SN502 – Di Sebalik Krisis Saudi Dan Qatar (Bahagian 2)

PDF

SN Keluaran 28 Ramadhan 1438H/23 Jun 2017

SN502 - Di Sebalik Krisis Saudi Dan Qatar (Bahagian 2)

Bismillahirrahmanirrahim

DI SEBALIK KRISIS SAUDI DAN QATAR

(Terjemahan daripada Soal-Jawab Amir Hizbut Tahrir, Syeikh Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah, di dalam facebook beliau, https://www.facebook.com/AmeerhtAtabinKhalil/)

sambungan…

4) Jadi, sebab hakiki krisis tersebut adalah peranan terbaru yang telah digariskan Trump untuk Salman agar menjadi ketua di rantau Teluk, sehingga dia menjalankan polisi Amerika dan tidak bertolak-ansur dengan agen-agen British yang cuba mengacau Amerika. Ini kerana, Qatar telah dicatur oleh British untuk memainkan peranan sebagai pengacau kepada agenda-agenda Amerika di rantau itu dan sekaligus menjalankan agenda-agenda British…Kerana itulah terjadinya peningkatan krisis yang belum pernah terjadi terhadap Qatar sebelum ini. Amerikalah yang menjadi pendorong di belakang Salman dalam krisis ini. Amerika tidak menyembunyikan hal itu, bahkan sedikit demi sedikit mendedahkan diri mereka di sebalik kejadian yang telah dan sedang terjadi ini:

– Pada 6/6/2017, al-arabiyah.net melaporkan sebuah kenyataan daripada pegawai kanan pentadbiran Amerika kepada pejabat berita Reuters, “Banyak tindakan Qatar yang menimbulkan kegelisahan kepada jiran-jirannya di Teluk dan termasuk juga kepada Amerika Syarikat.” Pegawai kanan pentadbiran Amerika itu memberitahu Reuters pada hari Isnin, yang Amerika Syarikat tidak ingin melihat “keretakan berterusan” di antara negara-negara Teluk, setelah beberapa negara Teluk dan Arab memutuskan hubungan dengan Qatar atas tuduhan Qatar mendukung kumpulan ekstremis dan Iran. Pegawai itu menambah, “kami ingin mengembalikan mereka ke arah yang benar”.

– Pada 6/6/2017, BBC melaporkan, “Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberi gambaran bahawa impak lawatan terbarunya ke Teluk akan berhujung kepada keputusan pemutusan hubungan dengan Qatar. Trump berkata yang dia mendapat maklumat semasa lawatan ini bahawa Doha mendanai gerakan-gerakan yang memiliki “ideologi ekstremis”. Trump menyebut dalam akaun Twitternya, “Sepanjang kunjungan terbaru saya ke Timur Tengah, saya telah nyatakan bahawa jangan ada lagi pendanaan terhadap ideologi radikal. Para pemimpin mengisyaratkan kepada Qatar – “lihatlah”. Trump meneruskan dalam tulisannya, “Sungguh senang sekali melihat kunjungan saya ke Saudi dan pertemuan dengan Raja serta 50 pemimpin membuahkan hasil. Mereka mengatakan bahawa mereka akan mengambil sikap tegas terhadap pihak yang mendanai ekstremisme, dengan semuanya mengisyaratkan kepada Qatar. Mungkin ini adalah permulaan kepada berakhirnya ketakutan yang disebarkan oleh pengganas”.

– Kenyataan Trump pada 9/6/2017 mendedahkan dan mengesahkan bahawa Amerikalah di sebalik tindakan Saudi itu: “Pada hari Jumaat, Presiden Amerika, Donald Trump mengatakan bahawa Qatar mesti menghentikan segera pendanaannya terhadap pengganas. Dia melahirkan harapan agar sidang kemuncak yang dianjurkannya di ibu negara, Riyadh, menjadi permulaan kepada berakhirnya keganasan. Trump menambah dalam sidang media di White House dengan rakan sejawatnya, Presiden Romania, bahawa Qatar dari segi sejarah merupakan negara yang mendanai pengganas” [Sky News Arabia, 9/6/2017].

“Trump berkata, “Negara-negara utama di rantau tersebut sepakat untuk menghentikan dukungan terhadap pengganas, baik secara kewangan, ketenteraan mahupun moral. Sayangnya Qatar memiliki sejarah panjang dalam hal pendanaan terhadap pengganas pada tahap yang tinggi. Dalam sidang kemuncak yang menghimpunkan negara-negara, kita membahas tentang (cara) menghadapi Qatar dan kita mesti menghentikan pendanaan terhadap pengganas. Saya telah putuskan bersama Menteri Luar dan para Jeneral Amerika untuk menyeru Qatar agar menghentikan pendanaannya terhadap pengganas…” [Al-Yaum As-Sabi’, 9/6/2017].

5. Adapun mengenai persoalan ke manakah peningkatan “krisis Qatar” ini mengarah, maka (kami katakan bahawa) Qatar telah menjadi mangsa kepada sikap yang mengejutkan yang diambil oleh agen-agen Amerika seperti Saudi dan Mesir, yang diikuti pula oleh sebahagian agen British seperti UAE, Bahrain dan lain-lain menurut pembahagian tugas masing-masing yang telah pun diatur oleh British. Hal ini seperti yang telah kami jelaskan dalam Soal-Jawab yang kami keluarkan pada 9/4/2017 di mana kami katakan, “…maka jelaslah bahawa British telah membahagi-bahagi tugas para agennya dalam bentuk yang kadang-kadang nampak bertentangan, akan tetapi pada akhirnya akan merealisasi objektif yang ia tetapkan. British tidak akan meletakkan semua agennya di satu sudut yang sama, khususnya di negeri-negeri yang beraneka ragam…”

Seperti yang kami katakan, Qatar tidak menjangkakan peningkatan krisis sekuat dan sekeras ini…Tindakan-tindakan Saudi amat mengejutkan di mana ia hanya memberi tempoh 48 jam untuk para diplomat Qatar meninggalkan wilayahnya. Selari dengan kaedah mengejutkan ala Amerika dan selaras dengan tindakan Saudi ini, Mesir pula mengambil tindakan menghantar pulang pesawat-pesawat komersial Qatar dan tidak mengizinkannya memasuki wilayahnya, tanpa memberi peringatan pun terlebih dahulu. Begitu juga dengan negara-negara lain yang turut bersekutu dengan Saudi melawan Qatar.

6. Adapun mengenai persoalan apakah krisis ini akan membawa kepada penarikan diri Qatar daripada kumpulan negara Teluk, maka (kami katakan) yang hal ini mungkin berlaku sebagai jalan terakhir, setelah tiada lagi pilihan lain. Akan tetapi jalan keluar nampaknya masih ada…Negara kuasa besar yang berkenaan yakni Amerika dan British, keduanya masih melihat peri pentingnya Qatar tetap berada dalam kumpulan negara Teluk meskipun objektif yang ingin dicapai kedua kuasa besar tersebut berbeza. Adapun Amerika, seperti yang kami sebutkan di atas, ia ingin Qatar berada di bawah kawalan Saudi, dengan menjalankan kepentingan Amerika tanpa mengacau dan mengganggu Amerika dengan macam-macam alasan.

Amerika ingin pangkalannya kekal stabil dan boleh meneruskan operasinya tanpa sebarang gangguan. Amerika tahu yang British ada di belakang Qatar, dan dengan kelicikannya yang beragam, British mampu menimbulkan masalah terhadap pangkalan tersebut sekiranya Qatar keluar dari kumpulan negara Teluk. Oleh yang demikian, Amerika ingin Qatar menjalankan agenda-agendanya, sekaligus sejalan dengan Saudi dan pada waktu yang sama tetap berada di dalam kelompok negara Teluk.

British juga inginkan Qatar tetap berada dalam kumpulan negara Teluk. Ini kerana dengan tetap berada dalam kumpulan Teluk, Qatar boleh melakukan kerja di belakang tabir untuk melaksanakan agenda-agenda British, sesuai dengan metode British yang memiliki dua wajah, yakni menampakkan kecintaan dari depan sementara menikam dari belakang…Atas dasar itu maka kemungkinan besar seperti apa yang kami katakan di atas, bahawa penyelesaiannya bukanlah dengan pemutusan hubungan Qatar dengan negara-negara Teluk, melainkan jalan keluar sudah tidak ada. Dalam waktu yang terdekat ini, sukar untuk mengatakan tidak ada jalan keluar, kerana sebab-sebab berikut:

(a) Ucapan Trump pada 9/6/2017 seperti yang dinyatakan di atas, tidak memberi ruang kepada Qatar untuk mengambil jalan tengah, kerana Trump mengatakan, “…Sayangnya Qatar memiliki sejarah panjang dalam hal pendanaan terhadap pengganas pada tahap yang tinggi. Dalam sidang kemuncak yang menghimpunkan negara-negara, kita membahas tentang (cara) menghadapi Qatar dan kita mesti menghentikan pendanaan terhadap pengganas. Saya telah putuskan bersama Menteri Luar dan para Jeneral Amerika untuk menyeru Qatar agar menghentikan pendanaannya terhadap pengganas…” [Al-Yaum As-Sabi’, 9/6/2017]. Sudah dimaklumi bahawa Qatar tidak membuat polisinya sendiri, tetapi Britishlah yang menggariskan polisi untuk Qatar. Manakala polisi British hingga kini ialah tidak menghadapi Amerika secara terbuka, khususnya dalam keadaan ia keluar dari Kesatuan Eropah seperti sekarang, di mana British berusaha untuk mendekati Amerika meskipun hanya secara zahir.

(b) Mentaliti Trump ialah sebagai peniaga, jadi aspek kewangan mempengaruhinya dengan kuat. Jika Qatar membayar apa yang memikat hati Trump, maka dia mungkin akan mengarahkan Salman untuk menerima jalan tengah! Penyelidik Amerika, Jonathan Cristol yang bekerja di World Policy Institute mengatakan, “Wang yang sentiasa bersama Donald Trump di White House adalah kunci kepada boikot oleh Saudi, UAE dan Bahrain terhadap Qatar”. Cristol menjelaskan bahawa “Satu-satunya jalan untuk Qatar berhadapan dengan tekanan diplomatik dan ekonomi Saudi, adalah melalui campur tangan Amerika terhadap sekutunya Saudi melalui wang” menurut CNN…[Arabic 21, 6/6/2017].

Jadi, kemungkinan besar penyelesaiannya ialah dengan wang atau dengan tunduknya Qatar! Kami katakan kemungkinan besar kerana Qatar tidak membuat polisinya sendiri, akan tetapi Britishlah yang mengendalikannya. Jika British memandang bahawa kepentingannya pada suatu masa mengharuskan keluarnya Qatar dari kumpulan negara Teluk, maka Qatar akan keluar. Jika mengharuskannya kekal bersama dengan kumpulan negara Teluk, maka Qatar akan kekal!

7. Sebagai kesimpulan, tiada kebaikan yang boleh diharapkan daripada agen-agen Amerika di Saudi dan Mesir dan siapa sahaja yang berjalan seiring dengan keduanya dalam isu pemboikotan ini. Mereka menyerahkan negeri dan penduduknya kepada musuh-musuh Islam dan musuh kaum Muslimin sebagai ganti kepada kerusi kekuasaan mereka, yang (kerusi itu) sudah bengkok kaki-kakinya dan boleh patah pada hari ini atau esok…Demikian juga, tiada apa-apa kebaikan yang boleh diharapkan dari Qatar yang membonceng di belakang British yang diberi tugas untuk menerkam kaum Muslimin. Qatar memberikan pangkalan terbesar untuk Amerika agar pesawat-pesawat perang Amerika dapat berlepas untuk membunuh anak-anak kaum Muslimin di Syria dan Iraq serta menghancurkan rumah-rumah mereka…Kemudian Qatar menjaja perdamaian dengan entiti Yahudi, di mana Qatar menjinakkan Hamas agar mendekati Fatah dalam hal pemberian konsesi.

Qatar juga menggunakan dana beracunnya untuk mempengaruhi organisasi-organisasi di Syria agar duduk di meja perundingan dengan rejim penjenayah di sana…Qatarlah yang memperdaya pihak-pihak yang mempunyai orientasi Islam dan memikat mereka dengan harta dan tempat tinggal sehingga Qatar menjadikan mereka berkompromi serta pasrah dan mengubah orientasi serta pemikiran-pemikiran mereka…Semua ini dilakukan dalam rangka menjalankan peranan busuk yang telah digariskan oleh British kepada Qatar…Atas dasar ini, merupakan suatu kenaifan yang mendekati sebuah pengkhianatan bagi seseorang yang bersimpati dengan rejim ini atau rejim lainnya, dengan dalih memilih antara yang mana lebih buruk dan yang mana kurang buruk. Masalah-masalah umat Islam tidak boleh diletakkan dalam timbangan “mana yang buruk dan yang kurang buruk”, akan tetapi hendaklah diletakkan dalam timbangan “mana yang benar dan yang batil”.

Oleh yang demikian, putera puteri umat ini hendaklah menolak rejim-rejim yang berkhianat kepada Allah SWT, RasulNya SAW dan kaum Mukminin. Putera puteri umat ini hendaklah berjuang bersama para pejuang yang ikhlas untuk menggantikan rejim ini dan menegakkan Daulah (Khilafah) yang mana khabar gembira mengenainya telah pun disampaikan oleh Rasul mereka yang mulia SAW. Itulah Daulah al-Khilafah al-Rasyidah yang akan menjaga hal-ehwal mereka dengan baik dan penuh keselamatan sehingga Islam dan kaum Muslimin menjadi mulia dan kaum kafir imperialis menjadi hina, dan seterusnya akan menjerumuskan Trump, kakitangan serta tali barutnya, ke lembah bencana yang akan menghancurkan mereka.

“Dan Allah berkuasa terhadap urusanNya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya” [TMQ Yusuf (12):21].

16 Ramadhan al-mubarak, 1438 H
11 Jun 2017 M