapa dipaksa memastikan yang anak-anak mereka tidak berpuasa. Kegiatan keagamaan yang bersifat publik tidak dibenarkan, bahkan di Urumqi, ibukota Xinjiang, kaum Muslimah dilarang memakai tudung di tempat awam. Manakala kaum lelaki pula tidak dibenarkan menyimpan janggut.

September 2014 lalu, berita melaporkan bahawa Ilham Tohti, Profesor Ekonomi dan bloger yang banyak berjuang secara damai untuk hak-hak Muslim, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan tuduhan memprovokasi pemisahan Muslim dari China. Asetnya disita oleh negara. Juga terdapat laporan bahawa lebih daripada 200 Muslim maut dalam kekerasan di Xinjiang sejak musim bunga lalu. China menyalahkan konflik itu pada kumpulan pemisah yang ingin merdeka yang dituduh sebagai teroris dan penyebar Islam radikal.

Dengan segala kekejaman dan penindasan yang dilakukan kerajaan China ke atas umat Islam, malangnya kerajaan Malaysia hanya membutakan mata dan memekakkan telinga dan terus menjalin hubungan baik dengan negara kafir itu. Dengan kebencian sebegitu rupa yang ditunjukkan oleh China ke atas umat Islam dan syiar-syiar Islam, mesej Najib kepada China sepatutnya ialah untuk menghentikan semua kekejaman itu, jika tidak akan berhadapan dengan tekanan politik dan pemutusan semua hubungan. Najib sepatutnya menekankan bagaimana Islam menjaga warga non-Muslim dalam sesebuah negara dan layanan yang sama hendaklah diberi oleh China ke atas warganya yang Muslim. Malah ketenteraan wajib digerakkan jika China terus berdegil dengan menganiaya dan menindas umat Islam di negaranya. Inilah mesej yang perlu disampaikan dalam lawatan Najib!

Dalam masa yang sama, Perdana Menteri Malaysia itu sepatutnya menyampaikan mesej kepada umat Islam yang tinggal di China bahawa mereka tidak diabaikan kerana umat Islam adalah umat yang satu; yang maruah, darah dan hartanya adalah suci dan terjaga. Sebagai salah seorang pemimpin umat Islam, Najib wajib memastikan nasib umat Islam terbela, tidak kira di mana pun ia berada. Inilah yang sepatutnya menjadi mesej seorang pemimpin Muslim apabila ia melawat sebuah negara kafir yang menindas kaum Muslimin. Malangnya pemimpin 1Malaysia itu hanya nampak dan berminat dengan keuntungan material semata-mata dan langsung tidak menunjukkan yang beliau prihatin, apatah lagi menjaga kesucian maruah, harta dan nyawa umat Islam di China. Hal ini tidaklah menghairankan kerana jika di dalam negara sendiri pun polisinya sudah cukup menindas rakyat, apatah lagi ingin mengambil peduli rakyat (umat Islam) di negara luar!

Kesan Perjanjian Kepada Malaysia

Umum mengetahui bahawa China telah muncul menjadi gergasi ekonomi yang memberi saingan sengit kepada Amerika di rantau Asia Tenggara. China juga menguasai laluan sutera dan berusaha meningkatkan kekuatan dan dominasinya di Laut China Selatan. Dengan segala projek mega, kemudahan dan layanan first class yang diberikan oleh Malaysia kepada China, semua ini hanya akan meningkatkan lagi hegemoni dan penguasaan China di rantau ini, suatu keadaan yang sangat diimpikan oleh negara kafir itu. Ini dari satu sudut.

Dari sudut yang lain, kedudukan Najib secara peribadi dan parti UMNO-BN yang diterajuinya yang semakin karam dalam negara, semua ini memerlukan satu suntikan dan kekuatan baru bagi memastikan survival mereka dapat dipertahankan. Atas dasar ini, tidak hairan jika kedengaran suara bahawa projek tersebut adalah bagi memastikan segala kudis dan kurap 1MDB dapat ditutup dan dalam masa yang sama kantung UMNO-BN, apatah lagi untuk pilihan raya umum ke-14 nanti, dapat dipenuhi. Mungkin parti pemerintah turut mengharapkan agar kemerosotan undi dan sokongan kaum Cina terhadap mereka dapat dipulihkan dengan mengamalkan dasar berbaik dengan China, apatah lagi jika banyak projek diberikan kepada kaum tersebut.

Dengan pelbagai masalah yang ada dalam negara secara khususnya dan masalah yang menimpa umat Islam di seluruh dunia secara umumnya, persoalannya di sini ialah apakah perlu untuk kerajaan Malaysia mengerahkan hampir seluruh kekuatan ekonomi untuk tujuan pembangunan? Apakah projek-projek bernilai RM114 bilion itu perlu diutamakan berbanding pembinaan hospital dan segala kelengkapannya termasuk ubat-ubatan, pembinaan sekolah, biaya pendidikan, pembinaan rumah mampu milik dan banyak lagi? Apakah menarik masuk FDI dengan jumlah bilion ringgit itu lebih utama berbanding melakukan usaha untuk menerapkan Islam dalam negara? Apakah pelaburan sebesar itu lebih diredhai oleh Allah SWT berbanding usaha membebaskan umat Islam dan tanah umat Islam daripada dominasi penjajahan di seluruh dunia?

Tanpa menafikan yang kita memang memerlukan pembangunan, namun usaha untuk meninggikan syiar Islam dan mempersatukan umat Islam di seluruh dunia, itu jauh lebih  utama dan mendesak. Sebaliknya dengan menandatangani perjanjian dengan negara kafir harbi yang memusuhi Islam, membenarkan kuasa kuffar untuk memasuki negara sehingga menjadikan mereka menguasai kita, hal ini boleh menjerumuskan kepada keharaman, kerana Allah SWT tidak membenarkan kita membuka jalan bagi orang kafir menguasai orang-orang Mukmin. Tolok ukur halal dan haram dalam hubungan antarabangsa, malah dalam segenap perkara, wajib didahului berbanding manfaat yang diperolehi. Banyak mana sekalipun manfaat, jika jalan memperolehinya adalah haram, maka wajib ditinggalkan. Hubungan antarabangsa sesebuah Negara Islam dengan negara kafir, adalah dibina atas dasar dakwah dan jihad, bukan atas dasar manfaat.

Malaysia sepatutnya berusaha untuk menjadi sebuah negara industri yang mandiri dan tidak bergantung kepada negara kafir, yang penuh dengan kepentingan, muslihat dan tipu daya ke atas umat Islam. Hakikatnya, wilayah umat Islam telah dianugerahkan oleh Allah SWT dengan hasil bumi dan sumber manusia yang melimpah ruah yang lebih daripada mencukupi bagi menjana industri dan kekuatan secara mandiri. Masalah yang wujud adalah pada pemerintah kaum Muslimin itu sendiri, yang masih mempertahankan sempadan negara bangsa, menagih dan berlutut kepada negara kafir, yang menjadikan umat Islam lemah dan terpecah belah serta menyebabkan hasil bumi umat Islam mengalir ke luar.

Khatimah

Sesungguhnya penerapan sistem ekonomi kapitalisme telah menjatuhkan umat Islam ke lembah kehinaan dengan seribu satu masalah yang tidak pernah kunjung padam. Para pemimpin dalam sistem ini tidak mempedulikan nasib umat Islam, tetapi hanya peduli dengan keuntungan duniawi. Hubungan dengan negara kafir dibina atas dasar  manfaat dan menagih modal atas nama pembangunan yang hakikatnya mengalirkan sumber alam dan menambah kekuatan kepada musuh Islam. Padahal, Allah SWT telah menganugerahkan kepada bumi umat Islam segala jenis kekayaan dan menurunkan syariatNya yang meletakkan umat Islam di tempat yang mulia. Umat Islam hakikatnya tidak perlu menagih dana dari puak kuffar dan cukup mampu untuk membangun ekonominya secara mandiri tanpa bergantung kepada musuh Islam. Jika umat ini bersatu dan dipimpin oleh seorang Khalifah yang bertakwa lagi amanah, maka Insya Allah seluruh negeri umat Islam yang terbentang dari Timur ke Barat dunia akan menjadi wilayah yang kaya raya dengan kekuatan yang cukup menggerunkan musuh. Wallahu a’lam.