SN520 – Pendidikan Untuk Mencorakkan Syakhsiyah

Bil: SN520 – 24 RABI’UL AKHIR 1439 / 12 JANUARI 2018

SN520 - Pendidikan Untuk Mencorakkan Syakhsiyah

Pada penghujung tahun lalu, dunia pendidikan menjadi tumpuan ramai kerana sebuah kes mahkamah yang melibatkan seorang guru yang dikenali sebagai Cikgu Azizan. Beliau didakwa kerana menampar salah seorang muridnya yang terlibat di dalam kes pelanggaran disiplin di sekolah seperti membuli, memukul, ponteng dan malah sehingga menghidu gam. Walaupun pelbagai faktor luaran boleh dijadikan sebab, namun, pada hakikatnya ia menunjukkan bahawa kemerosotan keperibadian murid-murid sekolah semakin parah.

Kita seharusnya maklum bahawa kehidupan yang melingkungi kita pada hari ini tidak selari dengan tuntutan syariat Islam sepenuhnya, sehingga tidak hairan jika ramai individu muslim mempunyai syakhsiyah (keperibadian) yang celaru. Walhal, pembentukan sesebuah generasi sangat bergantung pada suasana kehidupannya, termasuk keadaan sosio-ekonomi dan proses pendidikannya. Pendidikan di institusi rendah, menengah dan tinggi bukanlah satu-satunya penggarap individu yang bertakwa namun proses pendidikan yang tidak tepat boleh menghasilkan peribadi yang keliru dan rosak.

Matlamat pendidikan dalam Islam adalah untuk melahirkan muslim yang berkeperibadian terpuji (syakhsiyah mutamayyizah) (Abu Yasin, Usus at-Ta’lim fi Daulah al-Khilafah). Syakhsiyah ataupun keperibadian itu terdiri daripada dua komponen iaitu:

Aqliyah (pola berfikir) – cara yang digunakan untuk memikirkan sesuatu; iaitu cara mengeluarkan keputusan hukum tentang sesuatu, berdasarkan kaedah tertentu yang diyakini seseorang. Jika seseorang memikirkan realiti untuk mengeluarkan hukum terhadapnya dengan bersandar pada akidah Islam, maka dia dikatakan mempunyai pola berfikir yang Islami. (Hizbut Tahrir, Min Muqawwimat Nafsiyah Islamiyah)

Nafsiyah (pola sikap) – cara yang digunakan seseorang untuk memenuhi tuntutan gharizah (naluri), keperluan jasmani; iaitu usaha memenuhi tuntutan tersebut berdasarkan kaedah yang diimani dan diyakininya. Sandarannya juga mestilah akidah Islam. (Hizbut Tahrir, Min Muqawwimat Nafsiyah Islamiyah)

Manusia mempunyai tiga potensi yang menggerakkan kehidupannya iaitu akal, naluri dan keperluan jasmani. Pendidikan perlu menyediakan kaedah berfikir berlandaskan akidah bagi akalnya untuk membentuk mafahim (persepsi) yang benar. Bermula dengan memahami realiti atau fakta, menghubungkannya dengan maklumat yang telah diperolehi sehingga dapat memahami realiti tersebut. Kemudian menilai dan membahaskan hukum syarak terhadap realiti tersebut sehingga dapat mengenal pasti hukumnya. Inilah aqliyah Islam, iaitu proses menghubungkaitkan fakta dan maklumat berdasarkan kaedah atau landasan tertentu (akidah Islam).

Naluri dan keperluan jasmani mendorong manusia melakukan aktiviti hariannya. Dua potensi ini mencipta dawafi’ (dorongan) tertentu supaya dipenuhi. Dorongan tersebut adalah fitrah. Perkara yang diperlukan adalah mengikat dorongan dengan persepsi yang benar sehingga terbit muyul (kecenderungan) yang khas untuk memenuhi tuntutan keperluan jasmani dan naluri. Kecenderungan ini adalah pembentuk nafsiyah, dan dipengaruhi oleh persepsi kehidupan. Apabila kecenderungannya telah dipengaruhi dengan persepsi yang Islami, maka terbinalah nafsiyah Islam.

Oleh itu, pembentukan aqliyah dan nafsiyah yang Islami mesti bermula dengan membentuk persepsi dan kecenderungan yang benar. Proses pendidikan yang ada perlu menanamkan akidah Islam sebagai asas serta menjadikan syariat sebagai landasan tolok ukur amal perbuatan. Peningkatan dan penjagaan aqliyah boleh didapati dengan penguasaan ilmu-ilmu Islam yang berkait rapat dengan akidah dan syariat seperti bahasa Arab, tauhid , fikah, tafsir, hadis dan lain-lain. Nafsiyah pula ditingkatkan dan dijaga dengan pembudayaan aktiviti yang mendekatkan diri seseorang kepada Allah seperti bergaul dengan orang soleh, memilih rakan yang baik, memperbaiki kualiti ibadah daripada yang wajib hinggalah yang sunat, menghayati (tadabbur) kebesaran Allah dan lain-lain.

Kesimpulannya, pendidikan dalam Islam akan dapat mencorakkan keperibadian Islam. Cabaran masa kini yang berlaku adalah suasana yang tidak membantu. Negara yang tidak menerapkan Islam secara menyeluruh, masyarakat yang tidak islami, kewujudan pengaruh dari kalangan komuniti-komuniti yang rosak, dan bahkan institusi keluarga yang bermasalah, mewujudkan konflik kepentingan antara ilmu yang dipelajari serta aplikasinya dalam kehidupan. Tidak ada jalan lain untuk menyelesaikan masalah keperibadian yang rosak secara holistik melainkan diterapkan Islam secara menyeluruh dalam bentuk bernegara dan bermasyarakat. Jika tidak, bebanannya hanya dipikul oleh keluarga, institusi pendidikan, dan organisasi dakwah, akibat negara yang melaksanakan asas pendidikan yang tidak menepati ruh Islam.


KOLUM TSAQAFAH

Belajar Tentang Adab

Suatu ketika Imam Yahya bin al-Qaththan, selepas menunaikan solat Asar, beliau bersandar di bawah menara masjid. Di sekitar beliau ada Ali bin al-Madini, asy-Syadzakuni, Amru bin Ali, Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Main serta ulama lainnya yang ingin berguru kepada beliau. Mereka berdiri sehingga waktu magrib. Waktu itu, Imam Yahya bin al-Qaththan tidak meminta mereka untuk duduk. Jadi, mereka pun tidak  duduk demi menghormati guru [Al-Jami’ al-Akhlaq ar-Rawi wa Adab as-Sami’, hlm. 78].

Dalam waktu yang lain, Imam al-Fara’ seorang ulama Kufah, diminta oleh Khalifah Makmun untuk mengajarkan ilmu nahwu kepada kedua putranya. Ketika beliau selesai mengajar dan beranjak untuk pergi, kedua anak Khalifah itu berebut untuk membawakan sandal Imam al-Fara’ sebagai bentuk penghormatan mereka kepada guru. Mengetahui hal itu, Imam al-Fara’ akhirnya meminta kepada kedua anak itu masing-masing membawa satu sandal hingga keduanya sama-sama menyerahkan sandal kepada beliau [Wafayat al-A’yan, 2/228].

Tidak hanya murid terhadap guru, adab juga sering  ditunjukkan oleh ulama kepada ulama lainnya. Imam Syafii rahimahullah pernah suatu saat melaksanakan shalat subuh di makam Imam Abu Hanifah. Saat itu ia memilih tidak melaksanakan qunut subuh dalam menjaga adab terhadap Imam Abu Hanifah yang berpendapat bahwa qunut subuh tidak disyariatkan [Ad-Dahlawi, Al-Inshaf fi Bayan Asbab al-Ikhtilaf, hlm. 110].

Mengapa begitu mulia akhlak atau adab para ulama dan para salafush-shalih dahulu? Kata-kata Imam Ibn Qasim, salah seorang murid Imam Malik, mungkin mampu menjelaskan hal ini ketika dia berkata, “Aku telah mengabdi kepada Imam Malik bin Anas selama 20 tahun. Selama itu 18 tahun aku mempelajari adab (akhlak) dari beliau, sedangkan bakinya 2 tahun untuk belajar ilmu.” [Tanbih al-Mughtarrin, hlm. 12].

Bagaimana dengan kita? Sudahkah kita memiliki akhlak dan adab yang mulia terhadap ibu bapa, para guru, rakan-rakan, jiran tetangga dan selainnya?

(Dipetik dari Kumpulan Ibrah Pilihan karangan Arief B. Iskandar)


KOLUM SEJARAH ISLAM

5 Karya Perubatan Terkenal di Era Kegemilangan Khilafah

Banyak peradaban telah menyumbang kepada pembangunan disiplin ilmu dalam penjagaan kesihatan dan perubatan. Lebih seribu tahun yang lalu, peradaban Islam mempunyai peranan yang berpengaruh dalam pembangunan ilmu ini. Berikut adalah lima buku terkenal mengenai perubatan dan penjagaan kesihatan dari era kegemilangan perabadan Islam, Khilafah.

  1. Abu Ali Al-Hussain Ibn Abdullah Ibn Sina (Ibn Sina, abad ke-11). Bukunya Al Qanun fi al-Tibb (Prinsip-prinsip Dalam Perubatan) telah diterbitkan di Rom pada tahun 1593 sebelum diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Malahan sehingga abad ke-19, bukunya masih dicetak ulang dan menjadi rujukan para pelajar perubatan.
  2. Abu Bakar Muhammad bin Zakaria al-Razi (Al-Razi, abad ke-10). Beliau telah menulis sebuah buku khas Kitāb Manafi’ al-Aghdhiyah wa-Daf’i Madhārriha tentang cara mencegah kesan-kesan sampingan nutrien dan menjadikan kitab tersebut lebih jelas dan komprehensif berbanding buku-buku sebelumnya.
  3. Ibn Hubal Al-Baghdadi (Ibn Hubal, abad ke-12). Seorang ahli fizik dan saintis Arab yang terkenal dengan ringkasan lengkap perubatannya yang berjudul Kitab al-Mukhatarat fi al-Tibb (Buku Koleksi Pilihan dalam Perubatan), yang ditulis pada tahun 1165 di Mosul di Iraq. Beliau menukilkan dalam karyanya mengenai kecenderungan ‘orang yang terlalu gemuk’ untuk mudah jatuh sakit.
  4. Ala-al-din Abu al-Hassan Ali ibn Abi-Hazm al-Qarshi (Ibn al-Nafis, abad ke-13). Beliau menulis beberapa karya termasuk Kitab al-Shamil fi ‘l-Sina’a al-Tibbiyya (Buku Terlengkap dalam Seni Perubatan) yang paling terkenal.,Dalam salah satu buku karya Al Mujiz Fit-Tibb (RIngkasan Padat dalam Perubatan) yang lain, beliau melaporkan mengenai perkaitan antara obesiti yang berlebihan dan serangan jantung dan angin ahmar(strok), serta perkaitannya dengan penyakit sistem pernafasan dan hormon.
  5. Najib ad-Din Abu Hamid Muhammad ibn Ali ibn Umar Samarqandi  (Samarqandi, abad ke-13). Karyanya yang terkenal “Buku Punca-punca penyakit dan Gejalanya”, satu manual perawatan dan penyakit terlengkap. Rujukannya dibaca secara meluas dan sering kali diulas. Dalam karyanya “Buku Makanan dan Minuman Bagi Orang yang Sihat”, beliau menetapkan nutrisi makanan yang sesuai agar dapat menggantikan unsur-unsur penting dalam badan yang telah hilang.

 

Download PDF