SN522 – Bagaimana Islam Mengimbangi Kuasa Pemerintah

Bil: SN522 – 9 JAMADIL AWAL 1439 / 26 JANUARI 2018

SN522 - Bagaimana Islam Mengimbangi Kuasa Pemerintah

Sebahagian umat Islam masih keliru tentang aspek pemerintahan Islam sehingga ada yang mengatakan bahawa model pemerintahan Islam selari dengan doktrin pemisahan kuasa (separation of power) yang diamalkan dalam sistem Demokrasi. Doktrin yang sinonim dengan prinsip trias politica ini dikembangkan oleh ahli falsafah politik Perancis, Baron de Monstesquieu, di dalam bukunya The Spirit of Laws (1748) selepas dicetuskan oleh bapa Liberalisme Barat, John Locke. Beliau menyatakan bahawa model pemerintahan perlu mempunyai bentuk yang dapat mengagihkan kuasa politik di kalangan pihak legislatif (pembuat undang-undang), eksekutif (badan pelaksana) dan judikatif (badan kehakiman).

Sedangkan sepanjang sejarah kepimpinan Rasulullah SAW serta para Khalifah sesudah baginda, tidak pernah mengenali doktrin ini. Bahkan dasar sistem pemerintahan Islam (Khilafah) mempunyai prinsip dan bentuk yang sangat bertentangan dengan doktrin tersebut. Islam telah menetapkan bahawa, (i) kedaulatan adalah milik syarak (As-siyadah li asy-syar’i) – Allah SWT pemilik mutlak hak menggubal serta menetapkan hukum; dan (ii) kekuasaan adalah di tangan rakyat (As-sulthan li al-ummah) – rakyat berhak untuk memilih dan melantik pemimpin. Ini jelas membuktikan kebatilan badan legislatif dalam amalan demokrasi yang mengambil hak Allah SWT dalam menggubal undang-undang bagi umat manusia. Struktur pemerintahan dan pentadbiran Khilafah menjadi landasan perlaksanaan perintah dan larangan yang terkandung di dalam al-Quran dan as-Sunnah serta mengurus keperluan dan kepentingan rakyat.

Bidang Kuasa Seorang Khalifah

Walaupun pada dasarnya seorang Khalifah tidak mempunyai hak legislatif yang mutlak, namun haknya merangkumi bidang kuasa judikatif dan eksekutif yang cukup luas . Hal ini berlandaskan nas-nas syarak yang jelas sebagaimana Rasulullah SAW memegang sendiri urusan pengadilan dan perlaksanaan hukum. Bahkan Khalifah berhak melantik dan memecat pembantunya (Muawin), para hakim (Qadi) dan seluruh jentera pentadbirannya. Namun, Khalifah bukanlah seorang raja atau diktator yang menerapkan kekuasaannya mengikut nafsu ke atas rakyat. Sistem Khilafah mempunyai mekanisme tersendiri dalam mengawal kuasa seorang Khalifah, antaranya melalui akad bai’ah sewaktu perlantikannya. Autoriti Khalifah untuk memerintah mestilah diserahkan oleh umat Islam menerusi akad bai’ah. Rasulullah SAW mewajibkan umat Islam agar  membai’ah hanya seorang Khalifah dan wajib mentaatinya selagi Khalifah tidak melakukan kekufuran yang nyata.

Oleh itu, seorang Khalifah sentiasa terikat dengan hukum syarak dalam proses pengambilan (adoption) hukum (undang-undang). Haram bagi Khalifah mengambil suatu hukum yang tidak digali daripada dalil-dalil syariah apatah lagi memberikan keputusan yang bertentangan dengan syarak. Hal ini terkandung dalam teks bai’ah semasa perlantikan Khalifah yang mewajibkan Khalifah terikat dengan syariat Islam.

Semak dan Imbang (check and balance)

Sistem Khilafah mempunyai beberapa komponen pentadbiran yang berfungsi sebagai check and balance terhadap struktur pemerintahan, antaranya ialah: mahkamah Mazhalim yang mengawasi tindakan setiap pegawai Khilafah termasuklah Khalifah agar sentiasa berlaku adil dan tidak zalim ke atas rakyat. Uniknya, Qadhi (hakim) Mazhalim mempunyai kuasa penyiasatan walaupun tanpa plaintif dan aduan, manakala Khalifah tidak boleh memecatnya ketika kes terhadap Khalifah dan pegawai pemerintah dibicarakan.  Majlis umat yang terdiri dalam kalangan perwakilan Muslim, non-Muslim, lelaki atau perempuan berperanan dalam memberikan pendapat serta melakukan muhasabah – bukan menggubal undang-undang – terhadap pegawai pemerintah dan pentadbir. Mereka dipilih melalui pilihan raya dan mewakili kepentingan setiap kelompok rakyat dari pelbagai wilayah di bawah pemerintahan Khilafah. Parti politik dalam negara Khilafah tidak seperti amalan negara demokrasi yang sering bertelagah untuk memerintah, sebaliknya berfungsi untuk menjalankan kewajipan amar ma’ruf nahi mungkar terhadap rakyat dan pemerintah. Begitu juga rakyat secara umumnya, memiliki hak di sisi syarak untuk memuhasabah para pemimpin.

Doktrin pemisahan kuasa yang bertujuan mengawal kuasa agar tidak terpusat kepada satu orang/pihak pada hakikatnya indah khabar dari rupa. Di Barat sendiri ia sering dicemari dengan campur tangan banyak pihak lain, diperselisihkan dan penuh dengan tindakan-tindakan para pemerintah yang zalim dan diktator. Sedangkan Islam yang telah berjaya memerintah hampir dua pertiga dunia selama lebih 1300 tahun dengan sistem Khilafah. Sebagai umat Islam, cukup bagi kita untuk mengambil konsep pemerintahan yang lahir daripada wahyu melalui sunnah Nabi Muhammad SAW serta para sahabat RA. Wallahualam.

Rujukan : Ajhizah Daulah al-Khilafah Fi Al-Hukm Wa Al-Idarah, Hizbut Tahrir;  dan Accountability in the Khilafah, Abdul-Kareem Jamil.


KOLUM TSAQAFAH

Kedaulatan (As-Siyadah) Milik Syarak 

Kedaulatan atau Sovereignty (bahasa arab: as-Siyadah) adalah satu istilah politik yang bermaksud hak eksklusif untuk menguasai sepenuhnya sesebuah kawasan pentadbiran, rakyat, atau diri sendiri. Kedaulatan juga memberi makna hak penggubalan (mencipta) undang-undang yang agung tanpa tertunduk di bawah mana-mana pihak.

As-Siyadah dapat difahami sebagai hak atau kekuasaan penuh sesuatu pihak ke atas suatu aspirasi atau kehendak. Apabila seseorang inidividu mempunyai hak dan kekuasaan yang penuh ke atas dirinya untuk melakukan apa yang dikehendakinya, maka seseorang itu dikatakan mempunyai kedaulatan ke atas dirinya sendiri. Namun apabila hak dan kekuasaan seseorang individu itu untuk melakukan sesuatu berada di pihak yang lain, maka ini bermakna status individu itu adalah sebagai seorang ‘hamba’ kepada pihak yang memegang kedaulatan tersebut. Sekiranya manusia secara kolektif meletakkan hak dan kekuasaan mereka untuk melaksanakan kehendak mereka di atas diri mereka sendiri, maka secara tidak langsung mereka telah menjadi ‘tuan’ kepada diri mereka sendiri dan hal inilah yang telah diagungkan dalam sistem Demokrasi [Muqaddimah ad-Dustur Au al-Asbab al-Mujibah Lahu, Hizbut Tahrir].

Syarak telah menjelaskan bahawa manusia hendaklah mengatur kehendak mereka berdasarkan apa yang telah diturunkan Allah SWT. Allah SWT berfirman:

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu (Muhammad) hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan” [TMQ an-Nisa’ (4):65].

“Menetapkan hukum hanyalah hak Allah” [TMQ al-An’am (6):57].

Rasulullah SAW juga bersabda:

“Tidaklah seseorang daripada kamu itu beriman sehingga hawa nafsunya tunduk kepada apa yang yang aku bawa” [HR Ibnu Abi ‘Asim di dalam as-Sunnah].

Dalil-dalil di atas menjelaskan bahawa umat Islam baik individu mahupun secara kolektif wajib meletakkan kedaulatan sebagai milik syarak, bukan milik manusia. Hak umat Islam hanyalah melaksanakan aturan (sistem) kehidupan yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW. Inilah manifestasi tanda keimanan yang sempurna.


KOLUM SIRAH

Peristiwa Pemecatan Khalid Al-Walid RA

Pada tahun 13H, ketika zaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab RA, beliau telah menetapkan satu polisi agar semua pegawai di bawahnya menerapkan dasar-dasar baru yang telah diperkenalkannya.   Pendekatan ini berbeza dengan Khalifah terdahulu, iaitu Saidina Abu Bakar RA yang  memberi ruang kepada para pegawainya melaksanakan pengurusan mereka sendiri selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak. Pada awalnya, sebahagian pegawainya bersetuju dengan polisi tersebut manakala sebahagian yang lain menolak. Di antara pegawai yang menolak perlaksanaan polisi tersebut adalah Khalid bin Walid RA. [Khalid bin Walid, Sheikh Shadiq ‘Arjun]

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa setelah Umar diangkat menjadi Khalifah, beliau menulis surat kepada Khalid Al-Walid RA. Dalam surat tersebut Umar Al-Khattab melarang Khalid Al- Walid memberikan harta ghanimah berupa kambing atau unta kecuali atas izinnya. Khalid Al-Walid kemudian menulis surat kepada Umar Al-Khattab  yang berisi, “Jika engkau menginginkan aku tetap menjawat jawatan ini, maka biarkan aku dalam keadaan seperti ini. Jika tidak, maka terserah engkau melakukan sesuatu sesuai dengan kebijaksanaanmu”. Umar berkata, “Tidaklah aku berada dalam kebenaran jika aku mengusulkan suatu pendapat kepada Abu Bakar dan tidak aku lakukan”. [Al-Bidayah An-Nihayah, jilid VII, Ibnu Katsir]

Ini kerana, semasa Abu Bakar RA menjadi Khalifah, Umar RA pernah mencadangkan kepada Abu Bakar untuk menguatkuasakan polisi yang sama. Maka Khalifah Umar Al-Khattab pun memecat Khalid. Seorang Khalifah berhak untuk mengatur pemerintahan kerana pada dasarnya tanggungjawab urusan pemerintahan berada di atas bahunya.

Khalid bin Walid RA menerima pemecatan dirinya dengan hati yang terbuka. Beliau tetap bersedia berperang di bawah penggantinya, Abu Ubaidah RA dan selama itu beliau tidak pernah berbeza pendapat dengan Abu Ubaidah RA. Khalid Al-Walid  RA selalu bersamanya, mengikuti perintahnya, menghormati segala pendapat dan keputusannya. Khalid Al-Walid RA pernah berkata, “aku berperang kerana Allah, bukan kerana Umar”.

Sikap Khalid Al-Walid RA yang memahami hak Khalifah ini menunjukkan ketulusan hatinya. Pemecatan tersebut langsung tidak memberikan kesan negatif kepada tentera kaum Muslimin malah kaum Muslimin terus memenangi siri-siri peperangan sehinggalah berjaya membuka kota Damsyik dan Qinsirin.

 

Download PDF