SN495 – Setiap Muslim Wajib Berpolitik

PDF

SN Keluaran 3 Rajab 1438H/31 Mac 2017

SN495 - Setiap Muslim Wajib Berpolitik[SN495] Agak menarik berita yang mewarnai politik tanahair sejak seminggu lepas apabila lima orang guru sekolah telah diberi notis tunjuk sebab oleh Kementerian Pendidikan kerana didakwa menaiki pentas pembangkang untuk menghentam kerajaan. Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kesemua mereka diberi tempoh dua minggu untuk menjawab notis tersebut dan sekiranya kementerian tidak berpuas hati dengan penjelasan itu, mereka akan dirujuk kepada Lembaga Tatatertib sebagai langkah terakhir sebelum sebarang tindakan yang lebih keras diambil. Kenyataan Menteri Pendidikan yang berupa sebuah ugutan ini jelas menunjukkan ketakutan kerajaan terhadap guru-guru yang tidak menyokong kerajaan, apatah lagi di saat negara sedang menuju ke pilihan raya umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi. Selain itu, ia juga menyerlahkan sikap double standard yang dimiliki oleh kerajaan kerana hanya guru yang bercakap di pentas pembangkang sahaja yang diambil tindakan, sedangkan guru-guru yang berucap di pentas kerajaan dibiarkan, malah disokong sepenuhnya. Inilah amalan demokrasi di Malaysia yang sangat dibanggakan oleh kerajaan sebagai demokrasi terpimpin!

Kita sepatutnya melihat kepada inti ucapan guru-guru yang berkenaan, tidak kira di pentas mana sekalipun ia berucap. Jika fakta dan hujahnya benar, maka silakan terus menyampaikan kebenaran, dan kerajaan wajib menerimanya walaupun pahit. Namun jika fakta dan hujahnya salah, maka barulah wajib diperbetulkan. Ini kerana, menyampaikan kebenaran dan memuhasabah pemerintah itu adalah kewajipan setiap Muslim, tanpa mengira seorang guru, pelajar, pensyarah, mekanik, pekerja kilang, jurutera, penganggur dan sebagainya. Kerajaan perlu sedar bahawa ia bukanlah sebuah institusi yang “maksum” sehingga tidak boleh dikritik atau ditegur. Usaha menyekat sebarang kritikan terhadap kerajaan yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini, malah berapa ramai yang telah ditangkap dan diambil tindakan undang-undang hanya kerana mendedahkan salah-laku kerajaan, semua ini menunjukkan yang amalan demokrasi yang dimomokkan selama ini tidak lebih daripada sebuah kediktatoran. Dalam sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia sekarang ini, nampaknya hanya pengampu kerajaan dan mereka yang berdiam diri sahaja yang selamat.

Pengertian Dan Kewajipan Politik Menurut Islam

Umum mengetahui bahawa tindakan ke atas guru-guru yang berucap di pentas pembangkang merupakan usaha untuk menghalang guru daripada terlibat dalam apa jua aktiviti politik yang bersifat anti-kerajaan. Semua ini berakar-umbi daripada kesalahfahaman mengenai maksud politik itu sendiri. Jika kerajaan atau pembangkang atau mana-mana Muslim sekalipun memahami maksud politik dan mengamalkannya dengan benar menurut Islam, maka Insya Allah perkara ini tidak akan timbul.

Siyasah (politik) dari segi bahasa berasal daripada lafaz sasa, yasusu, siyasatan yang bermaksud mengurus. Secara lughah (bahasa) ia membawa pengertian pengaturan atau pemeliharaan. Di dalam kamus al-Muhits perkataan siyasah dijelaskan sebagai sustu al-ra’iyata siyasatan ai amartuha wa nahaituha (aku memimpin rakyat dengan sungguh-sungguh iaitu aku memerintah dan melarangnya, atau aku mengatur/mengurusi urusan-urusan mereka dengan perintah dan larangan-larangan tertentu). Adapun maksud siyasah menurut syarak adalah ri’ayah al-syu’un al-ummah dakhiliyyan wa kharijiyan (mengatur/memelihara urusan umat sama ada dalam atau luar negeri) [Fasal 181 Muqaddimah al-Dustur Au al-Asbab al-Mujibah Lahu, Hizbut Tahrir].

Pengertian ini diambil berdasarkan beberapa hadis di mana Rasulullah SAW menggunakan lafaz “siyasah” untuk menunjukkan maksud pengurusan/pemeliharaan urusan umat, antaranya ialah hadis riwayat Muslim,

“Adalah Bani Israel dahulu, yang mengatur urusan mereka (tasusuhum) adalah para Nabi. Bila wafat seorang Nabi, maka diganti (oleh Allah) dengan Nabi yang lain. Sesungguhnya tidak akan ada lagi Nabi sesudahku tetapi akan ada para Khalifah dan jumlahnya ramai.” 

Hadis ini dengan tegas menjelaskan bahawa Khalifahlah yang mengatur dan mengurus rakyat dan negara (dengan aturan Islam), setelah berakhirnya era kenabian, yang sekali gus membawa maksud bahawa sistem pemerintahan Islam itu ialah Khilafah dan pemerintahnya ialah Khalifah.

Inilah pengertian politik menurut Islam, yang berbeza dengan pandangan Barat yang dipegang oleh kebanyakan Muslim sekarang yang meletakkan pengertian politik sebatas jalan menuju kekuasaan, bahkan menjadikan kekuasaan sebagai tujuan utama daripada politik. Akibatnya, apa yang terjadi hanyalah kekacauan, pergaduhan dan perebutan kekuasaan sesama Muslim dengan penuh konflik yang tak kunjung padam serta disulami kebencian, permusuhan, kekotoran dan kejijikan, dengan rakyat menjadi mangsa kepada ahli-ahli politik.

Kewajipan Politik Pemerintah

Tugas utama seorang pemerintah setelah ia diangkat oleh umat Islam adalah mengurusi setiap urusan umat (rakyat)nya. Ini kerana, ia sememangnya diangkat untuk tugas dan tujuan tersebut. Nas-nas syarak telah mewajibkan pemerintah untuk mengurus urusan rakyat dan negara dengan hukum-hakam Islam. Pemerintah merupakan pelaksana hukum syarak, kerana di tangannyalah terletak amanah Allah untuk mengurus rakyatnya berdasarkan hukum-hukumNya. Firman Allah SWT,

“Maka putuskanlah perkara antara mereka menurut apa yang diturunkan oleh Allah SWT dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu” [TMQ al-Maidah (5):48].

Islam mengibaratkan pemerintah itu sebagai penggembala dan rakyat sebagai pihak yang digembala, sebagaimana sabda Nabi SAW,

“Seorang pemimpin adalah pemelihara dan dia akan diminta pertanggungjawaban atas pemeliharaan (rakyat)nya” [HR Bukhari].

Dalam menjalankan tanggungjawabnya mengurus dan memelihara rakyat, Rasulullah SAW menyifatkan,

“Pemimpin suatu kaum adalah pelayan mereka” [HR Abu Nu’aim].

Dua hadis ini sudah cukup untuk menjelaskan fungsi dan tanggungjawab politik seseorang pemerintah, yang diibaratkan oleh Rasulullah SAW sebagai seorang ra’in (penggembala) dan pelayan (khadim) kepada rakyatnya. Seorang penggembala atau pelayan sudah tentu akan senantiasa memperhatikan dan memelihara gembalaannya, mencarikan makanan dan minuman yang baik untuk mereka, menyediakan tempat berteduh dan menjaga keselamatan mereka dan sebagainya. Inilah kewajipan politik seseorang pemerintah. Jika ia lalai atau sengaja tidak menjalankan tugasnya, apatah lagi khianat terhadap rakyatnya, maka azab yang amat pedih menantinya di akhirat, sebagaimana dijelaskan dalam banyak hadis.

Kewajipan Politik Rakyat (Individu Muslim)

Jika kewajipan politik pemerintah ialah untuk mengurus dan memelihara umat dengan Islam, maka kewajipan politik setiap individu rakyat ialah untuk muhasabah li al-hukkam (memuhasabah pemerintah) dalam setiap penyimpangannya daripada Islam. Ini kerana, seseorang pemerintah itu diangkat untuk menerapkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Maka apabila ia menyimpang daripada ketentuan Allah dan RasulNya, bermaksud ia telah melakukan kelalaian atau kezaliman yang wajib diluruskan, dan menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk meluruskannya.

Apatah lagi kalau melihat realiti yang ada pada hari ini, pemerintah kaum Muslimin tidak lagi berhukum dengan al-Quran dan al-Sunnah, sebaliknya menerapkan hukum yang berasal dari penjajah dan membuat hukum mereka sendiri di Parlimen, dengan menghalalkan apa yang Allah haramkan dan mengharamkan apa yang Allah halalkan. Maka kewajipan memuhasabah pemerintah amat penting untuk dilakukan oleh setiap individu Muslim kerana kemaksiatan dan kemungkaran yang terbesar yang wujud dalam negara dan masyarakat pada hari ini adalah berpunca daripada mereka, hasil daripada kejahatan dan sistem sekular yang mereka terapkan.

Rasulullah SAW malah menyifatkan muhasabah kepada pemerintah seumpama ini sebagai jihad yang paling afdhal. Dari Abi Umamah, ia berkata,

“Ada seseorang yang datang kepada Rasulullah SAW dan bertanya, ‘Jihad apakah yang paling baik?’…Rasulullah SAW kemudian bersabda, ‘Kata-kata yang hak (benar), yang diucapkan di hadapan seorang penguasa yang zalim’” [HR Ibnu Majah].

Lebih daripada itu, Rasulullah SAW menjanjikan siapa sahaja yang mati dalam keadaan menasihati pemerintah yang zalim, akan menjadi penghulu syuhada’. Sabda baginda,

“Penghulu syuhada’ ialah Hamzah dan seseorang yang berdiri di hadapan penguasa yang zalim lalu menasihatinya, kemudian ia di bunuh” [HR al-Hakim].

Aktiviti memuhasabah pemerintah seperti ini tidak lain melainkan sebuah aktiviti politik, dan pelakunya dimuliakan oleh Allah SWT dan diangkat darjatnya kerana besarnya kewajipan yang dilakukannya.

Islam melarang keras mana-mana Muslim yang berdiam diri, apatah lagi redha atau bersama-sama dengan kemaksiatan dan kejahatan pemerintah. Sabda baginda SAW,

“Siapa sahaja yang melihat seorang penguasa yang zalim, menghalalkan yang diharamkan oleh Allah, melanggar janji Allah, menyimpang dari Sunnah Rasulullah SAW dan memerintah hamba Allah (sesama manusia) dengan dosa dan permusuhan, kemudian dia tidak mengubahnya, baik dengan perbuatan mahupun ucapan, maka menjadi hak Allah untuk memasukkannya ke tempat yang sama” (bersama penguasa tersebut) [HR al-Thabari].

Selain muhasabah li al-hukkam, setiap Muslim juga wajib memerhatikan urusan umat Islam, yang juga merupakan kewajipan politik yang tidak kurang pentingnya. Rasulullah SAW bersabda,

“Barangsiapa di pagi hari perhatiannya kepada selain Allah, maka Allah akan berlepas diri daripada orang itu, dan barangsiapa di pagi hari tidak memperhatikan urusan kaum Muslimin, maka ia tidak termasuk golongan mereka (kaum Muslimin)” [HR al-Hakim].

Oleh yang demikian, seseorang Muslim itu mesti senantiasa memerhati dan memikirkan urusan umat Islam yang merupakan saudara-saudaranya, tidak kira yang dekat atau jauh.

Bentuk pemerhatian seseorang Muslim terhadap saudara-saudaranya ini amat luas sekali maknanya yang termasuk memuhasabah mereka juga tatkala mereka melakukan kesalahan, mengambil peduli segala masalah yang menimpa mereka, menyayangi dan menyantuni mereka, memikirkan dan berusaha untuk menyelesaikan permasalahan mereka, menjaga kemaslahatan mereka, mengambil tahu dan membongkar apakah perancangan dan tindakan puak-puak kuffar ke atas mereka, mengambil peduli dan mendedahkan apakah polisi-polisi, kezaliman dan pengkhianatan yang dilakukan oleh pemerintah ke atas mereka, berusaha untuk mempersatukan mereka di bawah satu pemerintahan, satu bendera dan satu negara dan sebagainya. Ini semua merupakan kewajipan politik setiap Muslim dan siapa sahaja yang melalaikan kewajipan ini adalah berdosa berdasarkan banyak hadis yang memperkatakan tentangnya.

Kewajipan Politik Kutlah

Adapun kewajipan politik sebuah kutlah (kelompok / jamaah / gerakan / parti) sama sahaja dengan kewajipan ke atas individu Muslim dengan beberapa tambahan taklif (bebanan hukum) yang Allah letakkan ke atas kutlah. Firman Allah SWT,

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar. Merekalah orang-orang yang beruntung” [TMQ Ali Imran (3):104].

Ayat yang mulia ini menerangkan tentang kewajipan atau fungsi sebuah kutlah iaitu menyeru kepada Islam dan melakukan amar makruf nahi mungkar. Inilah kewajipan sebuah parti politik atau gerakan Islam iaitu melakukan dakwah dan juga muhasabah li al-hukkam atas nama kutlah. Bahkan, fungsi dan peranan kutlah ini sangat besar dari segi pengaruh dan kesannya, tidak sebagaimana individu, bergantung kepada kekuatan yang dimiliki oleh kutlah tersebut.

Kutlah juga berperanan untuk memimpin umat dan menjadi pengawas kepada umat dan negara. Dalam keadaan tiadanya sebuah negara Islam (Khilafah) seperti sekarang, kewajipan politik sesebuah kutlah Islam menjadi lebih besar lagi iaitu wajib berusaha mendirikan Khilafah. Berdasarkan nas-nas yang jelas sama ada di dalam al-Quran, al-Hadis dan juga Ijma’ Sahabat, mendirikan Khilafah merupakan sebuah kewajipan dan kewajipan ini mustahil dijalankan oleh mana-mana individu, kecuali oleh sebuah kutlah. Maka berdasarkan kaedah syarak ma la yatimmu al-wajib illa bihi fa hua wajib (suatu kewajipan yang tidak sempurna tanpa sesuatu, maka sesuatu itu menjadi wajib), setiap individu wajib menyertai sebuah kutlah yang diyakini dapat menyempurnakan kewajipan tersebut. Lebih daripada itu, usaha sesebuah kutlah untuk mendirikan Daulah Islam wajib dilakukan dengan mengikuti thariqah (jalan) yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, bukan dengan mengikuti jalan berdasarkan akal dan hawa. Inilah kewajipan politik sesebuah kutlah.

Khatimah

Sesungguhnya kewajipan berpolitik adalah bersifat mutlak, baik berupa politik dalam negeri ataupun luar negeri, baik ke atas lelaki mahupun wanita, baik ke atas guru mahupun pelajar, baik ke atas orang kampung mahupun bandar, baik ke atas ulama mahupun orang biasa. Apatah lagi dalam keadaan sekarang tatkala hukum kufur diterapkan ke atas kita oleh para pemimpin sekular yang pembohong, zalim lagi khianat, yang mana kita wajib mengingkari mereka. Rasulullah SAW mengingatkan kita,

“Sungguh, akan ada para pemimpin (penguasa) yang berbohong dan zalim. Siapa sahaja yang membenarkan pembohongan mereka dan membantu kezaliman mereka, maka ia bukan golonganku dan aku bukan golongannya. Ia tidak akan menemaniku di telaga al-Kautsar. Sebaliknya, siapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak membantu kezaliman mereka, ia termasuk golonganku dan aku termasuk golongannya. Ia akan menemaniku menikmati telaga al-Kautsar” [HR Ahmad].

Maka berpolitiklah dengan cara yang syarie wahai kaum Muslimin, agar kita semua selamat dunia dan akhirat.

Wallahu a’lam.